SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 9 January 2014

RAJA-RAJA PATANI SELEPAS LANGKASUKA

Pendahuluan
Unik! Itulah satu terma yang dapat kita ungkapkan tentang negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini. Sejarah awal Pahang, Terengganu, Kelantan dan Patani begitu samar-samar sekali. Negeri-negeri ini pernah membentuk satu empayar dikenali sebagai Langkasuka.

Lebih unik lagi, Langkasuka itu sendiri masih samar-samar kerana tiada pengkaji yang mengkhusus dalam kerajaan purba ini. Memang ada kajian dilakukan namun ia tidak didedah kepada umum. Apa yang X-Historian (pengkaji sejarah bebas)  boleh lakukan hanyalah rujuk silang dan membuat inferens, tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan kisah Langkasuka.

Dalam memahami Langkasuka kita boleh membuat rujuk silang dengan menggunakan Hikayat Merong Mahawangsa, Tarikh Patani dan Riwayat Kelantan. Kami di KPSK pula mengambil inisiatif membuat carian tentang buku-buku lama yang banyak tersebar di internet berkenaan Patani. Itulah kaedah terbaik yang dapat kami lakukan kerana ramai G-Historian (Pengkaji sejarah yang terkemuka) telah mengemukakan analisis mereka tentang ketiga-tiga rujukan primer yang telah dinyatakan dan dibentangkan dalam pelbagai seminar serta bengkel yang berkisar kepada ketamadunan dan sejarah bangsa Melayu.

Artikel ini adalah kesinambungan daripada Episod Patani-Kelantan yang disiarkan hujung tahun 2013.

Langkasuka-Patani
Pada masa ini, sejarah awal Patani berada dalam kesamaran dan sukar untuk di sahihkan kerana terdapat usaha penjajah (Inggeris dan Siam) menggelapkan sejarah Patani secara terancang dalam usaha mereka menguatkan hemogeni mereka dalam tahun-tahun 1900. Wajar kita ambil peringatan bahawa Patani musnah dan hampir lenyap dalam serangan Siam pada 1785 hingga Istana Cabang Tiga dibakar hangus hingga menjadi debu. Terbakarnya istana ini, membuatkan catatan sejarah di Patani turut terbakar. Namun terdapat beberapa naskhah penting seperti Tarikh Patani berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari Patani.

Mengikut rujukan yang dilakukan berdasarkan kepada sejarah Kedah, Patani merupakan sebahagian Langkasuka yang berpusat di Kedah, mankala Sejarah Patani menyatakan bahawa kewujudannya adalah selepas runtuhnya Langkasuka. Itu adalah maklumat dari sejarah Kedah dan Sejarah Patani, kerana adanya Tarikh Patani maka pengisahan Patani wajar mengikut sumber primer dari Patani itu sendiri.

Tarikh Patani menyatakan Empayar Langkasuka merangkumi Kedah, Patani, Kelantan, Terengganu dan Ligor. Rekod sejarah menyatakan bahawa pada tahun 75 hingga 800 masihi, Langkasuka merupakan rakan dagang bagi China, Arab, Parsi, Sriwijaya, Sailendra, Khemir dan Champa. Pemerintahan Langkasuka telah diambil alih oleh Empayar Sriwijaya (Sriwijaya Mala) pada tahun 750 Masihi. Kerana faktor kerancakan ekonomi yang berkembang pesat di Palembang, Sriwijaya telah memindahkan pusat pentadbiran ke sana dan mengabaikan Langkasuka selepas tahun 800 masihi dan menyebabkan kawasan semenanjung semakin sepi, dari sini wujudnya Patani itu.

“Sememenjak Patani-Langkasuka wujud seawal tahun 200 masihi, agama Tauhid (Samawi) yang dibawa oleh Nabi Musa alaihisalam dan Nabi Isa alaihisalam telah dianuti oleh orang Melayu Patani. Agama Islam pula telah tiba di Patani seawal tahun 750 Masihi dan menjadi saingan kepada agama Hindu, Budha dan animisme. Tarikh Patani juga menyatakan pada 658 Masihi, Syeikh Abdul Samad dari negeri Rom telah tiba di Patani untuk mengajar rakyat Patani tentang cara-cara membuat bedil...”

