SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 16 August 2015

2 Seruan Jihad dan Pembebasan Pasir Puteh dari Inggeris Punca Perang 1915 di Kelantan : Siri Merdeka PPSK 2015

Campur Tangan Tentera British
Langham Carter tidak begitu yakin dengan kemampuan sultan untuk menghadapi kebangkitan Tok Janggut, malah dia mengesyaki sultan dan beberapa orang pembesar tertentu seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut. Atas sebab itu British Adviser Kelantan telah meminta Gabenor menghantar bantuan ketenteraan ke Kelantan bagi menghadapi kemungkinan kebangkitan yang lebih besar.

3 Mei 1915, seramai 239 orang askar British dari pasukan R.G.A.R.E dan King's Shrophire Light Infantry dan pasukan Sukarelawan Melayu Singapura, di bawah pimpinan Colonel Brownlow telah dihantar ke Kelantan dengan kapal H.M.S. Calmus, turut serta dalam operasi itu adalah R.J. Farrer, seorang pegawai perisik. 

5 Mei 1915, bantuan ketenteraan ini telah sampai di Kota Bharu. Setelah mendaratkan askar-askar tersebut di Kota Bharu, Colonel Brownlow telah mengarahkan 50 orang askar untuk berkawal di Tanah Merah dan Gunung, beliau juga telah mengarahkan H.M.S. Calmus untuk mengawal Kuala Semerak bagi menghalang sebarang bantuan asing sampai ke pihak Tok Janggut. Semasa di Kuala Semerak, kapal perang British itu telah menggunakan meriam besarnya untuk membedil Pasir Puteh. Sebanyak 25 das bedilan meriam telah dilepaskan dari empat meriam besar dan ia memberi kesan kepada pengikut-pengikut Tok Janggut. 

8 Mei 1915, askar-askar British telah bertolak ke Pasir Puteh dan turut disertai oleh pasukan pengawal di bawah pimpinan Dato Bentara Setia.

9 Mei 1915, pasukan bersenjata ini telah tiba di Bandar Pasir Puteh, dan mereka mendapati bandar itu dalam keadaan sunyi sepi berikutan ramai penduduknya telah melarikan diri ke Besut, Terengganu. Pegawai British mencatatkan bahawa mereka tiba di Bandar Pasir Puteh pada waktu tengah hari mendapati segelintir sahaja penduduk Pasir Puteh yang masih tinggal di bandar itu. Satu barisan kedai telah hangus terbakar, kelengkapan dan harta kerajaan telah dimusnahkan dengan barang-barang dalam kedai telah dicuri. Rumah Mr.Green dan Jensen, pegawai Inggeris di Pasir Puteh telah dirompak dan kira-kira 20 ekar ladang kelapa milik Abdul Razak telah dibakar.

Kegagalan menangkap Haji Mat Hassan (Tok Janggut) dan pengikut-pengikutnya menyebabkan Langham Carter mengarahkan Pejabat Balai Kerajaan agar mengeluarkan surat pengisytiharan meminta "penderhaka-penderhaka" itu menyerah diri. Beliau meminta pasukan Dato Bentara Setia berundur ke Kota Bharu bagi memudahkan tentera British menjalankan tugas "pembersihannya". Pada masa yang sama Pepys telah dilantik sebagai District Officer Pasir Puteh yang baru menggantikan Encik Latif. 

12 Mei 1915, Pejabat Balai telah mengeluarka pengisytiharan yang menuntut lima orang pemimpin Pasir Puteh untuk menyerahkan diri kepada British dalam tempoh tiga hari untuk pendakwaan atas kesalahan yang dituduh. Perisytiharan itu juga mengancam untuk membakar rumah dan harta benda mereka akan dirampas oleh kerajaan. Selain itu, perisytiharan tersebut juga menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap kelima-lima pemimpin itu.

Tok Janggut dan Engku Besar Jeram telah mengadakan mesyuarat bersama pengikut-pengikut kanannya. Mereka telah mengambil keputusan untuk tidak akan menyerah diri dan rela menerima  sebarang hukuman yang akan menimpa mereka. Ini berikutan mereka yakin bahawa penentangan mereka adalah sebagai satu sahutan kepada seruan Jihad menentang kufar dan bukan melawan Sultan. 

