SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 15 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 8 THESAPHIBAN KONFLIK RAJA MELAYU PATANI KERABAT KELANTAN

Pendahuluan
Artikel sebelum ini kita telah membicarakan tentang perubahan dasar pemerintahan Siam terhadap negeri-negeri Melayu yang dijajahnya semasa pemerintahan Raja Rama III. Ia dilaksanakan semasa perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani yang menggantikan Nik Yusuf yang dipindahkan ke Jering. Raja Rama III telah memberi hak pemerintahan sendiri (autonomi) kepada Raja-Raja Melayu untuk mentadbir negeri masing-masing termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Negeri-negeri Melayu hanya disyaratkan menghantar Ufti berupa pitis emas dan perak setiap tiga tahun sekali dan berikrar tunduk dan taat kepada Siam. Pemerintahan autonomi ini telah dijalankan pada 1856 hingga 1890 apabila pengganti Raja Rama III, Chulalongkorn, Raja Siam yang baru memperkenalkan sistem pemerintahan yang baru iaitu Thesaphiban.

Raja Chulalongkorn, Rama V
Sebab Thesaphiban dilancar
18 Januari 1896, Chulalongkorn telah memberitahu Putera Damrong, yang juga Menteri Dalam Negeri Siam tentang pentingnya pentadbiran wilayah disusun semula kerana pada pendapat beliau waktu itu, sekiranya pentadbiran tidak disusun semula ia merugikan negara kerana banyak kawasan dalam negeri Siam tidak diusahakan. Selain dari itu, ekonomi negara Siam pada waktu itu dapat dipertingkatkan dengan penstrukturan semula pentadbiran wilayah.

Sebenarnya perubahan dasar pentadbiran ini disebabkan oleh perkembangan yang berlaku sekitar Asia Tenggara dalam tahun-tahun 1890-an. Siam sebenarnya bimbang dengan kuasa-kuasa imperialis yang membanjiri kawasan Asia Tenggara dengan dasar imperialisma tersendiri yang dapat menggugat keutuhan wilayahnya, terutama wilayah-wilayah terpencil di Selatan Siam yang jauh dari pusat pentadbirannya di Bangkok. Kerajaan Siam khuatir, sekiranya wilayah-wilayah ini tidak disatukan di bawah kuasa Siam kemungkinan besar, wilayah-wilayah ini akan dikuasai oleh imperialis barat.

Dalam tahun 1890an, Perancis dan British berlumba-lumba meluaskan kawasan jajahan masing-masing. Perlumbaan mereka sampai kekemuncak pada 1893 apabila Perancis berjaya mencapai matlamatnya di timur Sungai Mekong dengan menggunakan kekerasan ke atas Siam, manakala British beroperasi di timur laut Burma dan Selatan China serta negeri-negeri Melayu utara sehingga ke Segenting Kra. Di tambah perwakilan British di Tanah Melayu mendesak Parlimen Britain supaya pengaruh British diperluaskan sehingga ke Segenting Kra.

Frank Swettenham telah dilantik menjadi Residen Jeneral yang pertama bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, kempen untuk menggabungkan negeri-negeri Melayu di Utara dengan jajahan British semakin rancak. Keadaan menjadi tambah genting bagi pihak Siam apabila termerterainya perjanjian British-Perancis pada 15 Januari 1896. Perisytiharan itu memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya dan tidak menyentuh Negeri-Negeri Melayu di Selatan Siam. Pada asasnya walaupun perakuan itu menampakkan Siam berdaulat tetapi syarat-syarat yang terkandung tidak menghalan British dan Perancis menguasai wilayah-wilayah Siam. Terbukti disini bahawa perisytiharan itu tidak membuatkan wilayah dan negeri-negeri Melayu itu Merdeka sebaliknya, Siam telah mengambil  peluang ini untuk merombak sistem pentadbiran Wilayah yang sedia diguna pakai pada waktu itu.
 
Putera Damrong
Pecah dan Perintah
Putera Damrong telah mencadangkan kepada Chulalongkorn supaya pentadbiran wilayah disusun semula mengikut sitem Thesaphiban yang mana semua pentadbiran wilayah dikumpulkan dalam satu unit yang dikenali sebagai Monthon. Setiap Mothon pula ditadbir oleh Persuruhjaya Tinggi (Khaluang Thesaphiban) yang bertanggung jawab kepada Menteri Dalam Negeri. Di bawah sistem ini juga,semua kakitangan kerajaan dari peringat atas hingga bawah dibayar gaji mengikut skim kebangsaan.

