Frank Swettenham disebut dalam artikel ini kerana
pada zaman beliau menjadi Residen Jeneral di Britsh Malaya yang lebih dikenali sebagai Federated Malays State atau Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, negeri
Kelantan dan Terengganu telah di masukkan ke dalam naungan British atau lebih
tepat dijajah British melalui Perjanjian Bangkok 1909.
Kami juga merasa tertarik untuk melakukan
penelitian tentang Frank Swettenham kerana beliau terlibat secara langsung
dengan Tengku Abdul Kadir dan Raja Siam waktu itu Raja Rama V atau lebih
dikenali sebagai Chulalongkorn dalam
isu pemerintahan Patani semasa kami meyediakan Episod Hubungan Patani-Kelantan
baru-baru ini.
Dalam penelitian teks semasa penyediaan episod
tersebut, kami menemui nama Frank ini disebut berulang kali dan sering
dikunjungi oleh Chulalongkorn dan
wakilnya. Boleh dikatakan setiap dua minggu wakil Siam atau Chulalongkorn
sendiri akan ke Singapura menemui Frank.
Jadi, kami tertanya-tanya apa pengelibatan Frank
Swettenham ini dalam isu Patani-Siam... lalu kami tertarik untuk meneliti
dengan lebih mendalam mengenai individu ini dan peranannya.
Siapa Frank
Swettenham
Biodata:
Nama penuh: Frank
Athelstane Swettenham,
Tarikh Lahir : 1850
Meninggal : 11 Jun 1946
Tempat Lahir : Belper, Derbyshire, England
Bapa : James Oldham Swettenham, Frank adalah anak
keempat beliau
Pendidikan dan Kerajaya:
- Ketika berusia 20 tahun, beliau telah menyertai Kadet Perkhidmatan Awam Negeri-Negeri Selat pada tahun 1870.
- Setahun kemudian, pada usia 21 tahun beliau telah dihantar ke Singapura pada Januari 1871. Di Sinapura beliau mengambil pengajian Melayu dan telah lulus pengajian tersebut pada 1872 dalam usia 22 tahun.
- Setelah lulus dalam pengajian tersebut, beliau telah dilantik sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pulau Pinang dan Seberang Prai yang waktu itu dikenali sebagai Penang and Province Wellesley dari tahun 1872-1873.
- Pada umur 24 tahun, beliau telah dilantik sebagai Negeri Perak pada tahun 1874 untuk bulan Januari, Jun dan Julai. Kemudian pada bulan Disember tahun itu juga, beliau telah dilantik sebagai Penolong Residen Negeri Perak. Jawatan ini disandang beliau hingga tahun 1875.
- 1876, ketika diusia 26 tahun, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Penolong Setiausaha Kolonial bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
- 5 tahun menyandang jawatan Penolong Setiausaha, akhirnya pada tahun 1881 beliau dilantik menjadi Setiausaha Kolonial pada usia 31 tahun.
- Setahun kemudian, pada tahn 1882 beliau telah dilantik sebagai Residen Inggeris di Selangor. 4 tahun beliau merencana ekonomi British di Selangor dengan mengawal penghasilan Bijih Timah dan membangunkan Kuala Lumpur.
- Pada 1886, Frank Swettenham telah dilantik sebagai Pesuruhjaya bagi Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu di Pameran Kolonial dan India dan kemudiannya beliau diangkat sebagai Residen Perak pada 1889 pada usia 39 tahun.
- 19 tahun berpengalaman menjalankan pentadbiran British di Tanah Melayu di beberapa negeri Melayu akhirnya beliau telah dilantik menjadi Ketua Residen bagi Tanah-Tanah Melayu Bersekutu (Resident General) pada 1901 di usia 41 tahun dan beliau merupakan Ketua Residen yang pertama dalam sejarah British di Tanah Melayu.
- Frank Swettenham telah bersara dari perkhidmatan British di Tanah Melayu pada tahun 1904 di usia 45 tahun dan beliau telah dianugerahkan dengan jawatan Pengerusi Suruhanjaya DiRaja Mauritius.
