SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 22 October 2014

[Siri 20] Pengisahan Sejarah Kelantan : Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa

Pendahuluan
[Siri 19] yang lepas telah kami nyatakan berkenaan dua daripada lima orang Zuriat Wan Bo Tri Tri iaitu Ahmad Fatahillah yang lebih terkenal dengan gelaran Sunan Gunung Jati salah seorang sembilan wali yang tersohor di Indonesia dan Abul Muzaffar Waliyullah yang sedikit maklumatnya bagaimanapun dari keturunan beliaulah lahirnya jalur pemerintah Kesultanan Kelantan hingga pada hari ini. Beliau juga adalah individu yang menggunakan gelar "Nik" pada keturunannya.

Carta Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait menyatakan bahawa dari Abul Muzaffar Waliyullah atau juga dikenali sebagai Wan Abul Muzaffar lahir dua orang zuriat yang besar peranannya dalam Kerajaan Patani, Kerajaan Campa dan Kedatuan di Kelantan, yang dimaksudkan adalah Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa.

Nik Jamaluddin
Sepertimana kisah bapanya, maklumat mengenai beliau juga tidak jelas. Sumber hanya menyatakan bahawa beliau adalah Timbalan Raja Champa yang juga bertindak sebagai Datu Kelantan bagi pihak Kerajaan Pusat Patani. Beliau juga dinyatakan sebagai pemula kepada kerabat DiRaja Jembal di Kelantan. Untuk rekod, Kelantan buat pertama kali diperintah secara bersama dengan Patani sebagai Kerajaan Persekutuan dibawah Patani Besar pada 1511 setelah kejatuhan Melaka kepada Portugis. Kelantan pada waktu itu telah diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1467-1521). Kelantan telah tunduk kepada kekuasaan Melaka pada 1499 dan kekalahan kepada Portugis menyebabkan Kelantan mencari penyokong baru untuk meneruskan kelangsungan pemerintahan. Pada masa tersebut, gagasan Patani Besar adalah yang terbaik kerana mereka mempunyai hubungan yang dekat dengan Acheh dan Kerajaan Islam serantau.

Justeru, Kelantan telah menerima sistem pemerintahan Datu ini untuk mengukuhkan pentadbiran dan mengelakkan pencerobohan dari kuasa asing. Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar telah dilantik sebagai Datu Patani ke Kelantan dan dipercayai Campa juga adalah satu dari gagasan Patani Besar ini.

Beliau mempunyai dua orang zuriat iaitu:
  • Sultan Adiluddin (Raja Loyor)
  • Sultan Samiruddin (Raja Ekok)
Ringkasnya, beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengasaskan keturunan Raja Jembal yang pada masa itu membuka penempatan di satu kawasan yang dikenali sebagai Kota Jembal yang terletak tidak jauh daripada Kota Bharu dan Bachok. 

Nik Mustafa
Seperti kelaziman orang besar silam, beliau juga mempunyai pelbagai gelaran seperti berikut:
  • Ong Tpouo
  • Agong Ronan
  • Po Rome
  • Sultan Abdul Hamid Syah
  • Raja Srisarwasadesa
  • Raja Campa 1578-1637
Itu sebenarnya nama beliau setelah ditabal menjadi Raja Champa pada 1578. Beliau sebenarnya merupakan Datu Jambu seperti mana abangnya Nik Jamaluddin yang dilantik sebagai Datu Kelantan. Perlantikan beliau sebagai Datu Jambu atau Raja Jambu, sejajar dengan pembentukan Patani Besar. Pada 1570, beliau telah menghantar bantuan ketenteraan ke Campa bagi membebaskan negeri asal bapa dan datuknya yang telah diceroboh oleh Rejim Nguyen. Campa pada masa itu diperintah oleh Sultan Yaakub Shahibuddin (1515-1570) yang menggantikan anak saudara Wan Bo Tri Tri iaitu Sultan Wan Abul Kadir / Ko Lai pada 1515. Ketika Champa diserang, usia Sultan Yaakub telah lanjut beliau telah mangkat dalam tawanan ketika diusung dalam sangkar besi sewaktu dalam perjalanan ke Kota Hue. 

7 tahun kemudian iaitu pada tahun 1577, Datu Mustafa sekali lagi membawa bala tentera dari Patani seramai 10,000 orang dan dibantu bala tentera dari Kelantan seramai 5000 orang yang ketika itu diperintah oleh anak saudaranya Sultan Adiluddin bin Nik Jamaluddin yang ketika telah ditabal sebagi Sultan Kelantan. Angkatan perang ini telah menyerang tentera Annam dan berjaya menguasai Pandurangga. Kejayaan mereka lebih dari itu kerana mereka berjaya membebaskan Campa yang dikuasai Annam semenjak 1471 malah mereka telah mara sejauh Kota Hue.

