SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 15 September 2014

Sejarah Dan Kronologi Penubuhan Institusi Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas


Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan perkembangan pendidikan yang pesat yang telah melahirkan ulama’-ulama’ yang berwibawa. 

Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, pendidikan Islam telah bermula pada akhir abad ke 18. Orang yang paling awal menyampaikan pendidikan Islam ialah Tuan Shyeikh Haji Abdul Halim. Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Patani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong). Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah:
  • Pondok Tok Bachok pada tahun 1900,
  • Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907,
  • Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908.
  • Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900,
  • Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol,
  • Pondok Tuan Padang dan
  • Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Pondok Lubuk Tapah adalah pondok yang dibina pada tahun 1931 merupakan pondok yang lewat ditubuhkan jika ingin disbanding bezakan dengan pondok yang lain. Nama rasminya adalah Madrasah Al-Rahmaniah. Pondok Lubuk Tapah adalah sebuah institusi pengajian islam yang berkonsep tradisional dan merupakan antara pondok yang lama di Kelantan.

Pondok Lubuk Tapah mula diasaskan oleh AllahyarhamTuan Guru Haji Abdul Rahman Bin Che Wan pada tahun 1931 setelah kembalinya beliau daripada belajar di Mekah. Bertempat di Kampung Lubuk Tapah, Lemal Pasir Mas, dengan jarak kira-kira 4 km dari Bandar Pasir Mas dan 16 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, keluasan kawasan Pondok Lubuk Tapah adalah kira-kira dalam lingkungan 6 ekar.

Pada peringkat awal penubuhannya, kegiatan pondok ini adalah agak terhad dengan bilangan pelajarnya yang tidak ramai manakala kemudahan-kemudahan asasnya pula tidak lengkap dan kurang memuaskan. Pada masa itu pondok-pondok pelajar terdiri daripada pondok sebuah-sebuah yang dibina sendiri oleh pelajar atau ibu bapa yang menghantar anak-anaknya memondok disini. Pondok-pondok dibina diatas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Abdul Rahman.

Pelajar-pelajar yang datang menuntut di Pondok Lubuk Tapah datang dari seluruh negeri di Malaysia dan ada juga pelajar yang datang dari negara-negara jiran seperti Thailand,Indonesia,Singapura dan kemboja.

Sehingga kini Pondok Lubuk Tapah telah melahirkan ribuan pelajar dimana ada dikalangan bekas-bekas pelajar pondok ini pulang menyebarkan ilmu dan memberi khidmat kepada masyarakat samada mengajar dengan membuka pondok atau sekolah agama, mengajar di masjid dan madrasah, menjadi imam masjid, bilal dan sebagainya. Bagi menambahkan lagi kefahaman dalam ilmu pengetahuan agama, terdapat juga bekas-bekas pelajar yang melanjutkan pengajian mereka ke negara-negara timur tengah seperti ke Mesir dan Syria.

Pondok Lubuk Tapah mengalami perkembangan dan kemajuan dari masa ke semasa dan perubahan itu semakin ketara apabila Tuan Guru Haji Abdullah pulang dari Mekah pada Disember 1966 setelah berkelana menuntut ilmu di sana selama 14 tahun semenjak tahun 1953. Beliau yang merupakan anak kedua kepada pasangan Tuan Guru Haji Abdul Rahman dan Hajah Nik Zainab binti Nik Mud membantu ayahnya mengajar dan mentadbir pondok hinggalah akhirnya beliau mengambil tempat ayahnya menjadi mudir pondok. Dibawah pentadbiran beliau Pondok Lubuk Tapah semakin berkembang pesat dan semakin dikenali bukan sahaja di Kelantan bahkan di seluruh Malaysia.


Pada 19 Mac 2008, Madrasah Al-Rahmaniah Pondok Lubuk Tapah mengalami ujian getir dan kehilngan permata yang tidak ternilai apabila mudirnya, juga seorang ulama dan pengasas Madrasah al-Rahmaniah, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi. Kemudian, Madrasah al-Rahmaniah Lubuk Tapah dipimpin oleh anaknya sendiri iaitu Dr. Ustaz Hj Lukman b Hj Abdullah yang merupakan Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaya. Pada 22 Januari 2010, pondok Lubuk Tapah sekali lagi menerima musibah yang besar apabila tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi. Namun atas jasa dan sumbangan orang ramai, pondok Madrasah al-Rahmaniah kini dibina semula dan berkembang sebagai institusi pondok yang Berjaya di Nusantara. Bilangan pelajarnya semakin bertambah manakala infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asasnya juga Semakin baik dan lengkap. Sehingga kini terdapat kira-kira 400 orang pelajar yang menghuni di Pondok Lubuk Tapah termasuk dari kalangan warga tua dan mereka yang sudah berkeluarga.

Artikel disediakan oleh AKA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...