SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 27 October 2015

Kijang dalam masyarakat Kelantan

Kijang 

Pendahuluan
Allah s.w.t menjadikan bumi ini dihuni oleh pelbagai makhluk yang dibahagikan oleh ahli biologi kepada dua komponen iaitu Flora dan Fauna. Flora mewakili segala jenis tumbuh-tumbuhan, manakala Fauna pula mewakili haiwan. Kedua-dua komponen ini amat rapat dengan kehidupan manusia, malah penggunaan haiwan dan tumbuhan dalam kehidupan menjadi indikator tahap kemajuan yang dicapai oleh sesebuah ketamadunan. Pentingnya haiwan dalam kehidupan manusia menyebabkan ianya dipuja, didewakan malah disembah ibarat Tuhan oleh segelintir manusia sehingga Allah s.w.t. murka dengan perbuatan manusia tersebut, dan ianya dinyatakan dengan jelas dalam Kitab Suci al-Quran. Jelas disini, haiwan adalah hidupan yang penting dalam kehidupan manusia malah ianya amat rapat dengan manusia itu sendiri.

Jata Negeri
Kebanyakkan lambang rasmi kerajaan-kerajaan dunia hari ini menggunakan imej haiwan sebagai lambang rasmi negara masing-masing. Haiwan yang kerap digunakan adalah Singa, Harimau, Gajah, Kuda, Ular, dan Helang. Malaysia contohnya, menggunakan imej Harimau Malaya sebagai lambang rasmi kerajaan. Ia melambangkan keberanian dan ketegasan dan kecekalan yang mencerminkan kedaulatan negara kita.

Negeri-negeri di Malaysia pula mempunyai perlambangan haiwan masing-masing dengan Pelanduk untuk Melaka, Gajah untuk Pahang, Kijang untuk Kelantan dan Kenyalang untuk Sarawak. Setiap haiwan ini mempunyai kisah tersendiri yang terkait dengan negeri-negeri yang diwakili, kisah Kijang dengan Kelantan mempunyai maksud yang tersendiri. 

Penggunaan imej Kijang sebagai lambang negeri rasmi negeri Kelantan mula diguna pakai sewaktu negeri ini dibawah pemerintahan KDYMM Sultan Ismail 1920-1944. Sewaktu pemerintahan baginda, Kelantan telah menjalani tranformasi yang drastik sebagai sebuah kerajaan konservatif kepada kerajaan moden dengan pengenalan struktur Beraja mengikut Empayar DiRaja British. Selain itu, pensejarahan Kelantan juga dilakukan pada masa pemerintahan baginda. 

Kijang digunakan sebagai lambang negeri Kelantan berikutan kekaguman almarhum Sultan Ismail terhadap ketokohan Che Siti Wan Kembang dalam mempertahankan negeri Kelantan pada masa silam. Kehebatan Che Siti juga meniti dibibir seluruh rakyat Kelantan dan diperturunkan secara turun temurun, malah hingga kini lagenda ini terus menjadi kekaguman buat sekalian rakyat Kelantan.

Kasturi
Che Siti Wan Kembang bukan sengaja menjadikan kijang sebagai haiwan kesayangannya, dan jika diperkirakan secara logik akal kucing adalah lebih dekat dengan manusia malah ia lebih jinak serta manja dan sifat ini tidak terdapat pada Kijang. Pengamal Rawatan Tradisional menyatakan bahawa Kijang ini mempunyai khasiat untuk kesihatan manusia, iaitu kasturi.

Kasturi merupakan wangian yang terbaik di dunia,kehebatan haruman kasturi telah diperkatakan sejak zaman berzaman, Kita biasa mendengar,apa sahaja yang berbau wangi akan dikatakan seharum kasturi,ia mudah ditemui pada bait-baik puisi,kisah-kisah romantis,lagu-lagu,epik-epik cinta dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW sendiri.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sebaik-baik harum-haruman (buat kamu) ialah misk/kasturi.” 
(Shahih riwayat Ahmad, Muslim, Abu Dawud, Nasa’i dari jalan Abu Said al Khudriy).

Terdapat beberapa riwayat yang jelas tentang perkaitan antara wangi-wangian itu dengan nikmat di syurga. Imam Ibnu Qayyim r.a.h pernah menulis:

"Sesungguhnya Allah swt telah memperlihatkan kepada para hambaNya di dunia ini akan beberapa kesan yang berupa ciri-ciri syurga, Sebagai contohnya bau-bauan yang wangi dan sedap, kedinginan, pemandangan yang indah, buah-buahan yang baik-baik, segala nikmat kesukaan dan kesenangan."

ABU Hurairah berkata:
"Ya Rasulullah SAW,daripada apakah dibuat syurga itu?
 Jawab Baginda:
"Daripada air." 
 Kami bertanya:
"Beritakan mengenai bangunan syurga!"
 Jawab Rasulullah bermaksud:
"satu bata daripada emas dan satu bata lagi daripada perak dan lantainya kasturi yang semerbak harum, tanahnya dari zafaran, kerikilnya mutiara dan vakut.
(Hadis riwayat Al-Bazzar).

