SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 13 October 2014

[Siri 15] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sayyid Hussien Jamadil Kubra - Tiba di Kelantan pada 1349M

Pendahuluan

Kisah Sayyid Hussien Jamadil Kubra ini telah dikupaskan oleh banyak pihak, malah buku Ahlul Bait dan Kesultanan Melayu telah mengulas dengan jelas mengenai beliau. Justeru, kami akan kisahkan berdasarkan kepada peranannya dalam Kesultanan Kelantan.

Nama beliau tercatat dalam Sejarah Kelantan kerana terdapat waris beliau telah ditabalkan menjadi Raja Kelantan dan sinonim disebut sebagai Raja Jembal. Kisah berkenaan beliau juga terlalu ambiguous kerana terdapat kelompok tertentu terlalu mengkagumi beliau. Keturunan beliau dari Rasulullah s.a.w. adalah satu hakikat yang kita tidak nafikan, bagaimanapun perkara ini perlu kita perhalusi dan menjadikan ia satu pendapat ilmiah dan bukan kepercayaan kepada sesuatu yang tidak kita pasti.

Deccan, India
Dinyatakan bahawa beliau tiba di Kelantan pada tahun 1349 dari wilayah Deccan, India dan beliau secara umum dikenali sebagai seorang pendakwah yang berkeupayaan mendekati pemerintah Alam Nusantara pada waktu itu. Sebenarnya usaha dakwah Islamiyah ini dijalankan semenjak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, cuma ia menjadi lebih dominan beratus tahun kemudian.

Sayyid Hussien sebenarnya adalah anak sulung kepada Amir al-Mu'azhzham Syah Maulana Ahmad Sayyid (Ahmad Shah Jalal). Berdasarkan artikel di laman web Khazanah Bendahara Sri Maharaja Sayyid Hussien mempunyai 14 orang adik beradik iaitu:
  1. Sayyid Jamaluddin al-Hussien
  2. Sayyid Muhyiddin Shah
  3. Sayyid Alaudin Abdullah
  4. Sayyid Amir Syah Jallal
  5. Sayyid Alwi Kutub Khan
  6. Sayyid Hasanudin
  7. Sayyid Qadir Binahsan
  8. Sayyid Ali Azamat Syihabudin Umar Khan
  9. Sayyid Sheikh Mohamad Arifin Syah atau Tok Kelumpang alJarimi alFatani
  10. Sayyid Sheikh Mohamad Saman Syah alFatani atau Sheikh Thanaudin alFatani atau Dato Adiputra.
  11. Sayyid Nik alFatani
  12. Syarif Qamaruddin
  13. Sayyid Majduddin 
  14. Sultan Sulaiman alBaghdadi
Bagaimanapun ramai pengkaji menyatakan bahawa beliau mempunyai 11 orang adik beradik. Pertengahan abad ke-14, beliau bersama tiga orang adiknya iaitu Syarif Qamaruddin, Sayyid Majduddin dan Sayyid Thanaudin untuk menjalankan misi dakwah Islamiyyah ke sebelah Timur. Mereka belayar menuju ke kearah Kerajaan Samudera-Pasai kini adalah Acheh yang terletak di utara Sumatera yang waktu berkembang menjadi pusat perkembangan Islam menggantikan Baghdad yang musnah diserang oleh bangsa Tatar.

Ketika itu Kerajaan Samudera-Pasai diperintah oleh Sultan Alaidin Ahmad Malik az-Zahir II (1326-1350) dan dinyatakan kerajaan ini telah menerima kunjungan daripada Ibnu Batuta pada 1345 dan 1346. Dinyatakan bahawa Kesultanan Samudera-Pasai ini telah mempunyai hubungan dengan Kesultanan Delhi. Hal ini dapat dibuktikan dengan catatan Ibnu Batutah bahwa di Pasai pada waktu itu terdapat seorang Ulama Besar dari Delhi, Maulana Amir Daulasa telah menetap disitu. Lantas dapat kita buktika bahawa kedua kerajaan ini saling berhubungan dan ia dipercayai telah bermula semenjak zaman Sultan Malik az-Zahir yang dikenali sebagai Merah Silu.

Justeru, ramai penyelidik menyatakan bahawa kedatangan Sayyid Hussien Jamadil Kubra sebagai satu kunjungan muhibbah kerana kedua kerajaan telah mempunyai hubungan diplomatik dari segi perdangangan dan juga pengukuhan Ilmu berteraskan agama Islam.

