SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 25 March 2015

S.Othman Kelantan : Siri Tokoh

Allahyarham S. Othman Kelantan

Pendahuluan
Tahun silih berganti, masyarakat meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang belajar melangsungkan kehidupan dengan berkerja. Yang bujang mula berkahwin dan melahirkan zuriat. Namun jarang kita terfikir dalam transisi masa itu, pasti kita dihiburkan juga diperingatkan melalui pelbagai medium.

Dekad 1960 - 1980, percetakan merupakan medium utama dalam menerbitkan majalah, surat khabar, & Buku. Masa tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang wartawan mendapatkan berita utama melainkan jika ia berlaku di bandar-bandar besar. Justeru untuk meneruskan kelangsungan sesebuah penerbitan dibukalah ruangan Cerpen, Sajak, Puisi dan Rencana yang mana penerbitan tersebut melibatkan pembaca untuk menghantar karya kreatif mereka. Keadaan ini telah melahirkan puluhan sasterawan yang masih tersohor hingga kini, salah seorang dari mereka adalah S.Othman Kelantan.

Profil
Latar Belakang
Dilahirkan pada 13 November 1939 di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu dan dinamakan sebagai Syed Othman bin Syed Othman al Yahya. Beliau lebih dikenali sebagai S.Othman Kelantan dalam dunia penulisan. Beliau aktif dalam lapangan penulisan pada tahun 1953 dengan menulis Cerita Pendek (cerpen) serta novel, sehingga tahun 2000 beliau sebanyak 175 cerpen beliau telah diterbitkan dan beberapa novel beliau juga menjadi fenomena hingga diterjemahkan kepada beberapa bahasa asing seperti Jepun, Perancis, Inggeris, Russia dan Cina. 

Pendidikan
Beliau mula menerima pendidikan formal  di Sekolah Melayu Sabak sehingga darjah V pada 1950 dan menyambung pelajaran di Sekolah Rambutan Rendang sehingga lulus darjah IV. 1964 beliau telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan pada 1971 beliau telah meraih Sijil Tinggi Persekolahan. Setelah itu S.Othman Kelantan telah menyambung pelajaran pada peringkat Sarjana Muda secara luar kampus dengan Universiti Sains Malaysia sehinggalah meraih Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1979. Semangat beliau untuk belajar tidak terhenti setakat itu, beliau telah melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana pula dan pada 1982 beliau telah dianugerahkan Sarjana dalam bidang sastera pada 1982 juga dari Universiti Sains Malaysia. Kata pepatah Alang-alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai ke Pangkal Lengan, S.Othman Kelantan telah menyambung lagi pembelajaran beliau pada peringkat PhD dan pada 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan gelaran Doktor Falsafah kepada beliau.

Kerjaya
S.Othman Kelantan sebenarnya adalah seorang guru sekolah sebelum beliau bertukar kerjaya sebagai pensyarah pada 1983. Beliau berkhidmat sebagai guru hanya di Kelantan dengan Sekolah Rendah Gaal, Pasir Puteh sebagai sekolah pertama dan Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu sebagai sekolah terakhir beliau. Setelah beliau mendapat Ijazah Sarjana dari USM, beliau telah berkhidmat sebagai Pensyarah Penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) sehinggalah beliau bersara.

Penulis dan Pengarang
Pada peringkat awal penulisan, beliau menghasilkan puisi dan cerpen untuk Utusan Kanak-kanak dan Tunas serta majalah Hiboran, Mutiara. Dua majalah ini lebih kepada maklumat hiburan dan dari sinilah S.Othman Kelantan membina keyakinan untuk terus menghasilkan karya kreatif yang lebih bersifat dinamik dan akhirnya karya beliau diterima penerbit yang besar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada peringkat pembabitan beliau dalam menulis karyanya lebih bercorak hiburan ringan dengan memuatkan tema penyiasatan dan ala-ala Cowboy dan mengembangkan penulisan dengan meyentuh persoalan yang lebih besar mencakupi isu kemasyarakatan, politik, agama dan falsafah.

Beliau sebenarnya lebih terkenal sebagai Cerpenis dengan cerpen yang menjadi ingatan hingga saat ini iaitu "Pahlawan Lembu". Hasil penulisan beliau telah membawa beliau memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan Majalah Mastika. Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen beliau sebagai cerpen terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975. Pengelibatan beliau dalam penulisan novel bermula apabila novel Pelangi memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1962. Kejayaan inilah mendorong beliau untuk menghasilkan novel sulungnya iaitu Pengertian pada 1968. Bagaimanapun ia mengambil masa untuk diterima masyarakat umum, setelah novelnya yang ketiga bertajuk Angin Timur Laut barulah penulisan beliau dalam novel mendapat sambutan dari pembaca.

Persatuan
Sepanjang terlibat dalam dunia penulisan, S.Othman Kelantan pernah diangkat sebagai Ketua dalam beberapa persatuan yang berteraskan kemasyarakatan seperti Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dari tahun 1973 - 1976, Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA). Karyawan ulung ini telah meninggal dunia pada 31 Julai 2008 dan dikebumikan di Bangi.


Antara Novel S.Othman Kelantan













Rujukan:
  • http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=747
  • http://bwpian.blogspot.nl/2010/10/biodata.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/S._Othman_Kelantan
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...