Dalam sejarah British, beliau disanjung sebagai
orang yang telah menyatukan Sultan-Sultan Melayu dan diperintah di bawah satu
sistem dan kemudiannya menamakan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai British Malaya. Selain dari itu, beliau
juga merupakan individu yang sangat berpengaruh dalam membentuk dasar British
dan Struktur Pentadbiran British di Semenanjung Tanah Melayu. Beliau boleh
diibaratkan sebagai pembuka jalan kepada penjajahan secara total British di
Semenanjung Tanah Melayu dalam mengeksploitasi bahan mentah dan galian dan
sumber ekonomi yang lain.
Sumber : British Malaya 1906 |
Lain-lain
Info Mengenai Swettenham
- Seorang Amatuer Photographer
- Seorang Penulis Prolifik
- Burns, P.L., and Cowan, C.D. ed. (1975), 'Sir Frank Swettenham's Malayan journals 1874-1876', Kuala Lumpur, London: Oxford University Press.
- Clifford, Hugh Charles, and Swettenham, Frank Athelstane (1894), 'A dictionary of the Malay language', Taiping, Perak: Printed for the author's at the Government's printing office.
- Cowan, C.D. ed. (1952), 'Sir Frank Swettenham's Perak journals 1874-1876', 'Journal of the Malayan branch of the Royal Asiatic Society', vol.24, part 4. Singapore: Malaya Publishing House.
- Swettenham, Frank Athelstane (1881), 'Vocabulary of the English and Malay languages'. Singapore: printed at the Government Printing Office.
- Swettenham, Frank Athelstane (1893), 'About Perak'. Singapore: Straits Times Press.
- Swettenham, Frank Athelstane (1895), 'Malay sketches'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1898), 'Unaddressed letters'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1899), 'The real Malay'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1907), 'British Malaya'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1910), 'Report of the Mauritius royal commission, 1909'. HMSO.
- Swettenham, Frank Athelstane (1912), 'Also and perhaps'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1925), 'Arabella in Africa'. London: John Lane.
- Swettenham, Frank Athelstane (1942), 'Footprints in Malaya'. London: Hutchinson.
- Swettenham, Frank Athelstane (1946 ?), 'The future of Malaya'. [S.l.]: [s.n.]
- Swettenham, Frank Athelstane (1967), 'Stories and sketches'. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Justifikasi
Biodata dan maklumat tentang Frank Swettenham
disiarkan adalah untuk kita mengenali siapa beliau sebelum kita bergerak untuk
memahami pemikiran beliau dalam usaha penggabungan Negeri-Negeri Melayu Utara
(Kedah, Perlis, Patani, Kelantan dan Terengganu).
Sekiranya diteliti kerjaya beliau, pengelibatan
Frank Swettenham di Semenanjung Tanah Melayu amat meluas, malahan beliau juga
berperanan di Batavia (Jakarta) dan beberapa tempat di Sumatera. Ini
menunjukkan bahawa Swettenham adalah seorang yang berpengaruh baik di kalangan
raja-raja Melayu mahupun Kerajaan Queen British di London. Sebagai memenuhi
tajuk artikel ini, kita akan fokus tentang ruang lingkup Kelantan dan Patani
sahaja.
Pada usia beliau 22 tahun, beliau telah menguasai
asam garam orang Melayu melalui pengajian beliau di Singapura dalam mendalami
kehidupan orang Melayu pada tahun 1872. Pengajian Melayu begitu menarik tajuk
kursus itu. Namun silibus pengajian tersebut masih samar-samar pastinya beliau
mendalami cara pemikiran orang Melayu dengan mempelajari Bahasa, Budaya serta
Sejarah Bangsa Melayu pada waktu itu.
Begitulah cara British memperbaiki pentadbiran
mereka kerana pada peringkat awal terdapat penentangan yang nyata dengan contoh
pembunuhan J.W.W. Birch sebelum itu kerana tidak memahami adat dan budaya
masyarakat Melayu Perak. Frank Swettenham adalah contoh terbaik British dalam
mendekati sesebuah bangsa dalam koloni mereka.