Bayangan : Pertemuan Ibnu Batutah dengan Seorang Sultan
Takdir Allah
1350, Sultan Malik az-Zahir telah mangkat pada 1350 dan meninggalkan takhta Samudera Pasai kepada Sultan Zainal Abidin yang masih terlalu muda hingga para pembesar yang mengambil alih peranan beliau. Perkara ini pastinya menyebabkan berlaku perebutan antara para pembesar hingga ada yang khianat dan berpakat dengan Siam yang menyebabkan Sultan Zainal Abidin telah diculik tentera Siam dan dibawa ke Istana Sukhothai.

Justeru itu, para pembesar Pasai yang masih setia terpaksa menyembahkan ufti bunga emas kepad Raja Siam untuk membebaskan Sultan. Raja Siam menerima ufti tersebut dan meletakan syarat bahawa Samudera-Pasai harus menghantar ufti sebagai jajahan takluk Sukhothai. Tidak lama selepas itu, kerajaan ini yang sedia lemah telah diserang pula angkatan dari Majapahit. Kemenangan telah diraih dalam masa yang pantas kerana kedua-dua pihak baik Pasai atau Siam, mereka tidak bersedia dengan serangan mengejut itu.

Keadaan ini meyebabkan rakyat Samudera-Pasai berada dalam keadaan terumbang ambing, begitu juga dengan para pengembara dan pedagang yang datang dari benua jauh, mereka juga memindahkan pusat kegiatan mereka dari Pasai. Begitu dengan Sayyid Hussien Jamadil Kubra berserta rombongannya. Mereka telah memilih untuk ke Kelantan kerana negeri ini pada waktu berada dalam keadaan yang agak stabil berbanding Pasai. Ia pada masa itu diperintah oleh Raja Bharubhasa. Kelantna pada masa tersebut dikenali sebagai Chermin, dan ia sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Pasai kerana pada masa tersebut adiknya Puteri Chendana adalah Permaisuri alMarhum Malik alZahir.

Ketika Pasai menghadapi ancaman serangan daripada Siam dan Majapahit, Chermin pada masa tersebut juga sedang memulihkan pengaruhnya kerana 5 tahun sebelum itu ia telah diserang oleh Siam terlebih dahulu. Raja Bharubahasa telah bergabung dengan Patih Gajah Mada yang mengetuai bala tentera Majapahit menyerbu kedudukan Siam di Utara Semenanjung Tanah Melayu. Penggabungan ini telah menyerapkan Chermin kedalam Empayar Majapahit yang waktu itu dirajai oleh Hayam Wuruk. Justeru munculah dua ibu kota untuk mentadbir Empayar yang luas ini, Kelantan pada waktu itu telah dijadikan Ibu Negara Majapahit yang kedua dan dikenali sebagai Majapahit Barat, manakala Pulau Jawa menjadi pusat Majapahit Timur.

Dari Pasai ke Kelantan
Catatan sejarah Kelantan menyatakan Sayyid Hussien Jamadil Kubra berpindah dari Sumatera ke Semenanjung Tanah Melayu pada 1349. Bagaimanapun sumber terkini menyatakan rombongan dakwah Islamiyah ini tiba di Kelantan pada tahun 1350an.

Riwayat Tradisional Kelantan menyatakan sebelum rombongan ini sempat sampai ke Semenanjung Tanah Melayu, ia telah diuji Allah s.w.t. dengan kejadian ribut dan ombak besar hingga kapal yang dinaiki hampir karam. Sayyid Hussien disebut telah memohon pertolongan dari Allah dan bernazar sekiranya mereka selamat mendarat, dia akan membina sebuah masjid.

Ikan Kekacang
Dengan Kuasa Allah s.w.t. jua, bantuan telah dihulurkan dengan  kawanan Ikan Kekacang telah berpusu-pusu menyerbu ke arah lubang yang ada pada kapal tersebut. Manakala kawanan Ikan Kekacang yang lain telah menolak kapal tersebut hingga selamat mendarat di Tumpat, Kelantan. 

Kurniaan Allah s.w.t. tidak berhenti disitu, muncul seekor Tupai Putih di depan Sayyid Hussien dan berlari kearah serumpun pohon buluh bentong. Tupai itu telah memakan umbut buluh hingga kenyang sebelum beredar dari tempat tersebut. Melihatkan, perbuatan tupai tersebut, rombongan dari Pasai itu sememangnya dalam keadaan letih dan lapar telah mencuba akan umbut pohon buluh bentong untuk menghilangkan kelaparan.

Mengenangkan kebesaran Allah s.w.t. dalam dua peristiwa hidup mati itu, Sayyid Hussien Jamadil Qubra telah mengharamkan anak cucunya daripada memakan Ikan Kekacang dan Rebung Buluh Bentong. Sekiranya waris beliau melanggar pantang mereka akan terkena alahan seperti gatal-gatal dan hilang ingatan.

