SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 1 August 2015

Kebangkitan Semangat KEMERDEKAAN di KELANTAN : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Pendahuluan
Sudah 58 tahun Tanah Melayu mengecapi HARI KEMERDEKAAN semenjak 31 Ogos 1957. Jalan untuk hari keramat itu bukan dicapai dalam masa sehari dua, sebaliknya ia telah memakan masa puluhan tahun juga. Kita pasti mengingati Perang Naning, Pembunuhan J.W.W.Birch, Kebangkitan Dato Bahaman, Perang Pasir Puteh, Penentangan Abdul Rahman Limbong, Perjuangan Rentap & Keperwiraan Mat Salleh, semua ini adalah penentangan bersenjata orang-orang Melayu sepanjang proses kolonialisasi Inggeris di Tanah Melayu dan di Kepulaun Borneo. Penentangan sebegini banyak mengorbankan jiwa berikutan penentangan orang Melayu pada masa itu dapat diatasi dengan peluru, walaupun pahlawan terdahulu mempunyai semangat yang kental dan jitu mereka telah diatasi dengan peluru. 

Begitu juga di Kelantan. Inggeris secara rasmi mula mengukuhkan pengaruh mereka di Istana Balai Besar setelah Perjanjian Bangkok 1909 dimetrai dengan Siam. Perlaksanaan Cukai yang melampau serta keadaan dunia global pada masa tersebut telah mencetuskan Perang Pasir Puteh dengan menyaksikan Orang Kelantan telah bangkit menentang pemerintahan Inggeris. Bagaimanapun perang yang mendapat sokongan penuh Tok Janggut  yang juga merupakan Ulama dan Pahlawan terbilang di Pasir Puteh pada masa tersebut berjaya dipatahkan oleh pasukan Inggeris yang menggunakan meriam dan senapang.

Natijahnya, Kampung Jeram dan Kampung Dalam Pupoh telah musnah dibakar oleh barua Inggeris. Sewaktu angkatan pahlawan Kelantan di Pasir Puteh dalam keadaan yang paling lemah, pengikut-pengikut Tok Janggut telah membawa tokoh itu berundur ke Siam. Namun Inggeris telah berjaya mengaburi rakyat Kelantan dengan mengusung jenazah yang dikatakan Tok Janggut sekeliling Kota Bharu sebelum digantung secara songsang di Padang Bank. Perkara ini jelas memberi kesan kepada perjuangan orang-orang Kelantan terhadap pemerintahan Inggeris, saat itu lahirlah satu wadah perjuangan yang baru di kalangan Orang Kelantan iaitu berjuang melalui Mata Pena.

Penulisan dan Penerbitan
Arena penulisan di Kelantan sebenarnya tidak begitu asing, namun genre tulisan diperingkat awal adalah berkenaan Ilmu Agama Islam yang dikarang sebagai kitab-kitab agama. Ramai guru agama pada masa itu menerbitkan kitab mereka sendiri untuk kegunaan pondok kelolaan mereka. Ulama terkenal sepanjang zaman Tok Kenali juga turut giat menghasilkan penulisan berkenaan disiplin-disiplin pembelajaran Ilmu Agama, beliau juga dikenali sebagai seorang penulis prolifik dan berpandangan jauh yang tidak terhad kepada Ilmu Agama sahaja, justeru itu beliau telah dilantik sebagai Pengarang Pertama untuk Majalah Pertama di Kelantan iaitu Pengasuh.

Majalah Pengasuh buat pertama kali diterbitkan pada 11 Julai 1918 yang pada masa itu dikelolakan oleh Tok Kenali dengan ianya diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK). Pada masa tersebut, baginda Sultan hanya mempunyai kuasa dalam hal ehwal Adat dan Budaya serta Agama Islam, kerana itu tekanan sebegini telah melahirkan pemikiran-pemikiran kritis dari para pembesar dan rakyat Kelantan untuk terus berusaha membebaskan negeri ini dari cengkaman Inggeris. Pada dekad tersebut Pengasuh menjadi medium penyampaian buah fikiran buat pembaca berkenaan permasalahan sosial dan tidak terhad kepada pendidikan Islam, ada masa ia menyentuh tentang pentadbiran Kelantan pada dekad tersebut, hingga kini majalah ini diterbitkan oleh pihak MAIK.

Sebenarnya pada masa tersebut wujud juga majalah-majalah lain di sekitar Tanah Melayu dan kemunculan Pengasuh merancakkan lagi kelahiran penulis-penulis generasi baru di Kelantan antaranya Assad Shukri & Abdul Kadir Adabi. Penulisan generasi itu sangat keras dan krtikal pada pengamatan pihak Inggeris hingga mereka dilabel sebagai radikal berikutan penulisan mereka lebih kepada membangkitkan penentangan orang-orang Melayu Kelantan terhadap pentadbiran British. Waktu itu, penulis bebas menyuarakan apa sahaja begitu juga dengan percetakan, namun pihak Inggeris menyedari aktiviti ini dan mereka mula memperkenalkan akta-akta tertentu untuk mengawal penulisan dan penerbitan yang dapat menggugat pentadbiran mereka.

