Gambaran pertemuan pemimpin Islam sebelum Perang Badar |
“Abu Jahal dan pembesar Quraisy Makkah menubuhkan pasukan tentera dan membeli senjata dari Habsyah. Mereka sekarang sedang melakukan persiapan perang. Oleh itu, kita juga perlu bersiap sedia,” kata Umar al-Khattab.
“Wahai Rasulullah, kami orang Ansar sedia mengajar taktik perang kepada sahabat-sahabat Muhajirin,” kata al-Bara’ bin Ma’rur kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Benar kata a;-Bara.’ Kami mahir berperang. Kami bersedia mengajar orang Muhajirin selok belok pertempuran. Kami akan kumpulkan orang kami bagi turut serta,” kata Sa’ad bin Ubadah pula.
Mulai hari itu, Abu Ayub bersama kaum lelaki Ansar mengajar
orang Muhajirin teknik-teknik bertempur di medan perang. Mereka sama-sama
berlatih tanpa jemu.
Sementara
itu, dalam membina pasukan perang, Saad bin Abu Waqas dan Uthman bin Affan
adalah antara orang berharta yang mendermakan sebahagian harta mereka bagi
membeli kelengkapan perang. Semua penduduk berganding bahu menyediakan
peralatan perang seperti tombak, pedang dan ada yang menggunakan pelepah tamar
sebagai senjata.
Khabar angin
yang mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. akan menyerang Quraisy Makkah mula
tersebar luas. Sementara itu, para sahabat bijak menyimpan rahsia persediaan
mereka daripada pengetahuan orang Yahudi yang berusaha mengetahui pergerakan
mereka.
Semangat
Abu Ayub pula berkobar-kobar. Dia berusaha mengajak kaum lelaki tidak kira tua
dan muda supaya turut serta. Sikapnya itu berlainan sekali ketika berlaku
pertempuran antara Bani Aus dan Khazraj dahulu.
Nabi Muhammad s.a.w. menempatkan pasukannya di kawasan berbukit kerana kawasan itu paling
sesuai bagi menghadapi musuh yang lebih ramai jumlahnya. Pada malam itu, hujan
turun dengan lebatnya mencurah-curah sehingga menenggelamkan banyak kawasan
lembah yanng dijadikan pengkalan pasukan
tentera Quraisy. Pasukan tentera Islam pula mengucapkan syukur kerana dapat
memenuhi bekas minuman dan berdoa bagi kemenangan mereka ketika hujan rahmat
itu.
Namun,
al-Hubab bin Mundzie berasa tempat itu tidak sesuai. Dia segera menghadap Nabi
Muhammad s.a.w. “Pada pendapat saya, lebih baik kita pergi ke kawasan yang
dekat dengan punca mata air. Dengan menguasai punca air, musuh tidak mendahului
kita. Di sana kita bina takungan air bersih bagi membolehkan pasukan kita
menggunakannya. Apabila berlaku pertempuran, pihak musuh akan kehausan, tetapi
mereka tidak mempunyai air kerana kita sudah menguasainya.”
Nabi
Muhammad s.a.w. menerima cadangan itu. Pada malam itu juga, Nabi Muhammad
s.a.w. menyuruh pasukannya berpindah ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Menjelang
pagi, pasukan tentera Islam sudah menguasai semua kawasan punca air. Kemudian,
mereka membuat takungan air bersih bagi kegunaan tentera Islam.
“Biarkan kami membuat tempat perlindungan untuk Tuan. Biarkan sahaja kami berperang dan Tuan terus berada di situ. Sekiranya kita menang, itulah yang menggembirakan kami. Andai berlaku sebaliknya, Tuan dapat berangkat pulang kerana di Madinah masih ramai lagi umat Islam yang menjadi pengikut Tuan. Mereka lebih menyayangi Tuan berbanding kami. Tuan teruskan perjuangan ini bersama mereka. Allah pasti akan membela Tuan bersama mereka,” kata Sa’ad bin Muaz kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. bersetuju dengan cadangan Sa’ad bin
Muaz lalu mendoakan kebaikkan untuknya. Kemudian,
mereka membuat tempat perlindungan seperti kenderaan yang dapat digerakkan bagi
memudahkan Nabi Muhammad s.a.w. berlindung serta mudah bergerak pantas
sekiranya berlaku sebarang kemungkinan. Tempat perlindungan Nabi Muhammad
s.a.w. itu diletakkan di tempat yang tinggi bagi memudahkan baginda
memantau medan pertempuran.
Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w. dengan diiringi beberapa
orang sahabat memantau kawasan yang dijangka berlakunya pertempuran antara
tentera Islam dengan tentera Quraisy. Di situ, Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan
tempat di mana akan terbunuhnya Abu Jahal, Umaiyah, dan beberapa orang lagi. Setelah
itu Nabi Muhammad s.a.w kembali ke pangkalan pasukan Islam lalu menyuruh mereka
berehat kerana tidak lama lagi akan berlaku peperangan.
Pada masa yang sama, Abu Jahal dan beberapa orang
pembantunya sedang membuat rancangan untuk menyerang Nabi Muhammad s.a.w. dan
para pengikutnya. Umair bin al-Jumahi diperintah mengintip pergerakan pasukan
Nabi Muhammad s.a.w. kemudian, Umair bin al-Jumahi kembali membawa laporan.
Menurut Umair al-Jumahi, pasukan Nabi Muhammad s.a.w. hanya
sekitar 300 orang, 70 ekor unta, dan hanya dua ekor kuda. Mereka tidak membuat
sebarang kubu perlindungan. Mereka juga tidak membuat apa-apa persiapan bagi
melarikan diri. Jelas sekali mereka datang mahu berperang sehingga mati.
Hakim bin Hizam berasa gementar lalu menemui Uthbah bin Rabi’ah.
“Wahai Uthbah, kamu seorang pemimpin Quraisy yang dihormati dan ditaati. Apakah kamu tidak mahu nama kami dikenang sepanjang zaman?” tanya Hakim kepada Uthbah bin Rabi’ah.
“Apa maksud kamu, wahai Hakim?” tanya Uthbah bin Rabi’ah pula.
“Anak kamu, Huzaifah sudah menjadi pengikut Muhammad. Dia sekarang berada dalam pasukan Islam. Sekiranya kamu memerangi Muhammad, kamu juga terpaksa memerangi anakmu sendiri. Sekiranya anak kamu yang terbunuh dalam peperangan ini, kamu tidak akan dikenang sebagai seorang yang berjasa kepada kaum Quraisy. Oleh sebab itu, lebih baik kamu pulang sahaja ke Makkah,” jawab Hakim.
Kata-kata itu menyedarkan Uthbah bin Rabi’ah. Tambahan pula,
Huzaifah adalah anak kesayangannya. Dia sudah berusaha memujuk Huzaifah kembali
kepada agama nenek moyang mereka, tetapi tidak berjaya. Kini, anaknya berada
dalam pasukan Madinah yang mahu diperanginya.
“Benar katamu itu. Aku akan kembali ke Makkah dan kamu pasti bersama aku dalam perkara ini,” kata Uthbah bin Rabi’ah.”
“Aku akan bersama kamu Abi al-Walid,” kata Hakim.
Di tengah ribuan pengikut, Uthbah bin Rabi’ah tampil ke hadapan
lalu berseru, “Wahai orang Quraisy, sekiranya berlaku peperangan, kamu tidak
mampu melakukan apa-apa apabila berhadapan dengan Muhammad dan para
pengikutnya. Demi tuhan, sekiranya kamu dapat mengalahkan mereka, mereka tetap
akan membencidan tidak akan tunduk kepada kamu. Demi keyakinan, mereka sanggup
membunuh keluarga sebelah ayahnya dan sanggup membunuh keluarga sebelah ibunya
atau keluarganya sendiri. Pulanglah kalian dan biarkan Muhammad dengan para
pengikutnya.
“sekiranya kalian berdegil, pastilah terjadi peperangan antara kalian dengan mereka. Sekiranya kalian berjaya mengalahkan mereka, lalu itu yang kalian harapkan. Tetapi, apabila itu tidak menjadi kenyataan, bererti mereka mengalahkan kalian. Malah, kalian menanggung kerugian dan keaiban kerana tidak berjaya mencapai apa yang kalian mahukan daripada mereka”.
