Pendahuluan
Kebanyakkan maklumat yang dihidangkan kepada umum berkenaan penentangan Tok Janggut adalah disebabkan oleh penghinaan dan bebanan cukai yang ditanggung oleh penduduk di Pasir Puteh. Maklumat inilah yang disebarkan pada peringkat mainstream. Pengkajian lanjutan pula mendapati bahawa kepulangan Tok Janggut ke Kelantan membawa amanat dari gurunya Syeikh Ahmad alFatani.
Tetapi kita tidak didedahkan bahawa Perang Dunia Pertama dan Seruan Jihad juga menjadi antara punca utama Tok Janggut bangkit menentang pendudukan Inggeris di Kelantan dan sekurang-kurangnya untuk membebaskan Pasir Puteh dari penjajahan. Penulisan kami terdahulu telah menghuraikan dengan detail berkenaan dua punca yang jarang diketengahkan umum ini.
Berikut kami senaraikan punca-punca Perang Pasir Puteh 1915:
- Penjajahan Inggeris di Kelantan pada 1909
- Bebanan Cukai keatas penduduk di Pasir Puteh dalam tempoh 5 tahun pendudukan Inggeris (1910-1915)
- Perang Dunia Pertama (British melawan Khalifah Islam Turki Uthmaniyah)
- Sultan Muhammad IV dipaksa menyokong British
- Jihadi Akbar Fardi Ayn oleh Syeikhul Islam untuk melindungi Negara-Negara Islam dari Barat.
- Peristiwa Dahagi di Singapura - Penghinaan District Officer Pasir Puteh kepada Tok Janggut ketika mahu membayar Cukai Hasil.
Punca-punca inilah yang menyebabkan Tok Janggut yang disokong oleh Engku Besar Jeram telah menggerakkan satu barisan untuk membebaskan Pasir Puteh.
Mesyuarat Sulit Terbongkar
29 April 1915, Tok Janggut telah mengadakan mesyuarat dengan pengikut-pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib untuk merangka strategi dan taktikal bagi menentang British. Mesyuarat itu telah memutuskan untuk membebaskan Pasir Puteh dari penjajahan British. Bagaimanapun Encik Latiff telah mendapat tahu berkenaan Mesyuarat Sulit tersebut dan mengeluarkan serta merta waran untuk menahan Tok Janggut.
Pada hari yang sama juga Sarjan Che Wan Sulaiman, Ketua Balai Pasir Puteh telah diarahkan untuk menangkap Tok Janggut. Beliau bersama dua orang mata-mata telah ke Kampung Tok Akib untuk melaksanakan tugas tersebut. Setibanya anggota polis dirumah Tok Nik Bas didapati ratusan orang Melayu telah berkumpul, namun mereka dapat ditenangkan oleh Tok Janggut dan beliau memberi kerjasama kepada anggota polis tersebut untuk turut serta ke Balai Polis. Namun ketika proses penahanan itu, Tok Janggut telah membantah cara beliau diiring kerana seolah-olah beliau adalah orang salah lantas tercetus pergelutan antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan Sulaiman dan ia berakhir dengan sarjan itu mati ditikam, mata-mata yang mengiringi sarjan telah berjaya melepaskan diri.
Perkara tersebut segera dimaklumkan kepada Encik Latif, dan beliau serta merta telah mengarahkan lapan orang lagi mata-mata untuk menangkap Tok Janggut. Ketika mata-mata tersebut sampai di Kampung Kelubi mereka telah diberitahu oleh penduduk kampung bahawa Tok Janggut sedang mara bersama ratusan orang Melayu untuk menyerang Bandar Pasir Puteh. Berita tersebut dilaporkan kepada Encik Latif, tidak bertangguh beliau telah menghantar surat kepada British Adviser di Kota Bharu untuk memaklumkan kejadian tersebut. Beliau juga cuba mendapatkan bantuan daripada Kweng Gaal dan Kok Berangan tetapi gagal kerana pemimpin tersebut memihak kepada penentangan Tok Janggut.
Pada petang 29 April 1915 itu juga Encik Latif bersama keluarga dan kakitangannya, termasuk Kweng Tuan Muda Jeram, dan Kweng Awang Hamat Semerak telah melarikan diri ke Kota Bharu melalui Sungai Semerak. Tok Janggut dan pahlawan Pasir Puteh pula berjaya menduduki Bandar Pasir Puteh dan mengisytiharkan ia merdeka dan melantik Engku Besar Jeram sebagai Raja manakala beliau sendiri sebagai Perdana Menteri. Pada masa yang sama, Tok Janggut dan para pengikutnya melakukan persediaan bagi menghadapi serangan balas daripada British.
