SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 30 December 2013

TOKOH KELANTAN : DATO MUFTI HJ. MUHAMMAD NOR


Alhamdulillah. 2013 bakal menutup tirainya, maka bermula tahun 2014 membuka lembaran baru kepada kita untuk meneruskan hidup semata-mata untuk ta'abud kepada Allah. Iaitu hidup melakukan setiap pekerjaan dalam hidup hanya untuk menjadi hamba Allah s.w.t. Hari hari ini saya akan menyentuh perihal susur galur kehidupan seorang murabbi yang menjadi perintis dalam membangun institusi keagamaan di Kelantan dan nusantara.

Muhammad Nor bin Haji Ibrahim, dilahirkan di Pulau Saba, iaitu kini di panggil Kota Bharu pada 20 Ogos, 1905 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1323 Hijrah. Beliau mempunyai 12 orang adik beradik. Ibunya iaitu Hajah Cik zainab merupakan keturunan keluarga Tuan Guru Tuan Padang. Semasa kecil beliau dibawa oleh ayahannya, Tuan haji Ibrahim ke Mekah dan tinggal disana untuk beberapa tahun. Sejak kecil lagi Dato' Mufti diajar bergaul dan bercakap dalam bahasa Arab, bahasa daerah Mekah dimana dia mampu bercakap dalam bahasa arab dengan fasih.

Sewaktu berusia 9 tahun beliau dibawa pulang ke Kelantan dan dimasukkan ke sebuah sekolah aliran Inggeris yang dibuka oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Selepas beliau berkahwin sewaktu berusia 18 tahun, beliau bersama isterinya Nik Zainab ke Mekah kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian al-Quran dengan Tok Senggora (Syeikh Abdullah), iaitu salah seorang guru al-Quran yang terkenal di Masjidil Haram pada ketika itu. Manakala pada tahun 1928, ayahandanya Tuan Haji Ibrahim dilantik menjadi Mufti Kerajaan  oleh Sultan Ismail Ibni as-Sultan Muhammad Ke-IV. Pada usia 24 tahun, beliau sekali lagi ke Mekah untuk menyambung pengajian dengan guru yang sama sehingga memperolehi ijazah Qiraah.

Ayahanda beliau, S.A. Mufti Hj. Ibrahim B. Hj. Yusof (1928-1941)

 Dikatakan sebelum beliau dapat menyambung semula pengajiannya, beliau diisyaratkan lebih dahulu hafal sebuah al-Quran. Dengan syarat ini, Tok Senggora membuka peluang kepada beliau untuk belajar Qiraah Tujuh sehingga tamat dan menjemput 20 orang para qari yang terkenal di Kota Mekah agar datang ke majlis khatam Qiraah untuk mendengar bacaan Muhammad Nor.

   
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran dalam berbagai jurusan dengan beberapa orang guru. Antaranya:
  1. Tok Guru Hj. Nuh Jamaluddin al-Kelantani
  2. Tok Guru Pak Da Ail Fattani (1882-1965)
  3. Syeikh Md. Nor B. Muhammad al-Fattani (1875-1944)
  4. Pak Cik Dawud Fattani
  5. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fattani
  6. Syeikh Amin Kutbi dll.
Sebelum pergi ke Mekah iaitu sewaktu beliau berumur 17 tahun (1922) beliau telah berkahwin dengan isteri pertama yang berusia 12 tahun bernama Nik Zainab Bt. Hj. Uthman dari Banggol, Kota Bharu. Kemudian pada usia 25 (1930), semasa berada di Mekah beliau menambah seorang lagi isteri iaitu Maimunah yang berusia 13 tahun yang bermastautin di Mekah yang berketurunan Melayu-Bugis. Sesudah beberapa lama pulang ke tanah air pada usia 36 tahun, beliau menambah lagi isteri ketiga & keempat iaitu Wan Aminah Bt. Wan Dawud & Hjh. Cik Jah. Beliau dikurniakan 13 orang anak iaitu 5 orang puteri dan 8 orang putera.

Dato Mufit Hj. Md. Nor ketika mud
Sewaktu pulang ke tanah air pada tahun 1936, beliau sudah banyak menyumbangkan jasa mengajar anak-anak sendiri dan penduduk kampungnya sendiri. Dalam pengajian tafsir beliau pernah mengajarkan 'Erti al-Quran' (Terjemahan Juzu Amma) susunan Ustaz Yusuf Zaki Yaqub. Dato' Mufti pernah mengajar kitab yang ditulisnya sendiri iaitu tafsir 'Pimpinan ar-Rahman Jilid I' sebaik sahaja siap dibukukan.

