SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 31 October 2014

[Siri 26] Pengisahan Sejarah Kelantan : Waris Raja Sakti Pemerintah Kelantan&Patani

Pendahuluan
Sumber sejarah Kelantan semasa dan selepas Raja Sakti sungguh mengelirukan. Kesukaran untuk merungkainya seakan menemui jalan buntu. Cross Reference (Rujuk Silang) satu teknik dalam memahami fakta-fakta sejarah telah kami lakukan. Kita telah maklum semenjak 1520 lagi Kelantan telah bersekutu dengan Patani dan membentuk Patani Besar. Ia adalah satu pemerintahan berbentuk persekutuan dan dinyatakan terdapat 43 negeri telah bersekutu di bawah Patani Besar. Justeru, latar belakang sejarah Kelantan juga bergantung sepenuhnya kepada perkembangan negeri Patani. Pasang surut dan turun naiknya pemerintahan Patani mempengaruhi secara langsung sejarah negeri Kelantan. Kekeliruan sejarah Kelantan boleh dikaitkan dengan geo-politik Patani itu sendiri. Kerana itu, penulisan ini akan menyoroti pemerintahan Patani secara ringkas untuk kita merungkai sejarah Kelantan.

PataniSejarah awal Patani tidak dapat kita jelaskan dengan lanjut kerana sumber asasnya hilang jejaknya ekoran negeri ini telah dijajah oleh Siam. Nama negeri ini kerap timbul dalam hikayat-hikayat lama dan ia menyakinkan ramai pengkaji bahawa negeri ini wujud megah suatu masa dahulu. Sejarah awalnya menyatakan ia adalah pecahan daripada sebuah negara silam Langkasuka yang dikaitkan dengan Kedah serta lagenda Merong Mahawangsa.

Sayyid Nurul Alam telah memimpin angkatan perang dengan bantuan Melaka dan Acheh pada 1470 menghalau kedudukan Ayuthia di Semenanjung dalam usaha membebaskan Chermin yang diceroboh pada 1467. Kejayaan  Sayyid Nurul Alam telah menyakinkan Sultan Melaka pada masa tersebut untuk menyokong perlantikan beliau sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul bagaimanapun pada tahun yang sama juga (1470)  beliau dicatat telah mangkat.

Sumber : Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Ibrahim Syukri
(Petik pautan ini untuk bacaan penuh)
Ibrahim Syukri dalam buku Sejarah Kerajaan Melayu Patani menyatakan bahawa Kerajaan Patani didirikan oleh Raja Seri Wangsa yang pada masa tersebut belum lagi memeluk Islam. Dalam penulisan tersebut, dinyatakan Patani wujud sezaman dengan penubuhan Kerajaan Singapura dan Melaka. Setelah kemangkatan Raja Seri Wangsa, puteranya Raja Anthira yang kemudiannya telah memeluk Islam dengan disaksikan oleh seorang ulama dari Pasai yang bernama Syeikh Safiyy al-Din yang kemudiannya dilantik sebagai Guru Agama dan diberi gelar kebesaran iaitu Datuk Sri Raja Fiqih. Raja Anthira telah ditabalkan semula mengikut tatacara Islam setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.

Pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Patani telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Melaka dalam usaha kedua-dua kerajaan sama-sama membangun, namun ditakdirkan Melaka telah runtuh pada 1511 dan dikuasai oleh Portugis. Patani telah menjalin hubungan yang baik dengan Portugis kerana pada masa itu disebut Patani tidak mempunyai kelengkapan senjata api seperti mana Portugis.

Hal ini telah membuatkan Patani muncul sebagai negeri di semenanjung menggantikan fungsi Melaka. Patani pada masa tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan Pasai yang juga berada pada kemuncak kegemilangannya. Kejatuhan Melaka telah menyebabkan negeri naungannya berpecah dan mula mencari tempat berpaut yang lain. Justeru, pada 1520 Kelantan yang dirajai oleh Sultan Mansur Syah telah bersekutu dengan Patani untuk membentuk Patani Besar dalam mempertahankan kedaulatannya. Sejajar dengan itu, Sultan Muhammad Syah telah melantik Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar sebagai wakil beliau dengan pangkat Datu Kelantan yang pertama dan memerintah bersama-sama dengan Sultan Kelantan. Nik Jamaluddin menjalankan tugas sebagai Datu Kelantan secara rasmi pada 1521 ketika Sultan Gombak ditabal sebagai Sultan Kelantan ekoran kemangkatan ayahandanya Sultan Mansur Syah pada tahun tersebut.

Raja Muzaffar telah  dipercayai telah ditabal sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah pada 1540 menggantikan bapanya yang telah mangkat, beliau telah melantik adindanya Raja Mansur sebagai Raja Muda dan waris daripada Datuk Sri Raja Fiqih sebagai para pembesarnya. Patani pada waktu itu berada dalam keadaan yang makmur dikunjungi oleh pedagang dari Barat (Portugis) dan Timur (China dan Jepun). Sebagai usaha memartabatkan lagi Patani, Raja Muzaffar telah berangkat untuk melawat negara jiran yang sedia maklum sebagai sebuah negara yang kuat iaitu Siam-Thai. Dukacitanya, delegasi Patani itu dipandang enteng kerana Raja Siam menanggap martabat Patani tidak sama taraf dengan mereka. Perkara ini telah memberi kesan mendalam kepada Raja Muzaffar terhadap keangkuhan Raja Siam itu.

Pada 1563, Ayuthia telah diserang oleh Burma dan perkara ini telah diketahui oleh Sultan Muzaffar, beliau telah mengambil peluang ini untuk membalas akan kesombongan Raja Siam itu. Patani telah menyediakan 200 kapal perang seribu orang tentera dan seratus orang perempuan sebagai persiapan untuk melancarkan serangan. Pemerintahan Patani telah ditinggalkan kepada seorang pembesar yang dipercayai, manakala hampir kesemua pembesar dan Raja Mudanya iaitu Raja Mansur juga berangkat untuk menyerang Ayuthia. Pada masa yang sama permaisuri Sultan sedang sarat mengandung.

Takdir Allah s.w.t. Sultan Muzaffar telah mangkat dalam serangan tersebut, sewaktu itu permaisuri almarhum Sultan belum lagi melahirkan kandungannya itu. Para pembesar Patani telah sepakat untuk menabalkan Raja Muda Patani, Raja Mansur sebagai Sultan Mansur Syah. Almarhum Sultan Muzaffar syah mempunyai seorang putera yang dikenali seabgai Raja Bambang namun beliau tidak layak untuk ditabalkan sebagia Sultan kerana beliau adalah putera Sultan dengan seorang Gundik. Selang beberapa lama, permaisuri almarhum telah selamat melahirkan seorang putera yang di beri nama Raja Patik Siam. Sembilan tahun memerintah Patani, akhirnya Sultan Mansur telah mangkat dan meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Bahadur dan Raja Bima (anak hasil dari seorang gundik). Almarhum Sultan Mansur telah berwasiat sekiranya beliau mangkat, anak saudaranya Raja Patik Siam haruslah ditabalkan sebagai Sultan.

Para kerabat diRaja dan pembesar telah menyempurnakan wasiat tersebut dan menabalkan Raja Patik Siam sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Patik Siam yang ketika itu baru berusia sembilan tahun. Perkara ini telah menimbulkan perasaan cemburu yang melampau kepada Raja Bambang hingga beliau telah bertindak membunuh Sultan Patik Siam ketika baginda berseorangan. Raja Bambang juga akhirnya telah meninggal ditikam oleh hulubalang istana.

Ekoran daripada peristiwa malang ini, para pembesar dan kerabat diRaja telah mengambil kata putus untuk menabalkan Raja Bahadur, putera almarhum Sultan Mansur sebagai Raja Patani dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Bahadur Syah. Setelah sekian lama memerintah berlaku perselisihan antaran Sultan Bahadur dengan kekandanya Raja Bima, perselisihan ini menjadi melarat-larat sehingga Raja Bima telah belot kepada Sultan Bahadur. Akhirnya, Raja Bima telah bertindak menikam dari belakang Sultan Bahadur semasa baginda bersemayam di Istananya. Tikaman itu telah membunuh Sultan Bahadur, Raja Bima juga turut mati ditikam oleh hulubalang istana.

Perisitwa ini mengulangi apa yang berlaku terhadap Sultan Patik Siam yang mangkat ditikam. Sultan Bahadur Syah hanya mempunyai tiga orang puteri iaitu Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Ungu. Buat sekian kalinya pembesar dan kerabat diRaja Patani Besar telah bersidang dan mereka bersetuju menabalkan Raja Hijau merajai Patani menggantikan Sultan Bahadur Syah yang mangkat secara tiba-tiba itu. Pada 2013 kami telah menerbitkan artikel berkenaan raja-raja perempuan Patani yang dikenali sebagai Ratu Pelangi.

Raja Hijau dicatat mula memerintah pada 1584-1616 jika kita perhatikan pada 1616 ia sama tarikh dengan kemangkatan Sultan Samiruddin bin Nik Jamaluddin yang memerintah Kelantan yang kemudiannya digantikan oleh anaknya Raja Abdul Kadir. Dapat kita simpulkan bahawa pemerintahan di Kelantan yang dahulunya sebagai wakil Raja Patani kini sudah bertukar menjadi satu Kesultanan yang berdaulat dan mereka tidak lagi terikat dengan Patani walaupun Kelantan masih kekal dalam Persekutuan Patani Besar. Saat ini juga Siam telah melancarkan siri serangan ke atas Patani namun mereka tidak berjaya kerana pertahanan Patani sangat ampuh kerana mereka memiliki tiga meriam keramat iaitu Sri Maharaja, Sri Patani dan Sri Negara. Meriam ini disebut sebagai senjata yang paling maju di Asia Tenggara pada masa tersebut. Pemerintahan Raja Hijau telah digantikan oleh adiknya Raja Biru dan kemudian diteruskan oleh Ratu Ungu.