Bingkisan Anak Bani  Jawi

Tarikh Patani juga mengisahkan tentang Raja Antira Wangsa (Raja Indera Wangsa) telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke sebuah tempat yang kemudiannya dinamakan Patani. Kemungkinan kisah ini berlaku pada sekitar tahun 800 Masehi. Patani juga adalah kesinambungan daripada Empayar Langkasuka kerana raja-rajanya adalah berketurunan Sriwijaya yang kemudiannya meneruskan hubungan dengan Kerajaan Sailendra dan seterusnya Kerajaan Majapahit. Selain itu ramai ahli sejarah menyatakan Kerajaan Langkasuka berakhir setelah tiada lagi Keturunan Raja Seri Wangsa yang memerintah Patani pada abad ke-17 Masehi.

Raja Indera Wangsa merupakan cucu kepada Raja Jaya Wangsa, iaitu Maharaja Empayar Sri Wijaya (sekitar tahun 750M) yang memerintah dari Palembang. Setelah menyerang Kerajaan Langkasuka yang berpusat di Kedah, baginda telah mengahwini puteri Raja Kedah yang berketurunan Mahawangsa. Melalui perkahwinan tersebut baginda telah dikurniakan dua orang putera. Putera sulung telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka-Kedah manakala putera kedua, Raja Seri Wangsa memerintah di Langkasuka Timur (Jaya/Cahaya). Raja Seri Wangsa pula melahirkan putera bernama Raja Antira Wangsa atau Raja Indera Wangsa.  Dari sinilah munculnya Keturunan Sri Wangsa yang memerintah negeri Patani sehingga tahun 1649. Setakat kisah ini boleh dinyatakan bahawa Keturunan Seri Wangsa telah memerintah Patani selama lebih kurang 800 tahun.

Mengikuti analisis daripada Syeikh Kerutuk dari Tabut Jawi menyatakan Sejarah Patani terdapat dua versi iaitu:

Versi Pertama : Versi ini menyatakan Patani dibuka oleh Phya Na Tukpa yang kemudiannya memeluk Islam melalui Syeikh Syafiyuddin pada akhir 1400 Masehi. Setelah memeluk Islam Phya Na Tukpa telah menukar nama kepada Sultan Ismail Syah, mangkat dalam tahun 1530 Masehi.

Versi Kedua : Versi ini menyatakan Patani dibuka oleh Raja Indera Wangsa dan memeluk Islam melalui Syeikh Said dan ditabalkan dengan Sultan Muhammad Syah. Beliaulah seorang raja yang berketurunan Raja Sri Wangsa yang melahirkan zuriat sehingga Sultan Ismail Syah, dengan Raja Kuning (1635-1649) sebagai Raja Patani yang terakhir dari keturunan Sriwijaya-Langkasuka.

Syeikh Kerutuk juga menambah Syeikh Said dari Pasai telah mengislamkan Raja Indera Wangsa dan menukarkan nama baginda kepada Sultan Muhammad Syah. Manakala Syeikh Shafiyuddin pula datang ke Patani pada masa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530-1564). Ketika itu raja-raja Patani sudah memeluk Islam namun pemahaman dan penguasaan pada Islam masih berkurangan. Syeikh Shafiyuddin inilah yang dikenali sebagai Tok Fiqih.




Nama Patani
Patani mendapat namanya apabila berlakunya peristiwa Raja Anthira Wangsa (Raja Indera Wangsa) memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke kawasan baru yang dinamakan Patani. Diandaikan peristiwa ini berlaku pada tahun 800 Masehi. Mengikut catatan sejarah, Patani adalah legasi daripada Empayar Langkasuka yang mempunyai pertalian darah dengan Kerajaan Sriwijaya dan Kerajaan Majapahit. Sejarahwan terkemuka menyatakan pendapat mereka bahawa pemerintahan Empayar Langkasuka berakhir setelah tiada lagi keturunan Raja Seri Wangsa memerintah Patani pada abad ke-17. 

Berdasarkan kepada genealogy (salasilah) di atas, diterangkan bahawa Raja Indera Wangsa merupakan cucu kepada Raja Jayawangsa, Maharaja Empayar Sriwijaya yang memerintah di Palembang pada 750 Masihi.  Pada tahun tersebut juga, Sriwijaya telah menyerang Langkasuka yang berpusat di Kedah. Selaku penguasa baru di rantau Nusantara, Sriwijaya berjaya menundukkan Langkasuka.

