SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday, 18 November 2013

23 Rujukan tentang Yawadwipa


Sebelum ini kami telah nyatakan 4 sumber rujukan kuno yang menyatakan tentang Yawadwipa. Kini kami  bawakan pula catatan-catatan dario abad ke-5 hingga abad ke-10 Masihi. Berikut rujukan kuno tentang empayar ini.

No.
RUJUKAN       
KENYATAAN

VAYU PURANA (SANSKRIT)

Buku ini disusun dalam zaman Gupta (320 – 647M) yang menyatakan tentang pembahagian kawasan Asia Tenggara yang dikenali dengan Jambudvipa. Kenyataan tersebut berbunyi :“Disana terdapat enam lagi wilayah-wilayah (pradesa) Jambudwipa dalam berbagai bentuk iaitu, Angavidpa, Yamadvipa, Malayadvipa dan Varahadvipa….. Yamadvipa pula adalah penuh dengan lombong-lombong, ada satu bukit disini terkenal dengan nama Dyutiman, sumber sungai –sungai dan emas….”

BAHMANDA PURANA (SANSKRIT)
Buku ini telah menyatakan terdapat beberapa dvipa dalam Jambudvipa iaitu Yavadvipa, Malayadvipa, Sankhadvipa, Kusadvipa dan Varahadvipa. Yavadvipa telah dinyatakan dalam buku ini sebagai sebuah daerah yang penuh dengan lombong pelbagai jenis permata. Yavadwipa juga mempunyai sebuah bukit yang dikenali sebagai Dyutiman dimana ianya terkandung punca kebanyakkan sungai dan emas.Dalam buku ini juga ada menjelaskan tentang kemunculan kusadwipa tetapi nama Angadvipa telah hilang.  R. Braddel ada merujuk kepada pengembara yang bernama Jayaswal dan beliau telah menyatakan bahawa beberapa dvipa  lagi terletak disebelah timur Bharatavarsha (India) yang bermaksud kearah Asia Tenggara iaitu : Indravipa, Kaseru atau Kaserumat, Nagadvipa, Ghabastiman, Gandharva dan Varuna.

MANIMEGALAI (TAMIL)
Catatan dalam buku ini adalah dalam Bahasa Tamil dalam satu syair iaituManimegalai menyebut suatu Kota Nagapuram (Nagapura) dalam Savaka-Nadu, iaitu nama Yavadvipa dalam Bahasa Tamil. Dua orang Raja Nagapuram dikenali sebagai Bhumicandra dan Punyaraja yang didakwa dari keturunan Indra.

ARYABHATIYAM
Ianya adalah sebuah buku yang ditulis oleh seorang ahli astronomi bernamaAryabhata yang lahir pada 476Masihi. Dalam bahagian enam buku ini ia menyatakan :“Bila matahari naik di Ceylon, ia turun di Kota Kebahagiaan yang terletak dikepulauan Keberuntungan (Pulau Ferro dalam Kepulauan Canaries) 180 darjah garis bujur, di sebelah barat Ceylon. Ia tengahari pada Yavakoti (Ibu Kota Yava) dan tengah malam dalam negeri orang-orang Rom (Constantinople)

SURYA SIDDHANTA
Menurut Nakula yang merujuk kepada B.R Chatterji dalam buku History of Indonesia buku ini adalah merupakan karya astronomi yang mengkaji keadaan abad ke-5 yang diterbitkan dalam abad ke-11 Masihi. Dalam buku tersebut ada satu petikan yang berbunyi:“Pada separuh bulatan bumi, ke arah timur, dalam tanah Badrashva (penjuru timur bumi) ialah negeri yang terkenal, Yavakoti dengan dinding-dinding dan pintu-pintu gerbang emas”.

FA – SHIEN
Fa-Shein adalah seorang sami Budha China yang mengembara ke India melalui jalan darat yang dikenali sebagai laluan sutera untuk mendalami agama Budha dalam tahun 399 Masihi. Beliau telah kembali semula ke China melalui jalan laut pada 413 Masihi. Pelayaran beliau merentasi laut Asia Tenggara dan beliau telah mencatat pengalaman pelayaran pulang beliau itu seperti berikut:
(a)    Ia bertolak dari Ceylon dengan belayar bersama-sama 200 orang kearah Timur dengan angin yang baik selama 2 hari.
(b)   Kemudian ribut telah melanda selama 13 hari dan malam, kapal telah bocor dan mendarat di sebuah pulau.
(c)    Setelah ribut reda, pelayaran telah diteruskan mengikut arah sebenar, namun ribut menyerang lagi berserta kabus yang tebal hingga kapal hilang arah. Lanun-lanun yang mengikut arus angin juga menganggu kapal ini. Tidak lama kemudian ribut reda semula.
(d)    Kapal dapat dikemudi dengan arah yang betul dan belayar selama 90 hari, mereka telah tiba di sebuah negeri yang bernama Yeh-Po-Ti. Di sini Fa Shien telah tinggal selama 5 bulan. Beliau telah melihat kesesatan dalam agama Brahma berkembang disitu manakala agama Budha berada dalam keadaan yang menyedihkan.
(e)   Dari Yeh-Po-Ti (Yavakoti), ia belayar dengan kapal lain juga membawa 200 orang penumpang ke Canton pada hari ke-16 dalam bulan ke-4.
(f)     Untuk sampai di Canton, kapal itu belayar kearah timur laut.
(g)    Dalam pelayaran ini, penumpang-penumpangnya telah membawa bekalan yang normal untuk 50 hari.
(h)   Tetapi kerana dihalang oleh ribut, kapal tersebut telah belayar selama 82 hari, lalu sampai di sempadan wilayah Chang-Kwang (Kio-Chou sekarang).