Rundingan Damai
Encik Latif telah tiba di Kota Bharu pada petang 30 April 1915, terus melaporkan kejadian di Pasir Puteh kepada Langham Carter. Menyedari keadaan makin genting, Carter telah memaklumkan kepada Gabenor British di Singapura berkenaan hal di Pasir Puteh. Pegawai-pegawai Inggeris di Kelantan juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada menghadapi tentangan orang Melayu. Pada masa tersebut terdapat perkhabaran bahawa Tok Janggut bersama 2000 orang pengikutnya sedang mara ke Kota Bharu. Bagi mengekang kejadian di Pasir Puteh dari merebak ke jajahan lain, Carter telah meningkatkan tahap kewaspadaan dengan mengarahkan T.S. Adam, District Officer bagi Ulu Kelantan untuk mengawasi pergerakkan pengikut setia Tok Janggut di Kemuning iaitu Pak Ya dan Mat Saman yang sedang menyusun barisan untuk menyerang Kuala Krai. Sementara itu, Ketua Inspektor Jackson telah dihantar ke Gunong untuk mengawal keadaan disana.
1 Mei 1915, Carter telah mengadap Sultan Muhammad IV bagi memaklumkan berkenaan kejadian di Pasir Puteh serta membentangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mematahkan kebangkitan itu sebelum ia merebak ke seluruh Kelantan. Carter telah meminta baginda menghantar pembesar-pembesarnya yang berpengaruh untuk berunding dengan Tok Janggut bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Carter juga mengingatkan jika baginda Sultan gagal mengatasi masalah tersebut, British akan campur tangan.
Kebangkitan penduduk Pasir Puteh amat membimbangkan pihak istana berikutan sebelum ini sultan telah memberi jaminan bertulis kepada British bahawa baginda akan memastikan kekacauan tidak akan berlaku di Kelantan ekoran peperangan antara Turki dengan Britain, sekiranya kerajaan British turut campur tangan, kedudukan baginda juga mungkin terjejas. Akhirnya selepas rundingan dengan British Adviser, Sultan Muhammad IV telah mengarahkan
- Dato Bentara Setia (Mohd Hassan bin Mohd Salleh) dan
- Dato Menteri (Haji Nik Mahmud bin Haji Ismail)
bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dengan Tok Janggut dan Engku Besar bagi mencari jalan untuk mengatasi kemelut yang sudah timbul.
Keberangkatan Dato Bentara Setia dan Dato Menteri diiringi oleh Nik Mat dan Nik Mahmud bin Dato Lundang, bertolak dari Kota Bharu ke Peringat dengan kereta. Dari Peringat mereka telah berjalan kaki ke Batu Sebutir dan bermalam di rumah Haji Che Su. Setelah berbincang dengan Haji Che Su, mereka bersetuju untuk melantik Lebai Kadir sebagai orang perantaraan dalam rundingan antara pihak Kerajaan Negeri dengan Tok Janggut.
Lebai Kadir telah bertolak ke serta merta ke Jeram untuk menjemput Tok Janggut, Engku Besar, Penghulu Adam, Haji Said dan Encik Sohok ke Kampung Cherang Tuli untuk berunding dengan wakil Sultan pada pagi 2 Mei 1915. Bagaimanapun Engku Besar tidak dapat hadir kerana Tok Janggut berada di luar daerah. Seperti mengerti keengganan pembesar-pembesar Jeram menemui mereka, wakil Sultan telah mengambil keputusan untuk pulang ke Kota Bharu dan mewakilkan Imam Lebai Kadir untuk berunding dengan Tok Janggut.
Setelah kepulangan wakil Sultan ke Kota Bharu, Engku Besar, Tok Janggut dan pengikut mereka telah datang ke Kampung Cherang Tuli. Tok Janggut telah menjelaskan kepada Lebai Kadir bahawa beliau tidak berniat untuk menderhaka kepada Sultan sebaliknya tindakan beliau adalah untuk menghalau Encik Latif yang dianggap sebagai penindas. Dalam pertemuan itu, Tok Janggut telah memohon agar sultan mengampunkan perbuatan mereka itu.
3 Mei 1915, Haji Lebai Kadir telah bertolak ke Kota Bharu untuk memaklumkan kepada sultan hasil rundingannya dengan pemimpin dari Jeram. Dato Bentara Setia dan Dato Menteri serta Langham Carter telah turut serta dalam pertemuan itu. Bagaimanapun atas cadangan British Adviser yang disokong oleh Dato Bentara Setia dan Dato Menteri, Sultan Muhammad IV memutuskan untuk menangkap Tok Janggut dan para pengikutnya atas kesalahan Menderhaka kepada Kerajaan. Dengan itu, sultan telah mengeluarkan waran kepada Lebai Kadir, Haji Che Su, Penghulu Hussain, Pak'do Awang Tukang dan Penghulu Adam bin Pak Cik Bauk untuk menangkap para pemberontak itu samada "Hidup atau Mati". Baginda juga telah menyerahkan kain merah kepada Imam Lebai Kadir dan Haji Che Su sebanyak 20 kayu untuk dipotong sebesar empat jari serta diberikan kepada penduduk-penduduk di Pasir Puteh dan dipakaikan di lengannya. Sesiapa yang ingkar memakainya akan disifatkan sebagai penderhaka dan akan dikenakan hukuman berat ke atasnya. Baginda juga menitahkan Tengku Besar Tuan Yusof supaya mengerahkan sekalian rakyat Kelantan untuk menangkap Tok Janggut, hidup atau mati.
Bersambung:
No comments:
Post a Comment