SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 2 May 2015

Kereta Pertama dan Syarikat Bas Terawal di Kelantan : Siri Orang Kito


Pendahuluan
Kereta merupakan satu kemestian dalam setiap keluarga, malah pada masa sekarang orang bujang juga mampu memiliki kenderaan yang paling popular itu. Dua puluh tahun dahulu, keluarga yang memiliki kereta dianggap sebagai Orang Kaya berikutan harga yang mahal dan kos penyelenggaraan yang memang tidak ditampung kebanyakkan keluarga pada dekad itu. 

Pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan telah meningkatkan kadar pendapatan rakyat Malaysia dan perkembangan industri automotif negara juga menyumbangkan kepada pemilikan kereta dikalangan rakyat terutama di Kelantan. Penggunaan kereta pernah satu ketika merupakan satu perkara yang eksklusif dan bukan semua orang mampu memilikinya, kami memutarkan masa untuk anda untuk menyorot kembali bilakah kereta digunakan buat pertama kali di Kelantan.

Kereta Pertama
Dalam gambar diatas adalah kereta Ford, Model T 1908, ia sedang dinaiki oleh Baginda Sultan Muhammad IV dan dipandu oleh pemandunya yang bernama Wan Sulong ini merupakan kereta pertama yang dibawa masuk ke Kelantan pada 1912 dan seterusnya mencatatkan Wan Sulong sebagai pemandu Kereta yang pertama di Kelantan serta baginda Sultan Muhammad IV sebagai pemilik kereta yang pertama. Jika diperhatikan dalam gambar di atas, didapati juga terdapat dua buah kenderaan lain dan ia dipercayai sebagai lori dan mungkin itu juga antara lori yang paling awal di Kelantan.

Sistem jalan sudah wujud di Kelantan semenjak tahun 1900 lagi dan ia pernah dilaporkan oleh Penasihat Siam ke Kelantan yang berbangsa Inggeris yang bernama W.A.Graham dalam bukunya A Handbook : Kelantan pada 1908. Selain itu Kelantan juga merupakan negeri yang keempat menggunakan kenderaan bermotor, kerana itu nombor pendaftaran di Kelantan bermula dengan huruf D, dimana Perak menjadi negeri pertama menggunakan kenderaan bermotor dengan menggunkana huruf A, B untuk selangor dan C untuk Pahang, setelah itu penggunaan kenderaan bermotor telah digunakan dengan meluas di seluruh semenanjung Tanah Melayu dan nombor pendaftaran menggunakan abjad pangkal nama negeri masing-masing. 

Ada Jalan Mesti ada Kereta  - Suasana circa 1900 : A Handbook Kelantan 1908
Semasa pemerintahan Sutan Ismail I (1920-1944) sistem jalan raya telah ditambah baik malah baginda juga telah mengeluarkan arahan untuk membina jalan raya menghubungkan Terengganu, ini adalah satu usaha kerajaan Kelantan pada waktu itu meningkatkan mobiliti rakyat Kelantan pada masa tersebut.

BAS NETS
Mengorak langkah ke arah negeri yang membangun, Kelantan telah meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan menubuhkan North Eastern Transportation Service yang lebih dikenali sebagai NETS. Syarikat ini ditubuhkan pada 1947, merupakan sebuah syarikat yang dimiliki penuh oleh orang Melayu melalui pemilikan saham, penubuhan syarikat ini juga merupakan gerakan pertama mewujudkan perkhidmatan bas di Kelantan dan antara yang terawal selepas tamatnya perang dunia kedua.

Di awal penubuhan NETS, ia hanya menyediakan 27 buah bas kecil yang mampu memuatkan 10 orang penumpang dalam satu -satu masa. Bas ini juga dikenali sebagai Mosquito Bus. Pada masa itu juga syarikat ini hanya beroperasi di laluan bandar sahaja berikutan sistem jalan raya belum lagi sempurna dan tidak dapat mencapai kawasan pedalaman. Selain itu, NETS juga menyediakan perkhidmatan Bas Sekolah. Sambutan yang menggalakkan dari penduduk Kelantan telah membuatkan NETS semakin kukuh dengan hanya tempoh dua tahun syarikat ini telah menambahbaik perkhidmatan mereka pada 1949 dengan menambah 50 buah bas baru dengan kapasiti yang lebih besar dengan sebuah bas mampu membawa 25 orang penumpang dalam satu-satu masa.