Setiap penggiliran kuasa antara tiga orang Raja Perempuan ini, Patani menjadi makin lemah. Pada 1635, Raja Kuning telah ditabalkan menjadi Raja Patani menggantikan bondanya yang telah mangkat Raja Ungu. Saat ini, Patani berada dalam keadaan yang paling lemah. Tentera Siam telah berjaya merempuh masuk hingga ke Kota Cabang Tiga. Saat inilah Raja Sakti telah menghulurkan bantuan dan angkatan perang Melayu yang diketuai beliau telah berjaya menghalau askar-askar Siam jauh ke dalam Kota Ayuthia. Kejayaan beliau dalam menghalau Siam itu telah memberi kepercayaan kepada pembesar dan kerabat DiRaja Patani untuk menabalkannya sebagai Raja Patani pada 1632. Kedudukan Raja Sakti di Kota Jembal pula telah digantikan oleh puteranya, Raja Loyor. 1649, Raja Sakti telah mangkat dan takhtanya digantikan oleh Raja Loyor mengikut heirarki. Kisah selanjutnya mengenai Raja Loyor boleh anda ikuti pada pautan ini.

Waris Raja Sakti
Terdapat kecelaruan maklumat mengenai waris Raja Sakti ini. Ada pertindihan maklumat dan sumber rujukan juga tidak konsisten menyebabkan kekeliruan yang sukar untuk dirungkai. Kami telah mendapatkan pendapat ketiga dan merumuskan bahawa terdapat usaha-usaha dari pihak tertentu yang tidak dapat dipastikan telah mencampur adukan maklumat berkenaan Raja Sakti, bagaimanapun pengisahan ini harus diteruskan. Justeru, kami telah mengambil keputusan untuk mengikuti salasilah sepertimana yang telah diterbitkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tulisan Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (NAKULA).

Salasilah tersebut menyatakan bahawa dua orang waris Raja Sakti (beliau dinyatakan mempunyai 7 orang zuriat) yang memainkan peranan dalam Sejarah Negeri Kelantan iaitu:

  • Raja Bahar
  • Raja Omar 

Raja Bahar
Susur galur beliau lebih kepada jurai keturunan Kesultanan Patani kerana beliau telah berkahwin dengan Raja Mas Kelantan. Maklumat mengenai Raja Bahar juga mengelirukan seolah-olah ianya tersimpul mati. Sungguh pun begitu, pasangan ini merupakan pemerintah Patani pada penghujung kurun ke-17. Kami pernah mengulas mengenai perkara ini tidak lama dahulu seperti di pautan ini.

Raja Omar
Tiada sumber sahih yang dapat memutuskan siapa beliau yang sebenar, sesetengah sumber menyatakan beliau merupakan anak ketiga kepada Raja Sakti. Pada awalnya beliau ditabal sebagai Raja Jembal, dan cuba menduduki takhta Patani namun percubaan beliau gagal. Beliau mempunyai 4 orang zuriat iaitu:

  • Raja Kechil Sulong / Raja Kota Teras
  • Raja Ngah [Raja Hudang] / Tebing Tinggi Pusaran Buah
  • Raja Sakti / Ditabal Sultan Kelantan menggantikan Raja Omar
  • Raja Nah
Raja Sakti
Beliau merupakan keturunan terakhir daripada jurai Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar yang memerintah Kelantan. Seperti Raja-Raja di atas, kisah beliau juga penuh kesamaran dan sukar untuk disahkan. Pada pengisahan ini kami hanya sampaikan tentang maklumat yang sedia ada dan boleh dicapai semua orang. Raja Sakti ini dinyatakan hanya mempuyai seorang puteri yang bernama Raja Pah. 

Pemerintahan Kelantan seterusnya disambung oleh waris dari jurai keturunan Nik Mustafa yang mempunyai pertalian darah dan keturunan yang sama iaitu dari Sayyid Ali Nurul Alam / Sultan Qunbul . Hal ini berlaku apabila Raja Pah telah berkahwin dengan Long Bahar dan seterusnya telah menitihkan keturunan Kesultanan Kelantan yang ada pada masa sekarang.

Justeru untuk memahami perpindahan kuasa pemerintahan Kelantan kepada jurai keturunan Nik Mustafa, Raja Champa, kami akan berundur semula kepada pengisahan tentang kegemilangan Champa dan menghuraikan dengan lebih jelas susur galur beliau. 



Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Thursday, 30 October 2014

[Siri 25] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sakti / Long Betong [Kelantan Utara 1632-1649] [Patani Besar 1649-1662]

Pendahuluan
Keunikan nama beliau amat menggamit kebanyakkan rakyat Kelantan. Keunggulan namanya membuatkan ramai ingin tahu mengenai beliau. Pendokong utama dalam hal ini adalah Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK), dalam blog rasmi mereka ada dinyatakan kisah Raja Sakti. Dalam menyelidik susur galur keturunan Raja-Raja Kelantan sememangnya kita perlu merujuk kepada hasil selidikan daripada penyelidik bebas untuk kita melihat sesuatu salasilah dengan lebih luas tanpa memihak.

Dalam penulisan ini, kami merujuk kepada:
  1. Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah, (Buku)
  2. Royal Ark.net,
  3. pkrjk.org.my (blog rasmi PKRJK)
  4. Blog Tengku Azhar (https://sites.google.com/site/tengkuazhar/raja-jembal)
  5. Blog Bingkisan Anak Bani Jawi (http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/salasilah-raja-jembal-kelantan.html)

Penulisan ini juga bukan untuk mengeluarkan versi salasilah Kelantan yang baru, ia hanya membentangkan maklumat dari rujukan yang sedia ada seperti yang dinyatakan. Kami juga mohon para pembaca sekalian membuat penelitian yang lebih lanjut sekiranya berpendapat apa yang kami sampaikan ini tidak benar dan tidak tepat. 

Siapa Raja Sakti 
Berikut kami kongsikan salasilah Raja Sakti ini dari sumber rujukan yang kita boleh search di Internet.

Sumber Salasilah Raja Sakti dari Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan

Salasilah yang disalin semula dari buku Keturunan Raja-RajaKelantan dan Peristiwa-Peristiwa Bersejarah 
(Paparan lebih Jelas disini)

Salasilah Kerabat DiRaja Jembal dari selidikan Tengku Azhar
(Paparan lebih jelas disini)

Salasilah Kerabat Raja Jembal dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi

Salasilah Raja Sakti yang kami kumpulkan ini telah menjadi rujukan buat sekian lama kepada pengamat sejarah Kelantan memandangkan jarang buku yang diterbitkan berkenaan perkara ini. Kami hanya menemui jurai keturunan Raja-Raja seperti mana dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting dan terdapat satu salasilah bertulisan jawi dari blog sejarah Kelantan-Patani iaitu Tabut Jawi seperti berikut:

Salasilah dari Catera Kelantan Tulisan Datuk Perdana Menteri Kelantan Nik Mahmud bin Nik Ismail untuk
pembelajaran sekolah di Kelantan pada 1933-1934
Dari apa yang dipaparkan ini, jelas ia begitu memeningkan berikutan setiap salasilah yang dikeluarkan mempunyai perbezaan dan jelas ia begitu bercelaru. Perkara ini menjadi semakin sukar untuk mengesahkan mana satu yang benar. Penulis juga menghadapi masalah yang sama berikutan bukan semua sumber rujukan dapat kita telaah dari sumber asli, yang kami perolehi semuanya daripada sumber Internet.

Maklumat dari PKRJK
Kerajaan Jembal disebut diasaskan oleh Raja Besar yang berketurunan daripada Raja Bersiong seorang Raja yang memerintah Kedah pada abad ke-14. Raja Besar dan pengikutnya mengembara mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Baginda telah mendirikan kota di tepi Sungai Babong, Pulau Melaka. Sekitar kota itu terdapat sepohon pokok Jambu Jembal yang besar, justeru beliau telah menamakan kota tersebut sebagai Kota Jembal.

Pada 1638, Raja Besar telah menabalkan Raja Sakti sebagai penggantinya. Dinyatakan terdapat 7 orang zuriat Raja Sakti ini iaitu:
  • Raja Adiluddin (Raja Loyar)
  • Raja Bahar (Raja Udang)
  • Raja Omar (Raja Ekok)
  • Raja Sungai
  • Puteri Sayu Bari
  • Puteri Unang Melor
  • Puteri Cempaka Bongsu
Pada 1649, Raja Loyar telah ditabalkan sebagai Raja memerintah Kelantan, adik beradiknya yang lain dilantik sebagai pembesar antaranya:
  • Raja Bahar sebagai Bendahara
  • Raja Omar sebagai Raja Muda
  • Raja Sungai sebagai Temenggong
Raja Loyar sangat dikasihi oleh rakyatnya, baginda dikatakan memiliki sifat kesaktian dengan berdarah putih, tulang tunggal, bulu roma songsang, lelangit Hitam, lidah fasih dan air liur masin. 