KAO SENG CHUAN
Dalam buku ini ada dinyatakan tentang Cho-po atau Shep’o yang sama maksud dengan Yava atau Jawa dalam hubungannya dengan kedatangan Gunavarman, seorang mubaligh agama Budha. Berikut kenyataan dari buku tersebut:
a)        Gunavarman yang disebut dengan K’ieou-na-pa-mo adalah seorang dari Kasta Kesatria dan berketurunan Raja Ki-Pin (Kashmir). Tetapi sejak dari zaman muda baginda telah menumpukan perhatian kearah agama.
b)        Sewaktu berusia 30 tahun, baginda telah ditawarkan menaiki takhta, namun baginda telah menolak tawaran tersebut dan telah mengembara ke Cho-po (Jawa) dimana agama Brahma sedang berkembang maju.
c)        Apabila beliau sampai di Cho-Po, baginda disambut oleh Bonda kepada Raja Cho-Po yang telah bermimpi mengenai kedatangannya. Pada mulanya Bonda kepada Raja Cho – Po telah memeluk agama Budha, kemudian dengan nasihat bondanya, Raja itu sendiri telah memeluk agama Budha.
d)        Tidak lama setelah pertukaran agama keluaraga DiRaja ini, tentera-tentera negara jiran telah menyerang Cho – Po (Yava). Serangan ini berjaya dipatahkan, tetapi Raja telah menderita akibat terkena sebatang anak panah dan kecederaan baginda telah diubati oleh Gunavarman hingga sembuh. Semenjak dari itu, Raja telah menjadi semakin taat hinggakan baginda sanggup turun dari takhta untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada agama. Para menteri telah memujuk baginda agar tidak turun dari takhta, baginda Raja telah meletakan 3 syarat yang telah diterima semuanya oleh penduduknya dan salah satu daripada syarat itu adalah semua rakyat dalam negaranya harus menurut apa yang diajarkan oleh Gunavarman. Kemudiannya, seluruh negara ini telah menganuti agama Budha.
e)       Pada 424Masihi, sami-sami Budha dari China datang menemui Gunavarman dan mejemput beliau melawat negara mereka. Beliau telah mengikuti rombongan ini pada tahun itu juga dengan belayar  ke Canton dengan sebuah kapal yang bernama Tcou-Na-T’i (Hindu-Nandi) dan tinggal di  China hingga beliau meninggal di Kota Nanking pada 431.

SUNG SHU
Buku ini disusun oleh Shen Yao (414-512 Masihi) dan beliau ada menyatakan nama She-p’o-Chou (Yavadvipa) dalam hubungan negara Ho-lo-tan seperti dalam terjemahan Hsu-Yun-Ts’iao dalam Notes on Tan-Tan dalam JMBRAS, Jilid xx, Bahagian 1 (1947) yang berbunyi:

(a)    Dalam Sung Shu, Jilid XCVII dinyatakan negara Ho-lo-tan menguasai atas She-p’o-Chou
(b)   Jilid V pula menyatakan “Negara Kiou-lo-Tan di She-p’o-Chou menghantar ufti dalam bentuk hasil-hasil tempatan.

Buku ini juga ada menyatakan tentang She-p’o (Yava) yang dihubungkan dengan “p’o-ta” iaitu “She-p’o-p’o ta” sebuah negara sezaman dengan Ho-lo-tan. Pernytaan dalam buku tersebut adalah seperti berikut:

“Dalam tahun 435, Raja negeri Dja-va-da bernama Sri Pa-da do-a-la-pa-mo menghantarkan utusan dengan mempersembah sepucuk surat dan beberapa hadiah.”

