SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 31 October 2014

[Siri 26] Pengisahan Sejarah Kelantan : Waris Raja Sakti Pemerintah Kelantan&Patani

Pendahuluan
Sumber sejarah Kelantan semasa dan selepas Raja Sakti sungguh mengelirukan. Kesukaran untuk merungkainya seakan menemui jalan buntu. Cross Reference (Rujuk Silang) satu teknik dalam memahami fakta-fakta sejarah telah kami lakukan. Kita telah maklum semenjak 1520 lagi Kelantan telah bersekutu dengan Patani dan membentuk Patani Besar. Ia adalah satu pemerintahan berbentuk persekutuan dan dinyatakan terdapat 43 negeri telah bersekutu di bawah Patani Besar. Justeru, latar belakang sejarah Kelantan juga bergantung sepenuhnya kepada perkembangan negeri Patani. Pasang surut dan turun naiknya pemerintahan Patani mempengaruhi secara langsung sejarah negeri Kelantan. Kekeliruan sejarah Kelantan boleh dikaitkan dengan geo-politik Patani itu sendiri. Kerana itu, penulisan ini akan menyoroti pemerintahan Patani secara ringkas untuk kita merungkai sejarah Kelantan.

PataniSejarah awal Patani tidak dapat kita jelaskan dengan lanjut kerana sumber asasnya hilang jejaknya ekoran negeri ini telah dijajah oleh Siam. Nama negeri ini kerap timbul dalam hikayat-hikayat lama dan ia menyakinkan ramai pengkaji bahawa negeri ini wujud megah suatu masa dahulu. Sejarah awalnya menyatakan ia adalah pecahan daripada sebuah negara silam Langkasuka yang dikaitkan dengan Kedah serta lagenda Merong Mahawangsa.

Sayyid Nurul Alam telah memimpin angkatan perang dengan bantuan Melaka dan Acheh pada 1470 menghalau kedudukan Ayuthia di Semenanjung dalam usaha membebaskan Chermin yang diceroboh pada 1467. Kejayaan  Sayyid Nurul Alam telah menyakinkan Sultan Melaka pada masa tersebut untuk menyokong perlantikan beliau sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Qunbul bagaimanapun pada tahun yang sama juga (1470)  beliau dicatat telah mangkat.

Sumber : Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Ibrahim Syukri
(Petik pautan ini untuk bacaan penuh)
Ibrahim Syukri dalam buku Sejarah Kerajaan Melayu Patani menyatakan bahawa Kerajaan Patani didirikan oleh Raja Seri Wangsa yang pada masa tersebut belum lagi memeluk Islam. Dalam penulisan tersebut, dinyatakan Patani wujud sezaman dengan penubuhan Kerajaan Singapura dan Melaka. Setelah kemangkatan Raja Seri Wangsa, puteranya Raja Anthira yang kemudiannya telah memeluk Islam dengan disaksikan oleh seorang ulama dari Pasai yang bernama Syeikh Safiyy al-Din yang kemudiannya dilantik sebagai Guru Agama dan diberi gelar kebesaran iaitu Datuk Sri Raja Fiqih. Raja Anthira telah ditabalkan semula mengikut tatacara Islam setelah itu, beliau telah dimasyhurkan dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.

Pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Patani telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Melaka dalam usaha kedua-dua kerajaan sama-sama membangun, namun ditakdirkan Melaka telah runtuh pada 1511 dan dikuasai oleh Portugis. Patani telah menjalin hubungan yang baik dengan Portugis kerana pada masa itu disebut Patani tidak mempunyai kelengkapan senjata api seperti mana Portugis.

Hal ini telah membuatkan Patani muncul sebagai negeri di semenanjung menggantikan fungsi Melaka. Patani pada masa tersebut mempunyai hubungan yang erat dengan Pasai yang juga berada pada kemuncak kegemilangannya. Kejatuhan Melaka telah menyebabkan negeri naungannya berpecah dan mula mencari tempat berpaut yang lain. Justeru, pada 1520 Kelantan yang dirajai oleh Sultan Mansur Syah telah bersekutu dengan Patani untuk membentuk Patani Besar dalam mempertahankan kedaulatannya. Sejajar dengan itu, Sultan Muhammad Syah telah melantik Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar sebagai wakil beliau dengan pangkat Datu Kelantan yang pertama dan memerintah bersama-sama dengan Sultan Kelantan. Nik Jamaluddin menjalankan tugas sebagai Datu Kelantan secara rasmi pada 1521 ketika Sultan Gombak ditabal sebagai Sultan Kelantan ekoran kemangkatan ayahandanya Sultan Mansur Syah pada tahun tersebut.