Barisan Bas NETS
NETS merupakan syarikat pegangan orang Melayu namun dalam memastikan pengurusan syarikat lebih efisyen ia pernah menerima pengerusi berbangsa Inggeris antaranya W.M. Macleod dan Mr. B.J Moss selebihnya syarikat ini dipengerusikan oleh orang-orang Melayu antaranya Kamaruddin Haji Omar dan Omar Hj. Ali. Setelah Malaya merdeka, Kelantan turut serta dalam kemerdekaan yang penuh bermakna itu, NETS juga mengambil peluang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan sokongan Kerajaan yang baru terbentuk itu, ia telah membuat pinjaman kewangan dengan RIDA dan telah membeli 47 buah bas baru pada 1957. 8 tahun kemudian ia mengemukakan permohonan pinjaman sekali lagi pada 1965 untuk menampung pembelian 113 buah baru.

Semenjak 1950 hingga 1965, keadaan sistem jalan raya di Kelantan bertambah baik justeru itu NETS telah mempertingkatkan kawasan operasinya, atas sebab ini hampir 200 bas baru telah dibeli dalam tempoh tersebut. Selain itu ia juga telah meluaskan perkhidmatan mereka dengan membuka laluan bas baru antaranya:

  • Pasir Mas - Tanah Merah
  • Kuala Krai - Machang  
  • Pasir Puteh
  • Kota Bharu (Sedia ada)

Pada masa yang sama juga NETS telah memperkenalkan laluan ekspres bagi perjalanan melalui Terengganu - Bachok - Tumpat. Operasi ini telah mendapat sambutan yang amat memberangskan dari pengguna perkhidmatan bas ini. 1 April 1962, syarikat ini telah menambah perkhidmatan bas ekspress dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu dari empat perjalanan kepada enam perjalanan dalam sehari, selain itu NETS juga mempunyai 450 orang pekerja dengan jarak perkhidmatan sejauh 750 batu dengan purata 11 batu setiap hari. 

Sepanjang tempoh kegemilangan perkhidmatan bas NETS di Kelantan ia pernah mencatatkan satu kejadian yang akan diingati iaitu kejadian mogok pekerja-pekerja NETS pada 1956 hingga melumpuhkan perkhidmatan bas seluruh Kelantan, mogok itu juga telah memaksa kerajaan campur tangan. Mogok berlaku sekali lagi pada 1963, kali ini di bawah Kerajaan baru Merdeka telah campurtangan dan kali ini pasukan FRU telah digerakkan. 

Tanah Melayu yang melalui tempoh perubahan apabila telah merdeka pada 1957 dan ia turut merubah cara masyarakat pada masa itu berfikir, NETS juga turut mengalami perubahan. Pada 1967, ia telah dijenamakan semula daripada North East Transportation Service kepada Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) dengan dirasmikan oleh Encik Ghafar Baba (Tun) yang pada masa itu merupakan Pengerusi MARA. 

Bas NETS circa 1960an - Pasir Mas : Blog PakZawi

Rujukan
  • [Buku] Keluarga DiRaja Kelantan
  • [Monograf] Warisan Kelantan VII
  • https://www.facebook.com/notes/jabatan-bomba-penyelamat-malaysia-fire-rescue-department-of-malaysia/sejarah-awal-no-pendaftaran-kenderaan-di-malaysia-by-jabatan-penerangan-malaysia/178830248826209'
  • http://harithsidek.blogspot.nl/2013_02_01_archive.html
  • https://mohdzawi.wordpress.com/2008/09/18/stesyen-bas-pasir-mas/bas-nets/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...