SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 11 August 2014

RAKYAT KELANTAN & KEMERDEKAAN - BAHAGIAN 1

Tanah Melayu 1922 : Biru [Negeri Melayu Tidak Bersekutu], Kuning [Negeri Melayu Bersekutu], Merah [Negeri Selat]

Pengenalan
Kemerdekaan adalah sesuatu yang abstrak dan difahami dengan pelbagai maksud bergantung kepada individu. Kemerdekaan untuk sebuah negara adalah mempunyai kuasa untuk menentukan pemerintahan sendiri tanpa kokongan kuasa lain. 

Kelantan sebelum merdeka dikenali sebagai sebuah negeri yang di istilah oleh British sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu bersama Johor, Terengganu, Kedah dan Perlis. Ringkasnya sewaktu pentadbiran British terdapat tiga pecahan dalam negeri-negeri Melayu iaitu Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Tidak Besekutu dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, seperti berikut:
  • Negeri-Negeri Selat : Singapura, Melaka, Dinding, Pulau Pinang
  • Negeri-Negeri Melayu Bersekutu : Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, 
  • Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu : Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor
Inilah yang sentiasa diwar-warkan sebagai Pentadbiran Pecah dan Perintah oleh ahli sejarah negara yang diamalkan oleh British sewaktu zaman kolonial dahulu. Pembesar dan pemimpin masyarakat Melayu waktu itu melihat bahawa perpecahan ini harus diatasi terlebih dahulu sebelum mewujudkan sebuah negara untuk Bangsa Melayu yang berpecah mengikut sempadan pada waktu itu.

Kelantan selepas Perang Dunia ke-2
Ramai sudah mengetahui bahawa angkatan tentera Jepun mula menggempur semenanjung Tanah Melayu melalui Kota Bharu pada Disember 1942, seminggu selepas itu seluruh Tanah Melayu hingga ke Singapura telah ditawan oleh Jepun. 

British telah melarikan diri dari Tanah Melayu dan mula menjauhkan diri dari Asia Tenggara kerana Jepun telah menguasai hampir keseluruhan bahagian asia itu, kemungkinan besar mereka melarikan diri ke Australia dan India. Namun, ramai juga ditawan dan menjadi POW dan dikerah menjadi Buruh untuk pembinaan aset Jepun terutama Landasan Keretapi dari Burma hingga ke China.

Siam telah memberi kerjasama kepada dengan membenarkan Jepun membina pengkalan tentera mereka di sana. Jepun berjaya menawan Semenanjung Tanah Melayu. Sebagai membalas jasa Siam, Jepun telah menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Siam untuk ditadbir. Justeru, pemerintahan di Kelantan tidak banyak diganggu Jepun mahupun Siam. Cuma kehidupan rakyat umum terjejas berikutan dunia dalam perang dan ramai ditangkap untuk dijadikan buruh paksa.

1945, Jepun telah menyerah kalah ekoran negara mereka telah diserang dengan Bom Atom, sekiranya mereka meneruskan perang, dikhuatiri seluruh Jepun akan musnah, kerana keupayaan Bom Atom USA itu tidak dapat ditandingi pada waktu itu. 

Susulan ketewasan Jepun, British telah mengarahkan Lord Mounbatten menduduki semula Tanah Melayu. Beliau tiba di Tanah Melayu pada 5 September 1945 untuk menyambung semula pendudukan British selepas kekacauan yang dilakukan oleh Jepun. 11 Oktober 1945, Kerajaan British di Parlimenya telah mengumumkan untuk menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu. Pada 1 April 1946, Malayan Union telah ditubuhkan di King House [Carcosa Sri Negara]. Di Kelantan, Dato Nik Ahmad Kamil pada waktu itu menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan ke-11 telah dilantik sebagai Timbalan Komissioner Residen pada 1946 oleh British sebagai satu usaha untuk menjayakan pembentukan Malayan Union ini.