**Catatan seterusnya berkisar tentang Raja Loyor dan akan kami kupas dalam pengisahan yang seterusnya.

Maklumat dari Blog Bingkisan Anak Bani Jawi
Artikel berkenaan Raja Sakti dikupas dengan mendalam oleh admin blog Bingkisan Anak Bani Jawi dan anda boleh ikuti kupasan berkenaan perkara ini pada pautan ini. Dalam penulisan ini boleh kita ambil pati perbincangan dalam artikel blog tersebut bahawa admin berkenaan menyatakan bahawa terdapat dua(2) Raja Sakti iaitu:
  • Raja Sakti I : Nik Jamaluddin, Datu Kelantan yang pertama.
  • Raja Sakti II : Raja Vijaya Indra / Long Betong
Artikel tersebut menyatakan bapa Long Betong iaitu Sultan Abdul Kadir 161-1632 mempunyai dua orang isteri. Perkahwinan kedua ini dilangsungkan berikutan perkahwinan pertama tidak dikurniakan zuriat. Bagaimanapun, selepas perkahwinan kedua itu, isteri yang pertama telah mengandung seterusnya melahirkan seorang putera. Perkara ini telah menerbitkan perasaan iri hati isteri muda, dan telah bertindak mengambil anak tersebut secara diam-diam dan diletakkan di perdu pohon buluh betong di sebuah hutan.  Berdukacitalah Sultan Abdul Kadir dan Permaisurinya itu, dengan takdir Allah s.w.t. baginda Sultan telah bermimpi bahawa puteranya masih hidup dan selamat. Dalam mimpi tersebut baginda mendapat petanda berkenaan puteranya itu, berkulit cerah, mempunyai bulu roma songsang dan lelangit mulutnya berwarna hitam.

Bagaimanapun, blog ini banyak menghuraikan kisah Raja Sakti dengan begitu terperinci dan ia telah menjadi rujukan ramai pengamat sejarah negeri Kelantan. Kami juga merujuk kepada blog ini kerana artikel-artikel yang diterbitkan begitu menyakinkan. Walaupun susur galur Raja Sakti tidak dapat dipastikan dengan kemas, sumbangannya dalam pemerintahan Kelantan dan Patani yang perlu kita pandang serius.

Sumbangan Raja Sakti
Pada tahun 1649, Siam telah menyerbu ke dalam Kota Cabang Tiga yang menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Patani yang pada waktu itu diRajai oleh Ratu Kuning. Angkatan perang Patani pada masa itu berada dalam keadaan goyah. Raja Sakti bersama angkatan perang telah naik membantu Patani yang juga penaung kepada kerajaan Jembal di Kelantan. Pimpinan Raja Sakti telah menguatkan kembali gabungan angkatan tentera dari Kelantan dan Patani dan mereka telah berjaya menghalau askar Ayuthia hingga ke dalam kota mereka.

Kejayaan Raja Sakti ini telah membolehkan beliau ditabalkan sebagai Raja Patani menggantikan Ratu Kuning pada 1650. Sumber menyatakan bahawa pertabalan Raja Sakti adalah tepat pada masanya kerana beliau berketurunan Sultan Qunbul yang disebut sebagai pendiri Kesultanan Patani. Setelah beliau ditabal sebagai Raja Patani, kerajaan Jembal pula telah dipangku oleh anakandanya yang bernama Raja Loyor. 

Pertabalan Raja Sakti ini telah melahirkan pemerintahan Dinasti Kelantan dalam Kesultanan Kelantan buat pertama kalinya. Pada masa tersebut terdapat 43 buah negeri yang bersekutu dalam Patani yang dikenali sebagai Patani Besar itu. Selain itu terdapat juga beberapa buah negeri yang dirajai oleh waris pemerintah Kesultan Champa yang menyelamatkan diri daripada ancaman Dai Viet yang telah menguasai negeri mereka. Raja Sakti telah memerintah Patani dan seluruh Kelantan selama 12 tahun (1650-1662) dan negeri ini berada dalam keadaan aman damai buat seketika. Setelah beliau mangkat, Raja Loyor telah ditabal menggantikan bapanya sebagai Raja Besar Patani, namun pemerintahan beliau tidak lama.

Royal Ark.net menyatakan Raja Sakti telah berkahwin dengan anak angkat Raja Bersiong iaitu Tuan Puteri Mani Kemenyan dari Kedah, mereka telah dikurniakan tiga orang anak iaitu:

  • Tuan Besar
  • Raja Loyor / Raja Jembal
  • Raja Umar / Sultan Kelantan


Kesimpulan
Pada 3/12/ 2013 kami pernah menerbitkan artikel berkenaan Raja Sakti itulah sebenarnya asas kami mula menyelidik Sejarah Raja-Raja Kelantan. Hingga kini pun, data dan maklumat yang tepat tentang Raja Sakti tidak dapat kami putuskan. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal sendiri masih dalam pengkajian berkenaan susur galur sejarah mereka. Apa yang kami nukilkan disini adalah berdasarkan kepada maklumat yang sedia ada. Kami tidak boleh capai perkara yang diluar pengetahuan, jika itu dilakukan ianya menggambarkan seolah-olah kisah ini direka-reka atau telah ditokok tambah. Kisah Raja Sakti dan Raja Loyor perlu kita perhalusi untuk kita terus mengambil isi penting. Penulisan ini tidak  boleh memihak berikutan ia juga berkait dengan sejarah Kesultanan negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Melaka dan Johor serta beberapa Kesultanan di Sumatera dan Jawa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  1. Blog Tengku Azhar
  2. Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
  3. Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan
  4. Royal Ark.net
  5. Bingkisan Anak Bani Jawi
  6. http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-3-raja-sakti.html
  7. http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/06/sirah-patani-langkasuka-1649-1785.html

Wednesday, 29 October 2014

[Siri 24] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Abdul Kadir 1616-1637

Pendahuluan
Beliau adalah putera kepada Sultan Samiruddin yang memerintah Kelantan dari tahun 1605 hingga 1616. Seperti yang telah dijelaskan dalam [Siri 23] sebelum ditabalkan menjadi Sultan, nama asal beliau adalah Raja Ekok kerana kemangkatan kekandanya yang tidak berputera, beliau adalah perwaris yang paling dekat untuk ditabalkan sebagai Sultan. Setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Samiruddin. Disebut juga, beliau mempunyai tiga orang putera iaitu,
  • Raja Abdul Kadir
  • Raja Abdullah
  • Raja Abdul Rahim.
Naik Takhta
Pada 1616, Sultan Samiruddin telah mangkat dan Raja Abdul Kadir telah ditabalkan sebagai pemerintah Kelantan di Jembal. Beliau dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Abdul Kadir.  Sejarah Kelantan menyatakan beliau memerintah Kelantan daripada 1616 hingga 1632 terdapat satu lagi sumber menyatakan beliau memerintah sehingga 1637.

Keadaan politik sekitar pada waktu itu juga berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Siam sering menyerang kedudukan Patani yang diterajui oleh Ratu Pelangi. Keadaan ini mempengaruhi negeri-negeri yang bersekutu dalam Patani Besar.

Gagasan Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga juga menghadapai masalah pentadbiran baik dari segi dalaman atau luaran. Tragedi Sultan Mahmud Mangkat diJulang juga telah membuka episod baru dalam pemerintahan gagasan kerajaan persekutuan tersebut, di tambah ancaman daripada Belanda-Portugis-Sepanyol.

Kesultanan Champa juga sering kali diancam oleh Dai-Viet, lama kelamaan ia menjadi makin lemah, Kesultan Islam di Sumatera dan Jawa juga menghadapi masalah yang hampir sama. Keadaan ini telah memberi lebih ruang kepada imprealis dari barat meresapi pentadabiran alam Melayu.

Ringkasnya, semasa Sultan Abdul Kadir memerintah, kelibat orang-orang asing yang datang dengan maksud untuk menakluk makin kerap singgah di Kelantan. Kedatangan pendakwah dari Dunia Islam terutama daripada Turki semakin berkurangan kerana ancaman daripada imprealis ini. Pada masa kini, mereka mengatakan KITA sebagai lanun.

Zuriat
Merujuk kepada Royal Ark.net  menyatakan Sultan Abdul Kadir mempunyai seorang putera yang dikenali sebagai Raja Vijaya Indra / Long Betong yang kemudiannya menggantikan takhta beliau di Kota Jembal dan ramai mengenali beliau sebagai Raja Sakti 1.

Kisah asal usul dan susur galur beliau penuh kisah-kisah kesaktian yang dipenglipur lara oleh masyarakat setempat. Hal ini berlaku kerana ketokohan Raja Sakti ini dalam mengekang ancaman Siam.  Kehebatan beliau juga menyebabkan kisah bapanya juga tenggelam. Bagaimanapun, inilah susur galur Sultan Abdul Kadir yang memerintah Kelantan pada 1616-1637.

Kesimpulan
Kisah Sultan Abdul Kadir sebenarnya tidak banyak kita ketahui, paling besar sumbanganya adalah dikaitkan dengan puteranya Long Betong yang kemudiannya dikenali dengan nama Raja Sakti I. Pengisahan beliau telah membuatkan penulis menyoroti keadaan semasa Alam Melayu pada masa tersebut. Ternyata Kesultanan Melayu-Islam pada masa tersebut sedang menghadapi perpecahan dalaman dan ancaman penakluk dari Barat dan penakluk yang sedia ada iaitu Siam dan Vietnam. Justeru itu, maka fahamlah kenapa Raja Sakti lebih berpengaruh.

Gambar Hiasan - Wayang Kulit Kelantan

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.




Tuesday, 28 October 2014

[Siri 23] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Samiruddin / Raja Ekok 1605-1616

Pendahuluan
Nama sebenar beliau adalah Raja Ekok bin Nik Jamaluddin dan adik kepada Sultan Adiluddin. Pada siri ke 22 telah kami nyatakan bahawa Sultan Adiluddin mangkat tidak berputera, beliau hanya mempunyai dua orang puteri iaitu Puteri Dalula dan Puteri Mariam (Puteri Saadong III). Justeru itu, Raja Ekok adalah perwaris yang lebih mutlak untuk menggantikan Sultan Adiluddin yang banyak berbakti untuk Kelantan dan Champa.