Penulis-penulis yang kemudian menyebut Dja-va-da dengan nama Shep-p’o-p’o-ta dan Sri Pa-do-a-la-pa-mo serta Che-li-po-ling-kia-mo

PRASASTI KOTA KAPUR (BANGKA)
Prasasti Srivijaya yang dipahat di Kota Kapur, Pulau Bangka pada 686 Masihi ada menyebut Bhumi Java tidak lagi merujuk kepada Yavadvipa iaitu Pulau Jawa sekarang ini. Prasasti itu menyebut pada bahagian akhir sebagai suatu amaran kepada penduduk Pulau Bangka supaya jangan menderhaka kepada Srivijaya ketika tentera Srivijaya hendak menyerang Bhumi Jawa. Kenyataan prasasti tersebut adalah seperti berikut:

“Sumpah ini nipahat di velana yam vala Srivijaya kalivat manapik yam bhumi java tida bhakti ke Srivijaya

Maksudnya:
“Sumpah ini dipahat ketika bala tentera Srivijaya hendak menyerang Bhumi Jawa yang tiada berbakti kepada Srivijaya.”
                                 
  FAKTA-FAKTA PENTING MENGENAI YAVADVIPA ATAU SINGKATANNYA YAVA DAPAT DIKUMPULKAN DARI ABAD PERTAMA HINGGA ABAD KE-7 MASIHI. LOKASI EMPAYAR INI TIDAK DAPAT MERUJUK TERUS KEPADA PULAU JAWA SEKARANG.
CATATAN ABAD KE-8 NAMA YAVADVIPA INI TELAH MENGGAMBARKAN LOKASINYA BERBEZA DARI PULAU JAWA SEKARANG INI.

No.
RUJUKAN       
KENYATAAN

PRASASTI CHANGGAL
Prasasti ini ditemui di desa Changgal di atas Gunung Wukir, dalam Residen Kedu, Jawa Tengah ke sebelah Tenggara Borobudur. Penemuan prasasti ini diumumkan oleh Royal Academy, Amsterdam dalam sidang media pada 10 Mac 1884. Prasasti ini ditulis untuk mengingati pembangunan satu tempat suci Lingga diatas Gunung Wukir oleh Raja Sri Sanjaya dalam tahun 732 Masihi dan mengisahkan secara terperinci tentang Sanjaya ini.
Prasasti ini ditulis dalam dalam bahasa Sanskrit dengan huruf Pallava, terdiri dari 25 baris dan terbahagi kepada 12 bahagian ayat. Bahagian 7 terdapat pernyataan penting tentang Yavadvipa, ianya seperti berikut:

“astddviparam Yavakhayamatulandhandhan yadivi jdikham sampannam kanakakaraistadamarai …. dinopar jitam. Srimatkunjarakunja desanihitam gangaditirtha vratam”.

Maksudnya:
“Disana terdapat suatu dvipa yang tiada tandingan namanya Yava kaya dengan biji-bijian dan benih-benih, kaya dengan lombong-lombong emas (baki dari baris 2 ini tiada dapatdifahami kerana kekosongan). Disana terdapat tempat keramat yang paling suci dan mengkagumkan, dipersembahkan kepada Siva untuk kebaikkan dunia, ditetapkan dalam kunjara-kunja-desa yang makmur dan dikelilingi oleh Ganga dan lain-lain sungai-sungai suci (tirtha)”.

HSIN T’ANG SHU
Buku ini disusun oleh Ou Yang-Hsiu dan Sung Ch’i dalam tahun 1060 Masihi ada menyebut She-p’o (Yava) iaitu Pulau Jawa sekarang dengan hubungannya denganHo-ling (Kalingga), sebagai berikut:

“Ho-ling, ia digelarkan She-p’o. Ia terletak di lautan selatan. Disebelah timurnya ialah P’o-li, di sebelah baratnya To-p’o-ting. Di selatannya berbatasan dengan lautan selatan, dan disebelah utaranya Chenla…. Pemerintahannya tinggal dalam ibu kota She-p’o. Neneknya Chi-yen, memindahkan (ibu kotanya) ke arah timur ke kota P’o-lu-chia-ssu. Di sempadan Ho-ling terdapat 28 negeri kecil,semuanya setia kepada Ho-ling. Di sana ada 32 menteri penting dan Ta-Tso-kan-hsiung adalah ketua mereka. Di atas kemuncak suatu gunung terdapat wilayah Lang-pi-ya. Raja sendiri sendiri mendaki gunung ini untuk merenung ke laut.”

“Kota She-p’o sama dengan Kota Yava (Yavapura?), “Che-yen” ialah “Gajayana”,  raja Kalingga dan  “P’o-lu-chia-ssu” sama dengan “Waru Gasik (Gersik)” terletak di Jawa Timur, kira-kira Gersik sekarang. Perpindahan ibu kota itu terjadi di antara tahun-tahun 742-755.

