SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 28 March 2015

KOTA BHARU II yang Tenggelam : Siri Sejarah Silam

Pendahuluan
Kota Bharu yang kita kenal pada hari ini merupakan Ibu Negeri Kelantan. Ia berkembang dengan begitu pesat semenjak 10 tahun kebelakangan ini, banyak binaan moden wujud disamping bangunan-bangunan tradisional lainnya. Ramai rakyat Kelantan tahu berkenaan kisah bagaimana Kota Bharu mendapat nama yang berkisar tentang sejarah Kota Kubang Labu dan peranan Long Yunus ketika membuka ibu negeri Kelantan ini.

Bagaimanapun ramai juga yang tidak sedar bahawa Kota Bharu ini wujud didua lokasi berbeza iaitu satu tapak kota yang dibuka oleh Long Yunus dan sebuah lagi kota yang diwujudkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad I (1801-1835).

Sejarah Ringkas Kota Bharu
Setelah tamatnya Perang Kota Kubang Labu 1762 Long Yunus telah dilantik sebagai Yang diPertua Negeri dan Long Ghafar sebagai Perdana Menteri, pada masa ini pengaruh Terengganu masih kuat di Kelantan hinggalah tercetusnya perang antara Kelantan dan Terengganu pada 1800 dengan Long Muhammad putera kepada Long Yunus berjaya mengusir pengaruh Terengganu dengan bantuan orang-orang China dari Pulai. Setelah itu baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I. 

Sewaktu peperangan Kota Bharu telah musnah teruk dan banyak bangunan penting rosak dan binasa. Sultan Muhammad I mengambil inisiatif untuk membina kota yang baru menggantikan kota asal yang rosak. Perang antara Kelantan dan Terengganu bermula ekoran persaan tidak puas hati dikalangan putera-putera Long Yunus berkenaan perlantikan Tengku Muhammad Ibni Sultan Mansur I seorang Tengku dari Terengganu yang juga ipar mereka. Pada pandangan putera-putera Long Yunus ini merekalah yang paling layak menggantikan tempat ayahandanya itu, bibit tercetus kekecohan apabila putera-putera Long Yunus ini enggan menurut perintah dari Tengku Muhammad berkenaan urusan pertabalan beliau, dan lama kelamaan ia melarat kepada kejadian tembakan keatas perahu yang dinaiki oleh keluarga diRaja Terengganu berhampiran Kuala Besar kejadian tembakan itu telah membuatkan Sultan Mansur di Kuala Terengganu murka dan mereka telah menyerang Kelantan, dalam serangan ini putera-putera Long Yunus telah tewas dan berundur ke Hulu Kelantan dengan janji tidak akan bangkit lagi, setelah pengunduran putera-putera Long Yunus ini, Kota Bharu yang dibina semasa pemerintahan Long Yunus telah dibakar dan dijarah oleh angkatan Terengganu yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Siak (bugis). Angkatan perang Terengganu berada di Kelantan selama 5 bulan selepas pengunduran putera-putera Long Yunus, ketika itu seluruh Kelantan telah dijarah dengan rakus dan banyak rumah serta kediaman bangsawan dan rakyat marhaen Kelantan dirampas dan dimusnahkan, setelah itu barulah angkatan ini pulang ke Terengganu dan tinggalah Tengku Muhammad di Kota Bharu yang dilantik sebagai Yamtuan Kelantan.

Setelah angkatan perang Terengganu kembali semula ke negeri mereka, Long Muhammad dengan bantuan China dari Pulai telah melakuka serangan balas keatas kedudukan Tengku Muhammad di Kota Bharu, sekali lagi ibu negeri Kelantan ini mengalami kemusnahan jiwa dan harta benda. Tengku Muhammad telah kembali ke Terengganu untuk mendapatan bantuan, namun dengan takdir Allah s.w.t. Terengganu tidak jadi menyerang balas berikutan kemangkatan Sultan Zainal Abidin. Justeru kemenangan ini membolehkan Long Muhammad ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I menduduki takhta Kelantan pada 1801. Artikel berkenaan Perang Kelantan dan Terengganu boleh diikuti pada Patuan I dan Pautan II

Kota Bharu II
Atas faktor kemusnahan dalam peperangan, Sultan Muhammad I telah menggerakkan usaha membina kota pentadbiran Kelantan yang baru di Pulau Saba iaitu sebuah pulau yang terletak di tepi tebing timur Sungai Kelantan. Di pulau tersebut dibina beberapa bangunan penting dan juga sebuah masjid, lokasi baru inilah menjadi ibu negeri Kelantan selama 42 tahun bermula 1800 hingga 1842 dan ia telah diberi nama jolokan sebagai Kota Kebun Menseta. Sultan Muhammad I telah mangkat pada 1835 telah meninggalkan takhta Kelantan tanpa perwaris yang sah sehingga mencetuskan perang saudara di Kelantan dengan ia akhirnya berpihak kepada Long Senik Mulut Merah dan baginda telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II pada 1837. Waktu itu Pulau Saba masih menjadi ibu negeri Kelantan bagaimanapun baginda merasa bimbang akan keadaan pulau tersebut yang saban tahun telah terhakis ekoran sering dilanda banjir. Tahun 1840 baginda telah mengeluarkan perintah supaya digali satu anak sungai di tebing sebelah barat Sungai Kelantan bertempat di Kampung Kutan untuk mengurangkan rempuhan aliran air ke Pulau Saba.