Kelantan Menentang Malayan Union
Pada dasarnya, Malayan Union ini  mengandungi Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh Gabenor British. Raja-Raja Melayu dikekalkan tetapi mereka tidak mempunyai kuasa kecuali dalam hal pentadbiran Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu sahaja. British pula akan terus kekal berkuasa dengan Gabenor Malayan Union akan melantik Majlis Penasihat untuk menentukan pentadbiran di peringkat negeri.

Selain itu, Setiausaha Tanah Jajahan British, George Hall ketika mengumumkan rancangan Malayan Union telah menegaskan bahawa "Penyatuan negeri ini dan memperbaharui undang-undang kerakyatan yang akan memberikan hak kerakyatan yang sama rata kepada sekalian penduduk yang mengaku negeri ini sebagai tanah air mereka. 

Pembentukan Malayan Union ini sebenarnya untuk menggabungkan Negeri-Negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu tetapi mengecualikan Singapura dan ia kekal di bawah Empayar British, kerana mereka mahu membina Pengkalan Tentera Laut untuk Timur Jauh. Peranan ini akhirnya diambil alih oleh US.

Pada waktu itu, banyak persatuan yang berkaitan dengan bangsa Melayu telah ditubuhkan dan memperjuangkan agenda mereka yang tersendiri, dan ini membuatkan orang-orang Melayu berpecah. Keadaan ini menyebabkan British berani memaksa orang Melayu untuk menerima pembentukan Malayan Union. 

Setiausaha Tanah Jajahan British juga telah mengumumkan Sir Harold Macmicheal telah dihantar oleh Kerajaan British untuk mengurus dan mendapatkan persetujuan mengenai rancangan British itu daripada Raja-Raja Melayu. Kehadiran Mac Macmichael itu telah disambut dengan penentangan oleh orang Melayu seluruh Semenanjung dan ianya amat mengejutkan British. Rakyat negeri Kelantan juga bangkit menyuarakan bantahan mereka dengan melakukan tunjuk perasaan.

Perarakan Rakyat Kelantan menentang Malayan Union

PPMK & PMK penggerak Kelantan
Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) dan Persatuan Melayu Kelantan (PMK) adalah dua buah persatuan yang begitu menonjol di Kelantan dalam menentang pembentukan Malayan Union dan mendesak untuk kemerdekaan dari British. Persatuan ini wujud sebelum pendudukan Jepun lagi, dan ianya dipelopori oleh Tengku Mahmud Mahyiddin dan Nik Ahmad Kami serta beberapa tokoh besar Kelantan yang lain.

Tercabar dengan agenda pembentukan Malayan Union, PPMK telah bertindak menyembah sepucuk surat kepada Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim memperingatkan baginda supaya tidak menandatangani perjanjian Malayan Union itu, antara lain isi kandungan surat tersebut:

Pendudukan tanah air hari ini dan akan datang bergantung kepada keteguhan ikatan setia diantara kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat jelata Melayu dan pemerintahan Melayu. Sekira sepihak telah mencuaikan kewajipannya maka disitulah terlahirnya nasib buruk Bangsa Melayu, Tuanku, dan kemuliaan taraf Sultan-Sultan Melayu. Akan tetapi sekiranya kedua-dua pihak telah berikat setia dan berpegang teguh kepada kewajipan masing-masing mengikut masa dan kehendak orang Melayu, maka pada masa itulah kemuliaan dan kebesaran yang belum pernah dirasai oleh pemerintah-pemerintah Melayu pada beratus-ratus tahun dahulu akan terlahir dengan sejelas-jelasnya.

Selain itu, PPMK juga telah melancarkan kempen kesedaran kepada rakyat Kelantan akan baik dan buruk tentang perlaksanaan Malayan Union. Usaha mereka berjaya dan rakyat Kelantan sedar akan bahaya menanti sekiranya terlaksananya Malayan Union.

Sir Harold Macmicheal tiba di Kota Bharu pada 15 Disember 1945 dalam usaha beliau untuk mendapatkan tandatangan Sultan Ibrahim. Melihat Raja-Raja Melayu telah menandatangani perjanjian itu, Sultan Ibrahim turut menurunkan tandatangan baginda dengan disaksikan oleh pembesar-pembesar Kelantan dengan tindakan tersebut, Sultan Kelantan telah menyerahkan Negeri Kelantan kepada Kerajaan British.

