SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 2 October 2014

[Siri 8] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Kemas Jiwa 1429-1467

Pendahuluan
Pada abad ke 14, seperti yang kita maklum bahawa wujud kuasa baru di rantau Nusantara iaitu Kerajaan Melaka. Kajian pada peringkat perdana hanya memberi tumpuan kepada perkembangan Melaka dan hubungan serantau dan telah mengetepikan beberapa negeri lain yang sekadar merujuk kepada Empayar Majapahit.

Justeru, pada masa kini telah berlaku pertembungan maklumat tentang perhubungan antara Majapahit dan Melaka kerana ramai menyangka Majapahit itu sekadar satu kerajaan lama di Pulau Jawa, Indonesia dan langsung tidak terlintas difikiran bahawa kekuasaan Majapahit itu meliputi utara dan timur semenanjung, dan ia juga menjadi tempat yang penting dalam hubungan antara dua kerajaan lama ini. Paling mengelirukan tentang tempat perguruan Hang Tuah.

Pada [Siri 7] telah kami nyatakan bahawa Raja Kemas Jiwa adalah pengganti kepada abangnya Raja Sodik Muhammad yang mangkat di Ninggiri pada 1429. Mereka berdua adalah anak kepada Sultan Baki Shah, Sultan Chermin.

Raja Kemas Jiwa
Ini adalah nama beliau sebelum ditabal sebagai menjadi Raja Chermin. Setelah dimasyhurkan sebagai Sultan beliau menukar nama kepada Paduka Sri Sultan Iskandar Shah ibni alMarhum Sultan Baki Syah, Raja Kelantan-Majapahit. Menurut Royal Ark.net beliau telah berkahwin dengan seorang Puteri dari Kerajaan Majapahit pada 1427, yakni dua sebelum ditabal sebagai Raja Chermin.  Setelah dilantik sebagai Raja Chermin, beliau telah memindahkan ibu negeri Chermin daripada  Nenggiri ke Kota Mahligai, Patani dan menamakan kerajaan beliau sebagai Majapahit II.

Persoalannya, kenapa beliau begitu menyayangi Majapahit hingga menukar nama negeri kepada Empayar tersebut?


Ratu Suhita
Hubungan Chermin (Kelantan) bermula semenjak pemerintahan Raja Bharubhasa manakala pada waktu itu, Maharaja Hayam Wuruk yang menjadi Raja Empayar Majapahit. Era Emas Majapahit memang dimulakan oleh Hayam Wuruk ini, namun selepas peninggalan beliau, Majapahit mulai menguncup.

Selepas beliau mangkat, Majapahit telah dirajai oleh menantunya iaitu Wikramawardhana seterusnya kerajaan Majapahit dirajai oleh puteri beliau iaitu Suhita, dia kemudiannya digelar sebagai Ratu Majapahit 1426-1447.

Ratu Suhita inilah yang mengahwini Bhre Parameswara Sang Aji Jaya Ningrat yang juga dikenali sebagai Raja Kemas Jiwa! Pada masa ini Raja Kemas Jiwa telah dilantik sebagai Bentara Majapahit. Sebenarnya, kisah Ratu Suhita ini amat diselubungi misteri kerana sumber pengisahan sejarah Majapahit seperti Pararaton dan Perang Parareg tidak menyatakan dengan tepat mengenai Suhita ini. Kedua sumber penting itu sebenarnya ditulis ketika Majapahit dalam pergolakkan dalaman ekoran perebutan takhta semenjak kemangkatan Hayam Wuruk.

Semasa Ratu Suhita menaiki takhta Kerajaan Majapahit, beliau dianggarkan berumur sekitar 20an dan berkahwin pada umur tersebut. Beliau mewarisi sebuah empayar yang besar dengan Kerajaan Pusat pada waktu itu menghadapi perebutan takhta. Raja Kemas Jiwa pula telah dipanggil pulang ke Chermin (Kelantan) berikutan kemangkatan abangnya di Ninggiri pada 1429.

Dapat kita simpulkan kenapa Raja Kemas Jiwa menukar nama Kerajaan Chermin kepada Majapahit II. Ini sebagai tanda kenangan beliau kepada Isterinya yang juga Maharaja Majapahit pada waktu tersebut.

Selain itu, Raja Kemas Jiwa juga memindahkan pusat pentadbiran ke Kota Mahligai, Patani sebagai langkah pertahanan menghadapi ancaman daripada Siam yang bangkit semula selepas kemangkatan Hayam Wuruk.

Patung Ratu Suhita


Serangan Siam
Pada 1429, Raja Kemas Jiwa pulang ke Chermin (Kelantan) dan dimasyhurkan dengan nama Paduka Sri Sultan Iskandar Shah ibni alMarhum Sultan Baki Syah. Beliau telah melantik Sayyid Nurul Alam bin Sayyid Hussien Jamadil Qubra yang juga dikenali sebagai Pateh Aria Gajah Mada sebagai Perdana Menteri Majapahit II.

Sebenarnya ramai yang keliru antara Gajah Mada era Hayam Wuruk dengan Gajah Mada era Suhita ini. Ia sebenarnya adalah dua individu yang berlainan kerana mereka hidup dia zaman yang berbeza. Sayyid Ali Nurul Alam adalah putera kepada Sayyid Hussien Jamadil Qubra dengan Puteri Selindung Bulan.

Puteri Selindung Bulan pula adalah kakak kepada Raja Kemas Jiwa, jadi perlantikan Perdana Menteri ini dilakukan dalam kalangan Keluarga DiRaja Chermin dan kerana masih dipengaruhi dengan kegemilangan Gajah Mada, Raja Kemas Jiwa telah menggelarkan perdana menterinya itu sebagai Patih Aria Gajah Mada. Satu kemungkinan juga, ini sebagai satu langkah untuk menggerunkan Siam kerana mereka pernah tewas kepada Gajah Mada.

Sudah ketentuan Illahi, Majapahit II ini kembali ditakluk oleh Ayutthaya yang dikawal oleh Dinasti Suphannaphun yang diperintah oleh Phra Chao Chang Phueak  dan Sultan Iskandar Shah telah dipaksa belayar ke Champa dan beliau mangkat di sana pada 1467.

Beliau mempunyai seorang putera iaitu Paduka Sri Sultan Mansur Syah dan beliau telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan-Majapahit.

Wallahualam bis'sawab


Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:



1 comment:

tuanku_mahkota said...

Inilah Sebenarnya Hang Tuah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...