SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 1 January 2014

Nasi Bungkus Naik Kapal Terbang..... (Sedak Pok Nor, Antar la jugok ke Amsterdam nih.. :D)

Azrin (kiri) dan Abdul Ghafar membawa nasi yang siap dibungkus
ke kereta yang menunggu untuk menghantarnya ke seluruh Kelantan.


PASIR PUTEH - Tidak terfikir bagaimana warga ibu kota Kuala Lumpur yang ‘dihidangkan’ dengan aneka pilihan sarapan pagi masih memilih nasi bungkus daripada Kelantan setiap hari.

Sebanyak 2,000 nasi bungkus dari Kampung Banggol Pak Esah dekat sini, diterbangkan dengan pesawat kargo Malaysia Airline Sistem (Mas) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setiap pagi bagi membolehkan pelanggan tetap di sana menikmatinya setiap pagi.

Nasi kerabu, nasi lemak, nasi berlauk dan nasi dagang resipi tradisi Mohamad @ Mohd Nor Zakaria, 68, (Pok Nor) dibungkus seawal jam 11 malam bagi membolehkan ianya tidak terlepas dari jadual penerbangan awal di Pengkalan Chepa.

Pengurus Nasi Bungkus Pok Nor, Azrin Mohamad, 34, bersama adiknya, Abdul Ghafar Mohamad, 30, mendapat idea meluaskan pasaran selepas mendapati produk itu mendapat sambutan luar biasa.

“Selepas berjaya memasarkan 1,500 nasi bungkus ke seluruh Kelantan, kami berjaya membawa produk ini lebih jauh tapi masih berbaloi walaupun menampung kos penghantaran tinggi.

"Di Kuala Lumpur, nasi bungkus ini diambil agen untuk dihantar kepada penjual di sekitar Putrajaya, Puchong dan Shah Alam yang menjualnya pada harga RM4 sebungkus. Nasi untuk pasaran tempatan mulai dibungkus jam 3 pagi dan dijual pada harga RM2.50 sebungkus,” katanya.

Beliau berkata, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diusahakan itu memberi peluang pekerjaan kepada 36 wanita yang kebanyakannya ibu tunggal dan dibahagikan kepada dua syif, 22 orang untuk pembungkusan bagi pasaran Kuala Lumpur dan selebihnya untuk pembungkusan bagi pasaran tempatan.

Nasi Bungkus Pok Nor katanya, akan dikembangkan kerana beliau kini merancang membuka kilang di kampung itu dan membuka kedai kopi sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.

“Dalam masa sama, kami melancarkan grup Facebook Nasi Bungkus Pok Nor bagi mempromosikan produk selain menerima pendapat pelanggan bagi meningkatkan kualiti serta melicinkan urusan pemasaran.


“Sekiranya usaha ini terus berkembang maju, ia sudah tentu memberi manfaat secara berterusan kepada ibu tunggal dan agen-agen kami di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.


Pekerja Nasi Bungkus Pok Nor sibuk membungkus nasi kerabu dan 
nasi lemak pada awal pagi untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
Sumber Berita : Sinar Harian 1 Januari 2014

1 JANUARI 2014 - KPSK-PPSK MENGORAK LANGKAH!!

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat sahabat-sahabat yang dihormati sekalian.

Saat ini, kita sudah menginjak ke tahun baru dalam kalendar Gregorian. Pelbagai rencana dirancang memandangkan hari ini adalah kelepasan  am bagi negeri-negeri di Pantai Barat dan tentunya malam tadi berlaku bermacam program baik berkaitan dengan politik, sosial dan budaya. Itulah ragam kita penduduk Malaysia.

2013 kita tinggalkan dengan 1001 macam peristiwa. Kelab Pencinta Sejarah Kelantan (KPSK) tidak kurang "havoc" dengan pelbagai isu baik buruk ataupun baik. Tahun 2013 juga menyaksikan episod suka duka yang akan kami, admin KPSK sentiasa kenang.

