SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday, 11 August 2015

Perang Pasir Puteh 1915 Rentetan Perang Dunia Pertama 1914 : Siri Merdeka PPSK 2015

Pendahuluan
Perang Dunia Pertama 1914 - 1918 tercetus di Balkan dimana Putera Austria dan isterinya telah ditembak mati dalam satu kejadian bunuh di Sarajevo, Bosnia. Pembunuhan itu didalangi oleh Jerman, menyebabkan negara-negara Balkan bangkit untuk menentang Jerman yang pada masa tersebut disokong oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah, negara-negara Balkan pula disokong oleh British.

Ini sebenarnya adalah satu muslihat yang dijalankan secara terancang untuk menjatuhkan Kerajaan Turki Uthamniyah sebuah kerajaan kuat yang menguasai Eropah dan Asia dan mampu mempengaruhi keadaan geo-politik dunia pada masa tersebut. Perang Dunia Pertama ini telah memberi kesan kepada Kebangkitan Ulama-Ulama seluruh dunia terutamanya di Kelantan. Tok Janggut khususnya seorang musafir asal Jeram, Kelantan di Kota Mekah untuk tempoh 30 tahun satu tempoh yang cukup untuk beliau memahami perubahan-perubahan yang berlaku sekitarnya.

Ramai yang menyangka Tok Janggut adalah seorang pejuang yang bersifat lokal dengan pemikiran yang terhad sekitar Kelantan sahaja sebenarnya daya intelektual dan perolehan maklumat beliau telah mencakupi peringkat global dengan memahami situasi semasa Dunia Islam dan agenda Imprealisma British.

Tunduknya Kelantan kepada Inggeris
Perjanjian antara British dan Siam telah bermula seawal 1855 dengan Perjanjian Bowring dan ditersukan dengan Perjanjian Rahsia pada 1897. Ia adalah persetujuan antara Siam dengan British berkenaan sempadan aktiviti British di Semenanjung Tanah Melayu, Burma dan Delta Sungai Mekong. Siam telah melancarkan pembaharuan dalam pentadbiran mereka yang dikenali sebagai Thesaphiban dimana kerajaan Gajah Putih itu telah melucutkan gelaran DiRaja di negeri Patani dan memecahkan negeri tersebut kepada beberapa provinsi pada 1902, pada masa tersebut British turut mengiktiraf penguasaan Siam keatas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Bermula 1907, British dan Siam telah berunding mengenai kedudukan negeri-negeri Melayu Utara dan Timur. 10 Mac 1909, persetujuan telah dicapai antara kedua belah pihak dengan British diiktiraf berkuasa keatas Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis manakala Inggeris mengiktiraf pendudukan Siam keatas Patani, Jalor, dan Setol, perjanjian ini akhirnya dikenali sebagai Perjanjian Bangkok. Perjanjian ini sebenarnya dibuat diluar pengetahuan Raja-Raja di negeri yang terlibat, Long Senik, Yang Dipertuan Negeri Kelantan dan Sultan Zainal Abidin III menentang keras perjanjian tersebut tetapi bantahan yang dibuat kedua negeri berjiran itu tidak dihiraukan oleh British.

1910, Sir John Anderson, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah tiba di Kota Bharu dengan kapal perang untuk memaksa Paduka Long Senik mengakui hak naungan British ke atas Kelantan. Kekuatan British yang hadir dengan kelengkapan perang tidak mampu dilawan oleh angkatan Long Senik, akhirnya pada 22 Oktober 1910, Kelantan telah mengesahkan Perjanjian Bangkok seterusnya meletakkan Kelantan dibawah naungan British. Seterusnya British telah melantik seorang pegawainya untuk menjadi penasihat kepada baginda dalam pentadbiran negeri kecuali dalam urusan agama, dan adat istiadat Melayu. Untuk menawan hati Long Senik, British telah mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad IV dengan disertakan elaun sebanyak $2.000 sebulan dan pencen sebanyak $4.800 setahun. Selain itu Kerajaan British juga menganugerahkan darjah kebesaran K.C.M.G kepada baginda, manakala para pembesar pula ditambah elaun dan pencen mereka.

