SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 6 August 2015

Sentimen Cintakan Negara Pada Zaman Pendudukan Jepun di Kelantan 1942-1945 : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Pendahuluan
Serangan Tentera Jepun ke atas Semenanjung Tanah Melayu bermula di Kota Bharu, Kelantan pada tengah malam 6 Disember 1941. Jepun berjaya menawan Kelantan dalam tempoh beberapa jam sahaja dan mereka terus mara ke selatan dengan begitu pantas. Keberhasilan Jepun menduduki Tanah Melayu khususnya Kelantan adalah berikutan keberkesanan sistem risikan mereka yang solid melalui rakyat mereka yang berada di Tanah Melayu. Ada antara perisik Jepun ini telah berada disini semenjak puluhan tahun sebelum serangan tersebut, mereka terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi di Tanah Melayu termasuklah dalam sektor pendidikan, perubatan mahupun perlombongan.

Di Kelantan, KEMPETAI iaitu organisasi separa tentera telah mentadbir Kelantan dengan menjadikan Bank Kerapu sebagai ibu pejabat mereka. Jepun pada awal pendudukannya dilihat mesra dengan masyarakat Melayu, mereka hanya bertindak kejam terhadap orang-orang Cina berikutan permasalahan tradisi kedua-dua negara berjiran itu. Bagaimanapun, Jepun sebenarnya tidak lama di Kelantan kerana mereka telah menyerahkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis kepada Siam sebagai balasan kerjasama dengan Jepun sewaktu kempen menakluk Tanah Melayu dilancarkan. Sepanjang di Kelantan, Jepun telah memberi kelonggaran kepada orang-orang Melayu untuk menjalankan kehidupan seperti sebelum perang.

Menubuhkan Kelab, Menerbitkan Akhbar
Jepun telah menyebarkan propaganda Asia untuk Asia dan mereka menterjemahkannya di Kelantan. Pentadbiran Jepun pada peringkat awal di Kelantan mesra dengan orang-orang Melayu. Di Kelantan mereka telah mengumpul penulis, wartawan dan guru untuk menerbitkan akhbar rasmi Jepun di Kelantan, usaha ini telah berjaya dengan terbitnya akhbar Matahari. Abdul Kadir Adabi dan Asaad Shukri adalah individu yang dipaksa menjadi pengarang untuk akhbar ini, mereka berdua juga digunakan oleh pihak Jepun untuk menghimpunkan penulis-penulis dari seluruh Tanah Melayu dengan dibawa ke Ipoh, Selangor dan seterusnya ke Singapura.

Akhbar Matahari terbitan Jepun di Kelantan

Ustz. Abd. Rab
Kelonggaran kawalan Jepun keatas orang-orang Melayu di Kelantan telah membuka peluang kepada beberapa orang Melayu Kelantan menubuhkan Kelab dan Persatuan untuk menyatupadukan orang-orang Melayu. Kesatuan Melayu Muda, persatuan yang cuba dihidupkan oleh Abdul Kadir Adabi bersama Asaad Shukri di Kota Bharu pada 1942. Ia hanya sempat beroperasi beberapa bulan, setelah itu ia telah dibubarkan oleh Jepun dan mereka menggantikannya dengan Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK) pada 1943. BPSK ini dianggotai oleh pelajar-pelajar Sekolah Majlis Agama Islam dan Sekolah Arab Jame' Merbau antara ahlinya adalah Cikgu Wan Ali, Ahmad bin Mahmud (Ahmat Aktas), Abdullah bin Muhammad (NAKULA) dan Nik Mat. Mereka disokong oleh Jepun untuk membuka ladang dengan menanam tebu, kacang, dan sayur-sayuran serta menyanyikan lagu Barisan Sukarela, Sriwijaya, Indonesia Raya, dan lagu-lagu Jepun di samping itu mengadakan pertunjukan sandiwara dengan cerita kepahlawanan Melayu seperti Hang Tuah dengan Ustaz Abdul Rab Attamimi sebagai tulang belakang.


Dalam gambar ini, adalah individu penting yang menggerakkan persatuan dan kelab ketika zaman pendudukan Jepun di Kelantan, walaupun pertubuhan mereka telah dibubar dan diganti dengan persatuan pro-Jepun orang yang menjadi tulang belakang kepada pertubuhan tersebut merupakan sahabat baik mereka ketika dalam Setiawan Belia iaitu Ustaz Abdul Rab Attamimi. 

Kelab Suara Muda yang ditubuhkan pada 1938 turut dibenarkan oleh pihak Jepun untuk terus beroperasi malah ia mendapat sokongan daripada Jepun, hal ini terbukti apabila seorang ahli Suara Muda iaitu Nik Yusof bin Nik Ali telah dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke Tokyo, bagaimanapun beliau telah terkorban akibat serangan bom atom di Hiroshima. Kelab ini sehingga sekarang masih lagi wujud.


Sebelum tercetusnya perang iaitu dalam tahun 1941, terdapat dua pertubuhan yang kemudiannya menonjol selepas tamat perang terutama dalam menentang Malayan Union iaitu Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan dan Persatuan Melayu Kelantan. 

Sebenarnya faktor kelonggaran pentadbiran Jepun terhadap orang-orang Melayu semasa perang dunia telah menyemarakkan semangat menubuhkan pemerintahan sendiri tanpa mengharapkan pihak ketiga dalam menentukan hak dan nasib bangsa peribumi di Tanah Melayu. Tokoh-tokoh pertubuhan, persatuan dan kelab Melayu telah mengembleng keringat dan tenaga untuk menyatupadukan seluruh rakyat di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan. Tamatnya perang telah menyaksikan pelbagai pertubuhan telah wujud samada golongan kiri atau kanan, matlamat mereka pada masa itu hanya satu iaitu MERDEKA!!


Rujukan:
  • [Monograf] Warisan Kelantan V
  • [Monograf] Warisan Kelantan VI
  • http://kelabsuaramuda.blogspot.nl/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...