Pendahuluan
Siam
adalah begitu sinonim dengan masyarakat Kelantan, malah mereka dianggap sebagai
satu kelompok masyarakat berdasarkan kepada kelainan dialek dan bahasa yang
dituturkan, malah orang asing yang bertutur dalam bahasa Melayu Rasmi dirujuk sebagai Orang
Luar. Masyarakat di Semenanjung juga gemar merujuk penduduk yang bertutur
bahasa Tai sebagai Siam sedangkan ia
adalah dua hal yang berbeza.
Siam
Asasnya
ia adalah merupakan sebuah wilayah di kawasan Daratan Asia Tenggara dan ia
didiami oleh bangsa peribumi iaitu Lawas dan
Sakai semenjak awal peradaban manusia
lagi. Kaum Lawas menduduki bahagian Utara Thailand moden dan sebahagian kawasan
Burma, kaum Sakai pula mendiami kawasan selatan Thailand moden dan mendominasi
bahagian Segenting Kra berhampiran dengan Semenanjung. Kaum ini dapat dibezakan
pada fizikal mereka dengan kaum Lawas mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan
berkulit putih, manakala masyarakat Sakai pula mempunyai fizikal seperti
masyarakat orang Asli pada hari ini.
Kurun
ke-9 sebelum masihi, iaitu sewaktu penghijrahan manusia dari kawasan Selatan
China ke kawasan Asia Tenggara, terdapat dua suku kaum bangsa kuno iaitu Mon dan Khmer mendiami kawasan Daratan Asia Tenggara. Bangsa Mon mendiami
kawasan tengah dan utara Thailand moden hinggalah ke sebahagian besar kawasan
Burma, bangsa Khmer pula mendiami sekitar Lembah Mekong dan mengasaskan
kerajaan Kemboja dengan Angkor sebagai ibu negerinya. Kerajaan Kemboja
kemudiannya berkembang sebagai satu empayar bermula kurun ke-9 hingga kurun
ke-15 Masihi, terdapat satu inskripsi telah ditemui di Angkor Wat yang
menyatakan perkataan “Syam” atau “Sayam” bermaksud Orang berkulit sawo matang, mereka inilah di kenali sebagai Siam yang juga merupakan sebahagian
daripada naungan Kemboja, mungkin sekali mereka adalah Bangsa Mon dan mereka telah mengasaskan kerajaan Dvaravati dan
Haripunjaya bagaimanapun kerajaan ini merupakan naungan kepada Kemboja.
Bangsa
Mon dan Khmer adalah bangsa yang berhijrah dari Selatan China ke kawasan
Daratan Asia Tenggara yang sedia diduduki oleh bangsa asal, berlaku
pertembungan antara mereka terutama sekali antara bangsa Khmer dengan suku kaum
Sakai, mereka mendominasi kawasan pendudukan Sakai di bahagian selatan, memaksa
suku kaum peribumi itu berundur jauh ke kawasan Semenanjung berikutan berlaku
kejadian pembunuhan beramai-ramai. Suku kaum Sakai atau di Malaysia lebih
dikenali masyarakat Orang Asli telah
mendapat pembelaan sewajarnya namun pada kasarnya mereka tetap satu suku kaum
minoriti yang masih kuat mengamalkan adat dan kebudayaan mereka sendiri
ditengah-tengah arus kemodenan.
Tai
Suku
kaum Mon-Khmer mendominasi satu wilayah yang dikenal sebagai Siam berdasarkan
kepada inskripsi yang dijumpai di Angkor Wat, ia dipercayai dicatat oleh bangsa
Khmer yang mengasaskan kerajaan Kemboja. Mon-Khmer mempunyai dua negara kota
yang dinaungi oleh Kemboja, mereka menduduki kawasan tersebut selama beberapa
kurun sehinggalah ia dibanjiri suku kaum yang baru berhijrah dari selatan China
iatu bangsa Tai. Inilah bangsa induk
bagi satu kelompok masyarkat yang kini kita kenali sebagai Thai, awalnya bangsa Tai ini hidup berselerak sekitar kawasan
Selatan China, kini dikenali sebagai Yunnan mereka juga berhijrah secara
berperingkat-peringkat semenjak awal mungkin sekali bersama-sama dengan suku
kaum Mon-Khmer cuma mereka tidak membentuk satu kerajaan pada peringkat awal.
Tahun
650 Masihi, bangsa Tai yang hidup secara berselerak telah bersatu dan membentuk
satu kerajaan di kawasan Selatan China dan dikenali sebagai Nanchao, pembentukan negara bangsa Tai
ini adalah untuk mempertahankan kawasan dan kewujudan bangsa mereka daripada
ancaman Empayar China dan Annam. Peringkat awal kerajaan ini bersekutu dengan
Empayar China bagi menghalang pencerobohan dari Tibet, bagaimanapun selepas itu
ia telah bertukar menjadi seteru kepada China.