British masih mengekalkan sistem pembesar, namun ianya hanyalah ibarat hiasan sahaja kerana segala urusan pentadbiran dijalankan oleh British Adviser, manakala pentadbiran di peringkat jajahan diletakkan di bawah tanggungjawab District Officer yang terdiri daripada pegawai berbangsa Inggeris atau Orang Melayu sendiri. Contohnya Encik Abdul Latif, seorang pegawai British berbangsa Melayu asal Singapura dilantik sebagia District Officer bagi Pasir Puteh, manakala bagi jajahan Ulu Kelantan seorang Inggeris bernama T.S. Adams telah dilantik sebagai Pegawai Daerah. 

Perkembangan ini mendapat perhatian serius di kalangan Ulama Melayu yang berada di Kota Mekah terutama Syeikh Ahmad al Fatani yang mendapat suntikan semangat dari gurunya Syeikh Daud bin Abdullah alFatani yang pernah berjihad menentang Siam. Syeikh Ahmad alFatani sentiasa mengambil kesempatan ketika Musim Haji untuk memperingatkan jemaah-jemaah dari Nusantara supaya berwaspada terhadap ancaman dan muslihat kuasa-kuasa Barat terhadap umat Islam dan tanah air mereka. Tok Janggut dan Tok Kenali merupakan murid yang menadah kitab dengan Syeikh Ahmad alFatani.

Kesan Perang Dunia Pertama dengan Kelantan
  • Kesan Perang Dunia Pertama
  • Reaksi Kelantan atas Jihad keatas British
Sentimen anti-British semakin meningkat setelah tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914 yang meletakkan British dalam keadaan yang terdesak. Orang-orang Inggeris di Kelantan merasa bimbang terhadap orang Melayu Kelantan akan mengambil kesempatan itu bangkit menentang Britain. Arthur Young, Gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Persuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah mengingatkan Langham Carter, British Adviser Kelantan untuk memastika Sultan Muhammad IV memihak kepada British.

Bertindak atas peringatan tersebut, Carter telah menegaskan kepada Sultan Muhammad IV bahawa peperangan antara England dengan Jerman adalah untuk memenuhi janji kerajaan itu untuk melindungi Belgium sebuah negara kecil di Eropah daripada Jerman. Carter juga meminta baginda menyokong England dan melakukan apa-apa upacara yang membolehkan England menang dalam peperangan tersebut. 

10 Ogos 1914, Sultan Muhammad IV mengirim telegram kepada King George IV untuk menyatakan sokongannya kepada kerajaan British dalam peperangan tersebut. Sebagai bukti sokongan baginda juga telah mengarahkan semua Haji dan Lebai dalam bandar Kota Bharu mendoakan kemenangan Inggeris dalam menentang Jerman itu, arahan tersebut juga mengandungi ancaman bahawa sekiranya ianya tidak dipatuhi golongan itu akan dihukum.

Dalam hal ini jelas keputusan Sultan pada masa tersebut dipengaruhi oleh British Adviser yang berselindung disebalik nama Kerajan Negeri dan Sultan seolah-olah Negeri Kelantan yang Raja dan penduduknya majoriti Islam berdiri teguh dibelakang England dan membuatkan kita pada hari ini merasa terhina. Satu lagi penghinaan yang membuatkan seluruh golongan Ilmuwan Islam Kelantan termasuk Tok Janggut apabila mereka dipaksa "mendoakan" kemenangan untuk Britain terang-terang satu penghinaan kepada Islam dan orang-orang Melayu Kelantan. 