Dimasyhurkan sebagai Sultan
Kedudukan Sultan Adiluddin yang dikenali sebagai pendiri kerabat DiRaja Jembal amat disegani di Kelantan pada waktu itu. Seperti yang telah dijelaskan bahawa Kelantan telah bersekutu dalam Patani Besar dan telah menyebabkan ia menerima pemerintahan sistem Kedatuan dimana setiap negeri dalam Patani Besar mempunyai pembesar yang memerintah bagi pihak Sultan Patani.

Dalam negeri Kelantan, Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar adalah individu pertama yang dilantik sebagai Datu. Kemudian kedudukan beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Loyor yang mendapat gelaran Sultan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Adiluddin kerana jasa beliau dalam membantu bapa saudaranya Nik Musatafa membebaskan Champa daripada serangan Dai Viet. Selepas kemangkatan beliau, gelaran Sultan ini terus dikekalkan kerana ia mempunyai  daulat. Justeru, ahli keluarga mereka dikenali sebagai Kerabat DiRaja Jembal.  Ini adalah signifikan kenapa Raja Ekok dapat ditabalkan sebagai Sultan Kelantan menggantikan Sultan Adiluddin.

Pada waktu yang sama wujud kerajaan "Tanah Serendah Sekebun Bunga" yang di Rajai oleh Paduka Che Siti [Chik Wan Kembang] 1585-1610 berlokasikan sekitar Kelantan. Jelas disini, kedua-dua kerajaan yang diklasifikasikan sebagai Negara Kota (City States) mempunyai sempadan tertentu dan pemerintahan tersendiri kerana mereka mempunyai daulat (sovereignty) namun kedua kerajaan ini akhirnya bergabung melalui perkahwinan.

Legasi Pemerintahan
Raja Ekok telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Samiruddin pada 1605 hingga 1616. Beliau mempunyai tiga orang putera iaitu:

  • Raja Abdul Kadir / Sultan Kelantan 1616-1632
  • Raja Abdullah / Raja Kelantan Selatan 1632-1646 - Suami kepada Puteri Saadong III
  • Raja Abdul Rahim / Raja Kelantan Selantan 1646-1649
Jelas disini ketiga-tiga puteranya bergelar Sultan yang menjadi Raja di Kelantan secara turutan. Raja Abdul Kadir telah ditabalkan menggantikan bapanya, Sultan Samiruddin sebagai Sultan Kelantan. Raja Abdullah pula telah berkahwin dengan puteri Sultan Adiluddin yang bernama Puteri Mariam yang pada waktu itu telah dijadikan anak angkat oleh Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] dan dikenali sebagai Puteri Saadong III. Manakala Raja Abdul Rahim dinyatakan telah ditabal sebagai Raja Kelantan Selatan menggantikan tempat Raja Abdullah yang mangkat.

Paling yang diingati oleh segenap lapisan rakyat Kelantan adalah berkenaan peristiwa Puteri Saadong yang secara tidak sengaja menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah dalam pertengkaran mereka. Satu sorotan khusus akan kami bawaka berkenaan dengan mereka.

Walaupun ketiga-tiga putera Sultan Samiruddin ini bergelar Sultan dan pernah memerintah Kelantan mereka sebenarnya sedang bergelut untuk meneruskan kepimpinan mereka kerana pada waktu itu, ancaman daripada Utara iaitu dari Siam semakin kuat. Kerajaan Patani juga semakin lemah begitu juga dengan persektuan Johor-Pahang-Riau-Lingga manakala Belanda-Portugis-Sepanyol makin menonjol. Akhirnya, muncul seorang Raja antara mereka yang dipanggil Raja Sakti!

Kesimpulan
Sultan Samiruddin ditabal sebagai Raja Kelantan atas sebab kemangkatan Sultan Adiluddin yang tidak mempunyai putera. Ketokohan Sultan Adiluddin sangat besar, justeru kisah Puteri Saadong III lagi mencuri tumpuan daripada beliau ditambah beliau juga merupakan anak angkat Paduka Che' Siti. Walaupun pengaruh Sultan Samiruddin pada waktu itu tidak kuat, namun dari beliau telah menurunkan jurai keturunan yang cukup mengkagumkan.

Gambar Hiasan - Mata Lembing "Lam Alif"

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Saturday, 25 October 2014

[Siri 22] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Adiluddin / Raja Loyor (1579-1597 / 1602-1605)

PENDAHULUAN
Sultan Adiluddin yang juga dikenali Raja Loyor sebenarnya adalah Datu Kelantan bagi pihak Patani menggantikan bapanya Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaafar. Dominasi beliau dalam sejarah Kelantan adalah kuat. Hal ini dapat dilihat pada tahun 1579 beliau juga digelar sebagai Raja Kelantan sedangkan pada masa yang sama Paduka Sri Sultan Ibrahim sedang bertakhta buat kali yang kedua yang bermula pada 1570.

Selain itu, semasa pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim juga, ibu saudaranya Paduka Che' Siti binti alMarhum Sultan Ahmad Syah telah dilantik sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Paduka Sultan pada 1585 serentak dengan itu beliau telah memakai gelar nama sebagai [Chik Wan Kembang]. Beliau mempunyai suami yang bernama Sri Paduka Sultan Husain ibni alMarhum Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah. 

Jelas disini semasa pemerintahan Paduka Sri Sultan Ibrahim, di Kelantan terdapat tiga City States iaitu:
  • Pemerintahan Kesultanan Kelantan (Dinasti Chermin) di ketuai oleh Sultan Ibrahim
  • Pemerintahan Datu Kelantan (bagi pihak Patani) di ketuai oleh Raja Loyor
  • Pemerintahan Paduka Cik Siti [Chik Wan Kembang]

3 KERAJAAN DALAM 1 MASA
Sejarah Kelantan dan Patani menghadapi kekeliruan dan kesamaran pada era ini. Terutama sejarah di Patani, kerana Raja Loyor disebut sebagai anak Raja Sakti ditambah pula kekeliruan kisah lagenda Che Siti Wan Kembang. Kekeliruan ini juga telah menenggelamkan pemerintah lain, selain itu kisah Che Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong juga menambahkan kecelaruan fakta. Justeru, kami cuba memperincikan mengikut kronologi berkenaan tahun pemerintahan setiap City States di Kelantan.

Sekadar Hiasan

Pemerintahan Sultan Ibrahim
Kelantan pada era pemerintahan beliau telah mengalami pasang surut dengan drastik. Beliau telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan pada 1561, setelah kemangkatan bapanya Sultan Mansur (1547-1541). Ketika ini juga berlaku pergolakkan politik serantau terutama perkembangan Kerajaan Persekutuan yang baru selain daripada Patani Besar iaitu Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga. Kerajaan ini pada waktu itu sedang berusaha untuk memulihkan kuasa pemerintahan Empayar Melayu daripada ancaman Portugis dan Belanda. Justeru, tidak menghairankan Sultan Ibrahim memberi laluan kepada Raja Umar pada 1565 untuk menaiki takhta Kelantan. Raja Umar ini mempunyai pertalian darah dengan kerabat Kelantan yang lain kerana mereka adalah warisan daripada Sultan Mansur Syah (1467-1521). Berkemungkinan besar, pertabalan Raja Umar ini sebagai satu langkah untuk mengembalikan kegemilangan Kelantan kerana ia pernah bernaung di bawah Empayar Melayu Melaka setelah Kelantan akur dengan kehebatan angkatan Melaka pada 1499, sementelahan, Raja Umar adalah adik beradik kepada Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Johor yang ke-3.

5 tahun, Raja Umar memerintah Kelantan. Pengagihan kuasa antara Kelantan dan Patani juga mengalami perubahan. Semasa pemerintahan Raja Umar, Raja Loyor bin Nik Jamaluddin telah menggantikan tempat bapanya sebagai Datu Kelantan pemerintah bagi pihak Kesultanan Patani. Pada tahun 1570, Raja Umar telah turun dari takhta Kelantan ekoran anakandanya Raja Abdul Jalil telah ditabal sebagai Sultan Johor yang ke-4 dan beliau telah dilantik sebagai Tengku Mahkota Johor.

1570-1597, Sultan Ibrahim telah ditabalkan semula sebagai Sultan Kelantan, bagaimanapuan tercatat pada 1579, Raja Loyor telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Adiluddin. Kemudian pada 1585, Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] telah ditabalkan sebagai Pemangku Raja Kelantan dengan gelaran Sri Paduka Sultan. 

Pemerintahan Sultan Adiluddin / Raja Loyor (Datu Kelantan)
Beliau merupakan anak kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar yang dilantik oleh Sultan Muhammad Syah / Phya Tu Intira, Sultan Patani sebagai Datu Kelantan yang memerintah bersama-sama Sultan Kelantan (Sultan Mansur Syah) pada 1520 manaka bapa saudara beliau Nik Mustaffa sebagai Datu Jambu.

Pada 1577, beliau telah membantu ekspedisi bapa saudaranya itu untuk melancarkan serangan balas terhadap kedudukan tentera Annam yang telah menyerang Champa. Sultan Adiluddin (Raja Loyor) telah menghantar sejumlah 5,000 perajurit dari Kelantan dalam ekspedisi tersebut. Ekspedisi serangan balas ini telah berjaya mengahalau tentera Annam dan bala tentera Nik Mustaffa itu juga telah menyerang Kota Hue, ibu negeri Annam itu. Kejayaan ini telah menyebabkan Nik Mustaffa ditabal sebagai Raja Champa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah.

Dipercayai juga sekembali Raja Loyor dari ekspedisi tersebut beliau telah dilantik sebagai Raja Kelantan dengan sokongan Kesultanan Patani pada 1579. Justeru, beliau telah memerintah bersama-sama dengan Sultan Ibrahim.

