SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 3 August 2015

Setiawan Belia - Pertubuhan Sosial Ulung di Kelantan sebelum Perang Dunia : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Pendahuluan
Artikel sebelum ini kami telah senaraikan sejumlam 32 pertubuhan yang pernah ditubuhkan di Kelantan sepanjang tahun 1915 hingga 1950. Bagaimanapun hanya 5 sahaja yang paling ampuh memperjuangkan hak-hak Orang Melayu di Kelantan ketika itu:

  • Putera Club
  • Setiawan Belia
  • Kesatuan Melayu Muda
  • Persatuan Melayu Kelantan
  • Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan

Diantara lima pertubuhan ini Setiawan Belia  dilihat sangat dominan semenjak ia ditubuhkan sehinggalah ia dibubarkan selepas pendudukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu pada 1941. Perkara ini dapat dilihat dari segi peranan pertubuhan ini yang bergerak sebagai satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang efektif pada masa itu.

Encik Asaad Shukri, Setiausaha S.B.
Sejarah Penubuhan
1 Oktober 1931, pertubuhan Setiawan Belia secara rasmi diterima sebagai sebuah pertubuhan berdaftar dengan Kerajaan Kelantan setelah pendaftarannya dibuat pada 16 September 1931. Objektif penubuhan persatuan ini adalah berteraskan kepada pengukuhan persaudaraan antara ahli dan mengukuhkan pendidikan dalam pelbagai cabang ilmu.

Tidak jelas siapa yang telah mengasaskan persatuan ini pada 1931, bagaimanapun terdapat rekod pada tahun 1934 menyatakan Encik Asaad Shukri menjadi Yang diPertua Setiawan Belia yang kemudian dilantik menjadi Setiausaha Setiawan Belia.

Persatuan ini amat jelas dalam mencapai objektifnya terutama dalam pendidikan. Gabungan kepelbagaian bidang dikalangan ahlinya telah membolehkan persatuan ini menghasilkan Kamus Setiawan pada 1934 setelah berusaha menyusunnya dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, persatuan ini juga menjalinkan hubungan dengan persatuan di luar Kelantan malah ia juga kerap dikunjungi oleh pertubuhan dalam negeri mahupun dari luar negeri. Kegiatannya yang aktif telah menarik perhatian pertubuhan lainnya di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, malah terdapat juga pertubuhan dari Singapura berhasrat untuk menjalinkan hubungan dengan Setiawan Belia.

Berikut adalah aktiviti yang giat dijalankan oleh persatuan ini sepanjang 1930an:

  • 26 Mac 1934, persatuan telah menjemput Tuan Ibrahim Ahmad William Huat seorang peguam Cina Muslim dari Singpura untuk bertukar pandangan dan pendapat bersama ahli.
  • 1934 persatuan telah melantik seorang penterjemah iaitu Encik Mohamad Radzi untuk melancarkan perhubungan komunikasi antara persatuan dengan pihak luar.
  • Dalam tahun 1935, persatuan telah mengadakan lawatan ke Kuala Terengganu dan menjadi tetamu kepada Tengku Muhammad. Dalam lawatan itu Asaad Shukri telah menyatakan bahawa persatuan ini dianggotai oleh segenap lapisan masyarat terutama golongan professional di Kelantan pada masa tersebut.
  • Pada tahun 1936, persatuan telah dikujungi oleh dua orang Wartawan Terhormat Malaya ketika itu, iaitu Syed Hussien Al-Sagof dan Encik Abdul Rahim Kajai dari Warta Malaya. Mereka berdua telah melontarkan pendapat dan pandangan berkenaan dunia kewartawanan dan persatuan pula telah mejemput wakil pengarang Majalah Pengasuh untuk memberi ucapan balas.
  • 8 Ogos 1936, persatuan telah menerima lawatan dari 50 orang guru dari Pahang dan pihak persatuan telah mengatur sejumlah guru-guru di Kelantan, wartawan dan penulis. Dalam majlis tersebut kedua-dua pihak saling bertukar-tukar pendapat dan pandangan berkenaan meningkatkan saluran pendidikan.
  • 12 Januari 1937, persatuan telah menerima kunjungan daripada Tuan Haji Abbas Taha dan Dr.Burhanuddin Helmi dari Singapura. Pihak persatuan telah menjemput pengarang Majalah Al-Hikmah, Encik Ahmad Ismail dan beliau telah menyampaikan pandangan berkenaan peranan Ulama dalam menggerakkan perjuangan membela institusi agama di Tanah Melayu.
  • 24 April 1937, persatuan mengadakan majlis kesyukuran sebagai menghormati kepulangan Tuan Haji Ishak Lotfi yang telah tamat belajar di Kota Mekah.
  • 1938, persatuan telah mengadakan Majlis Sambutan MaulidurRasul dan telah menganjurkan perbahasan berkenaan perbandingan Al-Quran dengan Injil.
  • 29 Jun 1939, persatuan telah mengadakan majlis ucap selamat kepada Encik Jaafar Mampak, Penolong Pegawai Pertanian Kelantan yang juga salah seorang ahli atas penganugerahan pingat oleh King of England. 
  • Sepanjang Julai hingga Ogos 1939, persatuan telah menganjurkan sekurang-sekurangnya 3 perbahasan yang menyentuh isu politik dengan tajuk perdebatan seperti berikut:

    - 23 Julai 1939 : Apakah Sekarang Patut Didirikan Persatuan Melayu Semenanjung
    Pencadang : Cikgu Daud Jamal
    Penyokong : Abdul Kadir Adabi
    Pembahas : Ustaz Abdul Rab Attamimi
    Penyokong : Encik Hadrami Nuh
    Pengadil : Encik Ahmad Ismail
    Hasilnya : Perbahasan memihak kepada pihak pencadang.