Kecemerlangan perkhidmatan Frank Swettenham amat
mengagumkan, dalam masa 19 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Residen
yang pertama dalam sejarah British pada tahun 1901 pada usia 41 tahun. Beliau telah
menggabungkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Pahang, Negeri Sembilan, Melaka,
Perak, Pulau Pinang dan Singapura) di bawah satu pentadbiran yang dikenali
sebagai British Malaya yang juga asas kepada sistem pemerintahan Malaysia
sekarang.
Tahun-tahun 1900-1902 merupakan tahun yang
menggoncangkan kestabilan negeri-negeri Melayu Utara (Kedah, Perlis, Patani,
Kelantan dan Terengganu) yang waktu itu berada di bawah naungan Siam.
Negeri-negeri Melayu Utara di bawah ketokohan
Tengku Abdul Kadir telah bangkit menentang kekuasaan Siam kerana perkembangan
perluasan kuasa imperialis (British dan Perancis) dalam wilayah Siam di
Indo-china (Kemboja, Laos dan Vietnam) melalui perjanjian British-Perancis pada
15 Januari 1896. Perjanjian ini adalah mengenai pengiktirafan dua kuasa besar
ini terhadap ketuanan Siam dalam wilayah di Lembah Chao Phraya namun isi
perjanjian ini tidak menghalang kuasa asing ini memperluaskan kuasa mereka dan
meletakan Siam dalam ancaman baru.
Namun satu perjanjian Rahsia antara British-Siam
telah ditandatangani pada 1897 dalam usaha Siam mengekang perluasan kuasa
British di Negeri-Negeri Melayu Utara. Antara sebab perjanjian ini termeterai
adalah kerana terdapat ura-ura Kerajaan Siam waktu itu mahu membina terusan
membelah Segenting Kra sama seperti yang British lakukan di Mesir. Jika terusan
dibina di Segenting Kra pastinya pengaruh British di Selat Melaka akan
terganggu dan pelabuhan Pulau Pinang dan Singapura akan lumpuh seterusnya
membuka peluang kepada kuasa lain seperti Jerman dan Russia untuk mengukuhkan
pengaruh mereka di rantau ini. Perkara ini memang mahu dielakkan oleh British
dan perjanjian ini telah dimetrai.
Bidak-Bidak
Catur British
British tidak berdiam diri, mereka tetap berusaha
untuk meneruskan perlumbaan perluasan kawasan koloni dengan pesaing-pesaing
mereka. Perjanjian yang termetrai antara British dengan Siam mungkin telah disalurkan
kepada Raja-Raja Negeri Melayu Utara oleh orang dalam British. Dalam hal ini,
Tengku Abdul Kadir yang memegang tampuk pemerintahan selepas kemangkatan
ayahanda beliau, Tengku Sulaiman Syariffudin telah mula mempersoalkan tindakan
Siam dalam pembeharuan pemerintahan wilayah (Thesaphiban).
Kekacauan
Politik yang berlaku di Patani adalah satu faktor terbesar kenapa British
di bawah pengaruh Frank Swettenham begitu bersungguh hendak menggabungkan
Negeri-Negeri Melayu Utara ini di bawah British Malaya. Ini adalah antara
alasan yang kukuh buat British untuk mendesak Siam dalam isu pentadbiran di
Wilayah Negeri Melayu yang berjiran dan berkepentingan British di sempadan
wilayah tersebut. Kemelut politik di Kelantan juga menjadi polemik kepada
British waktu itu untuk terus menekan Siam.