Mei 1897, Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan Akta Pentadbiran Daerah (Pharatchabanyat Laksana Pakkhrong Thongthi). Pada Februari 1899 pula, Kerajaan Siam telah mengeluarkan pula Peraturan Mengenai Pentadbiran Wilayah (Kho bangkhap pokkhrong huamung). Peraturan tersebut membuatkan Kementerian Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk melumpuh dan menghapuskan pentadbiran Raja-Raja sedia ada. Raja Negeri ataupun Gabenor tidak lagi bersifat warisan sebaliknya ia adalah satu jawatan pentadbiran sahaja (phuwa ratchakan). Raja Siam bebas melantik dan melucut jawatan Raja dan Gabenor. Antara yang termaktub dalam Akta tersebut adalah Raja sedia tidak boleh menjalankan hukuman mati (phu samret ratchakan). Mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai-Pegawai Kanan kerajaan kecuali, Pendakwaraya (yokkrabat) dan Pegawai Hasil (Phu Chuai). 

Perlantikan ini pula harus mendapat kebenaran atau persetujuan daripada Pesuruhjaya Tinggi yang berkenaan. Sebaliknya, Pesuruhjaya Tinggi Wilayah mempunyai kuasa untuk melantik lima orang pegawai dua daripadanya adalah Penolong Gabenor dan Timbalan Gabenor. Lebih malang lagi,Raja-Raja Negeri kehilangan separuh dari hasil negeri, malah mereka juga tidak boleh mendapat pendapatan dari punca-punca lain seperti berniaga dan memajakkan tanah kecuali gaji yang telah dibayar mengikut Sistem Kebangsaan.

Proses Thesaphiban ini diterajui oleh Putera Damrong selaku Menteri Dalam Negeri dan disokong oleh Chulalongkorn. Ianya dilaksanakan secara berperingkat untuk mengelakkan tanggapan negatif daripada kuasa-kuasa Barat yang Siam sedang mengawal pengembangan pengaruh mereka di kawasan tersebut terutama dari pihak British, kerana Damrong sedar bahawa mereka memerlukan sokongan daripada British untuk mengekang kuasa Perancis.

Selain itu, Damrong juga tidak mahu Raja-Raja Melayu melenting dan bangkit menentang mereka, kemudiannya meminta bantuan daripada British yang waktu itu memang mencari punca untuk menjajah negeri-neger Melayu.

Penentangan
Sebelum pelaksanaan Reformasi Pentadbiran atau Thesaphiban ini, kerajaan Siam telah berusaha untuk mengukuhkan kuasa mereka di Negeri-Negeri Melayu. sebaik sahaja termerterianya Perjanjian British-Perancis 1896, Kerajaan Siam telah mula menghantar Persuruhjaya Siam untuk berkhidmat di negeri-negeri Melayu. Persuruhjaya pertama Patani adalah Phya Sukhum. Chulalongkorn mengutus surat kepada Tengku Sulaiman Syarifuddin bahawa Phya Sukhum sebagai penasihat kepada beliau dalam setiap permasalahan.

Chulalongkorn tidak memaklumkan kepada Raja Patani tentang pelaksanaan reformasi pentadbiran ini. Lantas apabila diketahui, Raja Patani telah menghantar usul agar Patani diasingkan daripada sistem pentadbiran baru ini.

Sewaktu Phya Sukhum dilantik sebagai Persuruhjaya Tinggi, Siam telah menandatangani perjanjian sulit pada 1897 dengan kerajaan British tentang kedudukan wilayah-wilayah Melayu di Selatan Semenanjung. Perjanjian ini membolehkan Siam melaksanakan pembaharuan sistem pentadbiran baru di negeri-negeri Melayu.

Sejajar dengan perjanjian itu, Phya Sukhum telah melaksanakan pembaharuan pentadbiran dengan menyusun semula sistem pemungutan cukai candu dan spirit. Beliau telah menyatukan hasil kutipan cukai pajakan itu dan dibahagi kepada dua, separuh untuk Raja-Raja Melayu dan separuh untuk Kerajaan Negeri. Cadangan ini telah ditolak raja-raja Melayu kerana mereka berpegang bahawa perkara tersebut di bawah bidang kuasa mereka dan kerajaan Siam tidak mempunyai hak untuk berbuat sedemikian. Tengku Sulaiman, mewakili Raja-Raja Melayu telah menghantar bantahan kepada Chulalongkorn tentang tindak tanduk Phya Sukhum. Sebaliknya Raja Siam telah menolak bantahan itu dan menyokong pegawainya, kerana tindakan itu menguntungkan kerajaan negeri tambahan Raja Siam mencadangkan agar Raja-Raja Melayu mewujudkan sebuah ladang besar yang diusahakan besama antara tujuh negeri tersebut.