Dalam sebuah hadis lain diceritakan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Tanah syurga itu licin putih, kasturi murni." (Hadis riwayat Muslim).

Harumnya bau syurga ini dapat dicium dari jarak perjalanan 100 tahun.

Bagaimanakah haruman kasturi ini sampai ke dunia?

Mengikut rujukan pengarang Kitab Iq Al-Alqaa dan juga Kitab Jaami Karaamat Al-Aliyaa, sesungguhnya ketika Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi,baginda telah diziarahi oleh seekor kijang betina, lalu Nabi Adam A.S telah menghadiahkan kijang tersebut secebis daun dari syurga, dengan izin Allah SWT menjadikan kijang itu berbau harum seharum kasturi.

Pada hari ini,keturunan/nasab kijang tersebut telah menghasilkan wangian kasturi yang tumbuh di bahagian bawah perut kijang jantan dipanggil bintil kasturi (musk deer gland/pods). Manusia memproses kasturi tersebut untuk dijadikan minyak wangi dan ubat-ubatan. Kasturi daripada Kijang merupakan hasil daripada haiwan yang paling mahal di dunia.

Ini adalah sebab kenapa KIJANG menjadi haiwan belaan Che Siti Wan Kembang, hal baik elok untuk kita amalkan.

WALLAHUALAM

Saturday, 24 October 2015

Keris Majapahit, Keris Kebesaran Sultan Iskandar

Contoh Keris Majapahit

Pendahuluan
Rata-rata pengamat sejarah Kelantan menyatakan pendapat mereka bahawa hubungan Kelantan-Majapahit adalah sebagai satu "sejarah yang dipadam". Nagarakartagama, sebuah catatan ulung bagi empayar Majapahit ada menyebut bahawa negeri Kelantan juga termasuk dalam wilayah talasokrasi mereka. Satu hal yang dinafikan dengan keras tentang maklumat dari Riwayat Tradisi Kelantan bahawa Kelantan suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat bagi empayar Majapahit yang dikenali sebagai Majapahit II. Fungsi pusat kedua ini adalah untuk menangkis serangan daripada Champa dan Siam dan juga sebagai pusat bagi kerajaan Majapahit untuk mengawal segala aktiviti di Semenanjung sewaktu zaman kekuasaan mereka. Usah beleber panjang, artikel kali ini adalah untuk merungkai bagaimana sepucuk keris yang menjadi pakai kebesaran bagi Sultan Iskandar dinamakan sebagai Keris Majapahit. 

Keris
Kamus Dewan mendefinisi keris sebagai senjata bermata dua yang tajam sama ada lurus atau berkelok-kelok Bambang Harsrinuksmo dalam Ensiklopedia Keris menyatakan sesuatu senjata layak menjadi keris apabila:
  1. Matanya terbahagi kepada dua iaitu bilah dan ganja. Bilah adalah fizikal keris itu sendiri, manakala ganja adalah bahagian seperti cicak yang boleh diasingkan daripada bilah keris. Fungsinya adalah untuk menahan dan mengunci tikaman lawan. 
  2. Panjang bilah adalah antara 33cm - 38cm, namun terdapat keris menjangkau panjang sehingga 64cm.
  3. Bilahnya ditempa daripada dua jenis logam bagi membentuk corak unik pada mata keris yang disebut sebagai Pamor. 
Bagi masyarakat Kelantan yang masih memahami dan mengenal akan perkataan كريس, maka berikut adalah penghuraiannya:

Kaf - Keramat
Ia adalah pengiktirafan yang melambang status pemakai keris. Bagi pemakai keris pula, ia bukanlah semata-mata satu senjata biasa, jika tidak keris tidak akan diukir dengan indah baik pada bilah dan ganja serta sarung dan hulunya. Sekiranya untuk keselamatan diri adalah lebih baik dilengkapi dengan pedang atau parang yang lebih panjang.

Ra - Rahsia
Setiap ukiran pada keseluruhan fizikal keris, tersimpan dan terselit rahsia tertentu dan hanya difahami oleh pemilik serta penempanya sahaja. Ukiran pada keris tidak mempunyai persamaan antara dengan keris lain. Sekiranya ada duplikasi, maka ia bukan keris asli yang sesuai dijadikan perhiasan semata.

Ya dan Sin - Yang Satu
Ini adalah perlambangan fizikal keris kepada keteguhan kepada ajaran Islam yang metauhidkan Allah s.w.t. Antara peringatan kepada Allah yang diterakan pada keris adalah pada bilangan lok yang sentiasa dalam jumlah ganjil misalnya lok 5 dan 7 yang nyata jelas mengingatkan pemakainya kepada solat 5 waktu dan 7 itu adalah peringatan kepada waktu solat yang 5 dan bilangan tawaf yang tujuh.

