SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 15 October 2014

[Siri 17] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sayyid Ali Nurul Alam (Sultan Qunbul)

Pendahuluan
Nama beliau sungguh ikonik dalam lipatan sejarah Kelantan. Kisah hidup beliau penuh dengan pelbagai rencah kehidupan. Berbicara tentang beliau dan keturunannya juga memberi kesan kepada sesiapa yang menyelidiknya, kerana itulah kebesaran Allah s.w.t.

Kita telah bincangkan secara umum tentang ibu bapa dan saudara-saudara beliau melalui [Siri 15] dan [Siri 16]. Pada siri ini, kita bangkitkan sekali lagi berkenaan kedua ibu bapa beliau. Seperti diketahui, bapa beliau adalah Sayyid Hussien Jamadil Kubra manakala ibunya bernama Puteri Selindung Bulan / Puteri Syahirah. 

Siapa Puteri Syahirah
Nama ini baru sahaja muncul kebelakangan ini. Diperkirakan ia diterbitkan daripada perwaris keturunan Sayyid Hussien, kerana dalam catatan sejarah nama yang sering diungkapkan adalah Puteri Selindung Bulan. 

Puteri ini sebenarnya anak kepada Raja Mas Aria di Gunung yang telah dimasyhurkan dengan nama Sultan Baki Shah, memerintah Kelantan pada 1362-1418 juga merupakan cucu kepada Raja Bharubhasa juga dikenali sebagai Sultan Mahmud pemerintah Kelantan pada 1335-1362. Pada masa pemerintahan Raja Bharubhasa ini, Sayyid Hussien telah berkahwin dengan adik bongsunya iaitu Puteri Linang Cahaya/Puteri Mariam yang juga merupakan "Tok Sedara*" kepada Puteri Syahirah ini.

Perlu kami jelaskan, perkahwinan Sayyid Hussien ini adalah dilangsungkan setelah isteri beliau meninggal dunia. Seperti yang kita sedia maklum beliau mulanya berkahwin dengan Puteri Linang Cahaya yang juga adik kepada Raja Bharubhasa dan kakak kepada Paduka Che Siti Wan Kembang. Perkahwinan ini mentitihkan dua orang zuriat. 

Setelah Puteri Mariam mangkat, Raja Champa iaitu Sultan Zainal Abidin telah mengahwinkan anaknya Puteri Ramawati dengan Sayyid Hussien pada 1355. Dari perkahwinan ini, lahirlah Maulana Ibrahim Asmaro. 

Setelah kemangkatan Puteri Ramawati, Sayyid Hussien kembali semula ke Patani dan tinggal di Kampung Sena. Kepulangan beliau telah diketahui oleh Sultan Baki Syah yang juga anak saudara beliau. Sultan Baki Syah ketika itu merupakan Raja Chermin telah menjemput Sayyid Hussien ke Kota Jiddah dan melantik beliau menjadi penasihat Kerajaan Chermin-Langkasuka. Pada 1390, Sultan Baki telah mengahwinkan anak beliau iaitu Puteri Selindung Bulan / Puteri Syahirah dengan bapa saudaranya itu. Ketika itu Sayyid Hussien Jamadil Kubra berusia 80 tahun. Dari perkahwinan ini lahirlah Sayyid Nurul Alam yang sedang kita bincangkan ini.

Pembesar Kerajaan
Pada 1429, Raja Kemas Jiwa yang berada di Majapahit pada waktu itu telah dipanggil pulang untuk menggantikan kekandanya Raja Sodik Muhammad yang mangkat di Ninggiri. Mereka berdua merupakan putera kepada Sultan Baki Shah sama seperti Puteri Mariam ibu kepada Sayyid Ali Nurul Alam.

Setelah itu Raja Kemas Jiwa telah dimasyhurkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Paduka Sri Sultan Iskandar Syah Ibni Sultan Baki Syah. Beliau telah menamakan Chermin sebagai Majapahit II sebagai memperingati kerajaan Isterinya, Ratu Suhita yang waktu itu telah merajai Empayar Majapahit. Beliau juga telah melantik  Sayyid Ali Nurul Alam yang juga merupakan anak saudaranya sebagai  Perdana Menteri Majapahit II dengan gelaran Pateh Aria Gajah Mada. Diperkirakan ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri umurnya dalam lingkungan 40 tahun.