Teori tentang kedudukan Kota She-p’o terletak jauh ke Barat menerusi sudut astronomi dan bukan di Pulau Jawa sekarang, malahan lebih jauh lagi, mungkin iana merujuk kepada suatu tanah yang bernama Yava juga. Fakta berdasarkan astronomi ini telah dihuraikan oleh J.L. Moens sebagai berikut:
“Sekarang kita cuba meletakkan ibu kota empayar Cho-po. Sejarah T’ang  mengandungi banyak informasi yang berguna untuk kita. Suatu penelitian astronomi di dalamnya menyatakan : “Pada tengah musim panas, suatu tongkat 8 kaki tinggi membias bayang ke selatan 2 kaki 4 inci. Suatu kiraan yang mudah membuktikan bahawa tempat penelitian iaitu ibu kota Cho-po, adalah terletak antara 6 darjah panjang bayang tongkat itu berbeza dalam ketepatannya daripada alat pengukur bayang zaman moden. Kita dapat menghasilkan rumusan dari kajian ini bahawa ia begitu jauh ke utara untuk menyatakan ianya adalah Sumatera. Satu-satunya pilihan ialah diantara Pantai Timur dan Pantai Barat Malaya.

SEJARAH VIETNAM
G.Coedes memetik suatu keterangan dari G.Maspero tentang suatu serangan keatas Tongkin oleh kumpulan tentera dari selatan.

“Dalam tahun 767, Tongking telah diserang oleh kumpulan yang disebut dalam Sejarah Vietnam datang dari She-p’o (Java) dan K’un-Lun (Kepulauan Selatan daripada Umum). Gabenor Chang-po-i menewaskan mereka hampir dengan Son-Tay sekarang dan mengundurkan mereka ke laut.”

Perkataan Kun-Lun dalam bahasa China ditujukan kepada Dwipantra ataukepulauan termasuk Pulau Jawa sekarang.

PRASASTI PO NAGAR
Prasasti ini ditulis berdasarkan perintah Satyavarman iaitu Raja Champa dalam tahun 784 Masihi dan ianya telah ditemui di Po Nagar suatu tempat yang terletak di Vietnam Selatan. Ia ditulis dalam bahasa Sanskrit menggunakan tulisan Pallava dan mengandungi 5 bait. Dalam bait 2 dan 3 disebut tentang serangan dari tentera asing yang tidak disebut nama negeri tetapi dapat diagak sebagai datang dari Yavadvipa berdasarkan serangan-serangan ke atas Tongking dan serangan ke atas Champa. Prasati Po-Nagar itu menggambarkan serangan itu sebagai yang disingkatkan  dibawah ini:

“Dalam tahun Saka 696 (774Masihi), orang-orang yang kejam, tidak mempunyai kasihan belas, berkulit hitam(hangus), datang dari kota-kota (negeri-negeri) lain, makanannya lebih dahsyat daripada makanan pelesit, jahat, mengamok serupa dengan Yama (Malikul-Maut), datang dengan kapal-kapal, membawa lari patung deva Mukhalingga dan membakar candinya. Kerana serangan ini, raja Sri Satyavarman belayar dengan kapal-kapalnya yang baik bersama dengan tentera dan pahlawan-pahlawannya dan membunuh orang-orang yang berdosa dan mengamok itu dilaut. Tetapi sungguh mendukakan bahawa (patung) Sivamukha bersama dengan seluruh kekayaan  yang berada dalam kapal mereka telah dicampak kedalam laut.”

Kesimpulannya, serangan ini bukanlah satu serangan hanya untuk merompak. Ianya lebih kepada unsur politik ekoran Champa telah memberontak dan keluar dari empayar Yavadvipa dan serangan ini adalah sebagai satu hukuman.

PRASASTI YANG TIKUH
Yang Tikuh adalah gelaran penduduk kepada Prasasti yang ditemui di kampung Takoh, tidak jauh dari bukit Datrang di Lembah Phanrang. Ianya ditulis dalam bahasa Sanskrit pada tahun 799 Masihi atas perintah Indravarman, Raja Champa.  Mengandungi 14 bait dan mengenai serangan Yavadvipa ini tercatat dalam bait ke-6 pada bahagian akhir berbunyi seperti berikut:

“Oleh kerana dosa-dosa yang melampau pada zaman Kali (Akhir Dunia) maka ia (candi Bhadradhipatisvara) telah dibakar oleh tentera Java yang datang dengan kapal-kapal dan menyebabkan candi menjadi kosong dalam tahun saka 709 (787 Masihi)”