Raja Loyor ini mempunyai seorang adik iaitu Raja Ekok, mereka sama-sama tinggal di Kelantan. Bagaimanapun Raja Loyor tidak mempunyai putera, beliau hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu:
  • Puteri Dalula
  • Puteri Mariam (Puteri Saadong III)
Rasminya, Sultan Adiluddin (Raja Loyor) ini memerintahkan Kelantan dengan penuh kedaulatan bermula pada 1579 sehingga Sultan Ibrahim mangkat pada 1597. Takhta Kelantan telah diganti oleh putera Sultan Ibrahim iaitu Sultan Muhammad. Namun beliau hanya memerintah lima tahun sahaja iaitu dari 1597-1602 seterusnya menamatkan Pemerintah Kelantan dari Dinasti Chermin. Ia kemudian digantikan oleh Sultan Adiluddin yang ditabal buat kali kedua pada 1602 dan beliau telah mangkat tanpa berputera pada 1605.

Kemudian, takhta Raja Kelantan telah digantikan oleh adiknya iaitu Raja Ekok dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Samiruddin dari 1605-1616 ekoran beliau mangkat tidak berputera. Puteri Dalula telah dijodohkan dengan Pemangku Raja Champa manakala Puteri Mariam yang dikenali sebagai Puteri Saadong III telah dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah anak Raja Ekok.

Raja Abdullah adalah Putera kepada Sultan Samiruddin adik kepada Sultan Adiluddin

Pemerintahan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang]
Beliau adalah puteri kepada Sultan Ahmad Syah, Raja Kelantan 1526-1547. Royal Ark.net menyatakan beliau telah berkahwin dengan Sri Paduka Sultan Husain ibni alMarhum Paduka Sri Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah. Sultan Husain merupakan anak kelima kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah, Sultan Johor ke-5. Beliau sebenarnya mempunyai kembar iaitu Raja Hassan yang telah dilantik sebagai Raja Siak.

Dicatat dalam sejarah bahawa pada 1585, Paduka Che' Siti telah ditabal sebagai Pemangku Raja dengan gelaran Sri Paduka Sultan dan suaminya secara automatik diberi gelaran Sultan yang dikenali sebagai Sultan Hussien. Pertabalan Paduka Che' Siti ini dilihat sebagai usaha Patani dan Kelantan untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga dalam usaha mereka untuk mengekang pengaruh orang-orang kafir (Ayuthya-Diaviet-Portugis-Belanda-Sepanyol) yang sedang meluaskan kuasa ke Alam Nusantara. Pemerintahan Paduka Che Siti dicatat berakhir pada 1610.

Mereka memerintah di Selatan Kelantan. Paduka Che' Siti adalah lagenda ulung dalam sejarah Kelantan, dan pada masa sekarang pengkaji sejarah kotemporari mengenal beliau sebagai Che Siti Wan Kembang II (CSWKII) berikut gelaran yang dipakai oleh beliau. Kita tidak diragui akan ketokohan Che Siti Wan Kembang (CSWK) yang nama lainnya Adruja Wijayamala yang merupakan puteri kepada Sang Tawal, Raja Garhi (Langkasuka). CSWK adalah gelaran Dewi Durga atau Adruja Wijayamala Singha setelah diberi kawasan dan diberi kedaulatan untuk memerintah Selatan Kelantan. Beliau disebut bersemayam di Gunung Chintawangsa pada 1318-1348.

Perbezaan masa antara CSWK dengan CSWK II adalah lebih kurang 267 tahun. Kerana kekeliruan dan kesamaran dalam mentafsir maklumat sejarah, kisah kedua tokoh ini telah bercampur aduk hingga ramai mengambil keputusan untuk mempercayai bahawa CSWK hidup sehingga kini dan ia telah dianggap sekadar mitos malah ada yang anggap ia adalah cerita dongeng orang Kelantan. Sedangkan mereka berdua mempunyai kisah yang tersendiri serta menarik untuk kita ketahui.

Dinyatakan bahawa Che Siti telah mengambil anak Raja Loyor iaitu Puteri Mariam yang dikenali sebagai Puteri Saadong III sebagai anak angkat beliau. Kisah Puteri Saadong inilah yang kita ketahui menjadi idaman Raja Siam kerana kecantikannya. Puteri Saadong ini telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah, perkahwinan ini jelas untuk mengurangkan gangguan dari Siam itu. Setelah berkahwin, Che Siti bersama-sama Puteri Saadong dan Raja Abdullah membuka satu penempatan di Chetok dalam jajahan Pasir Mas.

Penempatan ini tidak lama kerana ia telah diketahui oleh Siam dan menghantar angkatan tenteranya untuk menawan Puteri Saadong. Usaha tersebut tidak berjaya, namun Che Siti disebut telah mengambil keputusan kembali ke Selatan Kelantan dan Raja Abdullah bersama-sama Puteri Saadong berpindah ke Bukit Marak. Siam tidak pernah berputus asa, dan menyerang kedudukan Puteri Saadong dan Raja Abdullah di Bukit Marak, untuk mengelakkan pertumpahan darah, Puteri Saadong telah sukarela menyerah diri. Berpisahlah pasangan suami dan isteri itu. Raja Abdullah adalah anak kepada Sultan Samiruddin adik kepada Sultan Adiluddin ini. Jelasnya Puteri Saadong ini berkahwin dengan sepupunya. Kami tinggalkan sumpah Puteri Saadong kerana kekecewaan beliau :

Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi ku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan.
Semasa penulisan artikel ini, kami tidak dapat mengesan keturunan Che Siti bersama Sultan Husain mungkin ia tersimpan dalam jurai keturunan seterusnya. Namun, ini adalah kisah yang sepatutnya kita ketahui selain daripada kisah kesaktian yang telah kita sedia tahu sebelum ini. Satu pengisahan khusus akan kami terbitkan untuk mencerahkan kisah mengenai Che Siti Wan Kembang dengan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang].


Tanah Rendah Sekebun Bunga : Nama Kerajaan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang]

KESIMPULAN
Sewaktu pemerintahan Sultan Adiluddin (1579-1597 & 1602-1605), Kelantan mempunyai 2 Kerajaan yang lain iaitu pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1597-1602) dan Paduka Che Siti [Chik Wan Kembang] 1585-1610. Antara ketiga-tiga pemerintahan ini, Kerajaan dibawah pimpinan Sultan Adiluddin yang paling dominan dan keturunan beliau yang memerintah Kelantan selepas itu. Semasa pemerintahan beliaulah, tertubuhnya Kota Jembal yang sering menjadi sebutan pada masa sekarang.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


Wednesday, 22 October 2014

[Siri 21] Siri Pengisahan Sejarah Kelantan : Dinasti Chermin berkahir, Dinasti Jembal-Champa bermula.

Pendahuluan
Kelantan mula dilihat berpecah dan mempunyai City States apabila ia mula menerima sistem Kedatuan setelah Kerajaan Melaka runtuh pada  1511. Pada waktu itu, Kelantan telah diperintah secara bersama antara perwaris Dinasti Chermin dan Datu Patani. Keadaan ini berlaku kerana semua wilayah yang Melaka mula mencari kekuatan sendiri untuk mempertahankan diri daripada ancaman baru dan ancaman sedia ada. Iaitu dari Portugis dan Siam.

Justeru, terbentuk satu persekutuan yang dikenali sebagai Patani Besar. Dikhabarkan dalam gagasan ini terdapat 43 buah negeri dan city states telah membentuk persekutuan dan dipercayai ia juga termasuk Campa. Ini kerana pada masa tersebut negeri tersebut juga menghadapi ancaman daripada Dai Viet yang sering dirujuk sebagai Annam. 

Penggabungan
Kelantan telah bergabung dengan Patani dan membentuk Persekutuan Patani Besar semasa diperintah oleh Sultan Mansur Syah, manakala Patani pula diperintah oleh Sultan Muhammad Syah. Penggabungan mereka berlaku dalam tahun 1520. Sewaktu itu, Sultan Muhammad baru memeluk Islam dan Syeikh Fiqih Ali disebut sebagai individu yang bertanggungjawab menjadi saksi pengislaman beliau. 

Dalam sejarah Patani, Sayyid Ali Nurul Alam yang telah dilantik oleh Raja Kelantan, yakni Sultan Iskandar Syah (1429-1467) sebagai Perdana Menteri Majapahit II (Kelantan-Chermin) dengan gelaran Pateh Aria Gajah Mada. Pada 1467, kerajaan ini telah diserang oleh Ayuthaya menyebabkan Sultan Iskan menyelamatkan diri ke Campa dan mangkat di sana. Sayyid Ali Nurul Alam selaku Perdana Menteri telah bertindak balas dan mengumpulkan bala tentera daripada Melaka dan Acheh dan mereka berjaya menyerang Ayuthaya hingga ke ibu negerinya. Rentetan dari kejayaan ini, Sultan Melaka telah menyokong perlantikan Raja Mansur putera kepada Sultan Iskandar Syah sebagai Raja Kelantan dan dimasyhurkan sebagai Sultan Mansur. Manakala Sayyid Ali Nurul Alam telah ditabalkan sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul (1467-1470). Semenjak dari itu, keturunan Sultan Qunbul ini sering diberi kedudukan istimewa di Sumatera, Jawa, Campa dan Semenanjung Tanah Melayu.