Setelah perang tamat, Datu Mustafa telah ditabal sebagai Raja Campa dengan gelaran Sultan Abdul Hamid Syah beliau mulai memerintah secara rasmi pada 1578 dan mangkat pada 1637. Masyarakat Melayu Campa mengenal beliau sebagai Raja Srisarwasadesa / Po Rome / Ong Tpouo. Annam telah bangkit dan bertindak balas pada 1578 dan mereka berjaya menawan satu daerah bernama Phu Yen. Setelah itu, Campa berada dalam keadaan aman dan tenteram.

Pada 1594, Sultan Abdul Hamid Syah telah menghulur bantuan ketenteraan kepada Sultan Jalla Abdul Jalil Syah II yang memerintah Johor pada 1571-1579 untuk memerangi kempen perluasan kuasa Portugis di Johor. Pada 1611, beliau telah cuba menawan kembali kawasan Binh Dinh  dari Annam, namun usaha itu menemui kegagalan.

Sultan Abdul Hamid Syah mempunyai tiga orang zuriat iaitu:
  • Nik Badrulsalam / Raja Singgora 
  • Nik Ibrahim / Datu Kelantan / Raja Campa
  • Nik Ali / Datuk Maharajalela / Panglima Perang Agong Patani

Situasi Kelantan selepas 1511
Pada 1499, Kelantan telah tunduk kepada Melaka dan menjadikan ia sebagai sebuah negeri dalam Empayar Melayu Melaka yang masyhur itu ketika ia diperintah oleh Sultan Mahmud Syah. Sebagai simbol keakuran, angkatan perang Melaka telah menawan putera dan puteri Kelantan. Dalam perjalanan pulang ke Melaka, Raja Gombak putera kepada Sulan Mansur Syah telah berjaya melarikan diri. Hanya tiga orang puteri beliau dibawa ke Melaka. Salah seorang darinya diperisterikan oleh Sultan Mahmud manaka dua lagi diperisterikan oleh pembesar Melaka. Jelas disini, Kelantan pada masa itu berada dalam taklukan Melaka.

Pada 1511, Melaka telah kalah dalam pertempuran dengan Portugis. Perkara ini menyebabkan Empayar Melayu Melaka berpecah. Maka wujudlah satu persekutuan yang dikenali sebagai Patani Besar untuk menyatukan negeri-negeri Melayu dari ancaman kuasa baru dari Barat. Kelantan juga termasuk dalam persekutuan ini.

Disebutkan pada masa tersebut, Sultan Mansur telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Raja Patani yang dikenali sebagai Sultan Muhammad Syah atau juga dikenali sebagai Phya Tu Intira. Semenjak dari itu, Kesultanan Patani telah memperkenalkan sistem Datu sebagai wakil pemerintahan. Nik Jamaluddin bin Wan Abul Mustafa telah diperkenankan oleh Sultan Muhammad Syah untuk menjadi wakil beliau sebagai Datu Kelantan pada 1520.

Semenjak dari tarikh tersebut, Kelantan mula diperintah secara bersama antara Kelantan dan Datu Patani. Satu penempatan di sebelah Timur Kota Bharu telah dijadikan tempat pemerintahan Datu ini yang sekarang dikenali sebagai Kota Jembal. Dalam satu tempoh, keturunan Datu Patani ini telah mempengaruhi secara keseluruhan Kesultanan Kelantan kerana keturunan mereka telah dilantik sebagai Sultan Kelantan.

Kesimpulan
Nik Jamaluddin dan Nik Mustafa merupakan anak kepada Wan Abul Muszaffar yang dikenali sebagai Abul Muzaffar Waliyullah. Mereka berdua juga merupakan cucu kepada Wan Bo Tri Tri. Sultan Mihammad Syah telah Nik Jamaluddin telah dilantik sebagai Datu Kelantan manakala Nik Mustafa telah dilantik sebagai Datu Jambu di Patani. Sewaktu menjadi Datu Jambu, Nik Mustafa telah mengumpul bala tentera dari Patani dan Kelantan yang dibantu oleh anak saudaranya Sultan Adiluddin (Raja Loyor) yang waktu itu telah menjadi Raja Kelantan.

Zuriat daripada Nik Jamaluddin telah membentuk Kerajaan Jembal, manakala Zuriat daripada Nik Musatafa telah membentuk keturunan Raja Campa. Kedua-dua keturunan ini akhirnya bersatu ketika Raja Pah berkahwin dengan Long Baha dan seterusnya menurukan Kesultanan Kelantan yang ada pada hari ini.

Kota Jembal - Kredit Google Street View


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan :
  • Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani [Buku]
  • http://www.geocities.ws/prawat_patani/bab1.htm
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Kelantan
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/01/champa-bumi-jawi-iii.html
  • Salasilah Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...