AKHBARUS-SIN WAL-HIND
Seorang sudagar Arab dari Siraf bernama Sulaiman telah mengembara ke India dan China. Catatannya telah dibukukan pada pada 851 Masihi kemudian telah disunting oleh Abu Zaid Hasan dan diterbitkan dalam tahun 916 Masihi dengan nama Akhbarus –Sin Wal-Hind. Dalam buku ini, Sulaiman telah membicarakan tentang Yavadvipa atau Yava (Jawa) yang beliau nyatakan sebagai Zabag atauZabaj. Ia memberikan gambaran yang menarik tentang negara Zabag yang dapat dirumuskan seperti berikut:
(a)    Kota Zabag mengadap secara langsung kearah China. Jarak antara dua negara ini dapat digambarkan sebulan pelayaran dengan cuaca yang baik.
(b)   Raja Kota ini terkenal dengan gelaran Maharaja. Negaranya adalah seluas 900 farsakh (5625 kilometer persegi). Disamping itu, ia memerintah pula pulau-pulau yang banyak seluas 1000 farsakh malah lebih lagi. Diantara negara-negara dibawah penguasaannya adalah Pulau Sribuza (Srivijaya) yang luasnya merangkumi 400 farsakh (meliputi sumatera selatan) dan pulau yang digelar Rami (Ramni atau Lumuri iaitu Sumatera Utara), lingkungannya seluas 800 farsakh. Juga sebahagiannya dari kepunyaan Maharaja  iaitu negara kelautan iaitu Kalah (Segenting Kra) yang terletak di tengah jalan antara China dan Arabia….. ke pelabuhan (Kalah) ini kapal-kapal dari Oman datang dan dari pelabuhan ini kapal-kapal dari Oman itu pulang.
(c)    Pulau dimana baginda bersemayam adalah amat subur dan didami manusia turun termurun. Dikatakan bila ayam-ayam negeri ini berkokok ketika matahari naik, sebagaimana suasana di Tanah Arab, kokok itu dijawab oleh satu sama lain sepanjang 100 farsakh, malah lebih lagi kerana kampung-kampung ini bersambung-sambung tidak berputusan. Ini bermakna negara ini dihuni oleh ramai rakyat.
(d)   Kemudian Sulaiman menyifatkan adat Maharaja yang mengkagumkan. Setiap pagi, Bendahari akan menyembahkan kepada Raja seketul emas berbentuk empat persegi seperti batu bata. Kemudian baginda campakan kedalam suatu danau berhampiran dengan istana. Dalam sepanjang hidup Maharaja, tiada seorang pun yang boleh menyentuh ketulan-ketulan emas itu. Apabila mangkat, penggantinya telah mengeluarkan ketulan-ketulan emas ini dari danau. Setelah dikira dan ditimbang, emas tersebut telah dibahagi-bahagikan antara anggota-anggota keluaraga DiRaja, panglima-panglima, hamba-hamba dan orang-orang miskin. Bilangan ketulan emas ini dan jumlah berat keseluruhannya dicatat dalam catatan rasmi dan ketinggian martabat seseorang Raja berdasarkan jumlah emas yang mereka tinggalkan.
(e)   Diantara Khmer (Khemra atau Chen-la menurut sebutan China) dan Zabag adalah sejauh 10 – 20 hari belayar menerusi laut bergantung kepada keadaan cuaca.
(f)     Kemudian Saudagar Sulaiman menceritakan tentang satu peristiwa yang menyebabkan serangan Maharaja ke atas Khemra. Ringkasnya, Maharaja menyerang Khemra yang ketika itu dalam taklukan Yavadvipa kerana Raja Khemra menyatakan satu kenyataan celupar dengan menitahkan kepada Perdan Menteri Khemra bahawa baginda mahu melihat kepala Maharaja diletakan dalam ceper dihadapan beliau. Keceluparan ini telah sampai ke pengetahuan Maharaja dan baginda terus mempersiapkan angkatan laut dan menyerang Khemra. Setelah berjaya menawan Khemra, baginda telah memancung kepala Raja Khemra itu dan dibawa pulang ke Yavadvipa – diawet dan dikemaskan…kepala itu dihantar semula ke Khemra sebagai peringatan kepada Raja-Raja Khemra seterusnya supaya tidak menderhaka kepada Yavadvipa. Dalam serangan itu juga, angkatan Yavadvipa tidak mengambil satu pun harta milik rakyat Khemra. Serangan Yavadvipa itu sebagai satu tindak balas dalam menghukum ekoran niat memberontak Khemra.

Apabila perkara ini dikhabarkan kepada pemerintah China dan India, mereka semakin kagum dengan pentadbiran Yavadvipa ketika itu.

Setelah diteliti kenyataan ini, dapat dirumuskan bahawa kejadian ini bukan berlaku dalam abad ke-9, tetapi ia berlaku ketika abad ke-8 ketika Champa berada dibawah taklukan Yavadvipa.