Sebagai menzahirkan nazar beliau, Rombongan tersebut telah sepakat membina Masjid Kampung Laut. Setelah masjid itu selesai pembinaannya, mereka telah mudik ke hulu kearah tempat Raja Bharubhasa bersemayam. Dalam perjalanan itu, mereka telah singgah di Bukit Panau untuk berteduh dan bersuluk. Sebenarnya Bukit Panau ini seperti gunung jika dipandang dari arah lautan. Adalah dipercayai bahawa rombongan ini menuju kearah bukit ini bagi meninjau kawasan sekitar, selain itu bukit ini terletak berhampiran Sungai Kelantan.

Masjid Kampung Laut : Pemandangan Tahun 60an

Pada sebelah malam ketika mereka di puncak Bukit Panau, dikatan satu kejadian anih telah berlaku dimana telah muncul  kilatan cahaya sekitar bukit tersebut dan masyarakat setempat tidak pernah menyaksikan kejadian alam tersebut. Dari kilatan ini dipercayai munculnya nama Kelantan hingga kepada hari ini.

Perkahwinan
Kehadiran rombongan tersebut telah dimuliakan oleh Raja Bharubhasa kerana mereka merupakan golongan pendakwah yang dihormati kerana berketurunan daripada Kesultanan Delhi. Perkara ini juga mendorong Raja Bharubhasa mengahwinkan adik bongsu beliau, Puteri Linang Cahaya. Dari perkongsian hidup dari isteri pertama ini, mereka telah dikurniakan dua orang anak iaitu:

  • Sayyid Barakat Zainal Alam
  • Siti Aisyah
Lima tahun selepas itu pada 1355, Sayyid Hussien berkahwin pula dengan Puteri Raja Champa, Sultan Zainol Abidin yang dikenali sebagai Puteri Ramawati dan mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu:
  • Sayyid Ibrahim Asmoro @ Sunan Ngesik
Sewaktu umur beliau menjengah ke angka 80 tahun sekali lagi beliau telah berkahwin. Kali ini beliau bertemu jodoh dengan puteri Sultan Baki Shah ibni Raja Bharubasa iaitu Puteri Selindung Bulan. Sayyid Hussien telah menukar nama Puteri Selindung Bulan kepada satu yang lebih menonjolkan ciri Islam, selepas perkahwinan puteri ini dikenali sebagai Puteri Syahirah. Pada tahun 1366, mereka telah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu:
  • Sayyid Nurul Alam 
Kesimpulan
Sayyid Hussien merupakan pendakwah dari keturunan Rasulullah s.a.w. dan juga perwaris kepada Kesultanan Delhi. Beliau diputuskan belayar dari daerah Deccan, India dengan menuju ke Kerajaan Samudera-Pasai (Acheh kini). Kerana pergolakkan politik di kerajaan tersebut rombongan Sayyid Hussien telah memindahkan pusat operasi mereka ke Kerajaan Chermin. Di sini usaha dakwah dijalankan, kerana mempunyai pertalian darah keluarga DiRaja, beliau telah dikahwin dengan kerabat Diraja Chermin. Kemudiannya beliau juga berkahwin dengan Kerabat DiRaja Champa.

Zuriat beliau telah diangkat sebagai tokoh ulama terkenal seluruh Nusantara dengan gelaran Wali Songo. Jelas disni Sayyid Hussien menjalankan kaedara dakwah Islamiyah dengan cara mendekati Raja dan Rakyat akan mengikut apa yang telah Raja putuskan.

Walaupun ada kisah beliau seakan-akan mitos namun kami beranggapan ianya masih valid kerana sesiapa yang mempunyai pertalian darah dengan beliau pasti akan ditimpa penyakit jika memakan  Ikan Kekacang dengan Rebung Buluh Bentong. 



Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

  • http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/sayyid-hussein-jamadil-kubra.html
  • http://mqtkahlulbait.blogspot.nl/2009/08/rentetetan-syed-hussein-jamadilkubra.html
  • http://amrlife-amran.blogspot.nl/2012/11/purbakala-kilatan-jadi-kelantan.html
  • http://www.ibnuhasyim.com/2008/09/catatan-perjalanan-ibnu-batutah.html
  • http://ibnbattuta.berkeley.edu/9china.html
  • http://acehstudies.blogspot.nl/2012/04/aceh-sepanjang-sejarah.html
  • http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_Battuta
  • Salasilah Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...