Raja Muzaffar telah  dipercayai telah ditabal sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah pada 1540 menggantikan bapanya yang telah mangkat, beliau telah melantik adindanya Raja Mansur sebagai Raja Muda dan waris daripada Datuk Sri Raja Fiqih sebagai para pembesarnya. Patani pada waktu itu berada dalam keadaan yang makmur dikunjungi oleh pedagang dari Barat (Portugis) dan Timur (China dan Jepun). Sebagai usaha memartabatkan lagi Patani, Raja Muzaffar telah berangkat untuk melawat negara jiran yang sedia maklum sebagai sebuah negara yang kuat iaitu Siam-Thai. Dukacitanya, delegasi Patani itu dipandang enteng kerana Raja Siam menanggap martabat Patani tidak sama taraf dengan mereka. Perkara ini telah memberi kesan mendalam kepada Raja Muzaffar terhadap keangkuhan Raja Siam itu.

Pada 1563, Ayuthia telah diserang oleh Burma dan perkara ini telah diketahui oleh Sultan Muzaffar, beliau telah mengambil peluang ini untuk membalas akan kesombongan Raja Siam itu. Patani telah menyediakan 200 kapal perang seribu orang tentera dan seratus orang perempuan sebagai persiapan untuk melancarkan serangan. Pemerintahan Patani telah ditinggalkan kepada seorang pembesar yang dipercayai, manakala hampir kesemua pembesar dan Raja Mudanya iaitu Raja Mansur juga berangkat untuk menyerang Ayuthia. Pada masa yang sama permaisuri Sultan sedang sarat mengandung.

Takdir Allah s.w.t. Sultan Muzaffar telah mangkat dalam serangan tersebut, sewaktu itu permaisuri almarhum Sultan belum lagi melahirkan kandungannya itu. Para pembesar Patani telah sepakat untuk menabalkan Raja Muda Patani, Raja Mansur sebagai Sultan Mansur Syah. Almarhum Sultan Muzaffar syah mempunyai seorang putera yang dikenali seabgai Raja Bambang namun beliau tidak layak untuk ditabalkan sebagia Sultan kerana beliau adalah putera Sultan dengan seorang Gundik. Selang beberapa lama, permaisuri almarhum telah selamat melahirkan seorang putera yang di beri nama Raja Patik Siam. Sembilan tahun memerintah Patani, akhirnya Sultan Mansur telah mangkat dan meninggalkan dua orang putera iaitu Raja Bahadur dan Raja Bima (anak hasil dari seorang gundik). Almarhum Sultan Mansur telah berwasiat sekiranya beliau mangkat, anak saudaranya Raja Patik Siam haruslah ditabalkan sebagai Sultan.

Para kerabat diRaja dan pembesar telah menyempurnakan wasiat tersebut dan menabalkan Raja Patik Siam sebagai Sultan Patani dengan gelaran Sultan Patik Siam yang ketika itu baru berusia sembilan tahun. Perkara ini telah menimbulkan perasaan cemburu yang melampau kepada Raja Bambang hingga beliau telah bertindak membunuh Sultan Patik Siam ketika baginda berseorangan. Raja Bambang juga akhirnya telah meninggal ditikam oleh hulubalang istana.

Ekoran daripada peristiwa malang ini, para pembesar dan kerabat diRaja telah mengambil kata putus untuk menabalkan Raja Bahadur, putera almarhum Sultan Mansur sebagai Raja Patani dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Bahadur Syah. Setelah sekian lama memerintah berlaku perselisihan antaran Sultan Bahadur dengan kekandanya Raja Bima, perselisihan ini menjadi melarat-larat sehingga Raja Bima telah belot kepada Sultan Bahadur. Akhirnya, Raja Bima telah bertindak menikam dari belakang Sultan Bahadur semasa baginda bersemayam di Istananya. Tikaman itu telah membunuh Sultan Bahadur, Raja Bima juga turut mati ditikam oleh hulubalang istana.

Perisitwa ini mengulangi apa yang berlaku terhadap Sultan Patik Siam yang mangkat ditikam. Sultan Bahadur Syah hanya mempunyai tiga orang puteri iaitu Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Ungu. Buat sekian kalinya pembesar dan kerabat diRaja Patani Besar telah bersidang dan mereka bersetuju menabalkan Raja Hijau merajai Patani menggantikan Sultan Bahadur Syah yang mangkat secara tiba-tiba itu. Pada 2013 kami telah menerbitkan artikel berkenaan raja-raja perempuan Patani yang dikenali sebagai Ratu Pelangi.

Raja Hijau dicatat mula memerintah pada 1584-1616 jika kita perhatikan pada 1616 ia sama tarikh dengan kemangkatan Sultan Samiruddin bin Nik Jamaluddin yang memerintah Kelantan yang kemudiannya digantikan oleh anaknya Raja Abdul Kadir. Dapat kita simpulkan bahawa pemerintahan di Kelantan yang dahulunya sebagai wakil Raja Patani kini sudah bertukar menjadi satu Kesultanan yang berdaulat dan mereka tidak lagi terikat dengan Patani walaupun Kelantan masih kekal dalam Persekutuan Patani Besar. Saat ini juga Siam telah melancarkan siri serangan ke atas Patani namun mereka tidak berjaya kerana pertahanan Patani sangat ampuh kerana mereka memiliki tiga meriam keramat iaitu Sri Maharaja, Sri Patani dan Sri Negara. Meriam ini disebut sebagai senjata yang paling maju di Asia Tenggara pada masa tersebut. Pemerintahan Raja Hijau telah digantikan oleh adiknya Raja Biru dan kemudian diteruskan oleh Ratu Ungu.