PRASASTI SDOK KAK THOM
Prasasti ini ditemui di Phnom Sandak di Preah Vihear bertarikh 1052 Masihi, ianya ditulis dalam Bahasa Sanskrit dan Khmer. R.C Majumdar telah menterjemah prasasti ini seperti berikut:

“Prasasti ini ditulis dalam bahasa Sanskrit dan Khmer bertarikh 974 saka (1052) menyatakan kepada kita bahawa Raja Jayavarman II, yang datang dari Jawa untuk memerintah Kota Indrapura,  melaksanakan satu perayaan keagamaan supaya Kambujadesa tidak lagi terletak dibawah takluk Jawa. Kerana Jayavarman II memerintah dari tahun 802 – 869 Masihi. Ini  bermakna negara Khmer telah mereka dari pengaruh Jawa hingga akhir abad ke-8. Seterusnya ia kekal merdeka.”

AL MASALIK WAL-MAMALIK
Seorang penulis keturuan Parsi bernama Abdul Qasim Ubaidillah bin Abdullah yang terkenal dengan gelaran Ibnu Khurdazabeh dalam bukunya ini yang diterbitkan pada tahun 844 hingga 848 masihi ada menyentuh sedikit tentang negara Zabag =Java atau Javaka. Diantara lain, beliau berkata:

“Raja Zabag dinamakan “Maharaja”…. Maharaja mempunyai pendapatan harian sejumlah 200 man emas  setiap hari (1 man emas = 600 dirham perak). Bagind menjadikan emas seketul berbentuk empat segi seperti batu bata dan mencampakkan ia kedalam air sambil berkata : “Inilah rumah perbendaharaan ku.” Sebahagian daripada pendapatan itu, kira-kira 50 man emas setiap hari didapati dari judi perlagaan ayam. Menurut peraturan, setiap ekor ayam yang menang adalah kepunyaan baginda dan tuan ayam itu harus menebus ayam sabung mereka dengan sejumlah emas.”

PRASASTI NALANDA
Nalanda adalah satu nama tempat dalam Wilayah Bihar, India dan prasasti ini dinamakan sempena tempat ianya dijumpai. Ia bertarikh 860 Masihi dan ianya ada menyatakan hubungan dengan Yava seperti berikut:
(a)    Prasasti ini ditulis pada plat tembaga pada tahun 39 pemerintahan Raja Devapala kerana menyempurnakan permohonan Balaputradeva yang terkenal, Raja Suvarnadvipa. (Suvarnadvipadhipa – Maharaja Sri Balaputradeva)
(b)   Prasasti ini mengakhiri keterangannya dengan satu keterangan singkat mengenai Balaputradeva  yang boleh ditafsirkan seperti berikut:

“Di sana ada seorang raja besar dari Yavabhumi (Y-Pala), yang namanya bererti “Algojo musuh-musuh yang berani” (Vira-Vairi-mathananugata-bhidhanah) dan juga seorang perhiasan keluarga Sailendra (shailendra-vamsa-tilaka). Baginda mempunyai seorang putera yang berani (digelarkan) Samaragravira (pahlawan dibarisan hadapan dalam medan perang).
Isterinya bernama Tara dari kaum Sri Varmasetu dari ras bulan, sama seperti Devi Tara. Dengan isteri ini, beliau melahirkan seorang putera iaitu Sri Balaputra, yang membina sebuah vihara di Nalanda.

KITABUL BULDAN DAN AL –A’ALAQUN NAFISAH
Ibnul Faqih al-Hamdani dalam bukunya Kitabul Buldan yang dihasilkan pada 902 Masihi telah menyatakan:

Tidak ada sebuah negeri di sebelah selatan selepas Zabag dan rajanya sangat kaya.

Ini bermakna seluruh kepulauan Asia Tenggara adalah termasuk dalam negeri (empayar) Zabag.

Ali Hamid Ibnu Omar Ibnu Rustah dan terkenal dengan Ibnu Rustah dalam buku al-A’laqun Nafisah tahun 903 Masihi telah menulis:

“Raja Besar (Zabag) digelarkan Maharaja iaitu raja segala raja, baginda tidak dianggap sebagai paling agung di antara raja-raja India, kerana beliau tinggal di Kepulauan. Tidak ada seorang raja lain pun lebih kaya dan lebih berkuasa daripada baginda dan tidak ada (raja) yang mempunyai pendapatan yang lebih daripadanya.”