Secara kronologi, perkaitan politik dengan
kepentingan British di Kelantan berlaku seawal ketika Perang Saudara II di
Kelantan di antara Raja Kampung Laut, Tuan Besar dengan Long Senik Mulut Merah
pada 1838-1839. Perang saudara ini
menjejaskan perdagangan British apabila kapal-kapal dagang Singapura yang
berdagang di kawasan Siam dan Patani telah ditahan oleh pihak berkuasa Kelantan
pada waktu itu, hingga British terpaksa menghantar delegasi yang diketuai oleh Baba Kao An dan penterjemah termasyhur
waktu itu, Munsyi Abdullah telah berlayar dari Singapura ke Kelantan
menyelusuri pantai Johor-Pahang-Terengganu hinggalah ke Kelantan untuk
membebaskan kapal-kapal dagang Singapura itu. Ketika ini British juga mempunyai
pengaruh dalam pentadbiran Siam dan perang saudara ini telah ditamatkan oleh
Siam waktu itu melalui helah yang menyebabkan Raja Kampung Laut telah kalah dan
diberi jawatan sebagai Raja Patani pada 1842.
Sir Henry Norman |
Perkara ini menjadi akar kepada British untuk
memperkuatkan dakwaan mereka ke atas Kelantan dan menunjukkan Siam tiada fungsi
khusus dalam pentadbiran di Kelantan. British dapat melihat bahawa Kelantan dan
Terengganu setiap 3 tahun sekali akan menghantar BUNGA EMAS DAN BUNGA PERAK
kepada Siam dan ini menunjukkan dua negeri BEBAS ini mempunyai hasil bumi yang
berharga. Hal ini telah menjadikan Parlimen British semakin tertarik untuk
menguasai negeri ini. Jadi mereka telah menyarankan dua negeri ini perlu
diletakkan di bawah British Malaya dan menjadikan alasan permohonan pertolongan British dalam menamatkan kemelut Politik di
Kelantan waktu itu. Parlimen British melalui Frank Swettenham terus berusaha
untuk menakluk Kelantan dan Terengganu.
1907,
setelah Pemberontakan Patani berjaya diamankan, Walter Armstrong Graham (W.A.G)
telah melawat Kelantan dan menghasilkan sebuah buku bertajuk Kelantan : A state of the Malay Peninsula; a handbook of
information telah menguatkan lagi perancangan British untuk terus menguasai
Kelantan kerana mereka menggunakan Proksi
Duff Development Company yang telah mendapat konsesi untuk meneroka dan
membangunkan 3000 ekar tanah di pedalaman Kelantan. W.A. Graham pada waktu ini
merupakan seorang sejarahwan yang Pro-Siam
yang sudah berlatar belakang British di bawah pentadbiran Raja
Chulalongkorn, Rama V. Manakala R.W. Duff merupakan seorang bekas Superitendant
Polis British Malaya yang berkhidmat di Pahang yang kemudiannya menjadi seorang
ahli perniagaan. R.W.Duff mempunyai kepakaran dalam Isu Keselamatan antara
Negeri Melayu Utara-Siam-British Malaya, beliau menjadi seorang pakar rujuk
bebas dalam situasi pentadbiran British pada waktu itu.
Maklumat daripada dua individu membuatkan Kerajaan
British di London tidak berdiam diri dalam meluaskan kuasa mereka hingga ke Malay Isthmus (Segenting Kra). Isu-isu
ini juga digunakan oleh British dalam usaha mereka yang kononnya “menyelamatkan” negeri Melayu daripada
Siam sebenarnya mereka tertarik dengan kekayaan di bumi Negeri Melayu Utara.
1909, Perjanjian Bangkok telah termetrai antara
British dan Siam dan secara kasarnya perjanjian tersebut telah membahagikan
wilayah Negeri-Negeri Melayu Utara antara mereka tanpa pengetahuan Sultan
Berdaulat. Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diserap masuk ke dalam Empayar
British manakala, Patani (termasuk 7 buah negeri yang baru dibentuk) termasuk
dalam Siam. Inilah kronologi akhir
bagaimana Kelantan menjadi jajahan British.
Walaupun Perjanjian Bangkok 1909 ini dimeterai
sesudah Frank Swettenham menjadi Ketua Residen Malaya, jalan untuk perluasan
kawasan koloni British ini memang dirintis oleh Frank Swettenham. Namun
pengaruh Kerajaan British lebih kuat kerana mereka mempunyai seorang Menteri
dalam Kerajaan British waktu itu dan dikukuhkan lagi dengan wakil-wakil mereka
dalam pelbagai jabatan kerajaan Siam.