Di awal 2013 sekitar Februari hingga April, KPSK telah berjaya didaftarkan secara sah di bawah Registry of Societies of Malaysia (ROS) atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) di bawah Kementerian Dalam Negeri. Bagi kami, ini adalah satu pencapaian besar kerana tindakan ini telah membuatkan KPSK menjadi sebuah badan NGO yang berdaftar serta menjadikan KPSK badan bertauliah.

Pada 2013, ini adalah misi kami dan ia akan terus berkesinambungan pada tahun ini dengan perancangan yang lebih rapi.

Sepanjang 2013 langkah-langkah kecil telah kami gerakan dengan menjayakan:
  1. Seminar Siapa Tok Janggut 
  2. Hikmah 4
  3. Ekspedisi Bukit Marak
  4. Ekspedisi Danau Tok Uban
  5. Ekspedisi Kalai
  6. Pemantauan Tapak Palekbang
  7. Penelitian Sejarah Perang Dunia ke Dua.  (Lalang Luas, Gong Kedak, Bachok dan Pengkalan Chepa)
Ini adalah langkah kecil kami yang digerakkan secara berkumpulan antara para admin dan tidak dibuka kepada umum. Aktiviti sebegini akan kami kemaskini dari masa ke semasa mengikut Objektif Ekspedisi yang akan dijalankan.

Anda semua diseru untuk memberi sokongan kepada kami dengan menjadi Ahli Berdaftar KPSK kerana tanpa anda, KPSK hanyalah ibarat kertas kosong yang ditiup angin, sekadar melayang-layang tidak tentu arah.

Sebolehnya, episod duka tidak didedahkan kepada umum, namun sebagai iktibar ia perlu disiarkan untuk kita semua ambil peringatan agar perkara seumpama tidak lagi berulang. KPSK menghadapi isu terbesar kerana segelintir fans ragu-ragu dengan kredbiliti maklumat yang disalurkan kerana terdapat masalah dalaman pentadbiran KPSK pada waktu itu.

Pada waktu itu, Fan Page KPSK seolah-olah dilanda cuaca sejuk yang sesejuk Antartika kerana di insight page mencatatkan "0" pelawat! Kami bangkit dan mengubah cara posting yang sebelum ini diragui dan adapun yang mengikuti sekadar melawat dan memberi komen slapstick dan dianggap tidak membina. Diakui, memang sulit untuk memulihkan identiti yang tercalar dan kami semua bertahan, Alhamdulillah rintangan tersebut dapat di atasi. 

Rentetan dari peristiwa itu juga, pada 2014 ini, AJK KPSK merencana untuk menjenamakan semula KPSK sebagai satu usaha meningkatkan martabat komuniti pencinta sejarah Kelantan. Sokongan anda amat kami tagih dari anda semua.....

Misi kami hanyalah untuk membangkitkan perasaan ingin tahu anda tentang sejarah Kelatan dan bawa anda semua keluar dari "ketakutan yang kompleks" @ Inferiority Complex ekoran label "Negeri Miskin" atau "Negeri Mundur" yang sering diputarkan dalam media.

DENGAN INI KPSK AKAN DIKENALI SEBAGAI 
PERSATUAN PENCINTA SEJARAH KELANTAN!



Sekian, terima kasih.

AHLI JAWATANKUASA PERSATUAN PENCINTA SEJARAH KELANTAN (PPSK)

Tuesday, 31 December 2013

Usia Sebenar Bangsa Anda!!

Allah Maha Besar!

