SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 24 October 2015

Asal Usul Nama Kelantan... Koli? Kolamtanah?

Negeri Kelantan Darul Naim

Semua negeri di Malaysia mempunyai kelebihan masing-masing, baik dari segi sejarah, pemerintah dan rakyatnya. Menyingkap sesuatu hal berkenaan sebuah negeri bukanlah kita mahu menyemarakkan sikap kenegerian, sebaliknya apa yang kami kupaskan dalam setiap penulisan kami adalah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dikalangan anak negeri dan juga berkongsi maklumat dengan rakan-rakan dari negeri-negeri lain termasuklah mereka yang dapat memahami Bahasa Melayu seluruh dunia agar mereka semua menyayangi Negeri Kelantan yang bermakna ini.

Sejarah telah menyatakan bahawa negeri ini telah lama wujud dan dikenali dengan berbagai nama. Catatan sejarah juga mempunyai evolusi tersendiri, di mana ia tercatat dalam Hikayat yang dikarang dan dijilid, ada dibukukan, dan ada juga tersimpan dalam petitih tradisi seperti dalam dialog-dialog Wayang Kulit yang kemudiannya diistilahkan sebagai sebagai Riwayat Tradisi Kelantan. Ada juga maklumat berkenaan negeri ini disampaikan secara lisan selama berkurun lamanya.

Memenuhi disiplin kajian sejarah peringkat perdana, maka lahirlah kelompok akademia sejarah yang meyelidik latar belakang Kelantan, satu yang mengujakan ada antara mereka menyatakan bahawa nama KALANTAN telah dicatatakan oleh Ptolemy (90M-169M)  dalam peta dunia yang dilakar beliau. Sekurang-kurangnya Ptolomey menghasilkan peta tersebut dalam tahun 120 Masihi. Peta tersebut pula disalin daripada pengembara terdahulu dan dipercayai lebih senior dari beliau. Boleh disimpulkan bahawa Kelantan ini telah wujud pada 100SM lagi.

Catatan Ptolemy ini seterusnya membuktikan pula riwayat tradisi yang diwarisi dikalangan orang-orang Kelantan berkenaan asal muasal nama negeri ini. Seterusnya, pengkaji tempatan seperti Datuk Zakiah Hanum dalam bukunya bertajuk "Asal Usul Nama Negeri-Negeri di Malaysia" menyatakan bahawa nama Kelantan ini diperkenalkan oleh orang India Utara, berkenaan Bandar Koli, yang merupakan tempat kelahiran Gautama Budha. 

Agama Hindu dan Budha merupakan kepercayaan bagi kebanyakkan umat manusia sekitar Kepulauan Melayu dan terdapat banyak bukti-bukti tinggalan kepercayaan ini sekitar kepulauan ini antara lainnya adalah Candi Borobudur di Indonesia, Angkor Wat di Kemboja dan Candi Lembah Bujang di Kedah. Justeru tidaklah menjadi suatu yang aneh jika nama bandar koli tersebut diambil dan dipakaikan pada negeri kebanyakkan orang itu. 

Dalam konteks orang-orang Kelantan Sebelum Masihi, nama koli itu tadi telah digabungkan dengan perkataan Thana yang bermaksud "Tanah", secara harafiahnya ia berbunyi Koli Thana yang membawa maksud Tanah Koli. Pelat sebutan kepada KoliThana telah menyebabkan ianya disebut sebagai "Kolamtanah" atau "Kolamtam" yang akhirnya menjadi KELANTAN. Bagaimanapun terdapat riwayat tradisi menyatakan nama Kelantan itu bersempena dengan nama pokok "Gelam Hutan" yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.

Selain itu, pengembara dari Eropah sepeti De'eredia mencatat nama negeri ini dengan nama Calantan Rio, sementara peta lainnya menyebut negeri ini dengan nama Calantan, Calantam dan Calantao. Ensiklopedia Ma Tuan-Lin pula menyebut negeri kita dengan nama Ko-lo, pengembara China lainnya pula merujuk negeri Kelantan dengan nama Ho-lan-tan atau Kou-lo-tan. 

Catatan-catatan ini membuktikan Kelantan suatu masa dahulu dikunjungi oleh pengembara dan pedagang dari seluruh dunia, selain itu ianya membuktikan bahawa orang-orang Kelantan semenjak 100SM telah wujud dengan ketamaduanan dan kemajuan intrinsik yang tersendiri.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...