SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday, 28 September 2014

[Siri 5] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Bharubhasa 1335 - 1362

Pendahuluan
Raja Bharubhasa seakan-akan nama Kapten Barbossa iaitu salah satu watak dalam filem The Pirates of The Carribean yang banyak memaparkan kisah pelayaran ketika awal perluasaan kuasa imperialis barat ke wilayah Carribean. Ia mungkin kisah rekaan, namun penceritaannya mestilah melalui sumber rujukan yang dibuat oleh pengarah dan penulis skrip. Mungkin nama watak Kapten Barbossa ini kebetulan dengan nama Raja Bharubhasa seorang Raja yang berpengaruh menguasai kawasan Segenting Kra yang sinonim dikenali sebagai Langkasuka.

Berdasarkan kepada sumber sejarah yang berdasarkan kepada sumber genealogy disebut bahawa Raja Bharubhasa telah dilantik sebagai Raja Chermin ketika zaman datuknya lagi iaitu Raja Sakranta. Beliau telah dilantik sebagai Raja Langkasuka selepas bapanya, Sang Tawal mangkat pada tahun 1339.

Ketika pemerintahan Sang Tawal, kerajaan Langkasuka telah diserbu oleh Sukhothai dari Siam hingga menyebabkan beliau memindahkan pusat pemerintahan hingga ke selatan yakni di Patani. Namun, kekalahan itu telah ditebus oleh Raja Bharubahasa yang berjaya meluaskan kembali penguasaan Langkasuka menguasai beberapa bahagian semenanjung seperti Perak dan Kedah, dan beberapa bahagian Sumatera dan menguasai Champa.

1345, iaitu selepas 6 tahun kejayaan beliau meluaskan kuasa, Langkasuka dibawah pimpinannya telah tewas kepada angkatan Sukhothai dan dipaksa tunduk kepada mereka dan membayar ufti. Beliau akhirnya berundur hingga satu kawasan sekitar Bukit Panau dan hanya merajai Chermin sepertimana sebelum beliau ditabalkan sebagai Raja Langkasuka. Di sinilah beliau disebut telah memeluk Islam  dan telah menukar nama kepada Sultan Mahmud Jiddah Riayath Sa'adat us-Salam dan menamakan ibu kota Chermin sebagai Jiddah Riayath Sa'adat us-Salam yang juga membawa maksud sebagai permata. 

1357, Gajah Mada dan angkatan perangnya dari Majapahit telah menyerbu kedudukan Sukhothai di Temasik hingga berjaya mengudurkan tentera Siam itu jauh ke utara dan menghapuskan kekuasaan Sukhothai di seluruh semenanjung. Serentak dengan itu seluruh negeri Melayu dalam semenanjung telah tunduk kepada kekuasaan Majapahit, Raja Bharubahasa telah bergabung dengan angkatan Gajah Mada dan mereka memimpin angkatan perang masing-masing untuk meluaskan kuasa Majapahit hingga ke Kemboja.

Perkara ini telah membuatkan Maharaja Majapahit, Sri Maharaja Hayam Wuruk, membahagikan empayar Majapahit kepada dua, iaitu:
  • Majapahit Timur; Meliputi kepulauan dan berpusat di Ibu Kota Majapahit, Jawa Timur
  • Majapahit Barat; Meliputi Sumatera, Semenanjung, Ayuthia, dan Kemboja dan berpusat di Kelantan. bahagian ini telah dinamakan sebagai Chermin Jiddah. 



Kronologi Ringkas 
  1. Dilantik menjadi Raja Chermin semasa zaman datuknya, Sang Sakranta memerintah Langkasuka
  2. Ketika bapanya, Sang Tawal dilantik menjadi Raja Langkasuka pada 1267, Raja Bharubhasa memerintah di negeri Chermin.
  3. 1335, Raja Bharubhasa ditabalkan sebagai Raja Langkasuka menggantikan bapanya, Sang Tawal.
  4. 1345, dipaksa tunduk kepada Sukhothai dan menjadi Raja Chermin semula.
  5. 1357 bergabung dengan Majapahit dan menubuhkan Majapahit Barat.
  6. 1362 beliau mangkat dan digantikan oleh Sultan Baki Shah.

