Oleh : Admin Kouru Amei
Peranan ulama dalam membangkitkan perang jihad dan
melancarkan perang sabil ke atas penjajah kuffar di Tanah Melayu yang terhenti
selepas kekalahan Pattani pada 1876 kembali memuncak pada awal 1900. Tiga
pemberontakan yang dipimpin oleh ulama di Pahang, Singapura, Kelantan dan
Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan pengaruh Othmaniyah. Sama ada kerana
semangat jihad yang dibangkitkan oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atau kerana
Pan-Islamisme, yang penting ke semua kebangkitan ini berlaku atas nama jihad,
dipimpin oleh ulama dan bertujuan mempertahankan Islam Othmaniyah.
Beberapa ketika selepas tercetusnya pemberontakan
Dahagi di Singapura, telah tersebar berita bahawa British akan kalah dalam
peperangan menentang kerajaan Othmaniyah di wilayah-wilayah umat Islam di
seluruh dunia. Agen perisikan Jerman memainkan peranan untuk mempengaruhi
pemikiran rakyat Kelantan. Dalam masa yang sama, kepulangan seorang
ulama-hulubalang dari Mekah setelah hamper sepuluh tahun belajar di Mekah telah
mengubah kesedaran tersebut kepada tindakan yang lebih agresif untuk
mengalahkan British. British menguasai Kelantan melalui Penasihatnya semenjak
1903, dan diserahkan oleh Siam sepenuhnya pada 1909 melalui Perjanjian Bangkok.
Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke
Mekah adalah hulubalang dalam Istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan
Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan
berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan
tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan
daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hampir
serentak dengan kepulangan Tok Kenali selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti
mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik
Mahmud dan Dato’ Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan
Jeram.
Perubahan sistem pentadbiran jajahan pada 1904 dan
kehadiran wakil British, En. Latiff dari Singapura sebagai Ketua Jajahan
menjejaskan kedudukan Engku Besar Jeram sebagai pembesar tradisional. Sebelum
ke Mekah, Tok Janggut dikatakan mempunyai hubungan dengan pejuang Pahang yang
berlindung di Kelantan seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Ini
memberikan inspirasi kepada Tok Janggut tentang kesan campur tangan kuasa asing
di Kelantan, seperti mana jatuhnya Pattani di Siam pada 1786. Berkebetulan pada
Ogos 1914 telah berlaku ketegangan memuncak antara Britain, Perancis dan Russia
di satu pihak dengan Jerman, Austria dan kerajaan Othmaniyah di satu pihak yang
membawa kepada Perang Dunia Pertama.
Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya
menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. “Haji dan
lebai” juga mesti berdoa supaya mereka untuk Britain dan tindakan akan diambil
jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai
satu penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan
Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau
simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika
kerajaan Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan
dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khilafah yang pernah dibuat
oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan
Othmaniyah.
Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh
Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan
mempertahankan setiap inci bumi orang islam telah mempengaruhi penduduk
Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar
menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan
Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan
faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan
Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.
Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 23
April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun
strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh. Serentak dengan itu, En.
Latiff bagi pihak British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mat
untuk menangkap Tok Janggut, tetatpi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh.
En. Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok
Berangan untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff
berundur ke Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh
dengan mudah. Engku Jeram Besar diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut
menjadi Perdana Menteri.
Esoknya, British menerima laporan kejatuhan Pasir
Puteh ke tangan Tok Janggut dan mendapatkan bantuan tentera dari Singapura.
Beberapa pengikut Tok Janggut seperti Mat Pak Ya dan Mat Saman bersiap untuk
menyerang Kuala Krai. Sebagai langkah berjaga-jaga, Sultan Mohammed Ke-IV telah
menghantar Dato’ Menteri Mohd Hassan Salleh dan Dato’ Nik Mahmud ke Pasir Puteh
untuk berunding. Tok Janggut telah memberi tahu bahawa mereka bukan menentang
Sultan Kelantan, tetapi menolak penjajahan British. Walau bagaimanapun, atas
paksaan British, Sultan Kelantan mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka
dan memerintah supaya Tok Janggut di tangkap.
Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura
bertolak ke Kelantan dan tiba pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus
berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan
kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal di Tanah Merah dan Gunong,
dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh. Sultan Kelantan
pula dipaksa mengeluarkan arahan menyerah diri kepada Sultan atau British.
Sebaliknya, di Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama
pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke
atas British.
Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah
Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut.
Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar
British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat
Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut bersama Tok Abbas dan Tok Hussein
telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14
lagi pengikut Tok Janggut telah diburu oleh polis.
Pemberontakan Tok Janggut kerana sentiment jihad
ini seolah-olah tidak mendapat dukungan daripada murid-murid Sheikh Ahmad yang
berpengaruh di Kelantan seperti Tok Kenali, Dato’ Nik Mahmud dan Dato’
Laksamana. Sebenarnya, tekanan British ke atas Sultan Kelantan telah
menghilangkan peranan mereka. Lebih-lebih lagi Sultan Kelantan terpaksa
bertindak ke atas Engku Besar Jeram ekoran pergolakan dalam istana apabila
Tengku Bendahara dan Tengku Chik Penambang yang sedang menuntut takhta
menyokong Engku Besar Jeram. Keadaan ini memaksa Sultan Mohammed Ke-IV untuk
bertindak ke atas Tok Janggut, sekaligus menutup ruang untuk ulama menyokong
gerakan jihad ini.