Rakyat Kelantan menolak dan menentang pembentukan Malayan Union ini dan telah mengadakan Rapat Raksasa. Perarakan itu bermula dari Padang Bank menuju ke Kediaman Penasihat British di Jalan Sultanah Zainab.  Ianya diketuai oleh Dato Ishak Hamid dan di bantu oleh seorang pemimpin Wanita Kelantan iaitu Cik Kamariah Idris dan turut disertai oleh rakyat Kelantan. 

Perarakan itu telah merempuh masuk ke kediaman Penasihat British di Jalan Sultanah Zainab untuk menyerahkan surat bantahan. Penasihat British yang cemas melihat kehadiran orang ramai bertindak mahu memangil pengawal keselamatan, tetapi dihalang oleh Dato Ishak dan beliau menerangkan bahawa kehadiran mereka cuma untuk menyerahkan surat bantahan Rancangan Malayan Union dan tidak berniat untuk mencetuskan kekacauan.

Seterusnya, perarakan tersebut menghala ke Istana Mahkota Sri Chemerlang untuk mengadap Sultan Ibrahim. Wakil PPMK telah menyerahkan surat bantahan rancangan Malayan Union dan waktu itu semua lapisan masyrakat tanpa mengira usia telah menyertai rapat umum tersebut. Itulah kesepakatan yang dicapai oleh rakyat Kelantan dalam memperjuangkan kemerdekaan. Dipercayai bahawa itulah rapat umum yang paling besar mengatasi demonstrasi di negeri-negeri lain pada waktu itu. 

Antara Rakyat Kelantan yang menyertai Perarakan bantahan Rancangan Malayan Union

Perhimpunan ini merupakan perhimpunan terbesar dan mencatat sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah Negeri Kelantan. 30,000 orang telah berkumpul serta membanjiri Padang Bank dan Kota Bharu untuk membantah penubuhan Malayan Union.

Kongres Melayu
10 Februari 1946, Sultan Ibrahim sendiri telah mengadakan perhimpunan rakyat di halaman Istana Sri Chemerlang, Jalan Kebun Sultan dan baginda sendiri menyampaikan titah ucapannya dalam majlis tersebut. Kemuncak penentangan orang Melayu terhadap Penubuhan Malayan Union ialah penganjuran Kongres Melayu Malaya Pertama yang diadakan pada 1-4 April 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur. Ianya dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor, tanpa menghiraukan Tanah Melayu pada waktu itu dalam pentadbiran Tentera British.

41 persatuan telah hadir, terdiri daripada 107 perwakilan dan 56 pemerhati. Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan dan Persatuan Melayu Kelantan juga turut hadir dalam Kongres Melayu yang pertama ini. Tiga orang wakil PPMK adalah Haji Fadullah Suhaimi sebagai ketua, dan diiringi oleh Mohammad bin Busu dan Haji Ishak Lotfi Omar. PMK pula menghantar Nik Ahmad Kamil [Dato' Setia Di Raja], ketua dan diiringi oleh Ahmad Maher Ismail dan Ismail Ibrahim.

Kejayaan penganjuran Kongres ini telah menyedarkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh berjuang secara sendirian atau berpuak tetapi sebaliknya memerlukan perpaduan dan pengemblengan tenaga yang kental. Atas dasar itu, agenda utama kongres tersebu adalah untuk menubuhkan sebuah organisasi yang dapat memusatkan perjuanga seluruh bangsa Melayu dalam menggapai kemerdekaan.

BERSAMBUNG PADA BAHAGIAN KE-2

http://pondokrahmat.blogspot.nl/2014/02/malayan-union-ditentang-rakyat-kelantan.html
http://pp-sk.blogspot.nl/2014/08/nik-ahmad-kamil-perintis-kemerdekaan.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Negeri-negeri_Selat



Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...