Long Bahar Tuan Besar adalah satu nama yang masyhur
kerana melalui beliaulah lahirnya Kerabat DiRaja Kesultanan Kelantan pada hari
ini. Generasi sekarang kurang arif dengan salasilah Sultan di Kelantan pada
hari ini. Rata-rata anak muda kita amat dekat dengan nama Sultan Muhammad IV
dan Sultan Yahya dan kurang mengenali Sultan Ismail.
Nama Sultan Muhammad IV sering disebut kerana
stadium Negeri Kelantan hari ini dinamakan sempena nama Baginda, manakala
jambatan utama Kelantan yang menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Pekan pula dinamakan
sempena nama Sultan Yahya petra. Ketokohan Sultan Muhammad V pula tidak boleh
disangkal lagi, kerana Baginda Sultan memang amat rapat dengan rakyat melalui
pelbagai progam kemasyarakatan dan sikap Baginda sendiri yang gemar
bersama-sama rakyat setiap masa.
Nama Long Bahar selalu disebut sebagai seorang kerabat dari Patani yang
berhijrah ke Kelantan dan tidak ramai yang mengetahui kenapa baginda berhijrah
dan kemudiannya dilantik menjadi Raja Kota Jembal menggantikan Sultan Umar
ketika itu..
Siapa Long Bahar?
Pada tahun 1686, Dato’
Pengkalan Tua, Wan Daim telah membawa tiga orang puteranya yang ketika itu
telah dewasa ke Kelantan kerana pergeseran politik yang berlaku di Patani
ekoran pemilihan Raja Patani yang hak. Putera-putera Wan Daim yang turut
berhijrah itu adalah Tuan Sulong (Dato’ Pasir-Petani), Tuan Long Nik (Dato’
Pujud-Reman) dan Tuan Long Bahar (Tuan Besar-Jembal). Kerajaan Jembal waktu itu
adalah kerajaan yang mendominasi Kelantan disamping beberapa City States yang lain dan Sultan Umar
adalah pemerintah Jembal saat Dato’ Wan Daim berhijrah.
Tuan Long Nik bin Wan Daim telah dijodohkan oleh Sultan Umar (Raja Jembal) dengan Che Seku, puteri seorang pembesar yang bernama Penghulu Deraman yang tinggal di Geting, Tumpat. Tuan Long Nik memerintah di Pujud yang bersempadan dengan Patani/Jala/Jambu.
Tuan Long Bahar bin Wan Daim pula dianugerahkan Kota Bukit Jarum sebagai Raja Legeh. Pada tahun 1721, Sultan Umar telah mangkat dan Tuan Long Bahar telah ditabalkan sebagai Raja Jembal menggantikan almarhum.
Bingkisan Anak Bani Jawi
Sebelum dilantik menjadi Raja
Jembal kisah Tuan Long Bahar ini agak menarik untuk diperhatikan kerana
bahagian ini jarang diketahui umum. Sudah tersurat bahawa Dato Pengkalan Tua,
Wan Daim adalah bapa kepada Tuan Long Bahar, cuma dakwaan tentang menjadi Raja
Legeh harus diselidiki dengan mendalam dan akan kami bawakan dalam satu posting
khusus.
Yang pasti di sini bahawa,
negeri-negeri Melayu di Pantai Timur Semenanjung ini pernah dikenali sebagai Patani Besar yang merangkumi 43 buah
negeri yang setiap negeri mempunyai raja-raja tersendiri yang saling mempunyai
pertalian darah.
Meneliti genealogy (salasilah) Tuan Long Bahar ini, beliau adalah menantu
kepada Raja Bakal/Bakar dari Kampung Teluk yang menaiki takhta Patani pada 1688.
Dipercayai sebelum peristiwa penghijrahan Dato’ Pengkalan Tua, Wan Daim ke
Kelantan, Raja Long Bahar ini telah menjadi menantu Raja Bakal dengan
mengahwini Raja Mas Kelantan.
Jadi Raja Patani
Ketika Raja Bakal menaiki
takhta Patani, usianya sudah terlalu lanjut. Pada tahun 1690, Raja Bakal telah
mangkat dan meniggalkan Patani dalam keadaan kesamaran mencari Raja baru.
Akhirnya Raja Mas Kelantan, puteri kepada Raja Bakal telah dilantik menjadi Raja
Patani dan secara automatiknya, Tuan Long Bahar juga memainkan peranan dalam
pentadbiran Patani ketika itu memandangkan beliau adalah suami kepada Raja Mas
Kelantan. Menurut rekod, Patani pada waktu itu berada dalam keadaan aman dan
tenteram kerana ancaman Siam pada waktu itu sudah berkurangan kerana Siam pada
waktu itu menghadapi masalah dalam negeri. Patani di bawah Raja Mas Kelantan
juga cuba mengukuhkan keududkan dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan Empayar
Johor-Pahang-Riau-Lingga dengan menabalkan anak Bendahara Johor, Tun Zainal
Abidin yang juga anak angkat mereka sebagai Sultan Terengganu.