Tidak lama selepas itu, Kerajaan Turki Uthmaniyah telah mengisytiharkan perang terhadap Britain setelah angkatan laut British menceroboh masuk ke wilayah perairannya. Dalam peperangan ini, Turki telah memihak kepada Jerman dan ini mencetuskan kebimbangan kepada Britain kerana Sultan Mehmed V merupakan Khalifah Umat Islam seluruh Dunia yang juga penaung bagi Tanah Suci di Mekah dan Madinah. Kebimbangan British makin memuncak apabila Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-i Ekbar Fardi Ayn terhadap Britain dan sekutunya pada 14 November 1914. Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama fatwa tersebut, Shaykh-al-Islam mendakwa bahawa kuasa-kuasa Eropah yang diketuai oleh Britain berusaha untuk meruntuhkan Kerajaan Turki Uthmaniyah dan menakluki negara-negara Islam. Kerajaan Turki bertekad untuk mempertahankan wilayah  dan maruah umat Islam di seluruh dunia daripada ancaman musyrikin serta sekutunya sepertimana yang dituntut Islam.

Menyedari keadaan itu, British telah mengeluarkan satu Enekmen di Tanah Melayu pada 21 November 1914 bagi melarang akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan sebarang berita berkenaan peperangan tersebut. Selain itu Gabenor Arthur Young menyatakan bahawa peperangan antara British dan Turki itu bukan berkaitan dengan agama. Bagi meyakinkan lagi orang-orang Melayu bahawa kerajaan British tidak memusuhi umat Islam, mereka telah mengedarkan surat yang ditulis oleh Aga Khan, Ketua Mazhab Syiah di India yang mana isi kandungannya surat Aga Khan itu menafikan bahawa peperangan antara Britain dan Turki itu ada kaitan dengan agama, sebaliknya Aga Khan menuduh serta menyalahkan kerajaan Turki bersubahat dengan Jerman dan Austria.

Kelantan dipaksa Memihak Britain
Langham Carter telah mengadap Sultan Muhammad IV, memaklumkan kepada baginda tentang peperangan antara British dan Turki itu, dia juga telah menyampaikan kenyataan-kenyataan kerajaan British dan Aga Khan untuk diedarkan kepada para pembesar negeri. Carter telah menekankan berkenaan pembuktian kesetiaan Sultan kepada mahkota British, Penasihat British itu telah meminta Sultan Muhammad IV mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan Kelantan menyebelahi serta berpihak kepada Kerajaan England dalam peperangan ini.

Sultan Muhammad IV tiada jalan lain kecauli bersetuju dengan arahan tersebut kerana baginda terikat dengan perjanjian Inggeris-Kelantan (22 Oktober 1910). 25 Februari 1915, Sultan Muhammad IV telah mengutus surat kepada Gabenor Arthur Young dan antara isi kandungannya adalah Kelantan berikrar akan teguh setia kepada kerajaan Inggeris, baginda juga memberi jaminan bahawa negeri ini tidak akan bangkit menentang berkaitan dengan apa yang berlaku antara Inggeris dan Turki. Setiausaha Tanah Jajahan British telah membalas surat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Muhammad IV itu dengan maksud bahawa Kerajaan British gembira dengan sokongan dan pujian Kelantan keatas kempen British terhadap Kerajaan Turki.

Pada masa yang sama, Langham Carter telah mengarahkan Pejabat Balai mengeluarkan perisytiharan melarang rakyat negeri Kelantan daripada menyokong atau menunjukkan simpati terhadap kerajaan Turki Uthmaniyah dan mereka akan menghukum sesiapa yang mengingkari perisytiharan tersebut. Antara butiran dalam perisytiharan itu:

  • Rakyat Kelantan dan sesiapa yang tinggal di Kelantan tidak boleh menyatakan sebarang sokongan kepada Kerajaan Turki
  • Rakyat Kelantan dan sesiapa yang tinggal di Kelantan menolong Kerajaan Turki dalam apa bentuk sekalipun.
  • Sesiapa pun tidak dibenarkan berbicara berkenaan Perang Dunia itu dan semua orang digalakkan melaporkan kepada rumah pasong sekiranya terdapat perkhabaran seumpamanya.
  • Sesiapa yang mengingkari perisytiharan akan dihukum mengikut pertimbangan Yang Maha Mulia Sultan dengan nasihat Tuan British Adviser.