Mungkin kami akan sediakan satu artikel khusus tentang
pengaruh British dalam pentadbiran Siam.
Kedua-dua gambar ini dirakam semasa Lawatan Frank Swettenham ke Kelantan -+1900 |
Kuasa Bijih
Timah
Logam ini amat bernilai pada abad ke-19 dan 20, dan
eksport terbesar bijih timah waktu itu datangnya dari Semenanjung Tanah Melayu
yang dikenali sebagai British Malaya. Untuk rekod, separuh dari bumi ini pernah
menjadi empayar British, jadi semua hasil-hasil bumi ini dikorek keluar dan
dijual kepada kuasa-kuasa besar lain sebagai produk British. Ramai yang tidak
tahu waktu itu, Bijih Timah dilombong dengan berleluasa di Semenanjung terutama
di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
Inilah faktor terbesar kenapa Pantai Barat
Semenanjung menjadi maju berbanding negeri-negeri di Utara dan Pantai Timur.
Untuk rekod juga, pada tahun 1780an sewaktu Patani dan Kedah belum dijajah oleh
Siam serta British belum lagi berjaya menduduki Pulau Pinang telah berlaku satu
peristiwa turning point iaitu kepada
titik perubahan dalam Sejarah Bangsa Melayu di Utara Semenanjung.
Peristiwa itu adalah pemberontakan yang berlaku di Reman kerana daerah ini kaya dengan galian Bijih Timah ini. Ianya bermula Tuan Mansur dengan sokongan saudagar Bijih berbangsa Cina bernama Tan Kannurak yang mendapat sokongan daripada British pada 1780-1785 memberontak dan mengisytiharkan Reman merdeka daripada Patani. Tuan Mansur sebenarnya adalah seorang pembesar Patani yang dilantik oleh Sultan Muhammad bin Raja Bakar (1774-1785) untuk mengawasi aktiviti perlombongan yang dipelopori oleh Bangsa Cina. Namun, dia termakan hasutan Cina yang mendapat sokongan British telah isytihar merdeka dari Patani.
Hal ini membuatkan Patani menyerang Reman kerana
memberontak. Dalam peperangan ini, Reman dapat bertahan kerana mendapat bantuan
dariapda Cina dan Inggeris. Kesempatan keadaan ini telah diambil oleh Siam
untuk menyerang Patani dan natijahnya Patani alah dalam peperangan dengan Siam
pada 1785.
Kejatuhan Patani telah mendorong Siam untuk
menyerang Kedah pula dan dengan bantuan Inggeris, Kedah juga kalah kepada Siam.
Inggeris ternyata licik dan jahat, kepada Sultan Kedah pada waktu itu yang terdesak
dengan serangan Siam telah ditawarkan bantuan oleh Inggeris untuk mengamankan
Siam dengan ganjaran Pulau Pinang. Maka pada tahun tersebut, Siam tidak lagi
meneruskan serangan dan membuatkan Kedah dapat ditadbir oleh Sultan Muhammad
Jiwa namun Kedah telah termasuk dalam jajahan Siam. Manakala Inggeris pula telah
dianugerahkan Pulau Pinang dan Seberang Prai, setelah itu ia dikenali sebagai
Penang dan Province of Wesley.
Apa yang jelas disini adalah kerana ketamakan kepada
perniagaan Bijih Timah, kebanyakkan negeri-negeri Utara Tanah Melayu dilanggar
dan diserang. Ini adalah contoh apabila Negeri-Negeri Melayu mempunyai idealogi
tersendiri, ianya wajar generasi kini mengambil iktibar. Selain dari itu,
kewujudan Bijih Timah di Reman menunjukkan bahawa negeri-negeri Melayu yang
berjiran dengan Patani dan Reman pastinya mempunyai lembangan bijih tersebut.