Pada 1467, Kerajaan pimpinan Sultan Iskandar Syah telah diserang oleh Siam hingga menyebabkan beliau terpaksa menyelamatkan diri ke Champa. Beliau telah mangkat di sana.

Berdasarkan Riwayat Kelantan, Sayyid Ali tidak berdiam diri dengan pencerobohan Siam itu. Dia telah mengemblengkan tenaga seluruh Alam Melayu dan mengetuai serangan balas terhadap Siam hingga menghancurkan Kota Ayuthia. Serangan itu telah disertai oleh angkatan Melaka dan Acheh serta dibantu oleh Laksamana Bentan Wan Demali. Angkatan Melaka pada masa itu dipimpin oleh Hang Tuah dan Tun Mutahir.

Setelah berjaya menyingkirkan pengaruh Siam daripada Chermin dan Semenanjung, Sayyid Ali Nurul Alam telah ditabalkan sebagai Raja Patani dan dimasyhurkan dengan nama Sultan Qunbul atas nasihat Sultan Melaka pada waktu itu. Serentak dengan itu juga Sultan Mansur Shah telah ditabalkan menjadi Raja Kelantan menggantikan Sultan Iskandar yang telah mangkat di Champa. Pada 1470, beliau telah mangkat.

Zuriat
Diantara anak-anak Sayyid Hussien Jamadil Kubra, Sayyid Ali Nurul Alam mempunyai paling ramai waris kerana beliau sendiri mempunyai 8 orang anak iaitu:
  1. Sultan Wan Abu Abdullah / Wan Bo Tri-Tri / Raja Champa 1471-1478
  2. Wan Hussien as-Senawi
  3. Puteri Chempaka Biru / Wan Biru
  4. Wan Alimudin / Wan Demali (Laksamana Bentan)
  5. Wan Jamal
  6. Wan Hassan
  7. Wan Senik alKerisiqi
  8. Wan Muhammad Salih al-Liqihi
Wari daripada anak-anak beliau inilah yang menjadi titihan kepada beberapa Kesultanan antaranya Kerajaan Jembal, Kerajaan Patani, dan Kerajaan di Tanah Jawa. Selain itu ada juga yang melibatkan diri dalam dakwah Islam sebagai Ulama dan Pahlwan Perang sekitara Nusantara. Sultan Wan Abu Abdullah misalnya, beliau telah ditabal sebagai Raja Champa dan warisnya pula menurunkan sebahagian besar Kesultanan Pantai Timur malah keturunan beliau telah membentuk keseluruhan Kesultanan Kelantan.

Kesimpulan
Sayyid Ali Nurul Alam dikenali dengan banyak nama antaranya :

  • Syeikh Ali al-Mashur al-Laqihi
  • Syeikh Nurul Alam Siam
  • Ali Alam
  • Ali Nuruddin
  • Ali Nurul Alim
  • Alim Ali
Beliau merupakan seorang Ulama, Pembesar dan Pahlawan Melayu yang setia mempertahankan agama, bangsa dan negara. Walaupun kisahnya jarang diangkat, namun namanya tetap tercatat pada kitab-kitab lama. Benar usaha ini masih tidak lagi sempurna, malah terdapat banyak percanggahan pendapat mengenai beliau. Yang jelas disini dari beliau telah membenihkan ramai Ulama dan Pembesar Alam Melayu.

Gambar Hiasan : Patani 1782

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan : 
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/02/sayyid-hussein-jamadil-kubro-bapa.html
  • http://tabutjawi.blogspot.nl/2012/03/sayyid-ali-nurul-alam-bapa-ulama.html
  • http://berandamadina.wordpress.com/2011/05/16/pateh-aria-gajah-mada-sultan-patani-besar/
  • http://studentsrepo.um.edu.my/793/6/BAB_3.pdf
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...