Asasnya keturunan Sayyid Ali Nurul Alam bin Sayyid Hussien Jamadil Qubra ramai menjadi pendakwah dan diangkat sebagai Wali dan ada antara mereka menjadi pemerintah di beberapa kerajaan Nusantara. Latar belakang ini telah memberi ruang kepada keturunan ini untuk memerintah dan seterusnya menegakkan agama Islam. Sebagai contoh Wan Bo Tri Tri beliau pada awalnya berkahwin dengan Puteri Raja Campa dan ketika ia diserang oleh Dai Viet di Kota Visaya beliau telah memimpin penduduk Campa yang terselamat ke Pandurangga. Dari situ beliau memimpin angkatan tentera Campa dan menghalau penceroboh Dai Viet dari Champa. Semenjak dari itu, beliau telah ditabalkan sebagai Raja Champa (1471-1478) dengan gelaran Sultan Wan Abu Abdullah.

Peranan Wan Bo Tri Tri ini telah membuka ruang kepada zuriatnya menjadi Raja dan Pendakwah (Wali) seluruh Nusantara. Paling terkenal adalah Syarif Hidayatollah yang dikenali sebagai Sunan Gunung Jati di Indonesia dan Wan Abul Muzaffar yang menitihkan Kerabat DiRaja Jembal setelah Nik Jamaluddin dilantik sebagai Datu Kelantan dan Nik Mustafa dilantik sebagai Datu Jambu seterusnya ditabal sebagai Sultan Abdul Hamid Syah ketika menjadi Raja Campa 1578-1637.

Jawatan sebagai Datu Kelantan yang disandang oleh Nik Jamaluddin telah diwarisi dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain sebagaimana kekuasaan seorang Raja kerana ia diberi ruang dan pemerintahan dan kuasa yang tersendiri di Kelantan walaupun ia memerintah bagi pihak Patani.

Pengaruh
Pengaruh Datu Kelantan makin meluas dalam Kesultanan Kelantan ekoran masalah politik dalaman yang bermula semenjak pemerintahan Paduka Sri Sultan Mansur 1547-1561. Beliau mempunyai seorang adik perempuan bernama Paduka Che' Siti yang telah berkahwin dengan Sri Paduka Sultan Husain ibni Paduka Sri Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah. Paduka Sri Sultan Ibrahim menaiki takhta kerajaan menggantikan Paduka Sri Sultan Mansur pada 1561. Timbul kemusykilan, apabila Sultan Ibrahim memberi laluan kepada Raja Umar ibni Raja Ahmad ibni Raja Muhammad, Raja Terengganu pada 1565. Dalam salasilah Raja-Raja Kelantan, Raja Muhammad merupakan putera kepada Sultan Mansur Shah dan merupakan moyang kepada Paduka Sri Sultan Ibrahim.

Tindakan ini agak diragui dan pelbagai andaian boleh dibuat kerana Raja Umar merupakan adik kepada Sultan Alaudin Riayat Syah, Sultan Johor ketiga. Jelas disini, Sultan Ibrahim pada waktu itu sangat bertolenrasi dan perkara ini memberi ruang kepada Datu Kelantan untuk mengawal secara total Kelantan pada waktu itu.

Raja Umar telah turun daripada takhta Kelantan, apabila Sultan Alaudin Riayat Syah mangkat dan melantik Raja Abdul Jalil menjadi Sultan Johor ke-4 dan beliau dilantik sebagai Tengku Mahkota Johor pada 1570 manakala Sultan Ibrahim kembali bertakhta dan tempat beliau digantikan oleh Sultan Muhammad pada 1597.

Ketika pemerintahan Raja Umar, pengaruh Datu Kelantan makin kuat dan begitu dominan dalam sebarang keputusan pentadbiran. Ini terbukti semenjak 1579 iaitu semasa pemerintahan Sultan Ibrahim kali kedua, Datu Kelantan yang ketika itu diwakili oleh Raja Loyor telah ditabal sebagai Raja Kelantan. Perkara ini menyebabkan wujud dua orang Raja di Kelantan yang sama tarafnya.

Sewaktu Paduka Sri Sultan Muhammad menggantikan Paduka Sri Sultan Ibrahim yang mangkat pada 1597,  Dinasti Chermin sudah berada di penghujung kerana ia tamat pada 1602. Seterusnya Kelantan telah diperintah oleh Sultan Adiluddin yang berpusat di Kota Jembal.

Kesimpulan
Keruntuhan Melaka pada 1511 juga telah menjejaskan pemerintahan Kelantan secara perlahan-lahan dan ia diburukkan dengan campur tangan pelbagai pihak. Pemerintah dari Dinasti Chermin paling terkesan dimana selepas 5 generasi, ia telah luput dan digantikan dengan Dinasti Jembal. Pergolakkan politik istana juga menyumbang kemalapan dan kegemilangan sesuatu Kesultanan selain daripada pengkhianatan. Justeru, kesatu paduan antara adalah kunci yang utama untuk kelangsungan sesebuah kerajaan. Sokongan rakyat pada pemerintah sangat penting kerana tanpa rakyat, sesebuah kerajaan tidak dapat berfungsi. Rakyat pula perlukan seseorang pemimpin untuk menyatukan mereka.

Gambar Hiasan : Pintu Gerbang Pengkalan Chepa

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

[Siri 20] Pengisahan Sejarah Kelantan : Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa

Pendahuluan
[Siri 19] yang lepas telah kami nyatakan berkenaan dua daripada lima orang Zuriat Wan Bo Tri Tri iaitu Ahmad Fatahillah yang lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati salah seorang sembilan wali yang tersohor di Indonesia dan Abul Muzaffar Waliyullah yang sedikit maklumatnya bagaimanapun dari keturunan beliaulah lahirnya jalur pemerintah Kesultanan Kelantan hingga pada hari ini. Beliau juga adalah individu yang menggunakan gelar "Nik" pada keturunannya.

Carta Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait menyatakan bahawa dari Abul Muzaffar Waliyullah atau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar lahir dua orang zuriat yang besar peranannya dalam Kerajaan Patani, Kerajaan Campa dan Kedatuan di Kelantan, yang dimaksudkan adalah Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa.

Nik Jamaluddin
Sepertimana kisah bapanya, maklumat mengenai beliau juga tidak jelas. Sumber hanya menyatakan bahawa beliau adalah Timbalan Raja Champa yang juga bertindak sebagai Datu Kelantan bagi pihak Kerajaan Pusat Patani. Beliau juga dinyatakan sebagai pemula kepada kerabat DiRaja Jembal di Kelantan. Untuk rekod, Kelantan buat pertama kali diperintah secara bersama dengan Patani sebagai Kerajaan Persekutuan dibawah Patani Besar pada 1511 setelah kejatuhan Melaka kepada Portugis. Kelantan pada waktu itu telah diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1467-1521). Kelantan telah tunduk kepada kekuasaan Melaka pada 1499 dan kekalahan kepada Portugis menyebabkan Kelantan mencari penyokong baru untuk meneruskan kelangsungan pemerintahan. Pada masa tersebut, gagasan Patani Besar adalah yang terbaik kerana mereka mempunyai hubungan yang dekat dengan Acheh dan Kerajaan Islam serantau.

Justeru, Kelantan telah menerima sistem pemerintahan Datu ini untuk mengukuhkan pentadbiran dan mengelakkan pencerobohan dari kuasa asing. Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar telah dilantik sebagai Datu Patani ke Kelantan dan dipercayai Campa juga adalah satu dari gagasan Patani Besar ini.

Beliau mempunyai dua orang zuriat iaitu:
  • Sultan Adiluddin (Raja Loyor)
  • Sultan Samiruddin (Raja Ekok)
Ringkasnya, beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengasaskan keturunan Raja Jembal yang pada masa itu membuka penempatan di satu kawasan yang dikenali sebagai Kota Jembal yang terletak tidak jauh daripada Kota Bharu dan Bachok. 

Nik Mustafa
Seperti kelaziman orang besar silam, beliau juga mempunyai pelbagai gelaran seperti berikut:
  • Ong Tpouo
  • Agong Ronan
  • Po Rome
  • Sultan Abdul Hamid Syah
  • Raja Srisarwasadesa
  • Raja Campa 1578-1637
Itu sebenarnya nama beliau setelah ditabal menjadi Raja Champa pada 1578. Beliau sebenarnya merupakan Datu Jambu seperti mana abangnya Nik Jamaluddin yang dilantik sebagai Datu Kelantan. Perlantikan beliau sebagai Datu Jambu atau Raja Jambu, sejajar dengan pembentukan Patani Besar. Pada 1570, beliau telah menghantar bantuan ketenteraan ke Campa bagi membebaskan negeri asal bapa dan datuknya yang telah diceroboh oleh Rejim Nguyen. Campa pada masa itu diperintah oleh Sultan Yaakub Shahibuddin (1515-1570) yang menggantikan anak saudara Wan Bo Tri Tri iaitu Sultan Wan Abul Kadir / Ko Lai pada 1515. Ketika Champa diserang, usia Sultan Yaakub telah lanjut beliau telah mangkat dalam tawanan ketika diusung dalam sangkar besi sewaktu dalam perjalanan ke Kota Hue. 

7 tahun kemudian iaitu pada tahun 1577, Datu Mustafa sekali lagi membawa bala tentera dari Patani seramai 10,000 orang dan dibantu bala tentera dari Kelantan seramai 5000 orang yang ketika itu diperintah oleh anak saudaranya Sultan Adiluddin bin Nik Jamaluddin yang ketika telah ditabal sebagi Sultan Kelantan. Angkatan perang ini telah menyerang tentera Annam dan berjaya menguasai Pandurangga. Kejayaan mereka lebih dari itu kerana mereka berjaya membebaskan Campa yang dikuasai Annam semenjak 1471 malah mereka telah mara sejauh Kota Hue.

