Siam diketahui sentiasa mengancam negeri-negeri
Melayu semenjak runtuhnya empayar Langkasuka. Patanilah menjadi benteng atau
penampan menyelamatkan negeri-negeri Melayu disamping dibantu oleh empayar
Majapahit, Melaka dan Johor-Pahang-Riau-Lingga sepanjang tahun 200 – 1785
Masihi.
Tahun 1785 menyaksikan Patani diserang dengan
dahsyat oleh Siam hingga menyebabktan Sultan Muhammad iaitu Raja Besar Patani
yang merdeka, syahid. Sebenarnya dalam tempoh 1688-1748, Patani dan
negeri-negeri Semenanjung berada dalam keadaan aman kerana Siam menghadapi
ancaman daripada Burma. Hinggalah mereka bangkit kembali. Jika diperhatikan, pemerintahan Dinasti
Kelantan Pertama di Patani tamat setelah Raja Omar turun dari takhta dan
menyerahkan kepada pembesar dan ulama Patani pada 1670. Namun, di bawah
pengaruh Siam ini, terdapat kerabat Kelantan yang dilantik utk mentadbir
Patani.
Satu fakta sejarah yang jarang diketengahkan kepada
umum dan juga mungkin atas dasar politik antarabangsa, fakta ini boleh
dikatakan tidak pernah mendapat tempat diuar-uarkan kepada dunia luar bahawa :
Antara tahun
1409 dan 1457, Melaka dan Patani merupakan kuasa terbesar di Tanah Melayu telah
menerima Islam sepenuhnya. Gambaran yang diberikan seolah-olah ketika itu
Patani dan Melaka adalah dua kuasa yang berasingan. Kedua-dua buah kuasa besar
Melayu ini adalah bersaudara dan saling bertolongan apabila menghadapi sesuatu
musibah. Banyak bukti sejarah menyokong fakta tersebut. Kemudian apabila Melaka
jatuh ke tangan Portugis, tinggalah Patani yang menjadi kuasa dagang serta
pusat dagang terbesar di Nusantara. Hal inilah yang menyebabkan Siam begitu
bernafsu untuk menakluk Patani. Selain itu Patani adalah pusat Islam yang
menjadi tumpuan termasuk Arab, pengaruh Patani dikhuatiri akan menyebabkan
Empayar Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki ketika itu menghulurkan
bantuan membebaskan umat Islam di Tanah Melayu.
-Syeikh
Kerutuk@Tabut Jawi
KPSK akan ulas dengan lebih lanjut akan perkara ini
dalam artikel yang khusus. Kemakmuran Patani inilah menyebabkan Siam begitu
tertarik dengan wilayah Patani. Ekspedisi demi ekpedisi dilancarkan untuk
menakluk Patani hinggalah saat 1785 itu.
Berbalik kepada peristiwa Raja Omar turun takhta
dan kembali semula ke Jembal telah membuatkan Patani kembali dirajai oleh
raja-raja dari kalangan 43 negeri bersekutu dalam Patani. Namun, setelah di
jajah oleh Siam, muncul kembali Kerabat Kelantan memerintah Patani yang
dikenali dengan Kerabat Kelantan Kedua.
Kejatuhan
Patani
Semasa pemerintahan Raja Long Nuh (1749-1771) Siam
telah membuat kekacauan dengan menyerang Ligor, Singgora dan Pathalung dalam
satu serangan besar-besaran. Punca serangan ini disebabkan negeri-negeri ini
telah mengisytiharkan merdeka dari Siam sewaktu Burma menduduki Siam selama 15
tahun dari 1767-1782. Serangan ini berlaku pada tahun 1769 atas nama Siam yang
mana waktu itu sudah diperintah oleh pemerintah dari Burma. Pada waktu itu
Ligor sebagai perwaris kepada Negara Sri Dharmaraja sebuah negara purba yang
pernah mempunyai 12 negeri di Semenanjung.
Raja Ligor telah melarikan diri dan berlindung di
Singgora. Mengetahui sedang diburu oleh Siam, Raja Ligor, Raja Singgora dan
Raja Pathalung bersama kaum kerabat mereka telah melarikan diri ke Patani.
Pemburuan Siam berterusan hinggalah ke satu wilayah bernama Tiba,
iaitu sempadan Patani dan Songkhla. Mereka telah meminta perlindungan
daripada Raja Long Nuh. Raja Muda Siam telah menghantar utusan kepada Raja Long
Nuh agar menyerahkan ketiga-tiga raja itu. Pada masa yang sama Siam sudah
mengatur rancangan untuk menyerang Patani sekiranya raja-raja yang diburu tidak
diserahkan kepada mereka. Hasil mesyuarat Long Nuh dengan pembesar-pembesar
Patani dan mereka mengambil keputusan menyerahkan raja-raja tersebut kepada
Siam memandangkan mereka sudah tiada apa-apa perhubungan ditambah mereka pernah
membantu Siam menyerang Patani.
