SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 2 December 2013

PATANI – KELANTAN : EPISOD 2 - RAJA PELANGI

Gambaran Ratu Pelangi
Pendahuluan
Lagenda Patani yang paling menjadi sebutan adalah Raja Pelangi iaitu kerabat Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning. Kerap kali lagenda ini dikisahkan dalam cerita lisan dan penglipur lara masyarakat di Pantai Timur dan Utara Semenanjung Tanah Melayu. Mereka dikenali sebagai Raja Pelangi kerana nama-nama mereka diberi berdasarkan kepada warna-warna pelangi dan itu juga melambangkan mereka adalah Raja Perempuan yang pernah wujud dalam Sejarah Tamadun Melayu.

Persoalannya, siapakah mereka? Apa keturunan mereka? Dan ini lah yang bakal kami buka dalam artikel kali ini.

Raja Pelangi
Berikut disenaraikan kerabat Raja Pelangi:
Raja Hijau (1584-1616)
Raja Biru (1616-1624)
Raja Ungu (1624-1635)
Raja Kuning (1635-1649).

Raja Hijau
Raja Hijau adalah seorang Ratu Melayu Patani yang memerintah dari 1584-1616. Baginda adalah anak perempuan sulung Sultan Mansur Shah (Raja Kelantan 1547-1561). Berdasarkan rekod Portugis yang direkod oleh Mendez Pinto, baginda menaiki takhta pada 1584 sebagai seorang adik perempuan pada Raja Patani yang telah dibunuh selepas dua puluh tahun pemerintahan yang tidak stabil. Baginda juga dikenali sebgai Ratu Hebat Patani. Pada tahun 1604, Jacob van Neck melaporkan Patani sebagai sebuah negara yang secara umumnya adalah sebuah negeri yang aman dan kaya di bawah Ratu Hijau. Laporan Van Neck juga menyebut bahawa Ratu Hijau seorang yang pandai berdiplomasi dengan para saudagar. Ketika itu Patani terkenal sebagai sebuah negeri perdagangan yang maju dengan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca. Kebanyakkan saudagar dikatakan saudagar Cina. Baginda telah digantikan oleh adik perempuannya iatu Raja Biru.

Raja Biru
Raja Biru  memerintah Patani (1616-1624), menggantikan kakaknya Ratu Ijau. Dia adalah anak kedua dari tiga anak perempuan Sultan Mansur Shah yang memerintah negaranya. Dia telah digantikan oleh adik perempuannya Ratu Ungu. Sewaktu pemerintahan Raja Biru inilah Patani mencapai mengecapi kegemilangannya yang agung. Di bawah arahan Raja Biru inilah, tiga buah meriam yang direkodkan sebagai yang terbesar di Asia Tenggara telah dibina di bawah selian Tok Kayan, seoarang Cina Muslim. Meriam tersebut adalah Sri Patani dan Sri Nagara. Lapan tahun memerintah, lalu bagina telah mangkat dan digantikan oleh Ratu Ungu, adiknya pada 1624.

Raja Ungu
Raja Ungu menaiki takhta Patani mengantikan kakaknya yang mangkat pada 1624 dan memerintah selama 11 tahun dan mangkat pada 1635. Beliau adalah puteri terakhir kepada Sultan Mansur Syah. Ratu ungu ini sebenarnya puteri Patani yang dikahwinkan dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur lebih kurang pada tahun 1612. Perkahwinan ini adalah satu usaha Patani untuk membina hubungan pertalian darah dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Hasil dari perkahwinan ini lahirlah Raja Kuning. Sewaktu era Raja Ungu, Patani pernah terlibat perang secara besar-besaran dengan Siam bermula dengan satu serangan dari Patani ke atas Ligor bagi membebaskan daerah itu dari cengkaman Siam pada tahun 1631. Dalam serangan itu, Patani berjaya menawan dua kapal Siam bersama dengan dua orang Belanda. Siam dapat merebut kembali kapal mereka, namun orang Belanda itu tidak dijumpai. Hal ini membuatkan Belanda menyebelahi Siam dalam peperangan dengan Patani. Pada Mei 1634, berlaku satu peperangan yang mencatatkan rekod sebagai peperangan terbesar antara Siam dengan Patani dengan bala tentera Siam berjumlah 60,000 orang. Angkatan tentera Siam ini telah dikalahkan oleh Patani yang mendapat bantuan daripada Portugis.
Setahun selepas itu, beliau telah mangkat dan digantikan oleh anaknya, Raja Kuning pada 1635.

Raja Kuning
Raja Kuning adalah anak kepada Raja Ungu dengan Sultan Abdul Ghafur iaitu Sultan Pahang. Beliau dilahirkan lebih kurang pada tahun 1613. Beliau menaiki takhta menggantikan bondanya yang mangkat pada 1635. Patani ketika itu mempunyai 43 jajahan, termasuk Terengganu. Setelah Raja Kuning berkahwin dengan putera Sultan Johor, maka Terengganu diperintah oleh wakil Sultan Johor. Patani berada di bawah pemerintahan Raja Kuning selama 14 tahun. Baginda mangkat pada tahun 1649. Sebahagian catatan lain pula menyatakan bahawa Raja Kuning mangkat pada tahun 1688 pada usia 75 tahun tanpa meninggalkan pewaris tahta yang sah.

Patani Abad ke-17 mengandungi 43 Negeri.

PENUTUP
Menurut satu pendapat lain, raja-raja perempuan yang memerintah Patani ini merupakan raja adat sahaja. Ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa penuh, bahkan mereka juga tidak dibenarkan memasuki ke beberapa tempat di dalam istana. Ini kerana, Sultan Patani yang sebenar ialah dari keturunan Sultan Qunbul atau Sayyid Ali Nurul Alam. Tetapi kesepakatan telah dicapai, di mana keturunan Raja Sriwijaya yang sah masih lagi dapat memerintah bersama-sama raja-raja dari golongan ulama berketurunan Sultan Qunbul dan keturunan Tok Raja Fiqih al-Abbasi. Kesepakatan yang dibuat itu adalah disebabkan beberapa faktor serta bagi memastikan peralihan tampuk pemerintahan berjalan dengan penuh beradab. Di sini kita dapat melihat bahawa Patani itu telah mengamalkan sistem pemerintah seperti yang diamalkan sekarang. Seorang ‘raja besar’ dari salah satu 43 buah negeri tersebut, bertindak seperti Yang DiPertuan Agong sekarang atau istilah sebenarnya Raja TiRaja. Pusat pemerintahan Patani Besar pada mulanya di Kota Mahligai telah berpindah ke Istana Kota Chabang Tiga di Patani.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...