    - 17 Ogos 1939 : Adakah Mustahak Anak Perempuan Melayu Berpelajaran Inggeris Tinggi Sekarang
    Pencadang : Cikgu Daud Jamil
    Penyokong : Ustaz Hj. Wan Mahmud
    Pembahas : Encik Jaafar Mampak
    Penyokong : Ustaz Abdul Rab Attamimi
    Pengerusi : Encik Mohamad Adnan
    Hasilnya : Perbahasan memihak kepada pihak pembahas.

    - 31 Ogos 1939 : Bagaimana Hendak Membaiki Pergaulan Agama
    Perbahasan terbuka kepada umum dan ianya dipengerusikan oleh Encik Ahmad Ismail.
  • 15 September 1939, persatuan telah mengadakan mesyuarat untuk mengutip derma perang. Persatuan telah menjemput Kelab - Kelab Melayu Kelantan seperti Kota Bharu Kelab, Persatuan Melayu Malaya Cawangan Kelantan dan orang-orang Ternama. Mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Lembaga Bantuan Melayu Kelantan. Mesyuarat juga telah bersetuju melantik Y.M. Tengku Ahmad Zainal Abidin bin Tengku Abdul Kadir Kamarudin (Tengku Sri Akar Raja), Y.M. Tengku Ahmad bin Tengku Abdul Ghafar (Tengku Panglima Raja), Y.M. Tengku Bakti, Nik Mohamad Salleh bin Omar dan Nik Yahya bin Nik Daud serta beberapa orang kakitangan kerjaan.
  • Aktiviti Persatuan masih berlangsung sehinggalah Januari 1941, rekod hanya menyatakan ia mengajurkan aktiviti kebiasaan seperti majlis keraian ahli yang baru kembali dari luar negara, berkahwin serta ibadat sepanjang bulan Ramadhan dan sambutan Aidilfitri.
  • Selepas tamat Perang Dunia, persatuan ini tidak lagi diwujudkan kembali sepertimana beberapa kelab yang lain.

Antara Tokoh Setiawan Belia dari kiri : Encik Abdul Jalil (Majistret), Ustaz Hj. Ishak (Guru),
En.Asaad Shukri (Setiausaha Setiawan Belia), Ustaz Hj. Wan Mahmud (Guru) dan Ustaz Abdul Rab
(Guru, berasal dari Maluku, Indonesia) - Gambar dirakam pada 1939.


Peranan Setiawan Belia kepada Masyarakat
Pengelibatan masyarakat umum di Kelantan dalam kegiatan Setiawan Belia dapat dilihat pada tahun 1937, dimana persatuan telah mengumpulkan tukang mahir dalam bidang yang memerlukan kemahiran khusus pada masa itu untuk:

  • Mengembangkan perusahan batik dengan bantuan kepakaran dari segi permasalahan agama yang timbul dari kerja membatik, menyediakan kemudahan peralatan untuk menghasilkan corak batik dan menguruskan penjualan produk batik pada harga yang berpatutan.
  • Mengkoordinasikan penghasilan gambar-gambar kartun, lukisan jenaka, dan tulisan tangan sama ada untuk dibingkaikan atau disiarkan dalam majalah atau warta.
  • Menerbit dan Mencetak buku dan kitab serta menjaga kualiti penerbitan dan kandungannya untuk bersaing dalam pasaran.
  • Menjual karya terjemahan pada harga yang murah.

Semua kerja-kerja ini dilakukan di Rumah Setiawan Belia yang terletak di Jalan Zainal Abidin, Kota Bharu. 

Seterusnya, peranan persatuan ini kelihatan lebih domninan dalam perihal politik iaitu pada tahun 1939 hinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua pada 1941. Tahun 1939 juga telah tercetusnya Perang di Eropah, namun ia belum merebak ke Semenanjung Tanah Melayu khususnya di Kelantan, namun atas kesedaran itu persatuan telah mengadakan mesyuarat bersama orang-orang Melayu yang berpengaruh di Kelantan untuk menubuhkan Lembaga Bantuan Melayu Kelantan untuk mengutip derma dari setiap orang di Kelantan. Selian itu, pada tahun 1939 juga persatuan kerap mengadakan perbahasan berkenaan perihal keadaan sosial di Kelantan. Sebagai hasilnya, kesedaran mengenai tuntutan untuk hak dan keadilan kepada bangsa Melayu.

Penutup
Sepanjang penubuhan Seitawan Belia ini dari tahun 1931 - 1941 menunjukkan bahawa golongan Muda yang berpendidikan tinggi dan menjawat jawatan istimewa telah bergerak seiringan dalam memajukan pemikiran orang-orang Kelantan. Ia terbuka kepada umum dan aktivitinya telah menarik perhatian dari golongan bangsawan Kelantan untuk menganggotai persatuan tersebut. Satu kesepaduan di kalangan orang-orang Melayu telah terbentuk walaupun gerakan persatuan ini dilabel sebagai Golongan Muda yang pada masa itu kuat menentang pendirian Golongan Tua, bagaimanapun dari golongan muda dekad 1930an inilah telah merintis kepada bibit-bibit perjuangan menuntut kemerdekaan, namun hajat mereka terhenti apabila meletusnya Perang Dunia Kedua di Asia Pasifik.

Artikel seterusnya akan memfokuskan perjuangan Kemerdekaan di Kelantan sewaktu Perang Dunia Kedua.


Rujukan
  • [Monograf] Warisan Kelantan V

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...