Persatuan dan Kelab
Lapangan penerbitan dan penulisan di Kelantan Sebelum Perang Dunia bukan bersifat keuntungan mahupun populis, kebanyakkan penerbitan majalah dan akhbar pada masa itu ditunjangi oleh persatuan dan kelab sosial yang dianggotai oleh golongan cendiakawan Kelantan dari pelbagai latar belakang. Aktiviti utama kelab dan persatuan di Kelantan pada masa itu lebih kepada menghimpunkan kelompok tertentu yang mempunyai minat dan aspirasi yang sama, namun bukan semua kelab dan persatuan ini ditubuhkan semata-mata untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Kegiatan ini sebenarnya diinspirasikan oleh Inggeris dan mereka menubuhkan kelab untuk tujuan sosial yang mana ia mempunyai struktur organisasi yang tersusun dalam memastikan setiap aktiviti dapat dijalankan dengan baik. Di Kelantan Kota Bharu Club merupakan kelab yang pertama ditubuhkan pada 1915. Inya diasaskan oleh Encik Muhammad Ghazali bin Muhammad Arifin yang berasal dari Singapura dan berkhidmat dengan Inggeris dan ditempatkan di Majlis Agama dan Adat Istiadat Kelantan.

Setelah itu kesedaran untuk berpersatuan dalam memperjuangkan aspirasi yang sama makin meningkat dikalangan anak muda Kelantan dan ia makin mekar dalam dekad 1920an. Berikut kelab dan persatuan yang wujud di Kelantan sepanjang 1915 hingga 1940an:
Pertubuhan di Kelantan dari 1915 hingga 1930 banyak ditubuhkan semata-mata untuk bersosial walaupun pada awalnya ia berobjektifkan untuk mengembangkan ilmu dan kesedaran sosial sebaliknya ia mula kendur selepas tahun pertamanya berikutan kegagalan mencapai matlamat. Pertubuhan yang diwujudkan selepas tahun 1930 dilihat lebih banyak memperjuangkan hak-hak orang Melayu Kelantan dan keinginan untuk mendirikan pemerintahan sendiri sesuai dengan perkembangan global pada waktu itu.

Apa yang menarik dalam senarai pertubuhan dan kelab di Kelantan ialah ketika Zaman Pendudukan Jepun dimana mereka membenarkan tokoh-tokoh di Kelantan menubuhkan pertubuhan di kalangan orang-orang Melayu. Abdul Kadir Adabi dan sahabat karibnya Asaad Shukri telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda dalam tahun 1942 bagaimanapun Jepun telah membubarkan pertubuhan tersebut sebaliknya menggantikan dengan Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK) pada 1943. BPSK ini dianggotai oleh pelajar-pelajar Sekolah Majlis Agama Islam dan Sekolah Arab Jame' Merbau antara ahlinya adalah Cikgu Wan Ali, Ahmad bin Mahmud (Ahmat Aktas), Abdullah bin Muhammad (NAKULA) dan Nik Mat. Mereka disokong oleh Jepun untuk membuka ladang dengan menanam tebu, kacang, dan sayur-sayuran serta menyanyikan lagu Barisan Sukarela, Sriwijaya, Indonesia Raya, dan lagu-lagu Jepun di samping itu mengadakan pertunjukan sandiwara dengan cerita kepahlawanan Melayu seperti Hang Tuah dengan Ustaz Abdul Rab Attamimi sebagai tulang belakang.

Ulasan
Gerakan persatuan dan kelab di Kelantan pada awalnya dilihat seabgai satu langkah perjuangan menyedarkan masyarakat Melayu Kelantan betapa pentingnya pendidikan dan pengetahuan seterusnya membangkitkan semangat untuk berpemerintahan sendiri. Namun, dalam dekad 1920an, kelab dan persatuan ditubuhkan semata-mata untuk bersosial tanpa pengisian yang konkrit. Pertubuhan yang paling dominan dalam membangkitkan semangat nasionalisme adalah Setiawan Belia, Persatuan Melayu Kelantan, Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan, dan Putera Kelab. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, hanya Persatuan Melayu Kelantan dan Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan aktif memperjuangkan hak orang-orang Melayu Kelantan dengan Persatuan Melayu Kelantan yang paling dominan berikutan kejayaan mereka menganjurkan Rapat Umum membantah perlaksanaan Malayan Union di Kelantan. Setelah itu, kedua-dua pertubuhan ini telah bergabung dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau nama lainnya United Malay National Organisations (UMNO).

Kebanyakkan ahli-ahli persatuan ini banyak menghasilkan penulisan dan ianya diterbitkan dalam Majalah Pengasuh. Bagaimanapun ada juga persatuan yang menghasilkan penerbitan mereka sendiri seperti:

  • Putera Club menerbitkan Majalah Kenchana
  • New Club Pasir Puteh menerbitkan Majalah Trok
  • Old Majlisian Society menerbitkan Majalah Torch
Jepun turut menerbitkan majalah yang dikenali sebagai Matahari di Kelantan untuk menguatkan progpaganda mereka di Kelantan pada masa itu dengan Asaad Shukri dan Abdul Kadir Adabi telah dipanggil oleh Jepun untuk menguruskan penerbitan Jepun itu.  Bagaimanapun ia hanya diterbitkan sekali sahaja kerana selepas itu kedua-dua pengarang ini telah dibawa oleh Jepun ke seluruh Tanah Melayu untuk menghimpunkan penulis terkenal untuk bekerjasama dengan Tentera Jepun untuk menerbitkan surat khabar dan juga menubuhkan persatuan Melayu yang pro kepada Jepun.




Rujukan
  • [Monograf] Warisan Kelantan III
  • [Monograf] Warisan Kelantan IV
  • [Monograf] Warisan Kelantan V
  • [Buku] Pejuang-Pejuang Kemerdekaan





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...