Dikhabarkan, setelah berjaya menawan Langkasuka, Raja Jayawangsa telah mengahwini Puteri Langkasuka dari keturunan Mahawangsa dan mereka telah dikurniakan dua orang putera. Putera Sulong telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka-Kedah, manakala Putera Kedua yang bernama Raja Seri Wangsa ditabalkan sebagai Langkasuka Timur (Jaya/Cahaya). 

Raja Seri Wangsa pula telah menitihkan Raja Indera Wangsa (Raja Anthira Wangsa) yang mewujudkan Dinasti Seri Wangsa memerintah Patani hingga 1649. Raja Indera Wangsa ini pula melahirkan zuriat yang juga pengganti beliau iaitu Raja Andhiradha Wangsa yang berkahwin dengan Puteri Raja Siggora.

Setelah kemangkatan Raja Andhiradha Wangsa, putera beliau telah menaiki takhta Patani iaitu Raja Andhiradha Dewa Wangsa. Dari sini pemerintahan Dinasti Seri Wangsa legasi Sriwijaya-Langkasuka berterusan hinggalah kepada Phya Tu Nakpa. 

Phya Tu Nakpa
Dalam riwayat lain menyebut bahawa Phya Tu Nakpa telah memeluk Islam dengan dakwah yang dibawa oleh Syeikh Syafiuddin. Setelah ditabalkan semual, Phya Tu Nakpa telah diberikan gelaran sebagai Sultan Ismail Zillullah Fi al'Alam, manakalh Syeih Syafiuddin telah diberikan pangkat sebagai Penasihat Agama kepada Kerajaan Patani dengan gelaran Datuk Seri Raja Fiqih.

Semasa pemerintahan Sultan Ismail, Datuk Seri Raja Fiqih telah diberi tugas untuk berdakwah kepada kaum kerabat dan para pembesar Patani waktu itu untuk memeluk Islam. Kemudian ajaran Islam telah tersebar dan rakyat Patani menerima Nur Islam dengan hati yang terbuka. Penduduk Patani melupakan ajaran Hindu dan melupuskan tinggalan dan amalan lama mereka. Selain itu, jawatan menteri dan pembesar telah ditukar oleh Datuk Seri Raja Fiqih dengan panggilan Orang Datuk dan Orang Kaya. Sultan Ismail pada waktu itu juga telah mengukuhkan hubungan dengan Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka terakhir (1488-1528).

Sultan Ismail telah mangkat pada 1530 dan digantikan Raja Muzaffar dan menggunakan gelaran sebagai Sultan Muzaffar Syah (1530-1564). Baginda mangkat secara mengejut setelah berjaya menawan Istana Raja Siam Ayuthia dan dimakamkan di kuala sungai Chao Phraya. Semasa Baginda Sultan mangkat, isterinya ketika itu sedang mengandungkan zuriatnya yang kemudian melahirkan seorang putera yang bernama Raja Patik Siam. 

Kemangkatan Sultan Ismail dengan perwarisnya masih dalam kandungan telah membuatkan para pembesar Patani melantik Raja Muda Patani ketika itu, Raja Mansur sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Mansur (1564-1572). 

Anak Gahara
Ditakdirkan selama 8 tahun bergelar Raja Patani, Sultan Mansur telah jatuh gering hingga mewasiatkan takhta Patani harus dikembalikan kepada tuan yang berhak iaitu Raja Patik Siam anak saudara beliau yang ketika itu berumur 9 tahun. Setelah kemangkatan Sultan Mansur, para Pembesar Patani telah menabalkan Raja Patik Siam sebagai Raja Patani (1572-1573) ketika usianya masih amat muda. Para Jemaah Menteri Patani ketika itu bersetuju untuk melantik bonda saudara baginda yang bernama Raja Aishah sebagai Timbalan Sultan.