Islam untuk mensatukan bangsa. Allah menjadikan manusia itu sbg betbangsa-bangsa utk saling kenal mengenal. Kajian bangsa utk kita mengenal Allah, hebahan utk kita saling mengenal antara bangsa. Begitulah kita dituntut syarak. Jika bangsa itu tidak beriman, menjadi tanggungjawab kita utk berdakwah walau ke hujung nyawa. –APM

Kajian?? Hebahan?? Hebat?? Apa yg patut anda n kita kaji, Al-Quran.. sebar n hebahan ilmu tsebut.. baru hebat umat Rasulullah.. –Kamarul Azwan Daud

Melayu yg tidak mengenali sejarah bangsanya ... tidak mencintai sejarah bangsanya ... dan tidak menyelami jati diri kemelayuannya ... maka melayu ini tidak akan berbangga dgn bangsa melayu ...... marilah kita bersama menanam kembali apa yg hilang dlm jiwa anak2 melayu agar mereka sedar bahawa melayu pernah hebat suatu ketika dahulu ...dan akan kembali hebat jika melayu itu bersatu ... sesungguhnya Allah tak akan mengubah nasib seseorang itu.. sesuatu bangsa itu sekiranya mereka sendiri yg tidak menginginkannya dan berusaha ke arahnya ..... –APP


Al-Ĥujurāt:13 - Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). AlHujurat(13) –Kamarul Azwan Daud




Monday, 30 December 2013

TOKOH KELANTAN : DATO MUFTI HJ. MUHAMMAD NOR


Alhamdulillah. 2013 bakal menutup tirainya, maka bermula tahun 2014 membuka lembaran baru kepada kita untuk meneruskan hidup semata-mata untuk ta'abud kepada Allah. Iaitu hidup melakukan setiap pekerjaan dalam hidup hanya untuk menjadi hamba Allah s.w.t. Hari hari ini saya akan menyentuh perihal susur galur kehidupan seorang murabbi yang menjadi perintis dalam membangun institusi keagamaan di Kelantan dan nusantara.

Muhammad Nor bin Haji Ibrahim, dilahirkan di Pulau Saba, iaitu kini di panggil Kota Bharu pada 20 Ogos, 1905 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1323 Hijrah. Beliau mempunyai 12 orang adik beradik. Ibunya iaitu Hajah Cik zainab merupakan keturunan keluarga Tuan Guru Tuan Padang. Semasa kecil beliau dibawa oleh ayahannya, Tuan haji Ibrahim ke Mekah dan tinggal disana untuk beberapa tahun. Sejak kecil lagi Dato' Mufti diajar bergaul dan bercakap dalam bahasa Arab, bahasa daerah Mekah dimana dia mampu bercakap dalam bahasa arab dengan fasih.

Sewaktu berusia 9 tahun beliau dibawa pulang ke Kelantan dan dimasukkan ke sebuah sekolah aliran Inggeris yang dibuka oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Selepas beliau berkahwin sewaktu berusia 18 tahun, beliau bersama isterinya Nik Zainab ke Mekah kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian al-Quran dengan Tok Senggora (Syeikh Abdullah), iaitu salah seorang guru al-Quran yang terkenal di Masjidil Haram pada ketika itu. Manakala pada tahun 1928, ayahandanya Tuan Haji Ibrahim dilantik menjadi Mufti Kerajaan  oleh Sultan Ismail Ibni as-Sultan Muhammad Ke-IV. Pada usia 24 tahun, beliau sekali lagi ke Mekah untuk menyambung pengajian dengan guru yang sama sehingga memperolehi ijazah Qiraah.

Ayahanda beliau, S.A. Mufti Hj. Ibrahim B. Hj. Yusof (1928-1941)

 Dikatakan sebelum beliau dapat menyambung semula pengajiannya, beliau diisyaratkan lebih dahulu hafal sebuah al-Quran. Dengan syarat ini, Tok Senggora membuka peluang kepada beliau untuk belajar Qiraah Tujuh sehingga tamat dan menjemput 20 orang para qari yang terkenal di Kota Mekah agar datang ke majlis khatam Qiraah untuk mendengar bacaan Muhammad Nor.

