SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday, 4 October 2014

[Siri 10] Pengisahan Sejarah Kelantan : Raja Gombak 1521-1527

Peta : Patani Besar

Pendahuluan
Berdasarkan kepada buku Wali Songo dan Perkembangan Islam di Nusantara yang ditulis oleh Ustaz Abdul Halim Bashah menyatakan bahawa Majapahit II telah lenyap apabila Sultan Mansur Shah telah menyerahkan kuasanya kepada Phya Tu Intira juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah dari Patani. Semenjak dari itu Kelantan diperintah oleh Raja bersama dengan Datu yang menjadi wakil Sultan Patani dengan itu bermulalah satu era pemerintahan di Utara Semenanjung dikenali sebagai Patani Besar.

Penyerahan kuasa ini dibuat setelah Kerajaan Melaka runtuh pada 1511 akibat daripada serangan Portugis yang memaksa Sultan Mahmud berundur ke Siak.

Jajahan takluk Melaka telah terbubar dan mula membentuk Kerajaan baru. Saat ini juga wujud satu usaha di utara semenanjung untuk menghidupkan semula kegemilangan Langkasuka, ia dikenali sebagai Patani Besar, Kelantan juga termasuk dalam persekutuan ini. 

Kerajaan  Patani inilah yang menjadi kuasa baru untuk menghalang kemaraan Siam untuk menakluk Semenanjung Tanah Melayu. Perjuangan mereka tidak pernah berhenti hingga kini. Ia cuma dalam keadaan "dingin" setelah termetrai Perjanjian Anglo Siamese antara Siam dan British pada 1909.

Raja Gombak
Seperti yang kita sedia maklum, Raja Gombak adalah putera sulung kepada Sultan Mansur Shah, beliau masih mempunyai 4 orang adik beradik iaitu:

  1. Raja Muhammad (Raja Terengganu)
  2. Puteri Onang Kening (Kahwin dengan Sultan Mahmud, Sultan Melaka)
  3. Puteri Chubak (Isteri kedua Hang Nadim)
  4. Puteri Chupa (Kahwin dengan Putera Melaka pada 1500)
Pemerintahan Raja Gombak di Kelantan sekadar berusia 6 tahun sahaja, kerana selepas itu beliau telah mangkat. Beliau mempunyai seorang putera iaitu Raja Mansur. Sumber menyatakan bahawa Raja Mansur ini telah berkahwin dengan Raja Sri Dewi ibni alMarhum Sultan Mahmud Syah iaitu sepupu beliau kerana puteri ini adalah puteri bongsu kepada Sultan Mahmud yang berkahwin dengan adik Raja Gombak yakni Puteri Onang Kening.

Perkahwinan Raja Mansur dengan Raja Sri Dewi ini telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu:
  • Paduka Sri Sultan Ahmad Shah ibni Raja Mansur
  • Raja Ja'afar Ibni Raja Mansur
Diperkirakan bahawa Raja Mansur dan Raja Sri Dewi ini tinggal di Siak yang kini berada di Sumatera, Indonesia. Sementelahan Kelantan pula diperintah secara bersama dengan Datu yang menjadi wakil kepada Sultan Patani. Kerana itu, Raja Gombak telah mengambil seorang cucu beliau iaitu Raja Ahmad sebagai Putera Angkat beliau untuk menjadi perwaris Kesultanan Kelantan.

Raja Gombak telah mangkat pada 1527 dan telah diganti oleh cucu beliau iaitu Raja Ahmad sebagai Raja Kelantan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Ahmad ibni Raja Mansur.

Kesimpulan
Kelantan selepas kejatuhan Melaka telah berada dalam keadaan yang berpecah-pecah. Pada waktu ini juga wujud sistem Kedatuan Patani yang memerintah secara bersama. Justeru, pemerintahan monarki di Kelantan pada waktu itu tidak mempunyai kuasa mutlak dalam menjalankan pemerintahan mereka. 

Perwaris Sultan Gombak, Raja Mansur juga setia berada disamping Sultan Mahmud Shah berjuang untuk memulihkan kekuasaan Melaka daripada penjajahan Portugis. Memang tercatat usaha daripada Sultan Mahmud yang pada waktu itu menjadi Raja di Siak menyerang kedudukan Portugis di Melaka, tetapi mereka tidak berjaya.

Kelantan seterusnya terus diperintah oleh Sultan Ahmad Shah.

Gambar Hiasan : Keris Melayu Kelantan


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/22/siri-dedah-majapahit-ii-1/
  • http://koleksikelantan.com/salsilah-raja-raja-kelantan-darulnaim/
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Persekutuan_Pattani_Besar
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan
  • Royal Ark
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...