SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 21 January 2016

Estatika Rumah tradisional Kelantan ciri 6:Dinding Janda Ria dan Janda Hias

Dinding Janda Ria dan Hias merupakan jenis dinding yang banyak digunakan pada golongan diraja, bangsawan dan orang berada. Menurut Nakula (1980:67-72)  ia merupakan dinding yang diselangi pada petak-petak tertentu di antara petak-petak. Petak-petak panel berbentuk cembung atau timbul ini mengikut Nakula menpunyai makna tertentu. Terdapat 2 jenis dinding janda iaitu:
  1. Dinding Janda Hias
  2. Dinding Janda Ria


Beza kedua-dua ini adalah penggunaan jumlah corak ukiran pada petak panel dinding panel Janda Ria lebih banyak dari panel Hias. Susunan panel ini dipercayai awalnya memdapat impirasi dari susunan atau jenis anyaman buluh.


Antara corak lain dinding panel janda berhias yang diadaptasi dari corak dinding buluh 

Selain dinding janda hias dan ria, terdapat juga penggunaan dinding janda panel lain seperti ukiran tebuk


Warna Menaikan lagi seri dinding Rumah

Rumah tradisi Kelantan dan Patani bukanlah sekadar warna kayu, kusam dan uzur sahaja seperti yang disangka generasi muda, atau yang dapat dilihat sekarang. Pada zaman silam ia banyak mengunakan warna-warna terang pada panel kayu dan ukiran-ukiran timbul. Penggunaan warna ini memjadikan rumah memjadi lebih hidup,ceria dan elegant serta tampak mewah. 



Simbolik Dinding Jenis Janda Hias dan Ria

Seperti makna pintu tangga/gerbang pintu, Nakula menyatakan dinding juga sempadan akhir antara rumah dengan dunia luar, ia adalah sebagai kulit yang membaluti rumah. Sama seperti pemeleh "rumah diperlambangan Lam Alif terlungkup yang beri erti "penafian kemakhlukan" dan "pengisbatan ketuhanan". Maka pada perut/badan rumah juga mengunakan perlambangan sama tapi dalam stail lain. Beliau mengunakan huruf Alif-Ba yang pada hakikatnya ialah zat Allah menjelma dalam dua sifat "Jalal-Jamal" dalam konteks nama "qayyum" (membangun).


Ukiran "Alif dan Ba" atau Lingga sedemikian dinamakan "Janda Berhias", dan dinding yang mempunyai ukiran ini dinamakan "Dinding Janda Berhias".  Disamakan penggunaan perkataan Janda pada dinding ini asalnya  merujuk "perempuan yang sudah dicerai suami", ia dikiaskan kepada dinding. Dinding ini disamakan dengan seorang perempuan yang dahulunya hidup bergantung kepada suami atau pada sesama makluk dan sekarang ini telah berpisah dari suaminya dan kembali kepada hakikat dirinya yang maujud bersama dirinya ialah zat Allah yang membangunkan dirinya. Tidak keterlaluan jika dikatakan perlambangan bersifat feminin ini mengambil impirasi semangat kental wanita-wanita di Kelantan yang terbukti pada masa itu dan kini banyak memceburi perniagaan persendirian dalam usaha menerus kehidupan samaada selepas bercerai atau kehilangan suami. Kembali semula kepada penjelasan Nakula, Huruf "Alif " melambangkan "Zat Allah yang membangunkan dalam sifat Jalal" dan "Ba" melambangkan "sifat Jamal yang kedua-duanya esa pada Zat". Jadi, sekarang terjadi pula "penafian" iaitu penafian kemakhlukan dan "pengisbatan" iaitu pengisbatan ketuhanan.

Pengembalian kepada asal atau kepada hakikat diri inilah yang dinamakan  "hiasan". Hiasan yang semestinya dipakai oleh setiap insan dalam hidup, tidak ada hiasan diri yang lebih bernilai dalam hidup ini selain daripada berhiasan dengan maarifat dengan Allah. Hiasan berupa kain baju yang mahal harganya atau berupa barang-barang kemas dari emas, perak, intan dan berlian adalah hiasan duniawi yang tiada kekal. Hiasan  berupa maarifat dengan Allah itu sahaja yang kekal dan membawa kepada kedudukan yang amat baik di alam yang tiada binasa selama-lamanya nanti. Inilah tujuan mesej yang dibawa oleh istilah "dinding janda berhias" itu.

Dinding-dinding lain yang turut digunakan rumah tradisi Kelantan

Terdapat juga jenis-jenis dinding lain yang digunakan oleh orang Melayu Kelantan selain Janda Ria dan Hias yang lebih kepada identiti golongan diraja, bangsawan dan orang berada. Dinding-dinding ini wujud mengikut peringkat mengikut penggunaan bahan asas atau bahan persekitaran.