   
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran dalam berbagai jurusan dengan beberapa orang guru. Antaranya:
  1. Tok Guru Hj. Nuh Jamaluddin al-Kelantani
  2. Tok Guru Pak Da Ail Fattani (1882-1965)
  3. Syeikh Md. Nor B. Muhammad al-Fattani (1875-1944)
  4. Pak Cik Dawud Fattani
  5. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fattani
  6. Syeikh Amin Kutbi dll.
Sebelum pergi ke Mekah iaitu sewaktu beliau berumur 17 tahun (1922) beliau telah berkahwin dengan isteri pertama yang berusia 12 tahun bernama Nik Zainab Bt. Hj. Uthman dari Banggol, Kota Bharu. Kemudian pada usia 25 (1930), semasa berada di Mekah beliau menambah seorang lagi isteri iaitu Maimunah yang berusia 13 tahun yang bermastautin di Mekah yang berketurunan Melayu-Bugis. Sesudah beberapa lama pulang ke tanah air pada usia 36 tahun, beliau menambah lagi isteri ketiga & keempat iaitu Wan Aminah Bt. Wan Dawud & Hjh. Cik Jah. Beliau dikurniakan 13 orang anak iaitu 5 orang puteri dan 8 orang putera.

Dato Mufit Hj. Md. Nor ketika mud
Sewaktu pulang ke tanah air pada tahun 1936, beliau sudah banyak menyumbangkan jasa mengajar anak-anak sendiri dan penduduk kampungnya sendiri. Dalam pengajian tafsir beliau pernah mengajarkan 'Erti al-Quran' (Terjemahan Juzu Amma) susunan Ustaz Yusuf Zaki Yaqub. Dato' Mufti pernah mengajar kitab yang ditulisnya sendiri iaitu tafsir 'Pimpinan ar-Rahman Jilid I' sebaik sahaja siap dibukukan.

Beliau memegang jawatan Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937 dan Mufti Khas pada tahun 1942. Pada tahun 1949 beliau dilantik menjadi guru agama di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu. Selepas pemerintahan Jepun (1945), beliau dilantik menjadi guru di Sekolah Jaami Merbau al-Ismaili bermula pada tahun 1949 sehingga pertengahan tahun 1965. Tuan guru Haji Muhammad Nor seorang yang suka membuat pembaharuan seperti mengasaskan mata pelajaran Falak di Sekolah Jaami Merbau. Malah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin sendiri mengakui kemahiran beliau dalam bidang Falak. Beliau juga seorang yang membawa pembaharuan dalam pelajaran Tauhid (Usuluddin), Tafsir al-Quran dll. Contohnya beliau telah meninggalkan pengajaran mengenal Allah dengan Sifat Dua Puluh berdasarkan sistem Ilmu Mantiq.

Ketakwaan beliau juga terserlah apabila mencadangkan agar ditubuhkan dua buah sekolah yang berasingan dan ditempat yang berjauhan iaitu Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (P) di tempat asal dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (L) di Jalan Pengkalan Chepa di bawah pengelolaan pengetua yang berlainan.

Dato' Mufti pernah dilantik menjadi guru di istana, dimana beliau ditugaskan mengajar agama kepada keluarga diraja semasa al-Marhum as-Sultan Yahya Petra dan as-Sultan Ismail Petra. Atas jasa dan sumbangan beliau dalam pengajaran agama, maka beliau dianugerahkan Tokoh Pendidik YIK yang ke-9.

Beliau juga seorang ulama' yang berkebolehan bercakap dalam beberapa bahasa dunia. Mala, beliau sendiri tidak ketinggalan berkemampuan bercakap dalam bahasa inggeris dengan baik serta lancar. Beliau sendiri menganggap sebagai seorang ulama' yang menyangkal anggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa belajar bahasa Inggeris itu menjadi kafir.

