SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday, 25 September 2014

[Siri 3] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sakranta 1253 - 1267

Pendahuluan
Pengisahan ini sebenarnya dibuat berdasarkan carta salasilah seperti pada pautan ini. Carta tersebut sebenarnya dihasilkan pada tahun 80an oleh Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (Nakula) sempena ulang tahun KDYMM Sultan Ismail, Sultan Kelantan pada waktu itu. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kajian mengenai salasilah atau disebut juga sebagai genealogy boleh dilakukan secara atas talian (online) dengan merujuk kepada laman web Royalark.net yang memuatkan hampir keseluruhan salasilah keturunan Raja-Raja di seluruh dunia.

Salasilah Raja-Raja Kelantan juga terkandung dalam laman web tersebut. Jesteru, artikel pengisahan sejarah kelantan juga merujuk kepada laman itu. Dari selidikan kami, penyumbang bahan untuk laman web yang di bawah hak cipta Christopher Buyers itu tediri daripada kalangan ahli kerabat Raja-Raja yang berkaitan. 

Untuk Sejarah Kelantan, terdapat dua nama yang diberi penghormatan oleh Royal Ark iaitu Encik Ismadi ibni Ismail & Kartina Paris. Pasti mereka orang yang penting kepada laman tersebut hingga di beri penghormatan dalam laman itu.

Perbezaan
Dalam laman genealogy Royal Ark juga dinyatakan mereka juga merujuk kepada carta yang dihasilkan oleh NAKULA namun terdapat perbezaan antara dua versi ini dalam menyatakan siapa itu Raja Sakranta yang memerintah dari 1253 - 1267.

Di dalam Salasilah Raja-Raja Kelantan disebut bahawa Raja Sakranta adalah anak kepada Raja Surendra yang juga Maharaja Jawaka. Manakala dalam Royal Ark mereka menyebut Raja Sakranta sebagai anak kepada Raja Thilam, sebaliknya dalam salasilah Raja-Raja Kelantan, Raja Thilam adalah pengganti kepada Raja Sakranta.

Kami juga tidak boleh putuskan siapa yang betul, anda boleh bandingkan sendiri mengikut pautan-pautan yang diberikan.

Kisah Sakranta
Lakaran : Sultan Malikul Salleh
Dapatan maklumat mengenai Raja Sakranta ini agak sukar memandangkan kisah beliau jarang diketengahkan kepada umum, atau kami yang tidak ditemukan dengan maklumat beliau, apa pun itulah sifat manusia yang lemah, begitu juga dengan penulis.

Nama lain Raja Saktranta adalah Raja Zainudin juga disebut sebagai pemerintah Langkasuka. Raja Zainuddin adalah nama selepas beliau memeluk Islam yang disaksikan oleh seorang ulama dari Pasai yang dikenali sebagai Tok Loghe. 

Tindakan drastik telah dilakukan oleh Raja Zainudin dimana beliau telah turun dari takhta dan menyerahkan kerajaan kepada puteranya iaitu Sang Tawal pada 1267 dengan alasan beliau ingin menjadi rakyat biasa dan berdakwah sekitar Nusatara.

Sumber menyatakan bahawa Raja Zainuddin giat berdakwah dan telah dilantik menjadi penasihat Kerajaan Pasai oleh Sultan Malikul Salleh yang juga dikenali sebagai Merah Silu selama 20 tahun sehingga 1297.

Kesimpulan
Apa yang boleh dilihat daripada kisah Raja Sakranta atau Raja Zainudin ini adalah, Kelantan pada zaman silam juga dikenali sebagai satu dari wilayah Langkasuka yang terkenal dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang sinonim dengan Sejarah Kedah. Atas sebab itulah Kedah dan Kelantan serta negeri-negeri Melayu yang lain saling mempunyai kaitan kerana mereka berkongsi latar sejarah yang sama.

Selain itu, terdapat juga hubungan antara Langkasuka dan Pasai yang akrab dan ia sama-sama menjadi asas hubungan diplomatik setelah Raja Zainuddin dilantik sebagai penasihat Sultan Pasai ketika itu,

Justeru, memang tidak dapat dinafikan migrasi kebudayaan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan Sumatera (Indonesia) itu memang berlaku dan kita berkongsi sejarah dan kebudayaan yang sama. Kesan-kesan sejarah ini masih dapat dilihat sehingga kepada hari ini seperti pada Kain Batik Jawa, Wayang Kulit dan Persenjataan.

Seterusnya, kami akan kisahkan pula akan seorang Raja yang sangat berpengaruh kepada Sejarah Raja-Raja Kelantan iaitu Sang Tawal yang melahirkan zuriat yang menjadi lagenda dalam masayarakat Kelantan iaitu Che Siti Wan Kembang.

Lakaran : Che Siti Wan Kembang


Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

  • Royal Ark
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/kesultanan-kelantan-purba.html
  • http://xtractor.blogspot.nl/2007/11/samudera-pasai-kerajaan-islam-pertama.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...