Pada awalnya, Siam membayar hasil cukai pajakan candu tersebut dikalangan raja-raja Melayu. Namun, keadaan itu tidak kekal lama. Setelah kemangkatan Tengku Sulaiman pada 1898, kerajaan Siam tidak lagi membuat bayaran kepada Raja Muda Tengku Abdul Kadir Kamaruddin walaupun kontrak pajakan itu masih berbaki selama dua tahun. Tengku Abdul Kadir telah merayu kepada Raja Bangkok tetapi tidak dilayan. Phya Sukhum juga telah mengambil alih tugas memungut cukai import dan eksport dari kerajaan negeri. Tindakan Siam telah menyemarakkan lagi kemarahan Tengku Abdul Kadir ditambah dengan Kerajaan Siam melambat-lambatkan perlantikan baginda sebagai Raja Patani.

Jemaah Pembesar Patani, telah sebulat surat melantik Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani yang baru. Di bawah peraturan lama, pembesar-pembesar negeri diberi kuasa untuk menabalkan Raja Muda sebagai pengganti Raja yang mangkat. Selepas pertabalan itu, pembesar-pembesar negeri akan mendapatkan Sanyathet atau pengesahan. Chulalongkorn telah menjawab, surat pengesahan itu akan dikeluarkan setelah Tengku Abdul Kadir memangku jawatan itu dan membuktikan bahawa dia boleh mentadbir Patani.

Selepas dua tahun baru surat pengesahan diberi kepada Tengku Abdul Kadir oleh  Chulalongkorn sewaktu beliau melawat Patani pada 1900. Chulalongkorn menyatakan bahawa mereka mengiktiraf almarhum Tengku Sulaiman sebagai Phra Pipit Pakdi, Raja Patani dan mengiktiraf Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dengan gelaran Phya Wichit Pakdi. Walaupun sudah diiktiraf sebagai Raja Patani, syarat perlantik gelaran itu tidak menghalang Persuruhjaya Tinggi  dan pegawai-pegawai Siam terlibat dalam pentadbiran Patani. Hal ini sememangnya menjejaskan kedaulatan Kesultanan Patani, perbincangan dengan Raja Siam telah menemui buntu dan Tengku Abdul Kadir tiada pilihan lain kecuali menghubungi British untuk mendapatkan pengesahan dan bantuan dalam menegakkan kedaulatannya.

Mei 1901, Tengku Abdul Kadir telah menghantar surat kepada Frank Swettenham yang waktu itu dilantik menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat, kebetulan waktu itu, Chulalongkorn berada di Singapura. Sungguhpun Swettenham bersimpati dengan keadaan Patani, namun dia tidak boleh membantu kerana Kerajaan British telah mempunyai perjanjian dengan Siam mengenai negeri-negeri Melayu. Beliau telah mencadangkan agar Tengku Abdul Kadir mengadakan pertemuan dengan Cholalongkorn bagi membincangkan permasalahan itu.

Julai 1901, Chulalongkorn telah melawat Singapura dan Swettenham telah megambil peluang ini membincangkan secara sepintas lalu mengenai nasib negeri-negeri Melayu dalam wilayah Siam. Swettenham juga menyatakan pegawai-pegawai Siam tidak melayan Raja-Raja Melayu dengan baik dan telah menjejaskan hubungan mesra dengan Bangkok. Swettenham juga membandingkan pemerintahan Britsh di negeri-negeri selat dengan menyatakan bahawa cukai-cukai yang dikutip akan dibayar faedah dengan pembangunan di negeri-negeri tersebut. Ternyata Swettenham mahu menyindir Siam akan dasar mereka di negeri-negeri Melayu tersebut.


Tindak balas yang negatif telah diberikan oleh Swettenham kepada permintaan Patani menyebabkan jemaah pembesar Patani sebulat suara mengambil  keputusan untuk memberontak demi kedaulatan mereka. Tengku Abdul Kadir bercadang untuk melancarkan pemberontakan bersenjata setibanya senjata dan peluru dari Singapura sampai pada akhir Oktober 1901. 
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...