Beliau menjadi perintis kepada pembangunan kegiatan al-Quran. Contohnya menjadikan kediaman beliau sendiri sebagai tempat belajar dan menghafal al-Quran. Pada tahun 1965, Perdana Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mahu mewujudkan sebahagian rakyat yang menghafal al-Quran sebagaimana negara islam yang lain. Dato' Mufti Muhammad Nor menerima tawaran Perdana Menteri dengan syarat beliau tidak perlu hadir ke mana-mana majlis rasmi kerajaan. Pada tahun 1965 beliau berpindah di rumah kerajaan di Masjid Negara. Disana beliau memimpin dan mengendalikan kelas Tahfiz al-Quran negara buat kali pertama dalam sejarah Kerajaan Malaysia dan Masjid Negara selepas merdeka. Selepas beliau pulang ke Kota Bharu kerana menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, beliau melancarkan kelas Tahfiz al-Quran di Masjidi al-Muhammadi dari tahun 1968-1980.

Sebelum itu pada tahun 1937, beliau telah dilantik menjadi Qadhi Besar Kelantan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail al-Marhum Sultan Muhammad Yang ke-4. Beliau bertugas di Mahkamah Syariah di bangunan yang berhampiran dengan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga tahun 1942.

 Pada zaman beliau menjadi Mufti, tidak banyak fatwa yang dikeluarkan kerana segala masalah agama dapat diselesaikan menerusi pengajaran agama beliau di masjid-masjid dan di sekolah. Namun yang paling signifikan ialah fatwa mengenai ketetapan Hari Raya Aidiladha hendaklah mengikut ketetapan hari Arafah yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi tanpa perlu melihat anak bulan di Malaysia disebabkan hari raya tersebut cuma berlaku di sana sahaja.

Bakat menulis beliau tidak dinafikan lagi apabila beliau sendiri mampu menulis dalam bahasa Melayu dan Arab menerbitkan beberapa karya termasuk tafsir ' Pimpinan ar-Rahman' yang sudah banyak digunakan oleh masyarakat nusantara terutamanya Malaysia sendiri tanpa terikat dengan mana-mana aliran mazhab. Dato' Mufti menjalankan tugas menyusun atau mentashihkan tafsir ini adalah secara melaksanakan suatu AMANAH yang besar.

Karya beliau terdiri daripada dua iaitu karya penulisan dalam bahasa Melayu dan arab. Antara karya-karya dalam bahasa melayu ialah:
  1. Pilihan Mestika Pada Menerangkan Kiblat dan Ketika (dicetak oleh MAIK pada tahun 1932).
  2. Bantuan Ketika Bagi Orang Yang Membahagi Pusaka.
  3. Suluhan Daar an-Naim Bagi Menuntut Bacaan Naafi' B. Abu Nuaim.
  4. Tafsir Pimpinan ar-Rahman diterbitkan Jabatan Perdana Menteri, 1968.
  5. Muqaddimah Mestika Hadis ditulis bersama Dato' Mufti Haji Ismail.


Beliau seorang yang lantang memperjuang sunnah dan menghapus amalan bidaah. Bidaah merupakan perkara paling besar terdapat dalam masyarakat Kelantan malah keseluruhan masyarakat Malaysia sendiri berhubung dengan kematian dan perkahwinan serta berhubung dengan kekeramatan para wali Allah. Dato' Mufti tidak menggalakkan pemberian sedekah (upah) kepada orang-orang yang datang bersembahyang jenazah kerana tugas itu telah menjadi suatu kefardhuan (fardhu kifayah). Beliau juga tidak mengamalkan bacaan talqin bagi orang yang sudah meninggal dunia dan menegah amalan berjabat tangan salam selepas sembahyang agar tidak menjadikan ia sebahagian daripada sembahyang atau amalan syarak terutama oleh saudara yang baru hendak mengenal islam. Beliau juga melarang umat islam yang sentiasa mengamalkan upacara persandingan dalam upacara kenduri kahwin kerana ia merupakan adat dan tidak terlepas dari peraturan agama. Apa yang ditegahkan ialah pengantin mengenakan pakaian yang menjolok mata terutamanya kepada pengantin perempuan yang tidak menutup aurat dan secara terbuka disaksikan oleh semua keluarga kedua belah pihak yang mahram dan bukan mahram. Dato' Mufti bersama tuan guru-tuan guru agama di Kelantan telah bersama-sama menghapuskan ciri-ciri jahiliah dan bidaah ini sehingga adat seperti ini dapat dibuang dan dihapuskan.