Dinding sementara dari bahan buluh

Dalam proses pembinaan rumah, Untuk membuat dinding rumah pada peringkat awalnya  masyarakat Melayu menggunakan daun-daun pokok yang terdapat berhampiran mereka seperti daun bertam, cucuh, nipah, lontar dan sagu. Daun-daun itu disusun dan disirat memjadi berkajang atau berbidang (A. Halim & Wan Hashim 1994). Penggunaan dinding sedemikian merupakan bersifat sementara sahaja kerana ia akan diganti dengan dinding yang lebih tahan lama. Di Kelantan, Patani dan Terengganu, penggunaan dinding peringkat awal dari buluh adalah pilihan utama. Buluh duri maupun berang yang dikatakan mempunyai ciri yang mudah meluntur, lembut, mudah dibentuk dan semestinya tahan lama. Buluh ini dipotong dan dibelah lipis-nipis memjadi pelupuh atau juga kelarai. Corak dan rupa ini dipercayai memjadi cetusan idea kepada pembina-pembina Melayu Pantai Timur kepada rekabentuk dinding jenis janda hias dan ria. Contoh jelas seperti susunan buluh selit/sasak atau selang memjadi rekaan corak janda hias. Dinding buluh bercorak anyaman kelarai mudah dihasilkan dan golongan wanita pada masa dulu memjadikan aktiviti menganyam pelupuh dan kelarai sebahagian mata pencarian kerana terdapat permintaan bahan tersebut yang ketika itu diguna sangat meluas dan untuk dijadikan dinding dan memgantikan dinding buluh atau anyaman yang sudah rosak atau reput. Dengan sinonimnya dengan golongan ini telah mempengaruhi dinding kayu bercorak dan susunan janda hias memdapat nama.

Wanita Melayu Kelantan sedang menyusun buluh cincang/belah untuk dijadikan pagar  dengan  menggunakan kaedah dinding susun selit/sasak atau selang.

Jenis-jenis dinding buluh atau anyaman pada rumah Melayu seperti:



Setiap ketiga-tiga jenis dinding buluh ini mempunyai 3 pecahan nama yang sama namun berbeza bilangan buluh. Setiap nama akhirnya mengikut pengunaan berapa batang buluh disusun bersama. Dinding buluh ini juga disusun mengikut pelbagai motif berdasarkan kreativiti pembuatnya dimana corak itu mengikut bilah buluh diwarna berdasarkan kaedah tertentu. Penggunaan dinding buluh juga kerap pada pagar rumah setelah sebuah rumah itu dinaikkan taraf penggunaan bahan binaanya seperti kayu.


Dinding Kayu

Dinding kayu merupakan pilihan seterusnya mengantikan dinding buluh kerana ia lebih kukuh, kemas dan cantik. Kayu-kayu mengikut pelbagai jenis di potong memjadi papan-papan dan di susun samaada berdiri atau melintang. Dari kepelbagaian susunan dan bentuk yang terhasil itulah mendapat 3 nama susunan dinding seperti:




1.   Dinding Susun Sireh

Papan kayu disusun melintang dan salin bertindih di bawah memyebabkan papan memjadi condong berapa sudut (mengikut tebal papan dan sudutnya bertindak menolak air hujan dari memasuki rumah). Dinding ini dimulakan susunan papan dari bawah hingga ke atas. Susunan ini juga seakan susunan sireh yang biasa orang Melayu susun dalam bekas memyebabkan susunan ini memdapat nama sedemikian.  


2.   Dinding Kaset / Pian

Papan kayu yang mempunyai lebihan kayu ditengah atau sisi sepanjang  tepi papan manakala tepi bertentanganya mempunyai alur lubang khas untuk lebihan kayu dimasukkan / sambung (seperti songket blok lego kecuali ia panjang) yang bertindak pengunci antara kayu papan. Lebihan papan ini dinamakan ”lidah” manakala alur lubang dinamakan ”mulut”. Ia disusun menegak dari kiri atau kanan. Susunan ini lebih kemas kerana tiada air atau cahaya boleh menebusi celah kayu.

      3.   Dinding Tindih Kasih

Papan kayu disusun menegak dimana dua papan ditindih satu papan lain diatasnya yang menutupi ruang diantara dua papan. Susunan papan ini dimulakan dengan susun papan melintang secara selang ruang mengikut keluasan tertentu tapi tidak melebihi lebar papan bakal disusun menutupi ruang diantara 2 papan.  

Ketiga-tiga susunan ini masih dapat dilihat sehingga pada masa kini. Ia biasanya dapat di lihat pada rumah rekabentuk bumbung atap potong perak atau limas, namun bergitu ada juga pada bangunan bumbung lain. Rata-rata rumah dinding kayu di Kelantan yang menggunakan susun seperti atas telah pun berusia 60 atau lebih

Di Kelantan, ketiga-tiga jenis dinding ini wujud saling mempengaruhi samaada dari segi rekaan corak atau penggunaan kayu. Ada juga wujud dan kekal digunakan sehingga sesetengah zaman mengikut bahan persekitaran yang  mudah diperolehi atau senang untuk diganti seperti buluh. Ada juga menggunakan dinding sebagai lambang status dan tak kurang juga mengikut trend zaman. Namun kesemua ini telah memjadi identiti sesebuah zaman dan memjadi budaya yang indah memwarnai perkembangan atau memjadi lambang kematangan sebuah bangsa itu. 




Sumber utama rujukan:

Abdullah b. Mohamed (Nakula), "Falsafah dan Permikiran Orang-orang Melayu, Hubungannya dengan Islam dan Kesenian", Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, 1980.

Kembali ke SenibinaRumah Melayu Kelantan

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...