Ramai yang terpengaruh dengan kata-kata Uthbah bin Rabi’ah
itu. Tetapi, lebih ramai yang setia dengan Abu Jahal. Malangnya, Abu Jahal
tetap mahu berperang dan tidak membenarkan Uthbah bin Rabi’ah meninggalkan
pasukan Quraisy begitu sahaja.
Abu Jahal segera menemui Amir bin al-Hadhrami lalu berkata, “Wahai
pahlawan Quraisy yang gagah perkasa, ketika keluar dari Makkah kita sudah
bersumpah setia bersama. Tetapi sekutu kita, Uthbah bin Rabi’ah mahu pulang
bersama orang Quraisy. Namun, aku yakin kamu tetap bersama aku kerana dendam
kamu kepada Muhammad masih terpancar di matamu. Berdirilah kamu dan suruh orang
Quraisy memenuhi janji mereka bagi bersama kita memerangi Muhammad.”
Amir bin al-Hadhrami berdiri di atas untanya lalu berteriak
dengan suara yang lantang. “Wahai orang-orang Quraisy. Perbalahan kita dengan
Muhammad sampai ke kemuncaknya. Kita sudah sepakat mahu menghadapinya. Tetapi,
kesatuan kita dirosakkan oleh Uthbah bin Rabi’ah. Abi al-Hakam mengatakan
paru-paru Uthbah megembang kerana takut.”
Orang ramai mentertawakan Uthbah bin Rabi’ah. Uthbah bin
Rabi’ah berasa marah dan tercabar lalu berkata, “Orang itu melumurkan
belakangnya dengan tahi unta. Kamu akan tahu nanti paru-paru siapa yang
mengembang, paru-paru aku ataupun dia.”
Disebabkan berasa malu dan tercabar dituduh pengecut, Uthbah
bin Rabi’ah membatalkan hasratnya pulang ke Makkah. Dia bersedia berperang
hanya kerana mahu membuktikan dirinya bukan seorang yang pengecut seperti yang
dituduh oleh Abu Jahal. Dia memakai baju besi dan menyandang dua bilah pedang.
“Berikan aku topi besi, aku akan berada di barisan paling hadapan,” kata Uthbah bin Rabi’ah bersemangat.
Tentera Quraisy cuba memakaikan topi besi di kepala Uthbah
bin Rabi’ah, tetapi tidak ada yang sesuai kerana kepalanya besar. Akhirnya
Uthbah bin Rabi’ah cuma memakai kain yang dililitkan di kepalanya.
“Aku akan terjun ke medan perang walaupun tanpa memakai topi besi. Sekiranya orang itu memakai topi besi, bererti dia yang paru-parunya mengembang,” kata Uthbah bin Rabi’ah menyindir Abu Jahal.
“Aku tidak akan memakai baju besi dan topi besi. Tidak ada siapa yang dapat membunuh aku kerana dilindungin al-Latta dan al-Uzza,” kata Abu Jala begitu yakin dengan kepercayaannya.
Tiba-tiba perbualan mereka terganggu dengan kedatangan
seorang tentera Quraisy yang bertugas mencari air datang membuat laporan kepada
Abu Jahal.
“Kita dikalahkan oleh Muhammad sebelum berperang!” kata lelaki itu sambil menangis.
“Apa yang kamu cakapkan ini?” Kita belum berperang dengan Muhammad lagi!” Marah Abu Jahal.
“Muhammad menguasai semua punca air. Semua perigi dan kolam telah dikambus dengan pasir supaya kita tidak dapat meminum airnya. Mereka membuat satu takungan yang besar bagi kegunaan mereka. Semasa bertempur nanti, kita akan kehausan kerana kita tidak mempunyai air minuman.” Jawab lelaki itu.
“Rupa-rupanya Muhammad itu lebih bijak dari kamu, wahai lelaki yang belakangnya disapu najis unta,” sindir Utbah bin Rabi’ah, sengaja menyakitkan hati rakan seperjuangannya.
Abu Jahal berasa marah lalu berkata, “Wahai siparu-paru
kembang, tidakkah kamu rasa hormat kepada aku sebagai ketua?”
