SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday, 18 July 2014

Insiden MH17 dan Mohd Ali Mohd Salim

Assalamualaikum...

Kini Ramadhan 1435H telah memasuki 10 hari terakhir yang mana akan tiba Lailatulqadar antara 10 malam terakhir ini, kita dikejutkan dengan Pesawat MAS, MH17 dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh sama ada oleh Pemberontak Pro-Ukraine atau Pro-Russia pada Khamis, 17 Julai 2014. 

Setelah Tragedi MH370 pada Mac lalu, kini ramai masyarakat umum sedang berspekulasi dan membuka teori-teori konspirasi.... pada kami, tindakan ini seolah-olah tidak menghormati perasaan ahli keluarga 295 krew dan penumpang. Pada asasnya, spekulator yang membuat spekulasi adalah satu langkah yang baik untuk kita mendapat ilmu tentang sesuatu isu, tetapi apabila ianya dibincangkan secara umum ia menjadi satu tuduhan yang tidak berasas dan mungkin menjejaskan siasatan dari pihak berkuasa.

Spekulasi MH370 beransur-ansur hilang pada Mei lepas, pelbagai teori dikemukakan namun pesawat itu tetap tidak dijumpai, justeru apa yang spekulator itu dapat?

Spekulator ini kebanyakkannya terdiri daripada Blogger yang cuba menangguk di air keruh untuk meningkatkan rating blog mereka seterusnya menjana untung melalui penyiaran iklan di blog mereka. Tindakan ini sewajarnya dikutuk dan tidak patut dibuat pada masa semua orang bersedih dan terkejut.

MH17 telah disahkan ditembak jatuh oleh sistem pertahanan peluru berpandu, BUK Missiles namun hingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Dalam insiden ini Malaysia adalah mangsa akibat konfrontasi Ukrine-Russia yang berlarutan semenjak Januari lagi, manakala USA telah memberi respon terhadap peristiwa ini. Jelas disini, isu ini adalah satu isu GLOBAL yang bukan boleh diulas sebarang blog kerana ia bersabit dengan isu perang dan kedaulatan dan ianya sangat complicated untuk orang biasa fahami.

Perasaan ahli keluarga dan sahabat handai

Admin sebenarnya masih terkejut dengan Insiden ini kerana salah seorang kenalan juga turut menaiki pesawat itu. Beliau dalam perancangan mahu pulang ke Pagoh, Johor untuk menyambut Aidilfitri setelah dua tahun tidak pulang ke kampung. Beliau merupakan salah seorang pemimpin pelajar Malaysia di Netherlands dan pernah menjadi spoke person ketika Program Ramah Mesra MAS-NL dengan Timbalan Perdana Menteri di Amsterdam pada Mac yang lalu.

Apabila mendapat berita tentang perkara ini terus kami teringat kepada beliau kerana sebelum boarding  beliau telah mengemaskini status Instagram beliau dengan #hatisedikitgentar disertakan gambar MH17 yang akan dinaiki beliau. Tapi kami tidak ambil pusing kerana agak cemburu memandangkan tahun ini kami tidak pulang ke Pasir Mas ditambah pula melihat beberapa rakan kami update status tentang perancangan mereka yang akan pulang dan telah selamat tiba di Malaysia sempena Summer Holiday di Eropah dan Aidilfitri di Malaysia pada wall Facebook masing-masing.

Awalnya, kami ingin menafikan perkara ini dan tidak dapat menerima berita ini. Pilu dan sebak mula menghurung hati apabila melihat wall FB beliau sepi dengan setiap komen dan tag tidak berbalas. Di Group FB MAS-NL juga hangat berbicara tentang beliau, akhirnya berita beliau dalam pesawat tersebut disahkan apabila dua orang rakan kami yang menghantar beliau mengesahkan dia telah menaiki pesawat malang tersebut.

Hingga kini, dua orang rakan kami tersebut masih trauma dan terkejut walaupun mereka redha dengan apa yang berlaku terhadap beliau. Ini hanyalah sekelumit kisah tentang perasaan sahabat dan rakan taulan seorang mangsa, yang lebih tragik terdapat 6 orang sekeluarga dari UK untuk pulang ke Sarawak juga maut.

Pasti perasaan sedih dan pilu berganda-ganda ditanggung oleh ahli keluarga 295 yang terkorban dalam insiden ini. Justeru, kami menyeru kepada seluruh spekulator, tolong sensitif dan jangan suka-suka menyebarkan spekulasi anda, sila bincang secara tertutup dan jika maklumat anda benar, mohon majukan kepada pihak berkuasa.

Kami di PPSK juga mampu untuk membuka teori-teori berkenaan insiden ini, tetapi kami tidak berbuat begitu semenjak Tragedi MH370 kerana kami tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sememangnya telah keruh!

Dikongsikan sedikit maklumat mengenai sahabat kami yang terkorban dalam Insiden MH17.

Gambar ini dirakam candid semasa Ramah Mesra Pelajar-Pelajar Malaysia dengan
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, pada Mac 2014.

  • Nama : Mohd Ali bin Mohd Salim
  • Asal, Pagoh, Johor Darul Takzim
  • Calon Phd di Erasmus University, Rotterdam
  • Pengkhususan dalam Psikologi 
  • Bakal pensyarah USM
  • Bujang dan peramah

AL- FATIHAH 





No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...