SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 4 March 2015

KOTA KUNO di tengah Belantara KELANTAN : Siri Sejarah Silam Kelantan

Gambarajah 1 : Lion City, Ibu Negeri Chih Tu terletak jauh ke pedalaman Kelantan.


Pendahuluan

Penulisan terdahulu telah kami huraikan berkenaan sebuah negara kuno Chih Tu yang diyakini oleh ramai sejarahwan terletak di negeri Kelantan hari ini. Chih Tu adalah nama China yang membawa maksud Tanah Merah manakala dalam sanskritnya ia bermaksud Raktamrittika yang juga membawa makna Tanah Merah. Di Kelantan pula memang sudah ada jajahan bernama Tanah Merah, atas sebab itu teori Chih Tu terletak di Kelantan menjadi bertambah kukuh, bagaimanapun terdapat ahli sejarah mengeluarkan teori kerajaan Chih Tu ini terletak di beberapa lokasi yang lain.

Dalam buku The Golden Khersonese menyebut bahawa Ibu Kota Chih Tu terletak jauh ke pedalaman, memerlukan masa selama sebulan berjalan di darat untuk tiba ke Kota Seng Chih atau seperti terjemahan dalam peta di atas iaitu Lion City (Kota Singa). Ahli Sejarah menyatakan bahawa ia dicatat oleh delegasi Dinasti Sui yang datang ke Chih Tu sebagai usaha mereka untuk merdeka dari Funan, setelah itu Chih Tu telah menukar nama kepada Sriwijayamala dan kemudian mewujudkan satu bandar baru yang bernama Valaipenjuru. Penulisan kali ini kami akan huraikan tentang lokasi dan deskripsi berkenaan dua kota lama ini untuk kita dapatkan gambaran sebenar antara rekod bertulis dan penempatan dalam peta topografi. 

Kota Singa
Ilustrasi Kota Singa dalam peta di atas menyatakan ia terletak jauh ke pedalaman Kelantan, peta ini diterbitkan dalam tahun 1960an, jadi pada masa tersebut umum tidak mengetahui nama yang betul bagi kawasan tersebut. Kawasan ini pada masa tersebut merupakan kawasan yang digeruni oleh para pengkaji kerana ia merupakan kawasan aktif gerila komunis dan sering berlaku insurgensi antara Tentera dan Polis Malaysia dengan Komunis.

Ia dapat dicatatkan melalui kajian topografi dengan menentukan sudut bering yang diambil dari rekod China dan match making dengan kajian geografi dan hasilnya dapat dilakukan plot pada peta lokasi ibu kota Chih Tu itu. Kami juga mengambil insiatif sendiri untuk melihat kedudukan plot kota tersebut dan dipadankan dengan peta yang diperoleh dari Google Earth seperti berikut:

Gambarajah 2 : Lokasi Kota Singa di atas peta terkini

Sebelum ini kami ada nyatakan bahawa kota ini terletak di sekitar Gua Musang namun jangkaan kami itu tidak tepat kerana ia berkedudukan di kawasan Kuala Krai seperti berikut:

Tidak disiarkan atas nasihat admin PPSK yang lain.



Analisis peta yang kami jalankan mendapati lokasi plot yang dibuat pada tahun 60an itu menyatakan bahawa Kota Singa itu terletak di rangkaian Gunung Stong dan ia juga pernah menjadi pusat pemerintahan Che Siti Wan Kembang. Berdasarkan sejarah Gunung Stong yang terkait dengan lagenda Gunung Chintawangsa adalah bertepatan tentang lokasi ibu kota yang pernah wujud pada tahun 607Masihi ini.

Gunung Stong pada hari ini merupakan satu kawasan rekreasi untuk Sukan Mendaki Gunung semenjak dari tahun 90an. Ia menjadi tumpuan kepada para pendaki kerana memiliki panorama yang mengasyikan yang terdiri daripada flora dan fauna yang jarang dijumpai di tempat lain. Selain itu Gunung Stong juga mempunyai air terjun jelawang yang dari jauh menggamit perasaan kekaguman tentang keindahan alam semulajadi.

Menjadi satu misteri antara plot Ibu Kota Chih Tu dengan Gunung Stong yang sering dikunjungi ramai, hingga kini tiada dilaporkan pendaki Gunung Stong menemui sebarang artifak dari Kota Singa itu, walhal rekod kuno menyatakan Istana di kota tersebut dibina dengan penuh kemewahan dan kemegahan dengan bahan utamanya adalah daripada emas dan batu permata yang bernilai. Apakah benar Kota Singa atau Seng Chih itu terletak di Gunung Stong?


Valai Penjuru
Nama ini mungkin asing bagi para pembaca, bagaimanapun ia pernah diketengah oleh beberapa pengkaji sejarah Kelantan seperti Allahyarham Abdullah Mohamed (Nakula) dan Ustaz Halim Bashah menyatakan bahawa ini adalah Ibu Kota Chih Tu mengisytihar merdeka daripada Funan pada 607M dan mula menggelar nama kerajaan mereka sebagai Sriwijayamala. Pada tahun 660M,  pemerintahan kerajaan ini berpusat di Valai Penjuru atau lokasinya pada hari ini sekitar Pergau. 

Pada masa sekarang di Pergau terdapat Empangan Hidroelektrik dan telah membentuk tasik buatan manusia yang dikenali sebagai Tasik Pergau bagaimanapun kawasan tasik ini tidak menjejaskan lokasi Valai Penjuru itu. Kami telah menganalisis capaian Google Earth dan berikut adalah kawasan yang diyakini sebagai kawasan kota tersebut.


