SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 22 December 2014

Lagenda Che Siti Wan Kembang [1318-1348] & [1585-1632]

2 Lagenda Kelantan

Pendahuluan
Che Siti Wan Kembang adalah nama yang paling diingati oleh Rakyat Kelantan. Kisahnya diikuti dengan penuh minat tidak kira generasi lama dan baru. Beliau diingati kerana keperwiraan beliau dalam menghadapi ancaman musuh, yang menjadi lebih menarik mengenai beliau adalah merupakan individu dari kaum wanita diangkat menjadi Raja dalam negeri dan ia jarang berlaku dalam Sejarah Melayu. Ketokohan beliau juga telah membuatkan ramai ahli sejarah mengangkatnya sebagai salah seorang Srikandi Melayu yang wajar untuk diingati sepanjang zaman.

Dewasa ini di Kelantan wujud sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Pertubuhan Keturunan Paduka Cik Siti Wan Kembang Malaysia yang bertindak sebagai sebuah NGO yang menunaikan amanah Cik Siti untuk memakmurkan bumi ini. Semestinya pertubuhan ini mempunyai maklumat yang lebih jelas berkenaan Lagenda Kelantan ini, kami di PPSK mempunyai sempadan tertentu dalam memperincikan kisah ini.

Artikel ini merupakan percubaan pihak kami untuk menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berkenaan dengan Lagenda ini, hingga ada sesetengah individu menganggap Paduk Cik Siti ini sebagai keramat, malah ada yang beranggapan ia tidak meninggal. Hakikatnya Che Siti Wan Kembang merupakan insan biasa yang berkelebihan selaku seorang pemerintah yang mendapat jolokan Raja Perempuan.

Gelaran Siti
Ringkasan Ceretra Kelantan tulisan Datuk Perdana Menteri Paduka Raja dan Sejarah Kelantan karangan Arifin Abdul Rashid menyatakan gelaran "Siti" diberikan oleh pedagang-pedagang Arab yang melawat Chintawangsa. Mereka bahasakan Che Wan Kembang dengan gelaran Siti dan ini membuatkan para pembesar waktu itu kehairanan kerana mereka tidak pernah mendengar gelaran tersebut.

Lantas mereka bertanya, dan pedangang Arab itu menjelaskan bahawa gelaran Siti adalah bermaksud seorang perempuan yang menjadi tuan atau ketua kepada orang ramai dan ianya sesuai untuk dikenakan dan semenjak itu ia digelar Che Siti Wan Kembang.

Antara Dua
Pertama
Adruja Wijayamala Singha



Ramai pembaca terkeliru tentang Lagenda Kelantan ini kerana terdapat dua orang bangsawan yang memakai gelaran Che Siti Wan Kembang (CSWK) dan mereka hidup di dua zaman yang berbeza. Orang pertama yang memakai gelaran CSWK adalah Arduja Wijaya Mala Singha yang juga dikenali sebagai Dewi Durga. Beliau adalah puteri kepada Raja Sang Tawal 1267-1335. Pengkaji Sejarah Kontemporari menyatakan bahawa Raja Sang Tawal memerintah sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Grahi namun sebelum itu ramai yang merujuk kerajaan ini sebagai Langkasuka. Bagaimanapun, Kerajaan Langkasuka era Sang Tawal sudah menghadapi perpecahan dan hampir musnah ekoran serangan daripada Ayuthya.

Adruja atau Dewi Durga ini terkenal kerana keberanian beliau menentang angkatan Sukhothai yang diketuai Raja Rama Khamheang. Peperangan ini berlangsung di kawasan Segenting Kra yang menjadi sempadan Grahi dan Sukhothai. Dalam serangan ini, Adruja telah berjaya memenggal kepala Rama Khamheang dan telah membuatkan angkatan Sukhothai berpatah balik ke kawasan mereka. Hal ini menjadi dendam kesumat bangsa Thai terhadap orang-orang Melayu dan usaha menebus dendam terhadap Adruja telah disambung oleh Leo Thai, pengganti Khamheang.

1325, Grahi telah tumpas kepada Sukothai ekoran serangan berterusan. Sang Tawal telah berundur ke selatan dan membuka Kota Mahligai sehingga mangkat pada 1335 dan tempatnya digantikan oleh puteranya Raja Bharubhasa yang menyaksikan Langkasuka dan rakyatnya telah memeluk agama Islam. Tahun yang sama juga, Adruja telah dianugerahkan sebuah kawasan untuk dijadikan negeri yang dinyatakan terletak di hulu Kelantan. Negeri ini telah diberi nama Serendah Sekebun Bunga atau nama lainnya Negeri Kisaran Payung dengan Chintawangsa sebagai Ibu Negerinya.

Catatan lain menyatakan Adruja mula memerintah dari tahun 1318 dan lokasi pemerintahannya dikenali sebagai Raja Kelantan Selantan, cuma pengaruhnya sebagi Raja diperakui pada masa pemerintahan kekandanya Bharubhasa menaiki takhta Kerajaan Langkasuka. Gelaran Che Siti Wan Kembang telah diberi oleh rakyat-rakyat Kisaran Payung sebagai satu gelaran kebesaran setelah dimasyhurkan sebagai Raja. CSWK telah mangkat tidak berwaris pada 1348 berikutan beliau tidak pernah berkahwin dan kerajaan beliau telah diambil alih oleh Raja Bharubhasa dan digabungkan dalam kerajaan baginda.