Baginda Sultan Muhammad II sendiri telah mencemar duli berangkat merasmikan projek tersebut, menandakan ianya satu projek yang penting. Sungai tersebut digali dengan lebar 3 depa, dalam 5 depa dan ia sepanjang 4 batu dari Kutang hingga ke Bendang Mokrat berhampiran Palekbang, sungai ini telah selesai digali pada 1841 dan ia dinamakan sebagai Sungai Raja Gali. Malang sekali selepas setahun, sungai buatan ini tidak dapat berfungsi berikutan ia telah tertimbus oleh timbunan lumpur dan pasir yang dibawa oleh arus Sungai Kelantan membuatkan Pulau Sabar kembali terancam hingga ia tidak lagi dapat diselamatkan menyebabkan pemerintahan Sultan Muhammad II mencari lokasi baru sebagai kota pentadbiran.

Setelah 42 tahun, Kota Kebun Menseta di Pulau Saba telah ditinggalkan berikutan hakisan yang tidak dapat dibendung lagi, hari ini ia telah tenggelam sepenuhnya dalam Sungai Kelantan. Inila satu bukti kenapa banyak bukti arkeologi di Kelantan tidak dapat ditemui berikutan ancaman bencana alam semulajadi.

Lokasi Kota Kebun Menseta di Pulau Sabar | Maklumat : Warisan Kelantan II olahan pada imej Google Earth

Kota Bharu III
Semasa pemerintahan Long Yunus, baginda telah memindahkan pusat pentadbiran Kelantan dari Kota Kubang Labu ke kota istananya di Kampung Galuh terletak di tebing sebelah timur Sungai Kelantan yang berhadapan kampung pekan (Pasir Pekan). Waktu itu Kampung Galuh juga dikenali sebagai Kampung Ce' Bu ia mempunyai sebuah pengkalan yang dikenali sebagai Pengkalan Leser atau Pengkalan Galuh. Pada masa kini, kampung ini lebih dikenali sebagai Kampung Kota Lama. Segala binaan di kampung tersebut dikenali sebagai Istana Galuh. Bagaimanapun Istana Galuh ini telah musnah binasa ekoran perang antara Kelantan dan Terengganu pada 1798-1800 dan ia diganti dengan Kota Kebun Menseta di Pulau Saba.

Bagaimanapun Ibu Negeri Kelantan di Pulau Saba itu sering diancam oleh banjir dan hakisan membuatkannya hanya mampu bertahan selama 42 tahun sahaja. Justeru, dibawah pentadbiran Sultan Muhammad II telah memilih satu kawasan baru pada arah timur Pulau Saba dan baginda telah mengeluarkan arahan untuk pembinaan kota dan istana pada lokasi baru tersebut. Di dalam kota yang baru itu terdapat sebuah balai besar, sebuah rumah besar yang merupakan istana kediaman raja, sebuah surau dan sebuah rumah tempat pengawal-pengawal raja. Kompleks Kota Pentadbiran Kelantan ini dibina diatas tapak seluas 40 ekar yang dikelilingi dan dipagari oleh pokok buluh peleting seluas 25 ekar yang dipanggil sebagai kawasan Buluh Kubu dan kemudiannya disebut Dalam Kubu. Di dalam kubu inilah didirikan rumah-rumah kediaman kerabat-kerabat raja, orang-orang besar dan orang-orang yang setia dan berjasa kepada Raja.

Pada tahun 1844, baginda Sultan Muhammad II telah berangkat bersemayam di istana yang baru dibina itu, kota dan istana tersebut dinamakan sebagai "Kota Bharu" yang akhirnya berkembang pesat pada hari ini malah ia menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Kelantan. Untuk mengelakkan kekeliruan antara nama Ibu Negeri dan kompleks istana itu, baginda telah menamakan istana beliau sebagai Istana Balai Besar dan mengekalkan nama ibu negeri Kelantan sebagai Kota Bharu.

Istana Balai Besar sekitar 1900




Rujukan:
  • [Monograf] Warisan Kelantan III
  • [Buku] Keluarga DiRaja Kelantan Darul Naim
  • https://www.scribd.com/doc/184055863/sejarah-awal-perkembangan-ekonomi-kelantan-1959-2009-by-NABIL-FIKRI-docx
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...