Natijahnya, Malay State Guides yang mengambil alih tugas daripada askar-askar British telah membakar rumah Tok Janggut dan pengikutnya. British juga telah bertindak lebih daripada itu kerana mereka kecewa dengan sikap penduduk Pasir Puteh yang tidak bekerjasama dengan British. Atas nasihat British Adviser pada 23 Mei 1915, sultan menghukum penduduk-penduduk Pasir Puteh atas 'huru-hara yang telah berlaku'. Hukuman itu berupa denda mengikut saiz rumah, 
  • rumah 'besar' dikenakan denda $10.00, 
  • rumah 'sederhana' dikenakan $5.00 
  • rumah 'kecil' dikenakan denda $3.00
Tuan rumah mesti menjelaskan bayaran denda itu dalam tempoh 15 hari sekiranya mereka enggan membayar denda, rumah dan kelengkapan mereka akan dibakar.

Perang Tercetus
Tindakan British telah mencetuskan kemarahan semua penduduk Pasir Puteh dan ia telah menyebabkan Tok Janggut bertindak balas dengan membuat serangan ke atas khemah M.S.G di Dispensari Pasir Puteh pada pukul 3:00 pagi 24 Mei 1915. Bagaimanapun serangan itu tidak teratur. 

24 Mei 1915, pada waktu pagi Langham Carter, Pepys, A.G. Maxwell dan beberapa orang lagi pegawai British telah memimpin Pasukan Malay State Guides untuk memburu Tok Janggut dan pengikutnya. Dalam perjalanan itu mereka telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyaki Tok Janggut berada dalam rumah tersebut. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan berlaku pergelutan menyaksikan Khatib itu meninggal terkena tikaman bayonet askar Sikh.

Setelah itu, askar-askar British ini telah bertembung dengan pasukan Tok Janggut di Kampung Dalam Pupoh, tidak jauh dari Kampung Merbol. Mereka telah berbalas tembakan di kawasan sawah, bagaimanapun barisan Tok Janggut tidak mampu menahan bedilan daripada askar British. Dalam catatan Inggeris yang ditulis oleh Pepys, pasukannya telah memasuki Kampung Dalam Pupoh dan mendapati Tok Janggut telah mati terkena tembakan dan dua mayat yang tidak dapat dikenali, mereka berjaya menawan seorang pengikut Tok Janggut bernama Deraman bin Diah dari Kampung Telosan yang telah cedera parah yang sebelum itu telah dibawa oleh rakan-rakannya dengan kesan darah sepanjang jalan sebelum beliau ditemui. 

Engku Besar Jeram dan beberapa orang pemimpin yang lain telah berjaa melepaskan diri daripada kepungan askar Sikh dan melarikan diri ke Reman. Selepas itu, pasukan Malay States Guide telah diarah supaya membakar rumah Tok Nik Abas di Kampung Tok Akib. Jenazah yang dikatakan Tok Janggut telah dibawa ke Kota Bharu dengan kereta dan diarak sekeliling bandar sebelum jenazah itu disait selama empat jam dan ia kemudiannya dikebumikan di Kampung Laut.

Pasir Puteh Selepas Perang
Kebangkitan di Pasir Puteh telah berjaya dipatahkan, bagi memastikan ianya tidak berulang, British telah mengambil beberapa langkah untuk mengekang perkara sedemikian berulang. Dua hari selepas berkahirnya pertempuran di Kampung Dalam Pupoh iaitu pada 26 Mei 1915, kerajaan telah mengeluarkan titah meminta penduduk Pasir Puteh pulang ke rumah masing-masing dalam masa 40 hari, keingkaran mematuhi arahan tersebut menyebabkan mereka akan dituduh bersubahat dengan puak pemberontak dan akan dikenakan hukuman berat.

