SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 9 August 2015

Perjuangan Tok Janggut - Bukan Semata-mata Kerana Cukai : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Pendahuluan
Kisah penentangan Tok Janggut di Pasir Puteh pada 1915 sudah banyak kali disiarkan dalam pelbagai medium komunikasi baik bercetak, digital, pentas mahupun video. Kami juga telah beberapa kali membuat artikel berkenaan tokoh pahlawan Kelantan ini. Tetapi, dalam banyak-banyak perkongsian berkenaan kepahlawan Tok Janggut, kita akan dapati hampir kesemuanya berkongsi kepada satu sumber sahaja, dan kami dapati masih ada yang tidak diperjelaskan berkenaan Perang Dalam Pupoh itu.

Kita sudah sedia tahu bahawa Tok Janggut bangkit kerana penindasan yang telah dikenakan oleh pihak Inggeris di Istana Balai Besar terhadap rakyat Pasir Puteh yang ditekan melalui cukai hingga mencetuskan kemarahan sebahagian besar penduduk ketika itu dan ia melarat menjadi perang pada 1915. Bagaimanapun, kami dapati beberapa aspek tidak diketengahkan iaitu hubungan Tok Janggut dengan dunia luar terutama dengan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Selain itu, kita juga jarang didedahkan pergolakan-pergolakan lain yang juga menjadi asbab Perang Pasir Puteh itu...

Dalam penulisan kali ini, kami mengambil tanggungjawab untuk berkongsi maklumat lain berkenaan Perang Pasir Puteh 1915 yang tidak diketengahkan dengan baik dengan para pembaca sekalian.

Amanah Guru
Tok Janggut berangkat ke Kota Mekah pada usia 30 tahun lebih, sebelum mendalami ilmu agama, beliau merupakan hulubalang dalam Istana Jeram manakala bapanya merupakan panglima jeram yang dikenali sebagai Panglima Munas. Minat mendalam untuk ke Kota Mekah selepas dicadangkan oleh guru yang mengajar di Jeram ketika itu, dan ia direalisasikan dengan bantuan sepupunya Tuan Guru Haji Ismail yang membawanya ke Tanah Suci dan berguru dengan Syeikh Ahmad al-Fatani yang berketurunan daripada golongan bangsawan Patani.

Syeikh Ahmad adalah seorang ulama yang tersohor dalam dunia Islam pada zaman beliau. Pernah diundang ke Kaherah dan dimuliakan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah Turki Uthmaniyah apabila diberi peluang untuk mengadap baginda dan membincangkan perihal Islam di Nusantara. Pelajar-pelajarnya pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa, namun tidak dinafikan pelajar-pelajar dari Nusantara merupakan yang teramai dan tidak kurang pelajarnya dari keturunan bangsawan dan ulama seperti Mat Hassan (Tok Janggut) dan Muhammad Yussuf (Tok Kenali). Ketika dua tokoh ulung ini keluar dari Kelantan untuk menuntut Ilmu, Kelantan adalah negeri yang bebas cuma bernaung di bawah Siam, buat sekian lama akhirnya Inggeris masuk juga ke Kelantan.

Sebenarnya situasi ini turut dirasai sejauh Kota Mekah, kerana Inggeris mempunyai satu empayar yang luas mencakupi Afrika, Asia, India dan China. Justeru, apa yang Inggeris lakukan di Kelantan dan Patani dapat diketatahui oleh Tok Janggut dan Tok Kenali. Syeikh Ahmad telah meninggal dunia pada Januari 1908, sebelum itu beliau telah mengamanahkan kepada Tok Janggut agar berikhtiar untuk membebaskan Patani daripada Penjajahan Siam. Pada asalnya, Tok Janggut mahu menghabiskan sisa hidupnya di Kota Mekah, berikutan peristiwa malang yang telah menimpa ayah dan abangnya di Kelantan, bagaimanapun kerana amanah gurunya itu, Tok Janggut telah pulang ke Kelantan.

Jeram Pusat Anti British di Kelantan
Sekembalinya Tok Janggut ke Kelantan pada 1909, beliau mendapati negeri ini sudah jauh berbeza sebelum beliau meninggalkan Tanah Rendah Sekebun Bunga ini. Kelantan tidak lagi berada dibawah pengaruh Siam, sebaliknya ia telah menjadi sebahagian dari Empayar Inggeris yang dilabel sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. 