Pertabalan Raja Patik Siam ini amat melukakan hati waris-waris Patani yang lain kerana Raja Patik Siam hanyalah seorang kanak-kanak ketika itu dan paling menonjol adalah Raja Mambang, seorang anak gahara hasil perkahwinan Sultan Mansur dengan isterinya, orang kebanyakkan. Seperi episod duka dalam kesultanan Melayu yang lain, Raja Mambang juga bertindak membunuh sepupu dan ibu saudaranya sendiri kerana didorong perasaan cemburu dan sakit hati kerana merasakan hak beliau sebagai perwaris dicabuli. Dalam peristiwa itu, Raja Mambang juga turut terbunuh kerana ditikam dengan lembing oleh hulubalang Istana Patani waktu itu.

Kemangkatan Raja Patik Siam dan Raja Aishah pada 1573 membuatkan Jemaah Menteri Patani bersidang dan menabalkan Raja Bahadur, sebagai pewaris yang paling layak memerintah Patani. Raja Bahadur adalah putera kepada Marhum Sultan Mansur Raja Bahadur telah ditabalkan sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Bahadur Syah (1573-1584).

Sultan Bahadur Syah mempunyai seorang saudara gahara yang bernama Raja Bima. Sama seperti episod Raja Mambang dengan Raja Patik Siam, Raja Bima juga menyimpan perasaan iri hati dan cemburu kerana dia juga merasakan berhak ke atas takhta Patani. Sultan Bahadur telah ditikam dari belakang oleh Raja Bima dan dia juga turut di bunuh oleh hulubalang Istana sebelum dia sempat melarikan diri.

Raja Pelangi
Tersurat dalam Tarikh Patani bahawa Sultan Bahadur hanya mempunyai tiga orang puteri dan tidak mempuyai putera. Puteri-puteri ini  akhirnya dikenali sebagai Raja Pelangi yang juga digelar Nang Chayang yang bermaksud Raja Perempuan telah membangkitkan kegemilangan Patani di mata dunia, mereka adalah:


  • Raja Hijau (1584-1616) menaiki takhta menggantikan ayahandanya yang mangkat ditikam Raja Bima. Tidak lama memerintah Patani, Raja Hijau telah mangkat dan digantikan oleh adindanya Raja Biru.
  • Raja Biru (1616-1624) di era pemerintahan beliau, Patani berada dikemuncak kegemilangan dengan berhubung secara terus dengan kuasa-kuasa asing dari Barat dan mempunyai artileri terhebat di Asia Tenggara iaitu Meriam Sri Patani dan Sri Negara. 8 tahun kemudian, Raja Biru mangkat dan digantikan oleh adindanya iaitu Raja Ungu.
  • Raja Ungu (1624-1635) dijodohkan dengan Sultan Pahang yang bernama Sultan Abdul Ghafur Mahiuddin (1592-1614) sebagai usaha Patani mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga waktu itu. Perkahwinan mereka telah melahirkan seorang puteri yang diberi nama Raja Kuning. Raja Ungu telah mangkat pada 1635 dan digantikan oleh anakandanya.
  • Raja Kuning (1635-1649), mengikut kisah lisan dari penduduk setempat Patani, di era pemerintahan beliau Patani menghadapi masalah dalaman yang teruk kerana suami kepada Raja Kuning yang berasal dari kerabat Johor telah gila bayang dengan seorang penari Istana waktu itu dan dipercayai terkena Ilmu Hitam.
Selepas tahun 1649, Patani diperintah oleh Raja-Raja dari Dinasti Kelantan yang berketurunan Islam Champa dan berakhirlah pemerintahan Patani dari Legasi Langkasuka-Sriwijaya.

Kesimpulan
Patani adalah sebuah kerajaan legasi yang berkesinambungan dari Kegemilangan Empayar  Langkasuka dan Kebangkitan Sriwijaya. Dalam pengkajian sejarah mainstream hari ini, dua Empayar silam ini masih hangat diperdebatkan. PPSK juga tidak ketinggalan untuk memperdebatkan dua kerajaan silam ini kerana ia adalah warisan daripada Bangsa Melayu yang gemilang. Kami akan lanjutkan pengkajian ini dengan menelusuri jiran-jiran empayar silam Langkasuka dan Sriwijaya untuk mengelakkan unsur pesimistik dalam memahami struktur dan kegemilangan dua kerajaan tersebut. Sekian dahulu dari kami.



Artikel seterusnya : SIAPA R.W. DUFF??
Robert Willliam Duff 

















Credit kepada : Cactus Wangi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...