“Aku tidak hormat kepada lelaki yang menuduh aku penakut,” jawab Utbah bin Rabi’ah.
“Saat genting sebegini sepatutnya kita bersatu. Kamu berdua
adalah pemimpin kami. Sepatutnya menunjukkan contoh yang baik,” marah Hakim.
Barulah Abu Jahal dan Utbah bin Rabi’ah tidak bertengkar lagi, rasa malu
menerjah diri.
“Siapakah antara kamu yang sanggup memusnahkan takungan air musuh kita?” tanya Abu Jahal.
“Aku sanggup. Sekiranya Muhammad sanggup memusnahkan punca air kita lalu aku juga akan memusnahkan kolam takungan air mereka,” teriak al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi.
Kemudian katanya lagi, “Aku bersumpah dengan nama tuhanku,
al-Latta dan al-Uzza, aku akan minum air dari kolam mereka, kemudian aku akan
memusnahkannya. Aku sanggup mati kerananya.”
Abu Jahal berasa senang hati mendengarnya lalu memuji
keberanian al-Aswad. Dalam kalangan orang Quraisy, dia terkenal sebagai seorang
lelaki yang berani, berhati kejam, dan berakhlak buruk.
“Sekiranya Aswad dapat memusnahkan kolam takungan musuh, aku sanggup memberinya hadiah 100 ekor unta,” kata Utbah bin Rabi’ah pula.
“Aku sanggup memberi dua kali ganda dari jumlah itu,” kata Abu Jahal yang tidak mahu mengalah.
“Aku lakukan ini dengan kerelaan hati sendiri. Aku tidak meminta apa-apa hadiah dari kalian berdua,” kata al-Awad pula.
“Mengapa kita hendak memusnahkan takungan air mereka? Bukankah lebih baik kita biarkan, supaya selesai peperangan ini nanti dapat kita gunakan,” kata Hakim yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Muhammad menyuruh pengikutnya memusnahkan semua perigi dan kolam air yang ada supaya kita kehausan. Kita wajar membalasnya dengan memusnahkan tempat takungan air mereka. Biar sama-sama kehausan,” jawab Abu Jahal.
Kemudian katanya lagi, “Dengan memusnahkan semua punca air,
mereka dan kita sama-sama kehausan. Maka, peperangan dapat ditamatkan dengan
segera. Aku mahu Muhammad dan pengikutnya dihancurkan sebelum matahari tegak di
atas kepala.”
Kemudian Abu Jahal menyusun pasukan tenteranya. Dihadapan sekali
diletakkan pasukan berkuda yang terdiri daripada 200 anggota. Di belakang
mereka, pasukan yang menunggang unta berjumlah 200 orang juga dan diikuti
tentera berjalan kaki yang memakai baju besi seramai 600 orang.
Pada masa sama, Nabi Muhammad s.a.w. sedang menyusun pasukan
tenteranya. Mereka Cuma berjumlah 313
orang. Mereka bersenjatakan panah, pedang dan ada yang menjadikan
pelepah tamar sebagai senjata.
Mereka yang mahi memanah diletakkan di barisan hadapan dalam tiga barisan. Mereka yang
bersenjatakan pedang dan lain-lain diletakkan di barisan belakang pasukan
pemamanah. Unta-unta mereka diletakkan di belakang kerana mereka lebih suka
berperang dengan berjalan kaki.
Seorang tentera Quraisy berteriak, “Aku bersumpah dengan
nama tuhanku al-Latta dan al-Uzz, aku akan minum air dari kolam kamu, kemudian
aku akan merobohkannya, dan aku rela mati kerananya!”
Lelaki itu adalah al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi yang
bersumpah dihadapan Abu Jahal dan tentera Quraisy bagi memusnahkan takungan air
pasukan tentera Islam. Kemudian sumpah yang sama diucapkannya semasa berlari
menuju ke takungan air pasukan tentera Islam.
Hamzah bin Abdul Muttalib bertindak pantas keluar dari
barisan tentera Islam lalu menghadang al-Aswad. Berlaku pertarungan di antara
mereka yang disaksikan oleh kedua belah pihak. Al-Aswad ketika itu memakai baju
dan topi besi. Dengan begitu angkuh dia mencabar Hamzah bagi menikam badannya
yang dilindungi baju besi.