Beliau memegang jawatan Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937 dan Mufti Khas pada tahun 1942. Pada tahun 1949 beliau dilantik menjadi guru agama di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu. Selepas pemerintahan Jepun (1945), beliau dilantik menjadi guru di Sekolah Jaami Merbau al-Ismaili bermula pada tahun 1949 sehingga pertengahan tahun 1965. Tuan guru Haji Muhammad Nor seorang yang suka membuat pembaharuan seperti mengasaskan mata pelajaran Falak di Sekolah Jaami Merbau. Malah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin sendiri mengakui kemahiran beliau dalam bidang Falak. Beliau juga seorang yang membawa pembaharuan dalam pelajaran Tauhid (Usuluddin), Tafsir al-Quran dll. Contohnya beliau telah meninggalkan pengajaran mengenal Allah dengan Sifat Dua Puluh berdasarkan sistem Ilmu Mantiq.

Ketakwaan beliau juga terserlah apabila mencadangkan agar ditubuhkan dua buah sekolah yang berasingan dan ditempat yang berjauhan iaitu Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (P) di tempat asal dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (L) di Jalan Pengkalan Chepa di bawah pengelolaan pengetua yang berlainan.

Dato' Mufti pernah dilantik menjadi guru di istana, dimana beliau ditugaskan mengajar agama kepada keluarga diraja semasa al-Marhum as-Sultan Yahya Petra dan as-Sultan Ismail Petra. Atas jasa dan sumbangan beliau dalam pengajaran agama, maka beliau dianugerahkan Tokoh Pendidik YIK yang ke-9.

Beliau juga seorang ulama' yang berkebolehan bercakap dalam beberapa bahasa dunia. Mala, beliau sendiri tidak ketinggalan berkemampuan bercakap dalam bahasa inggeris dengan baik serta lancar. Beliau sendiri menganggap sebagai seorang ulama' yang menyangkal anggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa belajar bahasa Inggeris itu menjadi kafir.

Beliau menjadi perintis kepada pembangunan kegiatan al-Quran. Contohnya menjadikan kediaman beliau sendiri sebagai tempat belajar dan menghafal al-Quran. Pada tahun 1965, Perdana Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mahu mewujudkan sebahagian rakyat yang menghafal al-Quran sebagaimana negara islam yang lain. Dato' Mufti Muhammad Nor menerima tawaran Perdana Menteri dengan syarat beliau tidak perlu hadir ke mana-mana majlis rasmi kerajaan. Pada tahun 1965 beliau berpindah di rumah kerajaan di Masjid Negara. Disana beliau memimpin dan mengendalikan kelas Tahfiz al-Quran negara buat kali pertama dalam sejarah Kerajaan Malaysia dan Masjid Negara selepas merdeka. Selepas beliau pulang ke Kota Bharu kerana menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, beliau melancarkan kelas Tahfiz al-Quran di Masjidi al-Muhammadi dari tahun 1968-1980.

Sebelum itu pada tahun 1937, beliau telah dilantik menjadi Qadhi Besar Kelantan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail al-Marhum Sultan Muhammad Yang ke-4. Beliau bertugas di Mahkamah Syariah di bangunan yang berhampiran dengan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga tahun 1942.

 Pada zaman beliau menjadi Mufti, tidak banyak fatwa yang dikeluarkan kerana segala masalah agama dapat diselesaikan menerusi pengajaran agama beliau di masjid-masjid dan di sekolah. Namun yang paling signifikan ialah fatwa mengenai ketetapan Hari Raya Aidiladha hendaklah mengikut ketetapan hari Arafah yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi tanpa perlu melihat anak bulan di Malaysia disebabkan hari raya tersebut cuma berlaku di sana sahaja.

Bakat menulis beliau tidak dinafikan lagi apabila beliau sendiri mampu menulis dalam bahasa Melayu dan Arab menerbitkan beberapa karya termasuk tafsir ' Pimpinan ar-Rahman' yang sudah banyak digunakan oleh masyarakat nusantara terutamanya Malaysia sendiri tanpa terikat dengan mana-mana aliran mazhab. Dato' Mufti menjalankan tugas menyusun atau mentashihkan tafsir ini adalah secara melaksanakan suatu AMANAH yang besar.