Setelah perang tamat, Datu Mustafa telah ditabal sebagai Raja Campa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah beliau mulai memerintah secara rasmi pada 1578 dan mangkat pada 1637. Masyarakat Melayu Campa mengenal beliau sebagai Raja Srisarwasadesa / Po Rome / Ong Tpouo. Annam telah bangkit dan bertindak balas pada 1578 dan mereka berjaya menawan satu daerah bernama Phu Yen. Setelah itu, Campa berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Pada 1594, Sultan Abdul Hamid Syah telah menghulur bantuan ketenteraan kepada Sultan Jalla Abdul Jalil Syah II yang memerintah Johor pada 1571-1579 untuk memerangi kempen perluasan kuasa Portugis di Johor. Pada 1611, beliau telah cuba menawan kembali kawasan Binh Dinh  dari Annam, namun usaha itu menemui kegagalan.

Sultan Abdul Hamid Syah mempunyai tiga orang zuriat iaitu:
  • Nik Badrulsalam / Raja Singgora 
  • Nik Ibrahim / Datu Kelantan / Raja Campa
  • Nik Ali / Datuk Maharajalela / Panglima Perang Agong Patani

Situasi Kelantan selepas 1511
Pada 1499, Kelantan telah tunduk kepada Melaka dan menjadikan ia sebagai sebuah negeri dalam Empayar Melayu Melaka yang masyhur itu ketika ia diperintah oleh Sultan Mahmud Syah. Sebagai simbol keakuran, angkatan perang Melaka telah menawan putera dan puteri Kelantan. Dalam perjalanan pulang ke Melaka, Raja Gombak putera kepada Sulan Mansur Syah telah berjaya melarikan diri. Hanya tiga orang puteri beliau dibawa ke Melaka. Salah seorang darinya diperisterikan oleh Sultan Mahmud manaka dua lagi diperisterikan oleh pembesar Melaka. Jelas disini, Kelantan pada masa itu berada dalam taklukan Melaka.

Pada 1511, Melaka telah kalah dalam pertempuran dengan Portugis. Perkara ini menyebabkan Empayar Melayu Melaka berpecah. Maka wujudlah satu persekutuan yang dikenali sebagai Patani Besar untuk menyatukan negeri-negeri Melayu dari ancaman kuasa baru dari Barat. Kelantan juga termasuk dalam persekutuan ini.

Disebutkan pada masa tersebut, Sultan Mansur telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Raja Patani yang dikenali sebagai Sultan Muhammad Syah atau juga dikenali sebagai Phya Tu Intira. Semenjak dari itu, Kesultanan Patani telah memperkenalkan sistem Datu sebagai wakil pemerintahan. Nik Jamaluddin bin Wan Abul Mustafa telah diperkenankan oleh Sultan Muhammad Syah untuk menjadi wakil beliau sebagai Datu Kelantan pada 1520.

Semenjak dari tarikh tersebut, Kelantan mula diperintah secara bersama antara Kelantan dan Datu Patani. Satu penempatan di sebelah Timur Kota Bharu telah dijadikan tempat pemerintahan Datu ini yang sekarang dikenali sebagai Kota Jembal. Dalam satu tempoh, keturunan Datu Patani ini telah mempengaruhi secara keseluruhan Kesultanan Kelantan kerana keturunan mereka telah dilantik sebagai Sultan Kelantan.

Kesimpulan
Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa merupakan anak kepada Wan Abul Muszaffar yang dikenali sebagai Abul Muzaffar Waliyullah. Mereka berdua juga merupakan cucu kepada Wan Bo Tri Tri. Sultan Mihammad Syah telah Nik Jamaluddin telah dilantik sebagai Datu Kelantan manakala Nik Mustafa telah dilantik sebagai Datu Jambu di Patani. Sewaktu menjadi Datu Jambu, Nik Mustafa telah mengumpul bala tentera dari Patani dan Kelantan yang dibantu oleh anak saudaranya Sultan Adiluddin (Raja Loyor) yang waktu itu telah menjadi Raja Kelantan.

Zuriat daripada Nik Jamaluddin telah membentuk Kerajaan Jembal, manakala Zuriat daripada Nik Musatafa telah membentuk keturunan Raja Campa. Kedua-dua keturunan ini akhirnya bersatu ketika Raja Pah berkahwin dengan Long Baha dan seterusnya menurukan Kesultanan Kelantan yang ada pada hari ini.

Kota Jembal - Kredit Google Street View


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan :
  • Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani [Buku]
  • http://www.geocities.ws/prawat_patani/bab1.htm
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kelantan
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/champa-bumi-jawi-iii.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

Tuesday, 21 October 2014

[Siri 19] Pengisahan Sejarah Kelantan : Zuriat Wan Bo Tri-Tri

Pendahuluan
Sewaktu Sultan Abu Abdullah/Wan Bo Tri Tri ditabalkan sebagai Raja Campa pada 1471, Kelantan berada dalam keadaan stabil diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1467-1521). Diperkirakan, beliau ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan sokongan Sayyid Nurul Alam/Sultan Qunbul dan Sultan Melaka selepas kemangkatan Sultan Iskandar Syah di Campa yang menyelamatkan diri dari serangan Ayuthya. Pencerobohan ini telah berjaya di atasi dengan campuran bala tentera Melayu dari Chermin-Kelantan, Melaka dan Acheh. Kejayaan ini telah menyebabkan Sultan Melaka pada waktu itu menyokong perlantikan Sayyid Ali Nurul Alam sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul dan Raja Mansur sebagai Raja Kelantan pada 1467.

Wan Bo Tri Tri merupakan anak kepada Sayyid Ali Nurul Alam dan pada waktu itu beliau sudah berada di Campa, kerana beliau dilahir dan dibesarkan disana. Perbincangan yang lalu telah dinyatakan bahawa beliau telah ditabalkan sebagai Raja Campa pada 1471. Beliau tidak lama di atas takhta, 7 tahun selepas itu yakni pada 1478, beliau telah menyerahkan kerajaan Campa kepada dua orang anak saudaranya dan menyahut seruan dakwah di Tanah Jawa. 

Salasilah Raja-Raja Kelantan menyebut Wan Bo Tri Tri ini mempunyai dua orang anak iaitu:
  • Ahmad Fatahillah beliau juga dikenali sebagai Petalehan dan Sharif Hidayatollah salah seoarng Wali Songo (9) di Pulau Jawa dan merupakan leluhur Raja-Raja Banten di Jawa Barat dan Palembang di Sumatera.
  • Abul Muzaffar Waliyullah beliau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar beliaulah yang memulakan pemberian gelaran Nik kepada keturunannya.
Bagaimanapun berdasarkan selidikan lanjut kami dapati Wan Bo mempunyai tiga orang Isteri dan jumlah anak beliau kesemuanya berjumlah 5 orang, seperti berikut:
  1. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Nyai Rarasantang (Sharifah Mudaim) binti Prabu Siliwangi (Raja Padjajaran):
     - Syarif Hidayatullah (Sunang Gunung Jati)
     - Syarif Nurullah (Raja Champa)
  2. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Ratu Asyiqah binti Maulana Ahmad Rahmatullah (Sunan Ampel) :
    - Raden Fatah (Sultan Demak)
    - Syarif Babullah (Sultan Ternate)
  3. Zuriat Wan Bo Tri Tri dengan Puteri Raja Champa (Raja Chandranekalawa) :
    - Abul Muzaffar Waliyullah 
Bagaimanapun untuk pengisahan ini kami hanya akan mengisahkan dua daripada zuriat Wan Bo Tri Tri sebagaimana yang tercatat dalam Salasilah Raja-Raja Kelantan yang diatas. 

Ahmad Fatahillah
Sumber keturunan Raja-Raja Kelantan menyatakan beliau dikenali sebagai Petalahen dan Syarif Hidayatollah dan hanya menytakan beliau sebagai salah seorang daripada Wali Songo di Tanah Jawa.

Beliau sebenarnya lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati kerana usaha dakwah beliau tertumpu di Gunung Jati, Kabupaten Ceribon, Jawa Barat pada hari ini. Beliau bersama barisan Wali Songo yang lain menjatuhkan kerajaan Hindu Majapahit dan mendirikan Kerajaan Islam Demak. Beliau juga merupakan leluhur kepada Kesultanan Ceribon. Nama beliau juga tercatat antara orang yang berperanan dalam menundukkan dan mengusir Portugis dari menduduki Sunda Kelapa. Beliau juga dinyatakan sebagai satu-satunya dari Wali Songo yang menjalankan dakwah dengan kuasa politik iaitu melalui Kesultanan Ceribon.

Wan Bo Tri Tri telah menghantar puteranya ini dari usia yang muda untuk menuntut Ilmu di Patani. Semenjak dari itu beliau telah merantau ke pelbagai negara untuk mendalami ilmu dan mengenal dunia sebelum menginjak kaki dalam struktur politik nusantara yang pada masa itu mula diancam tentera salib dari Eropah. Beliau telah meninggal dunia dalam usia 118 tahun pada 1568 dan dikebumikan di Ceribon.

Lukisan : Ahmad Fatahillah@Syarif Hidayatollah@Sunan Gunung Jati


Abul Muzaffar Waliyullah
Pengkajian penulis dalam pengisahan ini 80% bergantung kepada sumber dalam talian. Penyediaan maklumat berkenaan Abul Muzaffar Waliyullah atau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar amat terhad sekali. Sepanjang penyelidikan hanya nama dan keturunan beliau serta sumbangan beliau yang dapat dikesan. Iaitu, beliau dinyatakan sebagai anak kepada Wan Bo Tri Tri dengan anak perempaun Raja Champa, iaitu Chandranekalawa. 

