SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 29 October 2014

[Siri 24] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Abdul Kadir 1616-1637

Pendahuluan
Beliau adalah putera kepada Sultan Samiruddin yang memerintah Kelantan dari tahun 1605 hingga 1616. Seperti yang telah dijelaskan dalam [Siri 23] sebelum ditabalkan menjadi Sultan, nama asal beliau adalah Raja Ekok kerana kemangkatan kekandanya yang tidak berputera, beliau adalah perwaris yang paling dekat untuk ditabalkan sebagai Sultan. Setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Samiruddin. Disebut juga, beliau mempunyai tiga orang putera iaitu,
  • Raja Abdul Kadir
  • Raja Abdullah
  • Raja Abdul Rahim.
Naik Takhta
Pada 1616, Sultan Samiruddin telah mangkat dan Raja Abdul Kadir telah ditabalkan sebagai pemerintah Kelantan di Jembal. Beliau dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Abdul Kadir.  Sejarah Kelantan menyatakan beliau memerintah Kelantan daripada 1616 hingga 1632 terdapat satu lagi sumber menyatakan beliau memerintah sehingga 1637.

Keadaan politik sekitar pada waktu itu juga berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Siam sering menyerang kedudukan Patani yang diterajui oleh Ratu Pelangi. Keadaan ini mempengaruhi negeri-negeri yang bersekutu dalam Patani Besar.

Gagasan Kerajaan Johor-Pahang-Riau-Lingga juga menghadapai masalah pentadbiran baik dari segi dalaman atau luaran. Tragedi Sultan Mahmud Mangkat diJulang juga telah membuka episod baru dalam pemerintahan gagasan kerajaan persekutuan tersebut, di tambah ancaman daripada Belanda-Portugis-Sepanyol.

Kesultanan Champa juga sering kali diancam oleh Dai-Viet, lama kelamaan ia menjadi makin lemah, Kesultan Islam di Sumatera dan Jawa juga menghadapi masalah yang hampir sama. Keadaan ini telah memberi lebih ruang kepada imprealis dari barat meresapi pentadabiran alam Melayu.

Ringkasnya, semasa Sultan Abdul Kadir memerintah, kelibat orang-orang asing yang datang dengan maksud untuk menakluk makin kerap singgah di Kelantan. Kedatangan pendakwah dari Dunia Islam terutama daripada Turki semakin berkurangan kerana ancaman daripada imprealis ini. Pada masa kini, mereka mengatakan KITA sebagai lanun.

Zuriat
Merujuk kepada Royal Ark.net  menyatakan Sultan Abdul Kadir mempunyai seorang putera yang dikenali sebagai Raja Vijaya Indra / Long Betong yang kemudiannya menggantikan takhta beliau di Kota Jembal dan ramai mengenali beliau sebagai Raja Sakti 1.

Kisah asal usul dan susur galur beliau penuh kisah-kisah kesaktian yang dipenglipur lara oleh masyarakat setempat. Hal ini berlaku kerana ketokohan Raja Sakti ini dalam mengekang ancaman Siam.  Kehebatan beliau juga menyebabkan kisah bapanya juga tenggelam. Bagaimanapun, inilah susur galur Sultan Abdul Kadir yang memerintah Kelantan pada 1616-1637.

Kesimpulan
Kisah Sultan Abdul Kadir sebenarnya tidak banyak kita ketahui, paling besar sumbanganya adalah dikaitkan dengan puteranya Long Betong yang kemudiannya dikenali dengan nama Raja Sakti I. Pengisahan beliau telah membuatkan penulis menyoroti keadaan semasa Alam Melayu pada masa tersebut. Ternyata Kesultanan Melayu-Islam pada masa tersebut sedang menghadapi perpecahan dalaman dan ancaman penakluk dari Barat dan penakluk yang sedia ada iaitu Siam dan Vietnam. Justeru itu, maka fahamlah kenapa Raja Sakti lebih berpengaruh.

Gambar Hiasan - Wayang Kulit Kelantan

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...