Perkara ini mungkin classified, namun semua orang sedar pada masa ini Negeri
Terengganu, Pahang dan Kelantan masing-masing telah mengeluarkan hasil bumi
mereka ketika pentadbiran Bangsa Melayu ini di bawah Malaysia. Untuk pengetahuan, British dan Siam serta orang-orang yang berkepentingan
telah tahu akan kewujudan logam berharga terutama di bumi Kelantan.
Mungkin takdir Allah s.w.t. kini, bahan galian ini
telah dikuasai oleh orang Melayu sendiri, sebagai contoh di Kelantan, Bijih
Besi dan Emas telah dihasilkan dengan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan
Negeri Kelantan pada hari ini. Diharapkan keuntungan dari khazanah ini dapat
dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan negeri untuk rakyat marhaen Kelantan
Hasil Emas dan Bijih Besi yang kita ketahui ini
sebenarnya telah zaman berzaman diketahui oleh nenek moyang kita. Kerana itu,
Siam di bawah Rama III hanya mensyaratkan kerajaan Kelantan pada suatu masa
dahulu hanya perlu menghantar Bunga Emas dan
Bunga Perak sebagai tanda tunduk dan
taat setia kepada Siam.
Faktor ini juga membuatkan British mengetahui di
sebalik tanah Kelantan ini wujud bahagian galian berharga ini. Kerana itu Frank
Swettenham menyokong tindakan Patani, Kelantan dan Terengganu menghentikan
penghantaran Bunga Emas dan Bunga Perak ini kerana menurut pandangannya itu
adalah perbuatan kolot. Chulalongkorn pada waktu itu bersetuju dengan cadangan
Frank Swettenham itu.
Keadaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa British
di bawah Frank Swettenham nampak akan potensi Kelantan ini, cuma mereka mahu
merobek Bumi Kelantan pada waktu itu dengan cara yang berhemah dan gentlemen kerana itu adalah gaya
Inggeris waktu itu. Mereka rela menunggu ratusan tahun, asalkan suatu hari
nanti ia tidak akan melibatkan imej British. Namun mana boleh dulang menutup bangkai gajah, kelicikan
dan kejahatan British telah terserlah pada masa ini. Mereka memang sudah
memasang niat untuk menjarah sedari awal kaki mereka bertapak di Tanah Melayu.
R.W. Duff telah menyelinap dalam pentadbiran
Negeri-Negeri Melayu Utara dengan tumpuan Patani dan Kelantan telah memasang
jerangkap samar untuk menjarah terus negeri-negeri ini. Taktik hide and seek pada awalnya R.W. Duff dan
Frank Swettenham melaga-lagakan Tengku Abdul Kadir dengan pemerintahan
Chulalongkorn, hingga jelas timbul kebobrokan Siam dan kolotnya Siam yang pada
waktu itu memakai imej British mentadbir wilayah jajahan mereka.
Ugutan menganggu aliran perdagangan dengan membuat
terusan di Segenting Kra dan aduan Negeri-Negeri Melayu Utara tentang salah
tadbir Siam telah membuatkan Siam dan British ke meja rundingan dan berlakulah
Perjanjian Bangkok 1909 dan terhasilah sempadan Semenanjung Tanah Melayu dengan
Siam dari 1909 hinggalah pada hari ini.
R.W. Duff dan Sultan Muhammad IV pada waktu itu
(1900) telah berjaya mengesan helah British untuk melakukan penaklukan secara
total telah mengambil langkah awal iaitu dengan meneroka potensi Hulu Kelantan
yang berjiran dengan Reman dan Legeh dengan kemungkinan wujud lembangan bahan
galian asli yang berharga disebalik Tanah Kelantan yang bersempadan dengan
Perak, Reman, Legeh dan Pahang.
Pada tahun 1905, perjanjian antara Duff Company
dengan Sultan Muhammad IV telah diperbaharui dan Duff telah diberi konsesi
tanah seluas 3000 ekar dengan tempoh pajakan selama 40 tahun dengan
syarat-syarat yang telah dinyatakan.