Beberapa minggu kemudian, kerajaan telah mengeluarkan arahan supaya penduduk Pasir Puteh menyerahkan semua alat jenis senjata kepada rumah 'pasong' di Pasir Puteh dalam tempoh 60 hari. Senjata-senjata tersebut akan dipulangkan kembali setelah pihak berkuasa mengesahkan pemilik tidak disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan. Pemilik senjata yang bebas disyaki pula dikehendaki bersumpah untuk taat setia kepada kerajaan sebelum menerima kembali senjata mereka yang dijaga pihak berkuasa.

Pihak British tidak berdiam diri selagi Engku Besar Jeram masih bebas, justeru melalui laporan yang diterima oleh Gabenor Negeri Selat di Singapura, mereka telah memberi saranan kepada Kerajaan Kelantan untuk memberkas dan menghukum pengikut Tok Janggut bagi memastikan kebangkitan tidak berlaku lagi di Kelantan. Atas sebab itu, Kerajaan Kelantan telah menawarkan hadiah yang lumayan kepada mereka yang dapat menahan pengikut-pengikut Tok Janggut, antara yang diburu adalah:
  • Engku Besar | Jeram | $500
  • Che Sohok | Nering | $500
  • Haji Said bin Haji Chik | Cherang Tuli | $500
  • Pak Ya | Lubuk Kawah | $500
  • Mamat Pak Laboh | Kampong Saring | $500
  • Haji Chik laki Chik Mat | Cherang Tuli | $500
  • Cik Ahmad bin Mat Tahir | Nering | $500
  • Haji Snik bin Mamat | Gong Tapang | $400
  • Tok Nebeng Dotang bin Yusof | Banggul | $250
  • Awang Ngah bin Mohamed Din | Nering | $250
  • Samad bin Damid | Nering | $250
  • Penghulu Drahman bin Akil | Teratak Batu | $250
  • Brahim Teleng bin Musa | Teratak Batu | $250
  • Tok Deris laki Mek Long | Teratak Batu | $250
  • Pak Man Seman bin Salam | Teratak Batu | $250
  • Pak Mè Leh bin Mat Diah | Telosan | $250
Berikutan hadiah yang lumayan yang ditawarkan, beberapa orang pengikut Tok Janggut telah berjaya diberkas dan dihadapkan kepada pengadilan, antaranya:
  • Brahim Teleng telah dihukum tembak pada 22 Ogos 1915
  • Pak Ya telah mati ditembak oleh orang suruhan Engku Chik, Kweng Kampung Machang iaitu Haji Lembek dan Jaafar di Lepar Sta.
  • Deraman bin Akil dihukum penjara seumur hidup di Singapura
  • Pak Man Seman dihukum penjara seumur hidup di Singapura
  • Penghulu Adam didenda $10.000 dan dihukum penjara 10 tahun.
  • Ungku Besar Jeram telah dikesan melarikan diri ke Reman, Langham Carter telah mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa Siam di Narathiwat untuk menangkap baginda. Siam memang telah lama berhubungan dengan British, dan tidak menunggu masa yang lama pada 2 Oktober 1915 satu waran tangkap telah dikeluarkan.

Satu Detik
Satu masa perjuangan Tok Janggut dan para pengikutnya dilabelkan sebagai satu penderhakaan, namun penyelidik bebas pasca merdeka mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Tok Janggut berada pada landasan yang benar, namun segala-galanya atas takdir Allah s.w.t. Perjuangan Tok Janggut adalah satu HIKMAH yang besar buat bangsa-bangsa Melayu. Kegagalan barisan pejuang di Pasir Puteh menunjukkan bahawa mereka pada masa tersebut tidak kuat untuk menentang British yang mempunyai kelengkapan persenjataan dan perancangan yang lebih baik.

Perjuangan Tok Janggut sebenarnya tidak pernah berhenti malah ia tetap subur, ia diteruskan oleh generasi seterusnya, cuma kaedahnya sahaja yang berubah dari penentangan bersenjata kepada penentangan dalam bentuk penulisan. Semangat kental Tok Janggut telah diambil oleh tokoh-tokoh pembebasan Kelantan yang seterusnya seperti Tok Kenali, Asaad Shukri, Abdul Kadir Adabi dan Nik Ahmad Kamil, Tengku Hamzah, Ishak Lotfi, Asri Muda dan ramai lagi.






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...