SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 22 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 10 – SIAM TERDESAK, RAJA PATANI MENGASAK

Kooday@Raja Pitay
Pendahuluan
Siam telah melaksanakan Peraturan bagi Mentadbir 7 Wilayah Negeri Melayu Patani bagi Tahun 120 tanpa persetujuan dari Negeri-Negeri Melayu Patani. Peraturan ini membuatkan kemarahan Tengku Abdul Kadir makin membara dan membangkitkan perasaan marah di kalangan Raja-Raja Melayu.

Di bawah peraturan yang baru dilaksanakan atas perintah Putera Damrong itu, Raja Melayu kehilangan kedaulatan dan hak memerintah kerana kuasa keputusan dan tindakan harus melalui Pesuruhjaya Tinggi. Di sini, Raja itu seolah-olah satu jawatan pentadbiran kerajaan semata-mata.

Pemberitahuan
Putera Damrong telah menghantar surat perlantikan Phya Sekseni sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu Patani dan meminta semua urusan pentadbiran harus melalui Phya Sekseni. Perkara ini tidak disenangi oleh Tengku Abdul Kadir dan beliau telah membalas surat tersebut dengan maksud merayu agar Patani dikecualikan dari  penstrukturan pentadbiran baru dan memerintah seperti sedia kala memandang beliau adalah Raja yang dilantik oleh Raja Chulalongkorn. Namun, rayuan ini tidak diendahkan oleh pihak Siam yang berkeras dengan tindakan mereka.

Pada Januari 1902, Tengku Abdul Kadir sekali lagi menghantar surat rayuan kepada Frank Swettenham di Singapura agar pihak British campur tangan, jika tidak rakyat Patani akan memberontak dan meminta pertolongan Kuasa Besar Eropah yang lain. Ini adalah ugutan kedua daripada Patani yang mana ancaman pemberontakan telah diwar-warkan buat pertama kali dalam pertengahan tahun 1901 tetapi dapat dipujuk oleh Swettenham dan Duff ketika itu.

Ugutan kedua ini membuatkan Swettenham tidak senang duduk, dan beliau telah mengambil kesempatan atas lawatan Chulalongkorn ke Singapura pada Januari 1902 untuk membincangkan masalah Patani. Beliau telah menyatakan kebimbangan terhadap pergolakkan di Patani kerana ia akan menjejaskan kepentingan British di rantau ini dan keadaan akan bertambah buruk sekiranya Raja-Raja Melayu di Semenanjung juga bangkit memberontak dengan memberikan alasan seperti mana yang berlaku di Pahang dan Acheh bagi menguatkan hujahnya.

Swettenham juga menyatakan British dan Belanda tiada masalah untuk menghadapi ancaman tersebut namun mereka tepaksa berhempas pulas dan berdepan risiko kehilangan yang besar. Tambahan dia beranggapan Siam tidak mampu menghadapi pemberontakan 50,000 orang Melayu. Bukan kerana nasihatnya, pasti Raja-Raja Melayu Patani bangkit menentang Siam.

Chulalongkorn bersetuju dengan keadaan yang genting di wilayah-wilayah Melayu dan memberi persetujuan untuk berkerjasama dengan British dalam mengatasi masalah tersebut. Dalam waktu yang sama, beliau menafikan Kerajaan Siam tidak mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengukuhkan kuasa di wilayah tersebut serta menafikan bahawa Raja-Raja Melayu akan bangkit memberontak menentang Siam sekiranya tidak mendapat bantuan daripada kuasa-kuasa luar.

Selanjutnya, Swettenham telah memberi pilihan kepada Chulalongkorn bagi menyelesaikan pergolakkan tersebut iaitu:
  • Siam melepaskan negeri-negeri tersebut dari kawalannya, ataupun:
  • Siam melantik pegawai-pegawai British yang berpengalaman untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut bagi pihak Siam, atau:
  • Siam memberikan mandat kepada Kerajaan British untuk mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja Melayu agar menyerahkan segala urusan yang berkait dengan hal ehwal luar negeri kepada Kerajaan Siam dengan jaminan bahawa kerajaan Siam akan tidak di campur tangan dalam hal ehwal negeri mereka.

Frank Swettenham juga menegaskan betapa pentingnya Kerajaan Siam membenarkan Raja-Raja Melayu menjalankan pemerintahan mereka seperti biasa dan tidak menekankan tentang Bahasa Siam sebagai bahasa rasmi. Di samping itu, beliau juga bersetuju dengan perihal penghantaran bunga emas dan perak kerajaan-kerajaan Melayu kepada Siam.

1902 tahun paling malang.....
Kerana desakan British, Chulalongkorn telah bersedia untuk menerima usul-usul yang dikemukakan oleh Frank Swettenham. Sebenarnya, hal ini telah menambah kebencian pihak Bangkok kepada orang-orang Melayu Patani yang pada mereka sudah mencabar kuasa Siam selaku penaung negeri-negeri Melayu Patani. Pembesar-pembesar di Bangkok juga makin berang kerana Tengku Abdul Kadir telah melibatkan kuasa-kuasa besar eropah dalam pertikaian wilayah tersebut. Ini berikutan mereka sedar jika perkara tersebut terus dibiarkan, wilayah-wilayah Selantan Siam akan terlepas ke tangan British.
Phya Sri Sahadhed

21 Februari 1902, Tengku Abdul Kadir telah dipanggil bertemu dengan Phya Sri Sahadhed, Timbalan Menteri Dalam Negeri Siam di kediamannya. Tengku Abdul Kadir telah berangkat bersama-sama 30 orang hulubalangnya. Di kediaman tersebut, Tengku Abdul Kadir telah dipaksa menandatangani Peraturan Mentadbir Tujuh Wilayah bagi tahun 1902. Kerana tidak mahu mengulangi kesilapannya yang lepas, Tengku Abdul Kadir enggan menandatangani peraturan tersebut. Phya Sri Sahadheb telah mengugut untuk memecat Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dan menggantikannya dengan Kooday juga dikenali sebagai Raja Pitay.

Pendirian tegas Tengku Abdul Kadir telah menyebabkan beliau ditahan dan dibawa ke Songkhla. Beberapa hari kemudian, Phya Sukum, Pesuruhjaya Siam telah menangkap Tengku Samsuddin, Raja Rangae dan Tengku Mutalib, Raja Teluban dan di bawa ke Songkhla. Kemudian, Raja-Raja Melayu ini dibawa pula ke Pitsanulok.

Mereka bertiga telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan “mengingkari perintah” Raja Siam. Kerajaan Siam telah melantik Raja Pitay menggantikan Tengku Abdul Kadir sebagai Pemangku Raja Patani. Raja Pitay adalah anak sepupu kepada Tengku Abdul Kadir. Sejajar dengan itu, Kerajaan Siam telah melaksanakan reformasi pentadbiran di Patani.

Dengan itu berakhirlah pemerintahan keluarga Tuan Besar di Patani yang telah memerintah negeri itu selama 60 tahun. 1902 adalah Tahun yang paling malang dalam sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Patani. Dengan kejatuhan itu, maka ‘terhapus hak pertuanan orang-orang Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan mereka kepada Raja Siam.

Penjara Utama, Bangkok



Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...