Ekoran dari kerjasama yang diberikan oleh Raja Long
Nuh dalam peristiwa perang Siam-Ligor ini membuatkan Siam tidak menyerang
Patani, hinggalah Raja Ahmad yang kemudiannya dikenali sebagai Sultan Muhammad
menaiki takhta Patani pada pada 1774.
Pada tahun 1776, Siam cuba menduga apakah Sultan
Muhammad yang baru menaiki takhta mudah tunduk kepada tipu muslihat mereka
dengan helah Burma telah menyerang mereka dan meminta bantuan sebanyak 80,000
bath, bagaimanapun Sultan Muhammad tidak melayan akan permintaan Siam itu
kerana baginda sudah tahu tujuan sebenar Raja Siam itu. Berpunca dari itu,
pihak Siam telah mempunyai alasan untuk menyerang Patani kerana tidak
menghulurkan bantuan seperti yang mereka kehendaki.
1782, Raja Siam bernama Phya Tak Sin telah dibunuh
oleh panglimanya yang merampas kuasa. Panglima itu yang dari keturunan Maha
Cakri telah melantik dirinya sendiri sebagai Raja Siam dengan gelaran Phra Putrra Yu’Fa Chula Lok juga
dikenali sebagai Raja Rama. Beliaulah
yang memindahkan pusat pentadbiran Siam dari Thonburi ke Bangkok.
1784, Burma telah menyerang Ligor yang berada dalam
jajahan Siam. Raja Rama menghantar tentera dari Bangkok ke Ligor yang dipimpin
oleh adiknya sendiri iaitu Raja Muda Siam untuk memerangi Burma. Peperangan itu
berlangsung beberapa bulan sehingga Burma berundur meninggalkan Ligor.
Kemudian, Raja Muda Siam itu telah membawa angkatan
perangnya ke Singgora yang waktu itu merupakan sebuah jajahan Siam untuk
mengatur pemerintahan dari sana. Satu perutusan telah dihantar oleh Raja Muda
Siam ke Patani agar tunduk tanpa perang pada Siam dengan alasan Patani tidak
menghulurkan bantuan kepada Siam pada tahun 1776.
Sultan Muhammad telah bermesyuarat dengan para
pembesar mengenai perutusan itu. Keputusan telah diambil yang mana Patani
bersedia untuk berperang jika Siam meneruskan niat meneruskan niat menakluk dan
menghapuskan kedaulatan Islam di Patani.
Rakyatnya pula telah bersedia dan
menyahut seruan Jihad itu dengan terbuka kerana peluang untuk berjihad telah
terbuka di depan mata. Jiwa mereka mudah terbuka untuk menyambut seruan Jihad
kerana Patani pada waktu itu merupakan pusat dakwah Islam di Nusantara. Waktu
ini ramai pendakwah telah dilahirkan di Patani dan terdapat penuntut luar
seperti dari Acheh, Jawa, Palembang,
Sulawesi, Borneo, Mindanao, Arab dan India telah datang berdakwah serta
mendalami ilmu agama.
Pertempuran
berlaku
Saat meletusnya perang telah mencapai kemuncak,
rakyat Patani telah dibahagikan kepada dua pasukan. Pasukan pertama berkawal di kubu-kubu di tepi pantai untuk
menahan serangan Siam dari arah laut. Pasukan kedua pula berkawal sekitar
Istana Kota Chabang Tiga. Seri Patani dan Seri Nagara dua laras meriam
kebanggaan Patani dikeluarkan setelah disimpan selama 150 tahun kerana kali
terkakhir digunakan ketika peperangan dengan Siam yang berlaku sewaktu
pemerintahan Raja Ungu. Kali terakhir ia digunakan adalah pada tahun 1631 dan
1632.
Tidak lama kemudian, angkatan tentera Siam yang
diketuai oleh Phraya Kalahum telah sampai di Kuala Patani dan berlabuh di sana
untuk menunggu masa yang sesuai bagi melancarkan serangan. Sebenarnya kejatuhan
Patani kepada Siam sama seperti episod kejatuhan Melaka ke tangan Portugis.