Hamzah seorang pahlawan yang bukan sahaja gagah berani,
malah bijak. Dia menetak kaki kanan al-Aswad menyebabkannya jatuh tersungkur. Namun
al-Aswad masih tidak mahu menyerah kalah, dia merangkak menuju ke arah kolam
air bagi menunaikan sumpahnya. Walau bagaimanapun, Hamzah tidak memberi peluang
kepada al-Aswad mendekati takungan air itu. Hamzah menetak leher al-Aswad
menyebabkan dia mati serta merta. Melihat keadaan itu, pasukan tentera Islam
bertakbir serta menyebut nama Allah.
Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan pasukan
tenteranya mara bagi berhadapan dengan musuh. Sudah menjadi tradisi Arab,
sebelum berperang mereka mengadakan perlawanan satu lawan satu terlebih dahulu.
“Siapakah antara kamu yang sanggup keluar bertanding dengan pengikut Muhammad satu lawan satu?”tanya Abu Jahal yang dilantik sebagai ketua pasukan Quraisy.
“Aku!” teriak Uthbah bin Rabi’ah.
Kemudian katanya lagi, “Aku akan buktikan kepada kamu yang
aku bukan takut seperti yang kamu tuduh. Aku sanggup mencabar pengikut Muhammad
walaupun aku sudah tua dan tidak memakai baju serta topi besi.”
“Kamu memang seorang yang berani sekiranya dapat menewaskan lawan kamu,” kata Abu Jahal pula.
“Aku tidak akan biarkan ayah aku pergi seorang diri. Aku akan bersamanya,” kata al-Walid, anak Utbah bin Rabi’ah pula.
Kemudian al-Walid menyertai ayahnya ke hadapan. Melihat keadaan
itu lalu Syaibah bin Rabi’ah pula
berkata,”Aku tidak akan biarkan saudaraku dan anaknya sahaja. Kami bertiga akan
berganding bahu.”
Tiga orang Quraisy itu mencabar orang Islam keluar bagi bertanding
satu lawan satu dengan mereka. Lalu cabaran mereka segera disambut oleh tiga
orang pemuda Ansar iaitu Auf bin Harith, Mu’awwids bin al-Harits dan Abdullah
bin Rawahah.
“Kamu bukan lawan kami. Keluarkanlah tiga orang kaum kami dari Makkah,” teriak Uthbah bin Rabi’ah.
Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan Hamzah bin Abdul
Muttalib, Ali bin Abi Talib, dan Ubaidah bin Harith tampil ke hadapan. Dengan penuh
berani mereka maju ke tengah medan perang sambil memegang pedang masing-masing.
Sebaik mereka saling bertentangan, Hamzah meluru tanpa memberi peluang kepada
Syaibah. Dengan sekali ayunan, pedangnya itu mengenai tubuh musuh lalu
tersungkur ke tanah. Ali juga tidak memberi peluang kepada al-Walid, nasibnya
serupa Syaibah. Mereka berdua berjaya ditewaskan dengan mudah.
Ubaidah pula bergelut dengan Uthbah bin Rabi’ah yang handal.
Ketangkasan Ubaidah tidak dapat menandingi kehebatan Uthbah bin Rabi’ah yang
semakin sukar dipatahkan serangannya, apatah lagi apabila melihat anak dan saudaranya
tewas di hadapan mata. Disebabkan asakan yang bertubi-tubi itu, Ubaidah cedera
parah. Dia tidak terdaya mempertahankan dirinya lagi.
Melihat keadaan Ubaidah, Hamzah dan Ali segera membantunya
yang sedang diterkam oleh Uthbah bin Rabi’ah dengan pedangnya. Ali menyekat
kemaraan Uthbah bin Rabi’ah dari arah hadapan. Hamzah pula menyerangnya dari
arah belakang sehingga ayunan pedangnya
tepat terkena tubuh Uthbah bin Rabi’ah yang akhirnya jatuh tersungkur. Darah pekat mengalir membasahi
pasir. Hamzah dan Ali berpuas hati. Abu Jahal terus memerintahkan pasukannya terus
menyerbu apabila melihat ketiga-tiga panglimanya gugur.