PRASASTI NHAN –BIEU
Prasasti ini ditemui di temui di satu tempat bernama Nhan-Bieu dalam daerah Quang-Tri, Champa Utara di zaman silam, bertarikh tahun 833 Saka (911 Masihi). Kandungannya terdiri dari 22 bahagian. Bahagian 8 – 10 ada menyebut tentang Yavadvipa seperti berikut:
(a)    Ada seorang bangsawan yang cerdik, berhati-hati, beragama dan bijaksana. Sangat taat kepada raja dan sangat setia kepada segala perintah raja.
(b)   Ia adalah nakhoda kegemaran raja sri Jayasimhavarman dan mempunyai kekayaan yang sesuai dengan hajatnya, ia bernama Pov Klun Pilih Rajadvarah. Dengan perintah raja, beliau telah bertolak ke Ibu Kota Yavadvipa sebgai utusan diplomatik, dan mendapat kepujian kerana berjaya adalam mengendalikan tugasnya. Semenjak dari itu, beliau telah bertambah kaya.
(c)    Ketika zaman raja sri Bhadravarman, Pov Klun Pilih Rajadvarah mendapat gelaran Plov Klun Sudanda (va) sa. Sekali lagi, dengan perintah raja, beliau pergi ke Yavadvipa dan berjaya dalam misi diplomatiknya. Setelah pulang beliau telah dikurniakan sawah-sawah dan kampung-kampung di Sudan dan Kumuvel.

MURUJUZ – ZAHAB
Dalam tahun 943Masihi, seorang pengembara dan ahli sejarah yang terkenal iaitu Abil-Hasan ‘Ali bin al-Husin bin ‘Ali al-Mas’udi (al-Mas’udi) telah menghasilkan buku Murujuz – Zahab. Dalam buku ini beliau ada menulis tentang Asia Tenggara, diantaranya mengenai negara (empayar) Maharaja yang nampaknya sama dengan Maharaja Zabag seperti yang disebut oleh Abu Zaid dalam AKHBARUS-SIN WAL-HIND. Berikut adalah fakta-fakta dari Al-Mas’udi:
(a)    India adalah sebuah negeri yang melebar keatas laut dan darat. Sempadannya adalah negeri Zabag yang memisahkan India dari China.
(b)   Negara Khmer terletak di tengah jalan menuju kenegara-negara Maharaja, raja pulau-pulau Zabag, Kalah dan Sirandib (Ceylon)
(c)    Selepas meninggalkan Pulau Sirandib (Ceylon) terdapat pulau-pulau lain, kira-kira 1000 farsakh jauhnya, salah satu dikenalidengan ar-Ramin (Sumatera Utara) yang mempunyai penduduk yang ramai. Di dalamnya ada raja-raja yang menghasilkan emas yang banyak. Diikuti pula oleh negeri Qansur (Fansur di Pantai Barat Sumatera Utara), dari sini dikeluarkan kapur Qansur. Kemudian sampai kepulau-pulau Najmalus (Nicober), penduduknya keluar dengan perahu-perahu sambil berbogel menawarkan hasil tempatan, kemudian sampai kepulauan Andaman.
(d)   Kemudian masuk laut keempat iaitu Kalahbar juga disebut laut Kalah (terletak di selat Melaka sekarang dan berhampiran antara segenting kra hingga perak), terdapat banyak pulaudan bukit bukau yang mengkagumkan. Kalah ini terletak pertengahan jalan dari China dan sebaliknya. Di Kalah berlabuhnya kapal-kapal orang Islam dari Siraf dan Oman dan mereka berhubung dengan orang-orang yang datang dari negeri China dengan kapal-kapal mereka. Pada zaman dulu, kapal-kapal dari China sering ke negeri Oman, Siraf, Faris, Bahrain, Ubullah dan Basrah.
(e)   Kemudian masuk laut ke-5 yang dikenali sebagai kardanj (Laut Pulau Kalimantan?) terdapat banyak gunung-gunung dan pulau-pulau (kardanj) menghasilkan kapur.
(f)     Kemudian laut ke-6, Laut Sanf (Champa iaitu Laut China Selatan). Di laut ini terdapat  “Negara Maharaja” iaitu merujuk kepada Maharaja Zabag. Wilayah Zabag ini tidak tergambar luasnya hingga mengambil masa dua  tahun untuk mengelilingi seluruh jajahan takluk walaupun dengan kapal yang terpantas ketika itu.
(g)    Dan pulau-pulau ini bersambung dengan laut yang tidak diketahui sempadan di sebelah Laut China dimana ia sebenarnya merujuk kepada Kepulauan Filipina yang bersambung dengan Lautan Pasifik.
(h)   Pada birai-birai kepulauan terdapat gunung-ganang yang mengeluarkan api siang dan malam, siangnya merah dan malamnya hitam, memuncak tinggi ke langit, mengeluarkan suara yang lebih kuat dari suara guruh dan petir (merujuk kepada kepulauan Maluku, Pulau Sulawesi, Kepulauan Nusa Tenggara dan Pulau Jawa). Kadang-kadang gunung berapi itu mengeluarkan suara ajaib dan menakutkan.
(i)      Dalam negara Maharaja terdapat Pulau Sribuza (Sriwijaya) yang lingkungannya seluas 400 farsakh dalam laut, juga Pulau Zang dan Ramni (Lamuri) dan lain-lain kepulauan dalam miliknya.
(j)     Negara Maharaja menghasilkan minyak wangi, rempah-rempah yang harum, kapur, kayu gaharu, cengkih, kayu cendana, kasturi, rempah dan lain-lain.
(k)    Maharaja adalah tuan (penguasa) laut keenam, Laut Sanf (Champa).

