SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 24 December 2013

EPISOD 11 (PENUTUP) : PATANI-KELANTAN 1650-1670 & 1842-1902

Ratu Hijau : sedutan dari filem "Queens of Langkasuka"

Kelantan dan Terengganu adalah sebuah negeri di bawah naungan Patani di era kegemilangannya. Ia dikenali sebagai Patani Besar. Kemuncak kegemilangan Patani adalah di bawah pendatabiran Raja Perempuannya (Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning). Negerinya amat besar merangkumi dari Songkhla hingga ke Kelantan, Terengganu dan sedikit Perak dan ianya dikenali sebagai Patani Besar.

Di era keemasannya, ia sering dikunjungi oleh para pedagang Barat dan Timur. Rajanya dapat berkomunikasi dalam bahasa-bahasa asing dari Timur dan Barat dunia. Gemilangnya kerajaan mereka. Ayuthya di Utara amat mencemburui kepesatan Patani.

Serangan besar dilancarkan sebanyak enam kali namun semuanya dapat dipatahkan oleh Patani dengan meriam kegemilangan mereka, Sri Patani dan Sri Nagara yang merupakan meriam terbesar di Asia Tenggara. Rekod sejarah menyaksikan serangan terbesar Siam berlaku pada Mei 1696 di bawah pimpinan Raja Somdet Phra Phetracha, pengasas Dinasti Ban Phlu Luang. Siam waktu itu menyerang Patani dengan angkatan tentera berjumlah 60,000 tentera dengan bantuan daripada armada laut Belanda. Serangan ini berjaya dipatahkan oleh Patani dengan pertahanan mereka dan meriam-meriam yang hebat serta bantuan daripada Portugis.

Sewaktu pemerintahan Ratu Kuning, ancaman Siam berjaya memasuki Patani ekoran kelemahan pentadbiran. Maka munculah bantuan daripada Kerajaan Jembal dari Kelantan yang dipimpin oleh Raja Sakti menghalau ancaman Siam tersebut hingga ke wilayah mereka. Setelah itu, Raja Sakti telah dilantik menjadi Raja Patani memandangkan beliau juga mempunyai pertalian darah dengan pemerintah Patani yang sebenar iaitu Sultan Qunbul (Sayyid Nurul Alam).

Setelah Raja Sakti mangkat, Raja Loyor pula naik takhta namun mangkat tidak lama kemudian dan digantikan dengan adindanya Raja Omar... namun beliau telah turun dari takhta dan dilantik dari menjadi Raja Jembal di Kelantan. Kemudian, Patani telah ditadbir oleh alim ulama dan pembesar dari keturunan Sultan Qunbul. Di jangka masa ini, hubungan Patani-Kelantan sebagai pemerintah telah berkahir kerana Patani kemudiannya ditadbir oleh Raja-Raja yang dilantik di kalangan 43 buah wilayah bersekutu Patani.

Pembesar-pembesar ini telah melantik Raja Bakar/Bakal menjadi Raja Patani, namun tidak lama kemudian beliau mangkat dan tempatnya digantikan oleh puterinya, Raja Mas Kelantan. Beliau pada waktu itu telah berkahwin dengan Tuan Besar Long Bahar bin Wan Daim (Datu Pengkalan Tua) dan mempunyai dua orang anak iaitu Dewi Perachu dan Long Sulaiman.


Pada tahun 1707, Raja Mas Kelantan telah mangkat dan tempat beliau telah digantikan oleh Dewi Perachu dengan gelaran Raja Nang Chayang. Pada waktu ini juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan Patani di mana, Raja Nang Chayang telah menyerahkan taktanya kepada ayahandanya, Long Bahar. Hal ini mendapat tentangan dari pembesar-pembesar Patani. Long Bahar telah turun dari takhta dan menyerah kembali kepada Raja Nang Chayang dan beliau telah membawa diri ke Kota Jembal di Kelantan bersama-sama dengan Long Sulaiman.

Patani berada dalam keadaan bergolak kerana negeri tersebut tidak mempunyai raja selama tiga tahun selepas peristiwa Long Bahar turun takhta. Kemudian, pembesar Patani telah melantik Raja Along Yunus (1721-1729) dan Sultan Haji Yunus (1729-1749) sebagai raja. Seterusnya Tuan Long Nuh bin Long Nik (1749-1771) dan Raja Bakar (1771-1774) sebagai Raja Patani. Ketika ini Patani tidak menghadapi ancaman daripada Siam namun ia mulai lemah kerana perkembangan ekonomi waktu itu dimonopoli Inggeris dan juga Belanda. Pada 1774, Raja Ahmad yang dilantik sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Muhammad (1774-1785) menghadapi serangan Siam yang waktu itu mulai bangkit setelah berjaya menghapuskan pengaruh Burma dalam kerajaan Ayuthya dibawah dinasti Cakri. Dalam peperangan ini Patani telah tewas kepada Siam kerana PENGKHIANATAN pembesarnya yang bernama Nai Chang Tung.

1785 adalah tahun kejatuhan Patani kepada Siam hingga ke hari ini.... itulah takdir yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita. Semenjak dari zaman Tengku Lamidin (1786-1791) hinggalah kepada Raja terkakhir Patani, Tengku Abdul Kadir (1898-1902, perjuangan untuk membela rakyat Patani sentiasa mekar. Namun takdir mereka seperti yang kita maklum hingga ke hari ini.

Mereka sudah puas menangis, hati mereka sudah kering, namun semangat mereka tidak pernah padam. Begitulah bumi bertuah diberi peluang untuk Syahid!!!

Bersabarlah saudara-saudara ku,
Kamu adalah orang-orang yang terpilih untuk ke Syurga...
pertahakanlah akidah mu, kuatkanlah iman mu,
lindungilah harta benda mu.
Nescaya Syahid menunggu mu....

Allah Maha Besar!!!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...