Yang jelas disini adalah jatuh bangun Raja Bharubhasa yang juga dikenali sebagai Sultan Mahmud serta proses mengenal diri yang dilalui beliau perlu kita ambil iktibar, di mana sewaktu beliau masih menggunakan nama pengenalan diri sebagai waris Empayar Sriwijaya, beliau mampu meluaskan kuasa Langkasuka. Pencerobohan oleh Sukhothai membuatkan beliau menginsafi diri dan mula menerima sinar Islam hingga menukar nama beliau dan menggunakan istilah Sultan menggantikan Raja untuk memerintah,

Perubahan ini semestinya ada penyokong dan penasihat. Perkara ini juga tidak dapat ditolak memandangkan Sayyid Hussien Jamadil Qubro merupakan iparnya.

Legasi Sang Tawal
Disebut dalam [Siri 4] bahawa Sang Tawal mempunyai 6 orang zuriat iaitu: 
  • Raja Bharubahasa / Sultan Mahmud
  • Raja Singhadhiraja / Raja Sulaiman shah ibnu Abdullah
  • Puteri Chandana
  • Puteri Tapasi
  • Dewi Durga / Adruja Wijayamala Singha / Che Siti Wan Kembang
  • Puteri Linang Cahaya
Seperti yang kita sedia maklum, Sang Tawal memerintah Langkasuka dan ia menghadapi ancaman utama daripada Sukhothai. Justeru itu, hubungan diplomatik dengan negara-negara serantau amat diperlukan dalam mengekang pencerobohan ini. Perkahwinan adalah salah satu method yang amat penting dalam hubungan diplomatik pada zaman tersebut.

Puteri Chandana dan Puteri Tapasi contohnya, telah dikahwinkan dengan Raj-Raja serantau yang pada waktu itu sudah memeluk Islam dan mempunyai struktur pentadbiran yang dominan dan mereka juga menghadapi ancaman daripada Sukhothai ini. Puteri Chandana telah dikahwinkan dengan Raja Samudera-Pasai iaitu Sultan Malik az-Zahir manakala Puteri Tapasi telah dikahwinkan dengan Raja Champa iaitu Jaya Sinha Warman

Kerajaan Samudera-Pasai pada waktu itu mempunyai hubungan yang erat dengan Kesultanan Islam di India manakala Kerajaan Champa mempunyai hubungan diplomatik dengan negara-negara seperti Kemboja dan jaraknya yang dekat dengan China. Taktik ini membolehkan Langkasuka dibawah pimpinannya menangkis pencerobohan musuh dari arah utara. Bagaimanapun, pada waktu itu, China, Kemboja, Champa dan Samudera-Pasai menghadapi masalah dalaman hingga membuatkan Langkasuka bersendirian menghadapi pencerobohan Sukhothai yang juga mempunyai hubungan dengan perluasaan kuasa Empayar Mongul yang sinonim dengan Genghis Khan. 

Raja Bharubhasa semenjak kecil telah ditabal menjadi Raja Chermin dari zaman datuknya iaitu Maharaja Sakranta. Adruja Wijayamala Singha yang juga dikenali Dewi Durga telah dianugerahkan wilayah Selatan Kelantan pada 1318 oleh Sang Tawal sebagai mengenang jasa beliau dalam menahan pencerobohan Sukhothai. Raja Singhadhiraja pula telah ditabal sebagai Raja Singora pada 1345 oleh Sukhothai, pada pengiraan kami sebagai langkah "pecah dan perintah" oleh Sukhothai. 

Pada hemat kami juga, Raja Bharubhasa, Raja Singhadirjaya dan Adruja Wijayamala Singha masing-masing menukar nama kepada nama yang lebih menjurus kepada Islam setelah Sukhothai ditewaskan oleh Majapahit serentak dengan pengukuhana Empayar Chermin dan ianya mempunyai kaitan dengan penghijrahan Alim Ulama dari Pasai ke Chermin semasa pemerintahan Sultan Mahmud dan hubungannya dengan Empayar Majapahit yang semakin berkembang pada masa tersebut. Puteri Bongsu Sang Tawal iaitu Puteri Linang Cahaya juga telah dikahwinkan oleh Raja Bharubhasa dengan Sayyid Husien Jamadil Qubra seterusnya melahirkan waris yang dikenali sebagai Wali Songo.

Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • https://www.facebook.com/PPSK2014/posts/847432621934471?reply_comment_id=847459755265091&total_comments=1
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant2.htm
  • http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/sayyid-hussein-jamadil-kubra.html
  • http://rawzones.blogspot.nl/2014/04/yawakotti.html
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/02/empayar-chermin-kebangkitan-semula.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...