Menyusuri kehidupan Dato' Mufti Muhammad Nor, antara jawatan yang disandang oleh beliau ialah:
  1. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, di mana beliau dilantik berikutan penubuhan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 1948 di mana dalam sejarah, negeri-negeri Melayu di semenanjung disatukan pemerintahannya dalam bentuk bersekutu. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Yang Berhormat (YB) kira-kira selama 8 tahun (1948-1955), hampir dua penggal pilihanraya kini.
  2. Pengerusi Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan (1946).
  3. Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan.
  4. Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan lain-lain. Kedua-dua jawatan di atas mungkin berlaku sesudah beliau menjadi Mufti Kerajaan Kelantan.
  5. Ahli Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran di Sekolah-sekolah Arab Majlis Agama Islam Kelantan serta membuat cadangan dan menyusun Dasar Pelajaran.

Memandangkan jasa-jasa dan peranan beliau yang besar dan penting bagi kemajuan agama negeri Kelantan juga kepada masyarakat Islam Malaysia seluruhnya, maka pihak ke bawah Duli Sultan-sultan Kelantan dalam masa pemerintahan telah menganugerahkan dua Darjat Kebesaran Negeri Kelantan kepada beliau, iaitu:
  1. Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) dengan membawa gelaran Dato', dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Yahya Putera Ibnu al-Marhum as-Sultan Ibrahim, pada 10 Julai, 1968.
  2. Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK) dengan membawa gelaran Dato' Kaya Purba, dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Ismail Petra Ibni al-Marhum as-Sultan Yahya Putera, pada 31 Mac 1980.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tengah hari Jumaat 13 Februari, 1987 dan dikebumikan di Perkuburan Cik Siti, Banggul, Kota Bharu. Manakala sesudah setahun lebih beliau meninggal dunia, kerana mengingatkan jasa beiau dalam pendidikan agama di Kelantan, maka Yayasan Islam Kelantan (YIK) menganugerahkan Tokoh Pendidik YIK (Yang ke-9) pada 3 Julai, 1988 kepada beliau dalam suatu upcara Hari Yayasan di Dewan Presiden Shaddam Husain, Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kota Bharu.

        
Dato Mufti selepas menerima anugerah Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan
Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK)




* Penulisan ini adalah olahan daripada karya Abdullah al-Qari b. Hj. Salleh yang bertajuk, 'Ketokohan Dato' Mufti Haji Muhammad Nor, Penambang Dalam Angkatan Ulama' dan Pengarang Nusantara. Semoga Allah S.W.T merahmati segala hasil sumbangan beliau selama ini di dunia dan akhirat.

Thursday, 26 December 2013

Rakaman Masa : Pakaian Tradisi Orang Kelantan

Pakaian merupakan keperluan atau needs dalam terma ekonomi selain daripada makanan dan tempat tinggal. Sejarah membuktikan Kelantan ini didiami manusia semenjak dari zaman purba lagi, yakni ketika manusia mula berhijrah dari arah barat bumi. Subjek ini pernah kita bincangkan di fan page KPSK

Sering kita digambarkan, orang Melayu memakai tengkolok, mensisipkan keris di pinggan, memakai seluar senteng dan berbengkung serta berambut pendek bagi lelaki. Wanitanya pula memakai kain sarung batik kain kapas, berbaju kurung dan menjadikan kain sarung sebagai tudung atau kelubung, rambutnya yang panjang disanggul.  Namun orang Kelantan pada waktu silam agak sedikit berbeza dari gambaran tersebut.