Kewujudan
Nanchao telah memberi peluang kepada bangsa Tai terus berkembang dan menguasai
bahagian Daratan Asia Tenggara, selain itu kerajaan tersebut juga bertindak
sebagai penghalang kepada perluasan peradaban China terhadap suku kaum bangsa
Tai yang mempunyai ketamadunan yang tersendiri. Bangsa Tai telah berhijrah
sejauh Assam di India, mereka juga mendiami sebahagian besar kawasan Burma dan
dikenali sebagai Shan, di kawasan
Lembah Mekong pula mereka dikenali sebagai Lao,
selain itu bangsa Tai turut membentuk beberapa suku kaum baru di kawasan
Tonkin dan Annam (Utara Vietnam) seperti:
- Tai Dam (Tai Hitam)
- Tai Den (Tai Merah)
- Tai Khao (Tai Putih)
- Nung
Relatifnya,
bangsa Tai mengasaskan kota berhampiran dengan sempadan Empayar Kemboja dan
kebanyakkan kota tersebut menjadi naungan kepada kepada empayar Khmer tersebut
hinggalah tahun 1238 Masihi.
Sukhothai
Pada
tahun tersebut bangsa Tai berjaya menakluk ibu negeri Kemboja, Angkor lalu mengasaskan
Sukhothai lambang kemerdekaan bagi
bangsa Tai di kawasan Daratan Asia Tenggara, pendiri kerajaan ini turut
menggelarkan diri mereka dan penduduknya sebagai Thai, bermaksud bebas atau
merdeka. Hal ini berlaku kerana
mereka hendak mengasingkan diri daripada bangsa Tai yang lain hidup dibawah
pemerintahan bangsa asing.
Ramakhamhaeng
1277 – 1317 merupakan Raja pertama bagi kerjaan ini, beliau digelar sebagai Rama yang Agung berikutan perluasan
kuasa Sukhothai sewaktu pemerintahannya. Pada masa pemerintahannya, negara baru
tersebut menerima kebanyakkan bangsa Tai yang behijrah atau melarikan diri
daripada Nanchao setelah ia ditakluk oleh Mongol dibawah perintah Kublai Khan
dalam tahun 1453. Pelbagai lapisan masyarakat Nanchao yang melarikan diri termasuklah
pahlawan dan perajurit dari bangsa Tai, mereka kemudiannya bergabung dengan Thai dibawah perintah Ramakhamhaeang
bagi mengukuhkan lagi pasukan tentera Sukhothai bagi menentang bangsa Khmer
dari Kemboja. Pengasas Sukhothai ini juga telah meletakkan Sukhothai di tahap
yang tinggi dengan kuasa pemerintahan yang luas malah dinyatakan bahawa
Sukhothai merupakan pusat pengembanggan kebudayaan masyarakat Thai,
bagaimanapun penggantinya gagal mengekalkan penguasaan kerajaan ini hingga
tahun 1378 ia telah diserap dalam kerajaan bangsa Thai seterusnya iaitu Ayutthaya.
Selain
Sukhothai, muncul sebuah lagi kuasa bangsa Tai di kawasan dataran Asia Tenggara
apabila mereka bangkit pada tahun 1296 dengan merampas kuasa di Haripunjaya, kerajaan bagi bangsa Mon
lalu mereka menubuhkan kerajaan baru bagi bangsa Tai dan menamakan kerajaan
tersebut sebagai Lan Na dengan Chieng
Mai sebagai ibu negeri.
Hubungan Thai dan Kelantan
Sejarah
Kelantan secara rasmi dicatat bermula pada era pemerintahan Paduka Sri Sultan Long Yunus pada 1763,
bagaimanapun nama Kelantan sering diulang dalam Sejarah Melayu yang mempunyai hubungan terus dengan Kerajaan
Melayu Melaka sekurang-kurangnya pada masa pemerintahan Sultan Mahmud Syah.
Dalam teks Sulalatus Salatin dinyatakan
Kelantan sangat Besar, lebih besar
daripada Patani, ini memberi petunjuk bahawa negeri Kelantan telah mempunyai
sejarah yang lama dan kawasan pemerintahan yang luas.
Riwayat
Tradisi Kelantan menyatakan bahawa berlaku pertembungan antara kerajaan
Kelantan Tua dengan Sukhothai yang dipimpin oleh Ramakhamhaeng apabila ia cuba
meluaskan kuasa ke kawasan Semenanjung Tanah Melayu. Pada masa tersebut
Kelantan dikenali sebagai Malayur diperintah
oleh Sang Tawal, Riwayat tersebut merujuk Sukhothai sebagai Siam, asasnya rujukan
tersebut adalah tepat kerana pada waktu itu Siam adalah negara, manakala
Sukhothai adalah kerajaan yang memerintah.
Sejarah
hidup Ramkhamhaeng sebenarnya tidak begitu diketahui, Pongsuwadan iaitu Sejarah Siam menyatakan pengasas Sukhothai ini
digantikan oleh puteranya Laotai selepas kemangkatannya, keterangan lanjut
peristiwa yang berkaitan dengan kemangkatannya tidak diketahui, bagaimanapun
Riwayat Tradisi Kelantan, Ramkhamhaeng mangkat akibat dibunuh oleh lagenda
paling terkenal dalam Sejarah Kelantan iatu Paduka Cik Siti Wan Kembang dengan
cara kepala dipenggal. Ini merupakan hubungan terus antara Kelantan Tua dengan
Siam buat kali yang pertama, semenjak dari itu hubungan ini beterusan baik
dalam bentuk konfrontasi ataupun diplomatik hingga ia berakhir pada tahun 1909.
No comments:
Post a Comment