SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 31 December 2014

Rangkuman PPSK 2014 - Pembuka Tirai 2015

Assalamualaikum w.b.t.

31 Disember 2014...
Pantas masa berlalu, kini kita sudah berada di penghujung tahun 2014, tahun yang sungguh mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia dan kita di Kelantan juga turut terkesan. Jika dirangkumkan keseluruhan tahun 2014 ini memang menginsafkan diri sebagai warga Malaysia berikutan transformasi ekonomi dari rencana gerakkan politik hinggalah kepada bencana alam yang dialami banyak negeri serta tragedi MH370 dan MH17.

Kami juga tidak ketinggalan mengikuti segala isu dan mengulas hal-hal yang berkaitan selaku sebuah NGO yang memperjuangkan kecemerlangan warga Kelantan dengan menghayati sejarah negeri. Sepanjang tahun 2014 berikut adalah aktiviti yang kami jalankan:
  • Ekspedisi Mambong (ALK, AWM dan AAK)
  • Lawatan ke Kemboja dan Indonesia (AAK)
  • Kerjasama dengan Galeri Kuala Krai (Bendahari)
  • Kerjasama dengan Perpustakaan UMK (APM dan Bendahari)
  • Kajian Kesultanan Kelantan [Siri 1-45 : APM]
  • Liputan MH370 (APM)
  • Imbasan Perang Dunia Kedua (ALK)
  • Liputan Bah Kuning 2014 (AKA dan APM)
  • Penyediaan Artikel di Blog (APM)
  • Posting di Fan Page (Semua Admin)
Selain itu terdapat juga usaha-usaha yang dijalankan secara tertutup oleh admin di bahagian field work yang melibatkan maklumat yang tidak boleh didedahkan pada masa sekarang bersama agensi-agensi kerajaan dan NGO yang lain.

Fan Page
Asas kepada Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan (PPSK) yang sebelum ini ditubuhkan dengan nama Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) adalah kepada FB Fan Page yang telah mula ditubuhkan pada penghujung tahun 2011. Bermula tahun ini, rombakan pentadbiran telah dilakukan sejajar dengan pendaftaran KPSK sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan nama Kelab telah diganti dengan Persatuan. 

Bagaimanapun, di Fan Page kami masih mengekalkan nama Kelab sebagai tanda ingatan kami terhadap asas persatuan ini. Tahun ini juga menyaksikan catatan jumlah likers meningkat dengan mendadak di mana pada awal tahun 2014 fan kami hanyalah berjumlah lebih kurang 35,000 orang sahaja, bagaimanapun ia meningkat menjadi 80,000 fan berikutan saluran maklumat mengenai insiden MH370. Ia terus meningkat ketika kami membuat sebaran berita mengenai Perang Palestin-Israel semasa awal Ramadhan 2014 dan ia terus berkesinambungan dengan berlakunya Tragedi MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine. Kini jumlah fans PPSK masih meningkat sejajar saluran maklumat berkenaan Bah Kuning 2014, hingga artikel ini ditulis fans kami berjumlah 142,000 orang.

Kami di PPSK bukan mengejar like tapi kami disini terus teguh dengan pendirian untuk memberi maklumat terutama informasi berkenaan Sejarah Kelantan kepada segenap lapisan generasi Kelantan baik yang muda ataupun yang tua. Peningkatan like pada kami adalah satu tanda aras tentang penerimaan masyarakat dengan kewujudan kami dan ia bukanlah satu perkara untuk dibangga-banggakan, sebaliknya ia menjadi pendorong kepada kami untuk terus menyalurkan ilmu dan maklumat demi pencerahan berkenaan dengan negeri Kelantan yang dicintai ini.

Laman Blog
Sebelum kewujudan http://www.pp-sk.blogspot.com kami telah menggunakan platform wordpress bagaimanapun berikutan masalah penyelenggaraan dan teknikal, kami beralih kepada platform blogspot yang lebih mudah untuk dikendalikan. Kami telah menyalin artikel penting dan dimuatkan di sini semenjak November 2013 lagi.

Blog ini adalah satu kaedah untuk mengelakkan posting sekerat-sekerat di Fan Page, dimana kami telah synchronise blog ini dengan FB PPSK. Tiada sasaran khusus diletakkan pada blog ini, dan ianya kami wujudkan semata-mata sebagai punca rujukan dan panduan untuk kepada penggiat sejarah yang lain dan sekurang-kurangnya blog ini dapat menyalurkan maklumat berkenaan Sejarah Negeri kepada seluruh rakyat Kelantan dan Malaysia serta mereka yang berminat secara percuma.

Sesungguhnya usaha menghasilkan sesuatu artikel bukan perkara yang mudah, bagaimanapun ia tetap diteruskan kerana matlamat kami yang berjihad dengan cara ini. Kami tidak punya harta, tapi kami ada semangat dan cintakan Ilmu, jadi kami kongsikan ilmu dan maklumat yang kami ada dengan semua orang, semoga Allah s.w.t. menerima amal kami ini. Sehingga kini kami telah menerbitkan sejumlah 188 artikel dan ia akan berterusan, Insha Allah!

Bagaimanapun, hasil penerbitan kami di blog ini tidak dapat dimuktamadkan, kerana kami bukanlah pakar sebaliknya artikel-artikel kami dihasilkan dengan objektif untuk dikembangkan lagi pengkajian sejarah Kelantan, dari sini sejarah Kelantan itu akan terus hidup dan sentiasa disemarakkan dengan harapan suatu hari nanti akan lahir pengkaji sejarah Kelantan yang dapat menerbitkan makalah ilmiah yang jitu berkenaan Sejarah Negeri Che Siti Wan Kembang ini.

Harapan
Dokongan dari semua pembaca dan fan merupakan tulang belakang kami, tanpa sokongan anda pasti semangat kami akan pudar. Komen-komen di setiap posting merupakan pembakar semangat kami malah ada komen dari anda semua mencambah idea pengkajian kami tentang sejarah Kelantan. Saat ini kita dapat saksikan, sudah ramai komuniti berasaskan sejarah mula muncul, malah ada yang bergerak lebih baik dari PPSK. Itu kami anggap rahmat dan kami tiada niat untuk berlumba-lumba kerana niat kami jelas iaitu berkongsi sedikit pengetahuan yang ada dengan semua orang tanpa prejudis.

Kami juga tidak pernah membeli fans walaupun facebook menyediakan kemudahan itu. Fan dan pembaca PPSK adalah sahabat kami dan ia adalah asli, kami berhubungan seperti kawan lama walaupun hanya mengenali di alam maya, jika dijodohkan para admin juga akan "bertemu mata" dengan fans yang terpilih.

Semua admin PPSK merupakan orang yang merendah diri dan tidak gemar dikenali ramai, kami hanya sampaikan maklumat dan sedikit pun bukan mencari nama atau populariti, jika itu kami cari PPSK bukan tempat kami. Semoga anda semua terus menyokong kami, silent reader merupakan aset kami dan anda kami tetap hargai dengan menyajikan anda hasil penulisan yang diberikan nafasa baru.

Kami akhiri rangkuman ini dengan menyusun sepuluh jari andai ada terkhilaf dalam menghasilkan penulisan sejarah Negeri Kelantan, kami alu-alukan kritikan membina dan teguran bermaklumat untuk kami pertingkatn mutu penulisan.

Sekian dan Salam 2015.






Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...