Ramai juga menyebut, CSWK inilah yang telah bertemu dengan Ibnu Batutah yang dalam pengembaraannya mengelilingi dunia. Ibnu Batutah membayangkan CSWK sebagai seorang yang berketurunan Turki.

Kedua
Paduka Che Siti

Individu kedua yang memakai nama gelaran CSWK adalah Paduka Che' Siti yang juga puteri kepada alMarhum Sultan Ahmad Syah yang memerintah Kelantan pada 1526-1547. Waktu ini Kelantan merupakan sebahagian daripada Persekutuan Patani Besar dan keadaan di struktur pemerintahan feudal ketika itu menjadi bercelaru. Sultan Ahmad Syah dicatatkan mempunyai seorang lagi putera yang bernama Paduka Sri Sultan Mansur. Setelah Sultan Ahmad Syah mangkat, puteranya Sultan Mansur telah diangkat sebagai pengganti, manakal Paduka Che' Siti pada masa tersebut baru berumur 4 tahun.

Royal Ark.net mencatatkan Raja Hussin yang juga putera  kelima Paduka Sri Sultan Abdul Jalil Syah II, Sultan Johor 1571-1597 dengan gelaran Sri Paduka Sultan pada 1585 dan baginda dinyatakan telah berkahwin dengan Paduka Che' Siti yang pada tahun tersebut berumur 38 tahun. Raja Hussin telah memerintah sehingga tahun 1610 dan ianya diteruskan oleh Paduka Che' Siti yang pad waktu itu memakai gelaran [Chik Wan Kembang].

Perkahwinan mereka tidak dikurniakan zuriat, dan mereka menjadikan Selatan Kelantan atau lebih tepat Gunung Dang Besar yang ditukar nama kepada Chintawangsa yang dicatatkan berlokasi 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai. Lokasi ini sama dengan lokasi pemerintahan Che Siti Wan Kembang pada tahun 1318-1348, cuma Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] menambah baik pemerintahan tinggalan CSWK dengan membuka sebuah penempatan baru yang dikenali sebagai Kota Tegayong dan ia berfungsi sebagai pusat pentadbiran. Di Kota ini, beliau telah membina sebuah taman bunga yang dikenali sebagai Taman Bunga Serendah Sekebun Bunga Cerang Tegayong dan lokasinya terletak di Kampung Kedai Piah, Pangkal Kalong, Ketereh. 

Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] merupakan individu yang menjadikan Puteri Mariam yang juga dikenali sebagia Puteri Saadong anak Raja Loyor sebagai anak angkat beliau. Puteri Saadong inilah yang begitu berpengaruh dalam sejarah Kelantan dan hingga kini masih ada lagi waris Puteri Saadong yang memakai gelaran Puteri Saadong ke-7 iaitu Tengku Anis, yang kini merupakan warga Indonesia.

Puteri Saadong adalah seorang yang rupawan dan terkenal hingga Raja Siam juga turut terpikat akan kejelitaannya itu. Paduka Che' Siti menyedari hal tersebut dan telah mengahwinkan Puteri Saadong dengan sepupunya yang bernama Raja Abdullah. Siam tidak berputus asa dan telah menyerbu kedudukan Paduka Che' Siti yang bersama dengan Puteri Saadong dan Raja Abdullah, pada awalnya mereka telah melarikan diri ke Kota Jelasin dan Kota Mahligai, dan berakhir di Bukit Marak. Ketika di Kota Mahligai, Paduka Che' Siti telah menyerahkan pemerintahan kepada Raja Abdullah dan Puteri Saadong manakala beliau telah berundur ke Gunung Chintawangsa dan kisahnya selepas itu tidak lagi diketahui...

Kesimpulan
Ini adalah usaha kecil kami untuk mengupas berkenaan Lagenda Che Siti Wan Kembang dan kekaburan akan kisahnya. Maklumat yang kami sampaikan adalah maklumat yang sedia ada dan diterbitkan dalam pelbagai makalah baik bercetak ataupun elektronik. Ramai berpendapat kisah Che Siti Wan Kembang sebagai satu keramat, namun selidikan secara ilmiah telah dijalankan oleh ramai pengkaji baik dari anak Kelantan mahupun oran luar termasuk pengkaji Inggeris dan ianya telah dipersembahkan dalam banyak jurnal dan buku. Kami menggalakkan kepada yang lebih maklum berkenaan Lagenda ini untuk tampil berkongsi maklumat lain dan sama-sama kita menyelidiknya.

  • Che Siti Wan Kembang, Raja Kelantan Selatan 1318-1348
  • Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang], Chintawangsa, Kota Tegayong 1585-1610
Sekadar Hiasan

Wallahualam bis'sawab



Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. 

Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Cik_Siti_Wan_Kembang
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://www.royalark.net/Malaysia/malacca4.htm
  • http://s1294.photobucket.com/user/ppsejarahkelantan/media/Large%20Image/SalasilahKesultananKelantan_zpsc4fd2768.jpg.html
  • http://s1294.photobucket.com/user/ppsejarahkelantan/media/Large%20Image/SalasilahRaja-RajaKelantandariAhlulBait_zps6d0f5d53.jpg.html
  • http://p2kw.blogspot.nl/2011/05/sejarah-cik-siti-wan-kembang.html
  • http://sejarahbangsamelayuyanghilang.blogspot.nl/2011/12/adruja-wijayamala-singa-puteri-wirawati.html
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...