Pentadbiran British di Kelantan amat merugikan para pembesar, terutama Tuan Ahmad bin Ungku Chik yang lebih dikenali sebagai Ungku Besar Jeram manakala para pembesar di Kota Bharu tidak terdaya untuk menentang Inggeris. Hal ini telah menyebabkan Tok Janggut menawarkan diri kepada Ungku Besar untuk menubuhan satu barisan pendekar untuk menentang British. Keyakinan Tok Janggut pada masa tersebut untuk melawan British disebabkan beberapa perkara antaranya:

  • Amanat dari gurunya untuk membebaskan penjajahan di Patani dan Kelantan daripada Siam dan British yang dianggap Kafir Harbi
  • Kedudukan beliau sebagai salah seorang Panglima di Jeram sebelum melanjutkan pengajian ke Kota Mekah
  • Mempunyai hubungan dengan pahlawan-pahlawan Melayu Pahang seperti Dato Bahaman, Mat Kilau dan Mat Seman (Mat Kelantan)

Bibit Penentangan
- Tidak Dapat Menerima Kehadiran Tali Barut
- Mempertahankan Kedaulatan Jeram
- Penghinaan Encik Latif
- Simpati dengan Rakyat Pasir Puteh

Inggeris telah lama bertapak di Semenanjung Tanah Melayu sebelum berjaya memasuki pentadbiran Kelantan. Mereka tahu orang Melayu lebih gemar berurusan dengan orang Melayu sahaja dan untuk mengelakkan penolakan di Pasir Puteh, mereka telah menghantar seorang District Officer berbangsa Melayu dari Singapura yang bernama Encik Latif. Orang Melayu Kelantan bukan sewenang-wenang mempercayai orang luar walaupun Melayu sendiri ditambah pula Pasir Puteh merupakan kawasan yang dijanjikan untuk Long Ghafar dan perwarisnya, kerana itu kehadiran Encik Latif tidak dapat diterima orang-orang besar di Pasir Puteh.

Selain itu Encik Latif telah menghina Tok Janggut di khalayak ramai ketika hendak membayar Cukai Hasil di Pejabat Tanah Pasir Puteh. Dikhabarkan Tok Janggut telah menunggu hampir tiga hari di Pejabat Tanah tetapi tidak dapat menjelaskan cukai tersebut kerana Pegawai yang bertanggungjawab tiada di Pejabat, ini telah mendatangkan aib kepada Tok Janggut kerana beliau juga meruapakan seorang pembesar tetapi diperlakukan sedemikian. Beliau juga turut simpati dengan penderitaan penduduk Pasir Puteh yang dibebani pelbagai jenis cukai.

Justeru itu, Tok Janggut yang disokong oleh Ungku Besar Jeram telah mengarahkan para pengikut mereka di Jajahan Pasir Puteh untuk memulaukan pembayaran hasil kepada Kerajaan. Pemulauan tersebut telah berjaya di mana kutipan cukai untuk Bukit Abal dan Gaal untuk bulan April 1915 telah merosot dengan drastik sekali dari $3.000 kepada $89.32. Keadaan ini telah menyebabkan Encik Latif bertindak untuk menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan penduduk di kawasan cukai terjejas kembali menjelaskan cukai hasil mereka. 

Seperti satu "skrip" setelah Encik Latif mendapati bahawa Tok Janggut adalah dalang kepada pemulauan bayaran cukai, maka diarahkan Sarjan Che Wan untuk memberkas Panglima Jeram itu. Semasa proses tersebut Sarjan itu telah mati ditikam oleh Tok Janggut dan dari situ meletuslah Perang Pasir Puteh 1915 itu. Bagaimanapun masih ada "Skrip" yang tidak diberitahu kepada khalayak ia masih rapi tersimpan dalam buku yang hari demi hari sukar untuk didapati.

Kami akan bawakan kepada anda "Punca Lain" selain faktor semasa di Pasir Puteh yang menyebabkan Tok Janggut begitu yakin melancarkan perang terhadap British dalam tahun 1915 itu dengan tajuk : Perang Pasir Puteh Rentetan dari Perang Dunia Pertama






Rujukan
  • [BUKU] Tok Janggut : Pejuang atau Penderhaka, Penerbit UKM
  • http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34748-tok-janggut-ikon-menentang-penzalim

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...