Gambarajah 4 : Kedudukan Valaipenjuru 
Peta tidak disiarkan atas nasihat admin PPSK yang lain.

Kawasan empat segi berwarna merah merupakan kawasan yang diyakini sebgai lokasi Kota Valai Penjuru, manakala bulatan kuning merupakan fokus kepada terletaknya pusat pemerintahan Sriwijayamala itu. Hasil pemetaan ini kami peroleh berdasarkan rekod dan teori menyatakan lokasi kota tersebut sebagai di pedalaman Kelantan.

Fizikal Pergau juga menepati ciri-ciri untuk pembinaan sebuah kota kerana ia mempunyai bukit bukau yang akan membentuk benteng semulajadi. Empangan Hidroelektrik dan Tasik Pergau dipercayai tidak mengganggu tinggalan atau puing tapak kota Valaipenjuru ini, kajian arkeologi secara intensif belum dibuat pada lokasi ini, dan kemungkinan besar ia dalam perhatian para ahli arkeologi.

Pengkaji sejarah India pula menyatakan Valaipenjuru ini adalah sebuah kerajaan yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Utara Pahang dan menggelarkan ia sebagai kerajaan Valaipanthuur yang pernah wujud di Semenanjung Tanah Melayu, hal ini sebenarnya bertepatan dengan deskripsi Sriwijayamala yang ketika itu sedang berkembang, namun tiada huraian lanjut berkenaan kerajaan ini yang diilhamkan oleh pengkaji sejarah India. 

Kepentingan Kota Singa dan Valai Penjuru

Kota Singa atau Seng Chih direkod sebagai Ibu Kota bagi Kerajaan Chih Tu ia digambarkan dibina dengan penuh kemewahan dan prestij. Emas dan permata berharga dijadikan hiasan pada setiap penjuru istananya. Lokasinya jauh ke pedalaman membuatkan kami juga menyoroti kawasan pedalaman Kelantan dan berdasarkan maklumat kami berhasil menduga kawasan Gunung Stong sebagai lokasi kota ini. Lawatan Duta Dinasti Sui juga menandakan bahawa Chih Tu atau Raktamrittika dalam Sanskrit merdeka dari Funan yang menjadi penaung sejak sekian lama dan menamakan negeri mereka sebagai Sriwijayamala. Sumber maklumat dari pengkaji sejarah Kelantan juga ada menyebut ibu kota Sriwijayamala ini bernama Valaipenjuru dengan lokasinya juga di pedalaman Kelantan.

Lawatan Duta Dinasti Sui ke Kota Singa adalah pada 607M, manakala pemerintahan di Valai Penjuru berada di kemuncak pada 667M. 60 tahun adalah selang masa antara kedua-dua tempoh ini, mungkin sahaja setelah Chih Tu isytihar merdeka dari Funan, Kota Singa telah diserang kerana tindakan mereka itu dan mereka mula membina kota pemerintahan baru di kawasan Pergau. Jika dilihat jarak Pergau dan Gunung Stong lokasinya berdekatan dan mempunyai struktur fizikal yang hampir sama dan ditambah lagi kedudukan Valaipenjuru lebih realisitik kerana ia lebih hampir dengan Kedah kerana empayar Sriwijaya berkembang dari arah Kedah dan melebar hingga ke Sumatera. 

Gunung Stong bukanlah sekadar sebuah tempat rekreasi, ia menanti pakar-pakar arkeologi untuk membuat kajian lanjutan di lokasi tersebut, hanya masa yang akan menentukannya. Pergau juga seharusnya menjadi tumpuan kajian dan kami berharap pihak yang lebih berautoriti seperti Perbadanan Muzium Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan terus mengambil langkah yang proaktif untuk mengenalpasti seterusnya melaksanakan kajian arkeologi di kawasan yang telah dinyatakan.

Rekod berkenaan Kota Singa dan Valai Penjuru ini perlu diperhalusi dan dilanjutkan kajiannya kerana ia merupakan kelestarian peradaban Melayu yang wujud di Kelantan seterusnya membuktikan bahawa dari tanah inilah berkembang biaknya Bangsa Melayu khususnya Orang Kelantan. Temuan fizikal lain hanyalah bonus untuk menguatkan fakta.

Lokasi perkhemahan di Gunung Stong
 PERINGATAN
  • Artikel ini adalah satu andaian yang dibuat oleh admin, dan ia bertujuan untuk menggerakkan agensi yang berkenaan untuk terus menjaga warisan yang terdapat di Bumi Kelantan. Kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dengan tersiarkan penulisan ini. Kami juga tidak menggalakkan individu untuk bertindak secara bersendirian kerana kawasan tersebut bukan penempatan manusia. 
  • Terdapat gambarajah tidak dapat disiarkan atas sebab keselamatan.
Rujukan:
  • http://adminpasirmas.blogspot.nl/2013_10_01_archive.html
  • https://docs.google.com/document/d/1jPYLGWRizBjUJ83bnPJul3ddYTkexPnJlrX8mF_6Cwg/edit
  • http://www.mayyam.com/talk/showthread.php?10714-The-1000th-year-of-accession-of-the-great-Tamil-Chola-Emperor-the-Rajendra-Chola-1
  • http://www.mayyam.com/talk/viewlite.php?t=9354
  • https://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/10/14/kelantan-purba-2-empayar-sriwijaya/
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...