Namun perisytiharan tersebut gagal menghalang rakyat Kelantan daripada berbicara tentang peperangan antara British dan Jerman yang disokong Turki Uthmaniyah ditambah pula dengan tercetusnya pemberontakkan di Singapura pada 15 Februari 1915. Peristiwa itu menyaksikan askar Indian Muslim dari Pasukan 5th Light Infantry, dibawah pimpinan Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa telah menyahut seruan Jihad oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah.

Perkara ini menjadi topik perbincangan yang hangat di Kelantan hingga mencetuskan pelbagai khabar angin antaranya:
  • British akan ditewaskan oleh Kerajaan Turki Uthmaniyah 
  • Jerman akan melanggar Kelantan
Penyebaran khabar angin itu amat membimbangkan Pejabat Penasihat British di Kelantan, kerana itu Langham Carter telah mengeluarkan kenyataan sebanyak dua kali iaitu pada 13 dan 15 Mac 1915 bagi mematahkan khabar angin tersebut iaitu:

  • Sekiranya pihak Inggeris akan tewas, sudah tentu orang-orang Inggeris yang dalam negeri Kelantan dan serata Tanah Melayu akan segera kembali ke Eropah membantu bagi menyelamatkan negeri sendiri. Bagaimanapun orang-orang Inggeris masih berada di Kelantan dan Tanah Melayu sepertimana sebelum meletus perang.
  • Aktiviti kapal dagang Inggeris dan sekutunya masih beroperasi seperti sedia kala tanpa sebarang kesan dari perang.
  • Sepanjang tempoh perang, hanya berita kemenangan British sahaja yang kedengaran tanpa sebarang kerugian malah Kerajaan British makin bertambah kuat.
Bagaimanapun, usaha-usaha British telah gagal untuk menyakinkan orang-orang Melayu di Kelantan semenjak meletusnya pemberontakan di Singapura. Orang-orang Kelantan tidak lagi menghormati orang-orang Eropah dimana sebelum ini orang Kelantan sentiasa tunduk hormat sekiranya orang-orang puteh melalui jalan sekitar Kota Bharu dengan beca, namun selepas kekecohan di Singapura setiap orang puteh yang lalu di Kota Bharu akan disorak / dijuoh oleh kebanyakkan orang Kelantan.

Rumusan
Dalam pandangan penulis, punca sebenar penentangan terhadap British di Kelantan pada 1915 bermula seawal 1909 lagi. Iaitu dengan termetrainya Perjanjian Bangkok yang meyaksikan Kelantan termasuk dalam naungan British yang menyaksikan Kelantan terpaksa akur kepada British melalui Perjanjian Inggeris - Kelantan pada 22 Oktober 1910. Sepanjang tempoh lima tahun pendudukan Inggeris dari 1910 hingga 1915 menyaksikan British Adviser dan District Officer bertindak sewenang-wenangnya dengan meminggirkan pembesar Kelantan walaupun kedudukan mereka diiktiraf ditambah pula pentadbiran British banyak membebankan rakyat Kelantan yang memang bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian.

Tempoh 5 tahun ini telah mewujudkan perasaan tidak puas hati terhadap British. Apabila meletusnya Perang Dunia Pertama dengan penyebaran Fatwa Jihad-i Ekbar Fardi Ayn oleh Syeikh-al-Islam maka ia menguatkan lagi sebab untuk menentang British. Tindak tanduk British Adviser yang memaksa Sultan Muhammad IV untuk berpihak kepada Inggeris menyebabkan orang-orang Kelantan tidak dapat bersabar lagi terhadap pemerintahan British. Akhirnya 29 April 1915 Tok Janggut telah menyiapkan satu barisan pahlawan Melayu untuk menyahut seruan Jihad dan seterusnya membebaskan sekurang-kurangnya Rakyat Pasir Puteh dari belengu Inggeris.



Rujukan
  • [Buku] Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Dunia_Pertama
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...