SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 30 September 2014

[Siri 7] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Sodik Muhammad 1418-1429

Pemandangan dari Sungai Nenggiri, Gua Musang

Pendahuluan
Raja Sodik Muhammad merupakan perwaris takhta Kerajaan Chermin yang dinaungi oleh Majapahit. Beliau mempunyai dua orang saudara iaitu, Puteri Selindung Bulan dan Raja Kemas Jiwa. Unsur Kerajaan Majapahit agak ketara pada waktu ini. Selain penggunaan istilah yang berbaur Islam yang makin kuat dapat dilihat pada pemakaian nama-nama Raja.

Contohnya, Raja Sodik Muhammad itu sendiri mempunyai beberapa gelaran seperti Sultan Sodik Maulana dan Sultan Sodik Maulino. Antara dua gelaran ini satu darinya ada unusr Jawa dan satu unsur Islam.

Kisah Raja Sodik
Bedasarkan sumber sejarah yang dicatat dalam Royal Ark.net menyatakan bahawa Raja Sodik ini menaiki takhta menggantikan bapanya Sultan Baki Syah yang mangkat pada 1418 dan dimasyhurkan dengan gelaran Paduka Sri Sultan Sadik Muhammad Syah ibni alMarhum Sultan Baki Syah. Beliau juga dikenali sebagai Maulana Ninggiri.

Sewaktu beliau memimpin Kerajaan Chermin, beliau telah memindahkan ibu negeri Chermin jauh ke pedalaman iaitu di Ninggiri, dalam peta pada masa sekarang ia berada dalam daerah Gua Musang dan agak sukar untuk diakses dengan kemudahan awam.

Sumber sejarah menyatakan bahawa perpindahan ini ekoran keadaan sekitar Bukit Panau yang sering dilanda banjir serta memusnahkan kawasan istana telah menyebabkan beliau memindahkan ibu kota Chermin. Perkara ini sebenarnya tidak menghairankan kerana Paduka Che Siti Wan Kembang juga pernah mendirikan pusat pemerintahan di Chintawangsa sebuah penempatan di pedalaman. 

Belaiu telah direkodkan mangkat di Ninggiri pada 1429, yakni selepas 11 tahun menaiki takhta Chermin. Kemudian, takhta ini telah diganti oleh adiknya yang bongsu iaitu Raja Kemas Jiwa.

Alim
Dicatat dalam sejarah bahawa beliau dikenali dengan nama Maulana Ninggiri. Ini menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang alim dan warak serta mempunyai pengetahuan yang luas berkenaan dengan Islam. Saudara mara beliau juga terutama Sayyid Hussien adalah individu yang tersohor sebagai orang yang kuat pegangan agamanya.

Perpindahan ke Ninggiri merupakan satu langkah untuk beliau mengasingkan diri dari kesibukan dunia dan selesa ditemani dengan pemandangan menghijau belantara seterusnya dapat membuatkan beliau lebih khusyuk untuk beribadat tanpa gangguan langsung daripada masalah pentadbiran. Ini berikutan ketika itu Siam mulai bangkit semula dan Majapahit juga diambang perpecahan.

Sungai di Nenggiri, Gua Musang

Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...