Pada 1471, Dai Viet dari Annam telah menceroboh Campa di Visaya dan telah menawan Raja Chandranekalawa dan dibawa ke Annam. Wan Bo Tri Tri pula telah membawa rakyat Campa yang terselamat berundur ke Pandurangga. Tidak lama kemudian Raja Campa yang ditawan itu telah mangkat dan kesepatakan antara pembesar dan rakyat Campa, Wan Bo Tri Tri telah ditabalkan sebagai Sultan Wan Abu Abdullah. Sestengah pendapat menyatakan beliau bernama Sultan Wan Abdullah Umdatuddin.

Sebelum serangan itu lagi, Wan Bo Tri Tri ini telah berkahwin dengan anak perempaun Raja Campa, dan dikurniakan seoran anak lelaki yang bernama Wan Abul Mustafa. Dinyatakan, beliau adalah orang yang mempelopori keturunan "Nik" di Kelantan dan Patani. Gelaran ini diberi sebagai memperingati akan keturunan keluarga mereka daripada Kesultanan Islam Campa serta para Ulama.

Kesimpulan
Sultan Abu Abdullah Umdatuddin mempunyai 5 orang zuriat yang hebat dan ada antaranya muncul sebagai Sultan dan Wali Allah selain daripada ulama dan pendakwah. Paling menonjol adalah Ahmad Fatahillah atau Sharif Hidayatollah kerana beliau akhirnya dikenali sebagai Sunan Gunung Jati yang muncul sebagai penegak Kesultanan Islam Demak dan leluhur kepada Kesultanan Ceribon selain daripada itu beliau juga terkenal sebagai pahlawan Melayu yang ulung kerana berjaya mengundurkan angkatan Portugis daripada menduduki Sunda Kelapa. 3 orang lagi putera beliau telah muncul sebagai Sultan Ternate, Sultan Demak dan Raja Campa.


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan :
  • http://mqtkahlulbait.blogspot.nl/2012/01/wali-songo-wali-sembilan.html
  • http://id.wikipedia.org/wiki/Sunan_Gunung_Jati
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/02/salasilah-wali-songo.html
  • http://mutaqinqubra96.blogspot.nl/2012_03_15_archive.html
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-182394.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

Friday, 17 October 2014

[Siri 18] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Wan Abu Abdulah / Wan Bo Tri Tri

Pendahuluan
Kerajaan Melayu Campa mempunyai sejarah yang panjang dan dipercayai ia lebih tua berbanding dengan Kerajaan Melayu yang ada di Semenanjung dan di Kepulauan Indonesia. Bagaimanapun kini, ia hanya menjadi satu wilayah dalam negara Vietnam. 

Hubungan Kelantan dengan Campa juga telah bermula lama dan dipercayai telah terjalin semenjak era Chih Tu lagi. Sebagai rekod, kerajaan Campa ini wujud semenjak tahun 192 masihi lagi. Dalam salasilah keturunan Raja-Raja Kelantan telah dinyatakan bahawa puteri kepada Sang Tawal yang bernama Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjeng) telah dikahwinkan dengan Raja Campa yang bernama Jaya Sinha Warman ketika beliau memerintah Kelantan pada 1267-1335. Kemudian perhubungan antara Campa dengan Kelantan terjalin melalui perkahwinan sekali lagi ketika Kelantan diperintah oleh Sultan Baki Syah pada 1362-1418. Sultan Baki Syah telah mengahwinkan puterinya yang bernama Dewi Nareswari yang juga digelar sebagai Puteri Saadong II dengan Raja Campa. Satu kebetulan atau ianya sudah ditakdirkan, ketika kedua-dua perkahwinan ini berlangsung, Sayyid Hussien Jamadil Kubra juga terkait jua, kerana Puteri Tapasi adalah iparnya manakala Dewi Nareswari adalah  anak saudaranyaDalam artikel ini penulis akan cuba jelaskan bagaimana Wan Abu Abdullah yang juga anak Sayyid Ali Nurul Alam boleh ditabalkan menjadi Raja Campa pada 1471-1478. 

Latar Belakang
Islam mula bertapak di Campa semenjak abad ke-7/8 lagi, sumber menyatakan bahawa Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab pada ketika itu adalah dari fahaman Syiah yang membawa diri dari Timur Tengah kerana tekanan daripada Ummaiyah. Mereka telah menetap di PhanRang (Padurangga). Hal ini dapat dibuktikan dengan batu bersurat bertarikh 1035 Masihi dan batu nisan bertarikh 1039 Masihi, malah satu catatan Sung Shih (Sejarah Dinasti Sung) menyatakan Orang Islam Campa telah menghantar perwakilan ke China semasa pemerintahan Hsien-te (954-959M), ini bermakna Islam sudah kukuh di Campa.

Komuniti Islam di Pandurangga telah lupus setelah berlakunya konflik antara pemerintah Champa pada waktu itu. Dinyatakan bahawa setelah kekalahan Jaya Simhawarman II kepada Dai Viet pada 1044, Jaya Parameswarawarman I telah naik menjadi Raja Campa dan menjadikan Padurangga sebagai Ibu Kota. Hal ini tidak disetujui oleh komuniti Islam kerana Raja baru ini adalah seorang yang beragama Hindu. Penolakkan ini telah mendorong Raja baru itu untuk menyerang penduduk Islam dan menawan mereka pada 1050. Sebagai memperingati kemenangan ini, Jaya Parameswarawarman telah membina sebuah lingga di atas bukit Po Klaung Garai. 

Dakwah Islam telah sampai lama walaupun ia bukan dari fahaman Ahlul Sunnah, jelasnya terdapat ruang untuk menyebarkan Islam di Campa. Perkara ini menjadi semakin rancak ketika kedatangan Sayyid Hussien Jamadil Kubra, hingga beliau telah dikahwinkan dengan Puteri Ramawati, anak kepada Sultan Zainol Abidin, Raja Campa pada 1355. Pada waktu itu sebahagian penduduk Campa telah menganut agama Islam. 

Sayyid Hussien Jamadil Qubra banyak melibatkan diri dalam misi dakwah di Champa, kerana di Chermin pada masa itu adiknya, Syeikh Thanauddin telah menatap sekitar kawasan Bukit Panau. Dinyatakan bahawa Sayyid Nurul Alam juga turut dilahirkan di Campa. Ini bermakna aktiviti Syeikh Hussien lebih dominan di negeri tersebut. Kemudian setelah Ayuthya menyerang kedudukan Cermin diyakini bahawa anak-anak beliau ada di Campa.

Justeru, tidak hairan anak beliau bernama Po Tri Tri atau Bo Tri Tri itu berkahwin pula dengan puteri Raja Campa. Pada 1471, Campa telah diserang oleh Dai Viet (Annam) yang juga merupakan jiran tetangganya. Dalam serangan tersebut bapa mertuanya telah ditawan dan dibawa ke Annam. Setelah itu, Bo Tri Tri inilah yang ditabal menjadi Raja Campa dan dimasyhurkan dengan nama Sultan Wan Abu Abdullah. Beliau telah memindahkan ibu kota Campa dari Vijaya ke Pandurangga.

Dakwah Islam
Semasa pemerintahan Sultan Wan Abu Abdullah ini, ramai rakyat Campa telah memeluk Islam dan yang telah membetulkan akidah mereka kepada Ahlul Sunnah. Beliau telah membawa masuk pendakwah-pendakwah Islam dari Patani, India dan Arab melalui pelabuhan Padurangga. Banyak pembaharuan yang dibuat oleh beliau seperti:

  • Menggantikan penggunaan Bahasa Melayu Lama (Sanskrit) kepada Bahasa Melayu Nusantara seperti penggunaan hari ini.
  • Menyusun suaikan kebudayaan lama yang berteraskan Hindu-Buddha kepada kebudayaan yang sejajar dengan Islam.
  • Menyatukan suku kaum Campa dan hanya berpegang kepada Islam.
  • Mempertingkatkan keupayaan Pelabuhan Pandurangga dan Pelabuhan Kauthara untuk merancakan kegiatan ekonomi Campa.
Akhirnya pada 1478, beliau telah turun dari takhta dan menyerahkan kepada dua orang anak saudaranya iaitu Sultan Wan Abu Yussuf (1478) dan Sultan Wan Abdul Kadir / Ko Lai (1478-1515).



Kesimpulan
Islam telah lama bertapak di Campa, namun penyebarannya tidak meluas. Ia hanya menjadi lebih dominon ketika kegiatan dakwah dijalankan oleh Syeikh Hussien Jamadil Kubra. Kemudian ia menjadi lebih menonjol semasa diperintah oleh cucu beliau iaitu Sultan Wan Abu Abdullah / Wan Bo Tri Tri. Dalam pengisahan ini dinyatakan bahawa beliau hanya bertakhta selama 7 tahun dengan sebab mendapat seruan untuk menjalankan misi dakwah di Tanah Jawa. Penulis beranggapan ini adalah kerana tindakan beliau pada masa itu untuk mengekalkan Islam di Campa setelah kemangkatan bapa mertua beliau. Sepanjang tempoh 7 tahun beliau merajai Campa 4 tugas utama sebagai Khalifah telah tegakkan demi kelangsungan Campa. Ketika negeri tersebut dalam keadaan aman, beliau telah turun dari takhta dan menyerahkannya kepada yang lebih berhak yakni akan saudara lelaki yang berketurunan terus dari Kerajaan Campa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan : 
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/champa-bumi-jawi-iii.html
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013/07/campa-bahagian-1.html
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013/07/campa-bahagian-2.html
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013/07/campa-bahagian-3.html
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013/07/campa-bahagian-4.html
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013/07/campa-bahagian-5.html
  • Mohd Zain Musa, Diaspora Melayu Cam
  • Mohd Zain Musa, Cam-Melayu Abad ke-19 Pemberontakkan dan Diaspora
  • Ahmad Jelani Halimi, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu ISBN 97896761255X
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...