Pada saat ini, Frank Swettenham telah direhatkan
dari British Malaya dan telah dihantar ke Mauritius oleh Kerajaan British. Ini
adalah kerana Pentadbiran Queen Elizabeth mengetahui akan hubungan Frank
Swettenham dengan Raja-Raja Melayu dan mereka bimbang akan berlaku seperti mana
berlaku di Sarawak yang dirajai oleh James Brooke.
1907, Walter Armstrong Graham telah melawat
Kelantan dan menghasilkan satu buku yang menggemparkan Parlimen British dengan
aktiviti Duff Development Company di Kelantan dan Reman. Mereka tidak berdiam
diri, Duff waktu itu juga telah hilang sokongan daripada Frank Swettenham dan
dia sebenarnya berasa kuat kerana mendapat sokongan daripada ahli perniagaan
British di Hong Kong dan Sydney.
1908, Duff Development Company telah didaftarkan di
London dengan modal berbayar sebanyak £4,000,000
dengan secara usahasama antara peniaga dari London, Hongkong dan Sydney.
Menyedari tindak tanduk Duff Development Company, wakil Kerajaan British telah
memainkan sentimen Keselamatan, Politik
dan Perniagaan telah membuatkan Kerajaan British sendiri mengadakan perjanjian
dengan Kerajaan Siam pada 1909.
Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909, yang mana isi
kandungannya adalah Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah dimasukkan kedalam
pentadbiran British dengan alasan Negeri Melayu harus disatukan dengan negeri
bangsa mereka yang lain. Begitulah kisah kewujudan negeri-negeri ini dalam
Persekutuan Tanah Melayu. Patani kekal di bawah Siam kerana isu ketuanan negeri
tersebut yang tunduk kepada Siam pada 1785. Sedangkan perjanjian ini dibuat
diluar pengetahuan Sultan di Negeri-Negeri Melayu tersebut.
Antara lain isi perjanjian itu adalah, Sultan tidak
berhak membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana kuasa asing tanpa mendapat
nasihat dari British dan setiap perjanjian yang dibuat antara Sultan dengan
pihak asing sebelum 1909 adalah terbatal. Hal ini telah membuatkan Kelantan
terlibat dalam kemelut antara British dengan Duff Development Company.
Tahun-tahun berikutnya, Duff Development Company
telah memfailkan saman terhadap Kerajaan Kelantan yang waktu di bawah
pentadbiran British kerana melanggar perjanjian. Ekoran saman tersebut,
aktiviti British juga terhenti. Melalui syarikat proksi dari China dan Jepun,
Kelantan meneruskan penggalian bahan mineral berharga di beberapa jajahan dan
berterusan hingga perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, British juga turut membina
kemudahan-kemudahan infrastruktur di Tumpat dan Palekbang sebagai sokongan
kepada pelaburan mereka di bahagian Hulu Kelantan.
KESIMPULAN
Frank Swettenham adalah perintis kepada pengukuhan
penjajahan British di Tanah Melayu dengan mereka guna dengan istilah Colonialisation. Mereka mengambil masa
beratus-ratus tahun kerana mereka gentleman
untuk menyerap masuk kedalam istana Raja-Raja Melayu hingga akhirnya mereka
dapat menguasi bahagian-bahagian penting dalam pentadbiran yang akhirnya Sultan
hanya berkuasa dalam Adat dan Agama Islam sahaja.
Frank Swettenham juga mempunyai peranan dalam
memecahkan negeri-negeri Melayu Utara dari Induk mereka di Patani. Selain itu,
sahabat baik Swettenham, R.W. Duff juga melicinkan lagi rancangan pemisahan dan
perpecahan Patani. Seterusnya mereka mula menjarah Kelantan walaupun terikat
mereka tetap menggunakan syarikat mereka yang beribu pejabat di Jepun, Hongkong
atau Shanghai.
Namun, usaha mereka tidak berjaya sepenuhnya. Kini
harta yang hak telah dijaga dan dipegang oleh Tuan yang Haq... Semoga kejadian
1909 tidak lagi berulang dengan adanya pemimpin bijaksana yang mengurus
perbendaharaan negeri.
WALLAHUALAM.........
Credit kepada : Cactus Wangi