AKA
: Terkenang Bah Merah (Bah merah di Kelantan suatu masa dulu tahun 1927 dan
tahun 1967)
Hujan
tanpa henti selama 10 hari pada 1926, mengakibatkan banjir besar atau lebih
dikenali sebagai Bah Merah di kalangan penduduk Kelantan kerana turut meragut
nyawa, memusnahkan tanaman dan rumah penduduk.Kira-kira 40 tahun kemudian di
penghujung 1967, satu lagi banjir besar atau Bah Merah melanda negeri Cik Siti
Wan Kembang ini dan meragut 38 nyawa dan kira-kira 537,000 atau 84 peratus
penduduknya turut terjejas.
Mengikut
penduduk setempat nama Bah Merah diberikan berikutan banjir yang luar biasa ini
airnya berwarna kemerah-merahan kerana lumpur daripada bahagian hulu negeri
ini. Seorang warga emas, Yahya Hassan, 90, yang masih tidak dapat melupakan
kejadian banjir besar pada 1926 menceritakan warna banjir bertukar daripada
warna teh susu kepada merah kerana dipercayai ada bukit di bahagian hulu sungai
runtuh dan mengakibatkan banjir lumpur. Beliau yang berasal dari Kampung Sireh,
di sini, berkata, disebabkan hujan tanpa henti itu, kebanyakan tanaman penduduk
kampung termasuk sireh turut musnah. "Bayangkan di Bulatan Kijang (Jalan
Hamzah), air naik hingga paras lutut. Tempat itu dikira agak tinggi daripada
tebing sungai. Masa itu, kawasan Masjid Jamek Muhammadi juga air terlalu deras
sehingga melepasi kepala manusia. "Kelantan ini, kalau dikira hampir
setiap tahun air naik tetapi tidaklah begitu teruk seperti pada 1927 dan 1967.
Pada masa itu, pakcik masih ingat memotong empat tin minyak tanah dan
disambungkan dengan paku untuk dijadikan perahu. "Masa itu masih
kanak-kanak, memang seronok menaiki perahu daripada tin itu mengelilingi
kampung. Tidak takut pun dihanyutkan air deras," katanya ketika ditemui di
rumahnya, di Kampung Kubur Kuda, di sini, semalam.
Bah
Merah pada kedua-dua tahun itu turut merosakkan masjid tertua di Asia Tenggara,
Masjid Kampung Laut yang mengakibatkan serambi serta beberapa bahagian masjid
termasuk tiang dihanyutkan ke sungai.Ketika banjir besar itu, imam tua Masjid
Pasir Pekan ketika itu, Allahyarham Wan Ahmad Wan Abdullah dikatakan terlihat
mimbar masjid hampir dihanyutkan arus. Beliau dan beberapa orang lain berjaya
menyelamatkannya dan mimbar itu dibawa pulang ke Masjid Pasir Pekan, Tumpat dan
digunakan hingga sekarang.Pesara Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Ibrahim
Affandi Ahmad, 77, tidak dapat melupakan kejadian Bah Merah pada 1967 kerana
kehilangan dua rakan sekerja. "Apabila air naik di Bukit Panau, Tanah
Merah, kereta api tidak boleh beroperasi. Lima rakan sekerja, semuanya pemandu
kereta api menaiki bot dari Kuala Krai untuk ke rumah masing-masing di kuarters
Tumpat. "Setiba di Jambatan Sultan Yahya Petra, bot itu terbalik akibat
terlanggar tiang jambatan dan semua penumpangnya hanyut. "Dua dari lima
rakan pakcik, Hassan Laut dan Muhamad Yatim meninggal dunia dan mayat mereka
dijumpai keesokan harinya, masing-masing di Kampung Laut, Tumpat dan Kedai
Buluh, Pantai Cahaya Bulan. Tiga lagi pandai berenang dan selamat,"
katanya yang ketika itu tinggal di kuaters kakitangan KTMB Tumpat.Bagi ratusan
penghuni rumah rakit pula di sepanjang Sungai Kelantan, pengalaman menghadapi
Bah Merah pada 1967 paling mencemaskan kerana berdepan dengan arus deras, ribut
dan angin kencang. Surirumah, Mek Som Ali, 68, berkata dia masih ingat arwah
ibunya, Wan Mah, hampir setiap masa mengingatkannya supaya tidak keluar dari
rumah kerana khuatir dihanyutkan air deras."Makcik masih ingat, arwah ibu
sering pesan, jangan keluar rumah nanti jatuh dan mati. Memanglah, ketika itu,
arus sungai terlalu deras sehingga berombak-ombak seperti di tengah
laut."Orang dulu lain, kita sudah siap sedia setiap kali musim tengkujuh,
bekalan makanan seperti beras sudah disimpan awal-awal. Jadi, tiada masalah.
"Bagi penghuni rumah rakit ini tiada masalah kerana rumah kami akan turut
naik mengikut pergerakan air kerana diikat dengan buluh di bahagian bawah dan
diikat dengan empat tali besar di pokok yang ada di tebing sungai,"
katanya, di sini. Mek Som berkata, jiran yang tinggal di tebing sungai, ada
yang terpaksa menumpang di rumah saudara mara kerana ketika itu tiada pusat
pemindahan banjir seperti sekarang.
Pada
2004, banjir besar turut melanda Kelantan dengan menyaksikan seluruh bandar
Kota Bharu dan beberapa jajahan termasuk Gua Musang dan Kuala Krai dinaiki air
setinggi lebih dua meter. Banjir itu turut meragut 12 nyawa dan 11,000 penduduk
terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan yang disediakan kerajaan. Rentetan
kejadian bah besar yang kerap melanda itu menyebabkan bencana banjir musim
tengkujuh sering dikaitkan dengan Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini.
-
Sumber petikan rencana oleh Mona Ahmad
Artikel disediakan oleh : Admin Kaoru Amir, posting di FB PPSK pada 23/12/2014
PEGAWAI British (dari kiri) Mr Ferrier, Dr Tailor, Mr Kempdan Mr Worham berdepan banjir besar di Kota Bharu pada 1927. |
No comments:
Post a Comment