Azrin (kiri) dan Abdul Ghafar membawa nasi yang siap dibungkus
ke kereta yang menunggu untuk menghantarnya ke seluruh Kelantan. |
PASIR PUTEH - Tidak terfikir bagaimana warga ibu
kota Kuala Lumpur yang ‘dihidangkan’ dengan aneka pilihan sarapan pagi masih
memilih nasi bungkus daripada Kelantan setiap hari.
Sebanyak 2,000 nasi bungkus dari Kampung Banggol
Pak Esah dekat sini, diterbangkan dengan pesawat kargo Malaysia Airline Sistem
(Mas) dari Lapangan Terbang Sultan Ismail ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) setiap pagi bagi membolehkan pelanggan tetap di sana
menikmatinya setiap pagi.
Nasi kerabu, nasi lemak, nasi berlauk dan nasi
dagang resipi tradisi Mohamad @ Mohd Nor Zakaria, 68, (Pok Nor) dibungkus
seawal jam 11 malam bagi membolehkan ianya tidak terlepas dari jadual
penerbangan awal di Pengkalan Chepa.
Pengurus Nasi Bungkus Pok Nor, Azrin Mohamad, 34,
bersama adiknya, Abdul Ghafar Mohamad, 30, mendapat idea meluaskan pasaran
selepas mendapati produk itu mendapat sambutan luar biasa.
“Selepas berjaya memasarkan 1,500 nasi bungkus ke
seluruh Kelantan, kami berjaya membawa produk ini lebih jauh tapi masih
berbaloi walaupun menampung kos penghantaran tinggi.
"Di Kuala Lumpur, nasi bungkus ini diambil
agen untuk dihantar kepada penjual di sekitar Putrajaya, Puchong dan Shah Alam
yang menjualnya pada harga RM4 sebungkus. Nasi untuk pasaran tempatan mulai
dibungkus jam 3 pagi dan dijual pada harga RM2.50 sebungkus,” katanya.
Beliau berkata, Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
yang diusahakan itu memberi peluang pekerjaan kepada 36 wanita yang
kebanyakannya ibu tunggal dan dibahagikan kepada dua syif, 22 orang untuk
pembungkusan bagi pasaran Kuala Lumpur dan selebihnya untuk pembungkusan bagi
pasaran tempatan.
Nasi Bungkus Pok Nor katanya, akan dikembangkan
kerana beliau kini merancang membuka kilang di kampung itu dan membuka kedai
kopi sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu.
“Dalam masa sama, kami melancarkan grup Facebook
Nasi Bungkus Pok Nor bagi mempromosikan produk selain menerima pendapat
pelanggan bagi meningkatkan kualiti serta melicinkan urusan pemasaran.
“Sekiranya usaha ini terus berkembang maju, ia
sudah tentu memberi manfaat secara berterusan kepada ibu tunggal dan agen-agen
kami di Kelantan dan Kuala Lumpur,” katanya.
Pekerja Nasi Bungkus Pok Nor sibuk membungkus nasi kerabu dan
nasi
lemak pada awal pagi untuk dihantar ke Kuala Lumpur.
|
No comments:
Post a Comment