SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 31 December 2014

Senyuman di sebalik Kedukaan [Bah Kuning 2014]

Admin sebenarnya mengikuti perkembangan Musibah Banjir (Bah Kuning) 2014 ini dari Luar Negara. Kecanggihan Teknologi Maklumat membolehkan admin mengikuti apa yang berlaku setiap detik. Benar, hanya 45% maklumat yang admin ikuti dari saluran media sosial ini tepat, selebihnya perlu dapatkan maklumat lain untuk pengukuhan

Pada awalnya, Rantau Panjang di Pasir Mas telah ditenggelami air berikutan limpahan air di Sungai Golok yang juga membuatkan pekan Golok di seberang sempadan Malaysia turut tenggelam. Sebaik sahaja air sekitar Rantau Panjang surut, kejadian limpahan air pula berlaku di pedalaman Kelantan terutama di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai. 

Pada peringkat awal, saat getir penduduk di pedalaman dikongsikan melalui laman sosial Facebook dan ia cukup membuatkan admin panik, di page FB, Admin AKA mula bertindak menyalurkan maklumat keadaan banjir di pedalaman Kelantan terutama paras banjir sekitar Kuala Krai. Banyak maklumat memohon bantuan disalurkan, dan kongsikan sedaya mampu. Dalam masa yang sama juga, beberapa kawasan rendah sekitar Pasir Pekan, Tumpat dan Kota Bharu juga dilaporkan dinaiki air, admin PPSK yang tinggal di kawasan tersebut juga berkeadaan standby dengan beberapa NGO yang lain.

Sedih dan pilu apabila ramai sanak saudara yang gagal menghubungi keluarga masing-masing di kawasan yang terjejas dengan banjir, ramai yang menghantar private message (PM) ke inbox menyatakan terdapat mangsa terperangkap dan terputus bekalan makanan. Kebanyakan mesej yang dihantar ramai yang terperangkap atas bukit dengan kegusaran mereka terhadap mangsa yang sedang sarat mengandung dan kanak-kanak berikutan ramai yang ramai menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang berikutan air naik dengan mendadak.

Tidak lama selepas itu, banyak klip-klip video mangsa banjir tersebar melalui page FB yang mempunyai ratusan ribu fans. Paling menghibakan rakaman video yang menyaksikan rumah dihanyutkan arus deras dan dua orang mangsa banjir yang sedang bertarung nyawa menyelamatkan diri dari lemas. Kemuncaknya, puluhan NGO dan Agensi Kerajaan mula bertindak dengan pantas untuk menyalurkan sumbangan mereka.

Kami yang berada di luar negara juga tidak lekang mengikuti keadaan musibah ini. Media antarabangsa juga turut membuat liputan berkenaan dengan banjir yang dialami Kelantan dengan berita semasa tersiar di CNN, BBC, Reuters malah ia juga tersiar dalam berita di Belanda dan Germany. Begitu meluas maklumat bencana ini tersebar, namun  ianya terhenti setelah kejadian menimpa penerbangan Air Asia, QZ8501 dan Kebakaran Feri di Greece telah mengalihkan tumpuan dunia tentang banjir besar di Malaysia.

Walaupun kami berada puluhan ribu kilometer dari Malaysia dan Kelantan, kami tetap mengenang dan merasai apa yang semua mangsa rasai, tiada istilah seronok bagi kami di negeri orang ini. Perasaan bimbang kepada ahli keluarga tetap ada, dan Alhamdulillah, ahli keluarga admin di Pasir Mas berada dalam keadaan selamat walaupun sedikit terjejas. Kepada sahabat-sahabat kami di Kuala Krai dan Gua Musang, kami harap anda semua tetap tabah dengan ketentuan Illahi ini. Pasti ada Kemanisan di sebalik Kedukaan yang dialami... INSHA ALLAH!


Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...