Setiap penggiliran kuasa antara tiga orang Raja Perempuan ini, Patani menjadi makin lemah. Pada 1635, Raja Kuning telah ditabalkan menjadi Raja Patani menggantikan bondanya yang telah mangkat Raja Ungu. Saat ini, Patani berada dalam keadaan yang paling lemah. Tentera Siam telah berjaya merempuh masuk hingga ke Kota Cabang Tiga. Saat inilah Raja Sakti telah menghulurkan bantuan dan angkatan perang Melayu yang diketuai beliau telah berjaya menghalau askar-askar Siam jauh ke dalam Kota Ayuthia. Kejayaan beliau dalam menghalau Siam itu telah memberi kepercayaan kepada pembesar dan kerabat DiRaja Patani untuk menabalkannya sebagai Raja Patani pada 1632. Kedudukan Raja Sakti di Kota Jembal pula telah digantikan oleh puteranya, Raja Loyor. 1649, Raja Sakti telah mangkat dan takhtanya digantikan oleh Raja Loyor mengikut heirarki. Kisah selanjutnya mengenai Raja Loyor boleh anda ikuti pada pautan ini.

Waris Raja Sakti
Terdapat kecelaruan maklumat mengenai waris Raja Sakti ini. Ada pertindihan maklumat dan sumber rujukan juga tidak konsisten menyebabkan kekeliruan yang sukar untuk dirungkai. Kami telah mendapatkan pendapat ketiga dan merumuskan bahawa terdapat usaha-usaha dari pihak tertentu yang tidak dapat dipastikan telah mencampur adukan maklumat berkenaan Raja Sakti, bagaimanapun pengisahan ini harus diteruskan. Justeru, kami telah mengambil keputusan untuk mengikuti salasilah sepertimana yang telah diterbitkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting terbitan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tulisan Allahyarham Ustaz Abdullah Mohamed (NAKULA).

Salasilah tersebut menyatakan bahawa dua orang waris Raja Sakti (beliau dinyatakan mempunyai 7 orang zuriat) yang memainkan peranan dalam Sejarah Negeri Kelantan iaitu:

  • Raja Bahar
  • Raja Omar 

Raja Bahar
Susur galur beliau lebih kepada jurai keturunan Kesultanan Patani kerana beliau telah berkahwin dengan Raja Mas Kelantan. Maklumat mengenai Raja Bahar juga mengelirukan seolah-olah ianya tersimpul mati. Sungguh pun begitu, pasangan ini merupakan pemerintah Patani pada penghujung kurun ke-17. Kami pernah mengulas mengenai perkara ini tidak lama dahulu seperti di pautan ini.

Raja Omar
Tiada sumber sahih yang dapat memutuskan siapa beliau yang sebenar, sesetengah sumber menyatakan beliau merupakan anak ketiga kepada Raja Sakti. Pada awalnya beliau ditabal sebagai Raja Jembal, dan cuba menduduki takhta Patani namun percubaan beliau gagal. Beliau mempunyai 4 orang zuriat iaitu:

  • Raja Kechil Sulong / Raja Kota Teras
  • Raja Ngah [Raja Hudang] / Tebing Tinggi Pusaran Buah
  • Raja Sakti / Ditabal Sultan Kelantan menggantikan Raja Omar
  • Raja Nah
Raja Sakti
Beliau merupakan keturunan terakhir daripada jurai Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar yang memerintah Kelantan. Seperti Raja-Raja di atas, kisah beliau juga penuh kesamaran dan sukar untuk disahkan. Pada pengisahan ini kami hanya sampaikan tentang maklumat yang sedia ada dan boleh dicapai semua orang. Raja Sakti ini dinyatakan hanya mempuyai seorang puteri yang bernama Raja Pah. 

Pemerintahan Kelantan seterusnya disambung oleh waris dari jurai keturunan Nik Mustafa yang mempunyai pertalian darah dan keturunan yang sama iaitu dari Sayyid Ali Nurul Alam / Sultan Qunbul . Hal ini berlaku apabila Raja Pah telah berkahwin dengan Long Bahar dan seterusnya telah menitihkan keturunan Kesultanan Kelantan yang ada pada masa sekarang.

Justeru untuk memahami perpindahan kuasa pemerintahan Kelantan kepada jurai keturunan Nik Mustafa, Raja Champa, kami akan berundur semula kepada pengisahan tentang kegemilangan Champa dan menghuraikan dengan lebih jelas susur galur beliau. 



Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...