Karya beliau terdiri daripada dua iaitu karya penulisan dalam bahasa Melayu dan arab. Antara karya-karya dalam bahasa melayu ialah:
  1. Pilihan Mestika Pada Menerangkan Kiblat dan Ketika (dicetak oleh MAIK pada tahun 1932).
  2. Bantuan Ketika Bagi Orang Yang Membahagi Pusaka.
  3. Suluhan Daar an-Naim Bagi Menuntut Bacaan Naafi' B. Abu Nuaim.
  4. Tafsir Pimpinan ar-Rahman diterbitkan Jabatan Perdana Menteri, 1968.
  5. Muqaddimah Mestika Hadis ditulis bersama Dato' Mufti Haji Ismail.


Beliau seorang yang lantang memperjuang sunnah dan menghapus amalan bidaah. Bidaah merupakan perkara paling besar terdapat dalam masyarakat Kelantan malah keseluruhan masyarakat Malaysia sendiri berhubung dengan kematian dan perkahwinan serta berhubung dengan kekeramatan para wali Allah. Dato' Mufti tidak menggalakkan pemberian sedekah (upah) kepada orang-orang yang datang bersembahyang jenazah kerana tugas itu telah menjadi suatu kefardhuan (fardhu kifayah). Beliau juga tidak mengamalkan bacaan talqin bagi orang yang sudah meninggal dunia dan menegah amalan berjabat tangan salam selepas sembahyang agar tidak menjadikan ia sebahagian daripada sembahyang atau amalan syarak terutama oleh saudara yang baru hendak mengenal islam. Beliau juga melarang umat islam yang sentiasa mengamalkan upacara persandingan dalam upacara kenduri kahwin kerana ia merupakan adat dan tidak terlepas dari peraturan agama. Apa yang ditegahkan ialah pengantin mengenakan pakaian yang menjolok mata terutamanya kepada pengantin perempuan yang tidak menutup aurat dan secara terbuka disaksikan oleh semua keluarga kedua belah pihak yang mahram dan bukan mahram. Dato' Mufti bersama tuan guru-tuan guru agama di Kelantan telah bersama-sama menghapuskan ciri-ciri jahiliah dan bidaah ini sehingga adat seperti ini dapat dibuang dan dihapuskan.

Menyusuri kehidupan Dato' Mufti Muhammad Nor, antara jawatan yang disandang oleh beliau ialah:
  1. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, di mana beliau dilantik berikutan penubuhan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 1948 di mana dalam sejarah, negeri-negeri Melayu di semenanjung disatukan pemerintahannya dalam bentuk bersekutu. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Yang Berhormat (YB) kira-kira selama 8 tahun (1948-1955), hampir dua penggal pilihanraya kini.
  2. Pengerusi Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan (1946).
  3. Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan.
  4. Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan lain-lain. Kedua-dua jawatan di atas mungkin berlaku sesudah beliau menjadi Mufti Kerajaan Kelantan.
  5. Ahli Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran di Sekolah-sekolah Arab Majlis Agama Islam Kelantan serta membuat cadangan dan menyusun Dasar Pelajaran.

Memandangkan jasa-jasa dan peranan beliau yang besar dan penting bagi kemajuan agama negeri Kelantan juga kepada masyarakat Islam Malaysia seluruhnya, maka pihak ke bawah Duli Sultan-sultan Kelantan dalam masa pemerintahan telah menganugerahkan dua Darjat Kebesaran Negeri Kelantan kepada beliau, iaitu:
  1. Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) dengan membawa gelaran Dato', dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Yahya Putera Ibnu al-Marhum as-Sultan Ibrahim, pada 10 Julai, 1968.
  2. Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK) dengan membawa gelaran Dato' Kaya Purba, dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Ismail Petra Ibni al-Marhum as-Sultan Yahya Putera, pada 31 Mac 1980.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tengah hari Jumaat 13 Februari, 1987 dan dikebumikan di Perkuburan Cik Siti, Banggul, Kota Bharu. Manakala sesudah setahun lebih beliau meninggal dunia, kerana mengingatkan jasa beiau dalam pendidikan agama di Kelantan, maka Yayasan Islam Kelantan (YIK) menganugerahkan Tokoh Pendidik YIK (Yang ke-9) pada 3 Julai, 1988 kepada beliau dalam suatu upcara Hari Yayasan di Dewan Presiden Shaddam Husain, Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kota Bharu.

        
Dato Mufti selepas menerima anugerah Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan
Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK)




* Penulisan ini adalah olahan daripada karya Abdullah al-Qari b. Hj. Salleh yang bertajuk, 'Ketokohan Dato' Mufti Haji Muhammad Nor, Penambang Dalam Angkatan Ulama' dan Pengarang Nusantara. Semoga Allah S.W.T merahmati segala hasil sumbangan beliau selama ini di dunia dan akhirat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...