Berikut kami kongsikan rakaman masa gambaran Lelaki dan Wanita Kelantan 100 tahun yang lampau.

Gambaran Pakaian Cik Siti Wan Kembang
Tidak dinafikan busana CSWK kelihatan anggun dan menawan. Ini adalah gambaran kepada "pengarah" fotografi untuk imej CSWK sebagai pemimpin yang pernah dikunjungi oleh Ibn Batuta dalam pengembaraannya mengelilingi dunia. Seperti yang kita ketahui, CSWK adalah seorang pemimpin Islam yang memerintah sebuah Malay City States di Kelantan. Dari penelitian yang detail maka terhasilah imej ini. Namun kita tidak boleh menolak imej Majapahit juga melingkari waktu kegemilangan CSWK.

Tidak lengkap kalau gambaran CSWK seorang, lantas pengarah fotografi tersebut juga menghasilkan gambaran pakaian lelaki era itu, seperti berikut:

Anggun dan Segak!
Dua bingkisan gambar di atas menggambarkan pakaian di era CSWK. Lantas kita cuba merungkai bagaimana pakaian orang-orang Kelantan terdahulu. Generasi kini tersekat pada pemakaian Baju Kurung dan Baju Melayu yang sering dipakai orang-orang kita.

Kami lantas membuat carian dan selidikan dan hasilnya adalah seperti berikut:



Kelantan Peasants adalah bermaksud "Petani Kelantan" dan kedua-dua gambar yang dibingkiskan adalah rakaman masa Lelaki dan Wanita, Petani Kelantan 100 tahun yang lampau. Kerana itu ramai  fans bertanya kenapa wajah mereka menakutkan dan menggerunkan. Apa yang dapat kami zahirkan kenapa wajah dalam gambar ini agak teruk rupanya, jawapannya adalah kerana mereka ini adalah petani yang merupakan orang marhaen atau rakyat jelata Kelantan yang lampau, kerana terdedah kepada cuaca yang tidak menentu rupa paras dan wajah mereka menjadi agak keras. Keduanya, gambar ini kelihatan agak teruk kerana kerja-kerja teknikal semasa kami hasilkan gambar ini iaitu proses menukarkan fail .pdf kepada .jpg proses ini membuatkan piksel gambar semakin merosot. 

Berbalik kepada gambar di atas, amat berbeza dengan orang-orang kita pada hari ini. Masa berlalu  dan orang pun berubah mengikut peredaran zaman. Itulah resmi masa dan manusia. Namun, bukan semua rakyat Kelantan pada waktu itu berwajah seperti gambar di atas. Ada juga rakaman ceria....




Gambar-gambar ini termuat dalam buku bertajuk Kelantan : A State of The Malay Peninsula; A Handbook of Information tulisan Walter Armstrong Graham. Kerana itu buku ini memuatkan gambar-gambar seperti di atas. Siapa sosok dalam gambar ini tidak diketahui, namun inilah antara rupa dan wajah wanita yang dipercayai golongan pertengahan ketika itu.


Melihatkan tiga keping gambar di atas, kami berpandangan pengarah fotografi untuk gambar ini menampilkan keadaan sebenar pakaian golongan pertengahan Kelantan 100 tahun yang lampau. Pakaian di atas kelihatan lebih sopan dan tertib.

Kami cuba untuk paparkan keadaan jujur masyarakat kita suatu ketika dahulu sebagai panduan dan pedoman. Jika tidak molek gambar ini, kita boleh ambil iktibar untuk tidak menjadi tidak molek seperti anggapan tuan-tuan dan puan-puan. Namun, apa tidak patut adalah cercaan dan cacian yang dilemparkan kepada sosok ini kerana mereka tidak bersalah. Apa yang penting, input positif perlu kita ambil sebagai panduan untuk kita meneladani kehidupan bersyariat.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...