Merupakan pemerintah yang memerintah Kelantan selepas Sultan Sadik Muhammad Shah. Baginda Sultan Iskandar mengasaskan Empayar Majapahit II yang berpusat di Kota Mahligai. Nama sebenar baginda ialah Kemas Jiwa. Baginda pernah berkahwin dengan Ratu Suhita, pemerintah Majapahit (1427-1447) dan baginda dianugerahkan seorang puteri. Di Majapahit I, baginda diberi gelaran Bhre Parameshwara Sang Aji Jaya Ningrat. Baginda terpaksa bercerai dengan Ratu Suhita kerana dilantik sebagai Sultan Kelantan pada tahun 1429. Baginda menamakan kerajaan baru yang didirikan sempena nama kerajaan isterinya yang berpusat di Jawa Timur itu. Keris kebesaran kerajaannya juga dinamakan Keris Majapahit.

Pemerintahan baginda Sultan Iskandar di Kelantan telah berakhir pada tahun 1465 Masihi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang Siam (Thai), dikatakan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan dan dibawa ke negeri Siam, menyebabkan baginda melarikan diri ke Champa, Vietnam. Baginda telah mangkat pada tahun 1467 dan dimakamkan di Vijaya

Asal Usul Nama Kelantan... Koli? Kolamtanah?

Negeri Kelantan Darul Naim

Semua negeri di Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing, baik dari segi sejarah, pemerintah dan rakyatnya. Menyingkap sesuatu hal berkenaan sebuah negeri bukanlah kita mahu menyemarakkan sikap kenegerian, sebaliknya apa yang kami kupaskan dalam setiap penulisan kami adalah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dikalangan anak negeri dan juga berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dari negeri-negeri lain termasuklah mereka yang dapat memahami Bahasa Melayu seluruh dunia agar mereka semua menyayangi Negeri Kelantan yang bermakna ini.

Sejarah telah menyatakan bahawa negeri ini telah lama wujud dan dikenali dengan berbagai nama. Catatan sejarah juga mempunyai evolusi tersendiri, di mana ia tercatat dalam Hikayat yang dikarang dan dijilid, ada dibukukan, dan ada juga tersimpan dalam petitih tradisi seperti dalam dialog-dialog Wayang Kulit yang kemudiannya diistilahkan sebagai sebagai Riwayat Tradisi Kelantan. Ada juga maklumat berkenaan negeri ini disampaikan secara lisan selama berkurun lamanya.

Memenuhi disiplin kajian sejarah peringkat perdana, maka lahirlah kelompok akademia sejarah yang meyelidik latar belakang Kelantan, satu yang mengujakan ada antara mereka menyatakan bahawa nama KALANTAN telah dicatatakan oleh Ptolemy (90M-169M)  dalam peta dunia yang dilakar beliau. Sekurang-kurangnya Ptolomey menghasilkan peta tersebut dalam tahun 120 Masihi. Peta tersebut pula disalin daripada pengembara terdahulu dan dipercayai lebih senior dari beliau. Boleh disimpulkan bahawa Kelantan ini telah wujud pada 100SM lagi.

Catatan Ptolemy ini seterusnya membuktikan pula riwayat tradisi yang diwarisi dikalangan orang-orang Kelantan berkenaan asal muasal nama negeri ini. Seterusnya, pengkaji tempatan seperti Datuk Zakiah Hanum dalam bukunya bertajuk "Asal Usul Nama Negeri-Negeri di Malaysia" menyatakan bahawa nama Kelantan ini diperkenalkan oleh orang India Utara, berkenaan Bandar Koli, yang merupakan tempat kelahiran Gautama Budha. 

Agama Hindu dan Budha merupakan kepercayaan bagi kebanyakkan umat manusia sekitar Kepulauan Melayu dan terdapat banyak bukti-bukti tinggalan kepercayaan ini sekitar kepulauan ini antara lainnya adalah Candi Borobudur di Indonesia, Angkor Wat di Kemboja dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Justeru tidaklah menjadi suatu yang aneh jika nama bandar koli tersebut diambil dan dipakaikan pada negeri kebanyakkan orang itu. 

Dalam konteks orang-orang Kelantan Sebelum Masihi, nama koli itu tadi telah digabungkan dengan perkataan Thana yang bermaksud "Tanah", secara harafiahnya ia berbunyi Koli Thana yang membawa maksud Tanah Koli. Pelat sebutan kepada KoliThana telah menyebabkan ianya disebut sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi KELANTAN. Bagaimanapun terdapat riwayat tradisi menyatakan nama Kelantan itu bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.

Selain itu, pengembara dari Eropah sepeti De'eredia mencatat nama negeri ini dengan nama Calantan Rio, sementara peta lainnya menyebut negeri ini dengan nama Calantan, Calantam dan Calantao. Ensiklopedia Ma Tuan-Lin pula menyebut negeri kita dengan nama Ko-lo, pengembara China lainnya pula merujuk negeri Kelantan dengan nama Ho-lan-tan atau Kou-lo-tan. 

Catatan-catatan ini membuktikan Kelantan suatu masa dahulu dikunjungi oleh pengembara dan pedagang dari seluruh dunia, selain itu ianya membuktikan bahawa orang-orang Kelantan semenjak 100SM telah wujud dengan ketamaduanan dan kemajuan intrinsik yang tersendiri.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...