Raja Mas Kelantan ditakdirkan
tidak memerintah lama. Pada 1707 beliau telah mangkat setelah memerintah Patani
selama 17 tahun. Perkongsian hidup antara Raja Long Bahar dengan Raja Mas
Kelantan, mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu Dewi Peracu dan
Long Sulaiman. Ekoran kemangkatan Raja Mas Kelantan, pembesar-pembesar
Patani telah sepakat melantik Dewi Perachu sebagai Raja Patani dengan gelaran
Raja Nang Chayang.
Canggung...
Konflik dalaman yang lebih
bersifat peribadi telah berlaku sewaktu pemerintahan Raja Nang Chayang. Pada tahun
1715 yakni setelah 8 tahun memerintah, beliau telah menyerahkan takhta Patani
kepada ayahanda beliau, Raja Long Bahar yang
jelas bertentangan dengan adat di Patani. Mengikut adat Patani, hanya
Raja yang mempunyai pertalian darah dari keturunan Sultan Qunbul (Syyid Nurul
Alam@Fakih Ali) sahaja yang boleh menjadi Raja Patani. Dalam hal ini juga, kami
berpendapat bahawa ketika Dato’ Pengkalan, Wan Daim membawa diri ke Kelantan
atas faktor bukan keturunan Sultan Qunbul dan tidak dilantik menjadi Raja
Patani.
Mungkin kerana pandangan dan
bantahan daripada pembesar Patani membuatkan Raja Long Bahar sedar dan akur
akan tentangan dari kalangan pembesar negeri yang mungkin menjejaskan
kestabilan di Patani dan akhirnya beliau telah turun takhta pada tahun 1716 dan
membawa diri bersama-sama Long Sulaiman ke Kota Jembal di Kelantan.
Raja Nang Chayang kemudiannya
ditabalkan sekali lagi menjadi Raja Patani namun, rekod sejarah menunjukkan
Patani sekali lagi menghadapi situasi interrganum
di mana Patani tidak mempunyai Raja yang mutlak untuk mentadbir negeri pada
1718. Kami berpendapat, setelah Raja Long Bahar turun takhta Patani dan membawa
diri ke Kelantan, Raja Nang Chayang juga berbuat demikian pada 1718 dan
meninggalkan takhta Patani begitu sahaja.
Dari Patani ke Jembal
Setelah turun dari takhta
Patani pada 1716, Raja Long Bahar telah membawa diri ke Kelantan atau lebih tepat
ke Kota Jembal. Sultan Umar adalah Raja yang memerintah Kota Jembal waktu itu.
Ibarat sireh pulang ke gangang, Jembal tidak asing buat Long Bahar kerana pada
1686 iaitu 30 tahun sebelum itu beliau bersama-sama kekandanya telah mengikuti
ayahanda mereka berhijrah ke Kelantan. Seperti yang kita sedia maklum, pada waktu
Raja Long Bahar, berhijrah bersama anaknya Long Sulaiman adalah seorang duda
yang pada waktu itu telah kematian isteri (Raja
Mas Kelantan) selama 9 tahun.
Setibanya
beliau di Kota Jembal, Sultan Umar telah mengahwinkan puterinya, Raja Pah
dengan beliau. Adat seorang perantau, mungkin kerana tidak bebas, beliau telah
meminta keizinan daripada Sultan Umar untuk membuka sebuah penempatan baru. Permintaan
itu telah diperkenankan dan beliau telah membuka Kota Kubang Labu yang begitu masyhur dalam sejarah Kelantan.
Mengikut garis masa penghijrahan Raja Long Bahar ke
Jembal dari Patani dan seterusnya ke
Kota Kubang Labu ia berlangsung dalam tempoh 5 tahun sahaja bermula dari 1716 –
1721 kerana pada tahun ini Raja Long Bahar telah ditabal sebagai Raja Jembal
menggantikan Sultan Umar.
Raja Pah adalah anak sulung bagi Sultan Umar, beliau
mempunyai seorang putera yang dalam waktu beliau masih hidup telah memerintah
di Kota Teras iaitu Raja Kecil Sulong. Beliau menolak untuk menjadi Raja Jembal
kerana sayangkan rakyatnya di Kota Teras dan hormatkan kakaknya Raja Pah,
beliau telah memberi laluan kepada Long Bahar untuk memerintah Kota Jembal.
Long Bahar telah menerima perlantikan sebagai Raja
Jembal dan meninggalkan Kota Kubang Labu untuk ditadbir oleh Long Sulaiman.
Kisah seterusnya boleh di baca dalam artikel kami di bawah tajuk Perang Kota Kubang Labu 1.
Kesimpulan
Memahami sejarah Kelantan sebenarnya tidak terlalu sulit jika diketahui puncanya. Di akui ianya berliku namun tidak sukar selagi mana kita berusaha untuk mengetahuinya. Sejarah ini adalah rakaman masa lalu dan ia penting kepada orang-orang yang mempunyai kepentingan. Terma "Sejarah ditulis oleh Pihak yang Menang" selalu dicanang-canang... namun kebenaran tetap terpelihara kerana Allah s.w.t. tetap memelihara kebenaran. Ia hanya menunggu masa untuk timbul sebagai bukti kebenaran. In Sha Allah.
Gerbang Pasar Kota Jembal |
No comments:
Post a Comment