Kekalahan Patani dan Melaka adalah akibat pengkhiatan dari pembesar. Melaka
telah dikhinati oleh Patih Kerma Wijaya hingga tewas ke tangan Portugis. Patani
pula dikhianati oleh pembesar yang bernama Nai Chan Tung yang berasal dari
Ligor. Beliau bersama-sama rakan-rakanya telah ke Patani, di sini beliau telah
banyak melakukan jasa dan bakti hingga mendapat kepercayaan Sultan Muhammad dan
telah dilantik menjadi pembesar negeri. Di ambang serangan Siam, Nai Chan Tung
ini telah merencana pakatan jahat untuk menumbangkan Patani.
Nai Chan Tung telah mengadap Sultan Muhammad dalam
keadaan tergopoh gapah untuk memberitahu kepada Sultan bahawa Siam telah tiba
di Kuala Patani. Beliau telah menzahirkan kebimbangan akan serangan Siam dan
berjanji beliau dan bangsanya sanggup berperang mempertahankan Patani. Beliau
telah memohon supaya dilantik sebagai Ketua pasukan tentera Patani yang berkubu
di kawasan pantai. Sultan Muhammad telah memperkenankan permintaan itu tanpa syak
wasangka dan juga telah mengurniakan sebuah perahu besar lima hasta beserta
kelengkapan senjata dan meriam.
Menjelang malam, Nai Chan Tung berlayar ke tempat
kapal Siam berlabuh dan bertemu dengan Phraya Kalahum dan mendedahkan rahsia
pertahanan Patani. Setelah itu dia telah melarikan diri ke Singgora. Setelah
tiba waktu yang dinantikan, Pharya Kalahum telah melancarkan serangan dengan
membedil secara serentak ke arah kubu-kubu pertahanan di pantai Patani. Kerana
maklumat pertahanan Patani telah diketahui oleh angkatan Siam, pasukan
pertahanan Patani mulai menjadi lemah kerana banyak kubu mereka terkena bedilan
Siam. Akhirnya Siam telah mendarat di pantai Patani dan mula mara ke arah
istana.
Rakyat Patani menentang dengan hebat akan
pendaratan askar Siam itu. Sultan Muhammad sendiri telah turun ke medan perang
dan mencatur pergerakkan angkatan tenteranya. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara
berjaya meredakan kemaraan pasukan Siam. Peperangan ini berlangsung selama
beberapa hari hingga Siam berjaya mara menghampiri pasukan pertahanan kota.
Pertarungan sengit ini juga membuatkan Sultan
Muhammad sendiri mengangkat senjata dan bertempur dengan musuh. Pasukan Siam
telah menggunakan meriam ketika pertempuran darat ini dan ditakdirkan Sultan
Muhammad telah terkena tembakan meriam dan syahid di hadapan rakyatnya sendiri.
Ekoran dari itu, angkatan Patani telah bertambah lemah dan berpecah hingga
akhirnya Kota Cabang Tiga berjaya ditawan Siam. Itulah kekalahan pertama Patani
dalam sejarahnya.
Kejam
Tentera Siam bermaharaja lela selama sebulan di
Patani dengan menangkap dan membunuh siapa sahaja lelaki, perempuan,
kanak-kanak hatta orang tua. Semua harta benda rakyat Patani telah dirampas dan
Kota Cabang Tiga telah dibakar hingga menjadi arang. Seramai 4,000 orang Melayu
Patani telah dijadikan tawanan dan di bawa ke Bangkok sebagai hamba tebusan
Sri Patani di Bangkok |
Sebelum tentera Siam berangkat pulang ke Bangkok,
Pharaya Kalahum telah mengisytiharkan undang-undang penakluk untuk menghapuskan
hak orang-orang Melayu. orang Melayu telah ditangkap seramai mungkin untuk
dijadikan hamba tawanan perang. Meriam Sri Patani dan Sri Nagara yang dibina
semasa pemerintahan Raja Biru telah dirampas untuk dibawa pulang ke Bangkok.
Namun meriam Sri Nagara telah terjatuh kedalam air ketika di Kuala Patani
semasa kerja-kerja pemunggahan dilakukan. Hanya meriam Sri Patani sahaja
berjaya dibawa ke Bangkok dan diletakkan di hadapan Jabatan Pertahanan di
Bangkok.
Sisi lain Sri Patani |
2 comments:
bukan siam tu serumpun dgn melayu..kenapa artikel ni tulis siam memusuhi melayu ...ada komen tak..
bertambah pening ambo..huhhuhu
@semestacode
Kalu ikut subjek sejarah di sekolah...kita tidak pernah diajar siam dgn Melayu itu serumpun. Yg serumpun adalah Patani. Seperti yg kita maklum, siam ini sebenarnya petunjuk arah Barat dari kedudukan di selatan semenanjung, Siam zaman Melaka merujuk kpd Patani.
Post a Comment