Meskipun Maharaja Zabag itu menguasai seluruh Kepulauan Dwipantra, kenyataan Laut Champa iaitu Laut China Selatan sekarang adalah membuktikan empayarnya terletak di “Pantai Timur Semenanjung”.

PRASASTI KEDU
Prasasti ini juga terkenal dengan Prasasti Balitung ditemui oleh Statterheim tertulis atas dua plat gangsa bertarikh tahun 828 Saka (907 Masihi). Ia ditemui di Kedu, dekat Perambanan iaitu di Kota Jogjakarta Moden. Prasasti Kedu ini memberikan suatu daftar Maharaja-Maharaja  sebelum Sri Maharaja rakai Watukura (Balitung) yang memerintah di Mataram, bahagian Selatan dari Jawa Tengah. Daftar itu adalah sebagai mengikut:“…..rakai Mataram Sang Ratu Sanjaya.
Sri Maharaja rakai Panangkarana.
Sri Maharaja rakai Panunggalan.
Sri Maharaja rakai Warak
Sri Maharaja rakai Garung
Sri Maharaja rakai Pikatan
Sri Maharaja rakai Kayu Wangi
Sri Maharaja rakai Watu Humalang
Sri Maharaja rakai Watu Kura.

SUNG SHIH
Sung Shih atau sejarah Keluarga Sung (960 – 1279 Masihi) di tulis oleh T’o T’o (1313 -1344 Masihi). Meskipun ia ditulis dalam abad ke-14 Masihi, tetapi mengandungi beberapa fakta mengenai sejarah Yavadvipa atau Zabag dalam hubungnya dengan China sejak bahagian awal dari abad ke-10 Masihi. Tetapi Sung Shih menyebut nama Yavadvipa atau Zabag ini dengan San Fo Chi dan ianya dinyatakan demikian:
a)        Pada tahun 905 Masihi, suatu peruntusan telah dihantar oleh Maharaja San-fo-Chi ke negeri China dengan membawa hadiah dalam bentuk ufti. Utusan ini adalah gabenor bagi ibu kota dan Maharaja China telah mengurniakan gelaran Jeneral yang mendamaikan negeri-negeri yang jauh.
b)        Dalam bulan 9 dari tahun 960 Masihi, Si-ri-hu-ta-hia-li-t’an merujuk kepada Sri Udayaditya (Varman) menghantarkan satu perutusan untuk membawa hadiah berbentuk ufti dan ianya diulangi dalam tahun berikutnya (961)
c)         Penghujung tahun 961 dalam musim sejuk, raja Si-ri-wu-ya (Sri Wa-dhiraja) telah menghantar ufti. Dalam tahun-tahun 971 – 974 Masihi, utusan –utusan datang pula ke Istana Maharaja China. Tahun berikutnya Utusan datang lagi (975).
d)        Tahun 980 Masihi, Raja San-fo-chi bernama Ha-Chi (Haji atau Aji) menghantar perutusan ke China.
e)        983 Raja Ha-chi menghantar perutusan. 985, nakhoda sebuah kapal dagangn  datang membawa hasil dari negerinya.
f)         988 satu  perutusan telah sampai dengan tujuan membawa ufti dan dalam musim sejuk 992 Masihi, informasi telah diterima dari Canton bahawa utusan ini telah meninggalkan ibu kota dua tahun yang lalu (990) telah mendengar berita di selatan bahawa negerinya telah diserang oleh She-p’o (Java) dan utusan itu terpaksa tinggal selama setahun. Dalam pertengahan tahun 992, utusan ini telah belayar ke Champa namun mendapat perkhabaran tidak baik, kapal utusan ini telah datang balik untuk mendengar satu perintah diraja supaya negerinya boleh menurut pimpinannya.



Alhamdulillah, selesai juga kami membawakan semula maklumat tentang kerajaan Yavadvipa ini mengikut penelitian Nakula. Kami hanya boleh ringkaskan disini bahawa Yavadvipa ini telah mengalami proses evolusi yang panjang. Sepanjang jangkamasa ini juga Empayar Yavadvipa ini sendiri telah berubah beberapa antaranya Srivijaya dan Langkasuka.

Selepas ini, ikuti pula catatan abad ke-11 hingga abad ke-14 tentang empayar yang pernah wujud di Asia Tenggara ini. Lebih kurang 18 catatan yang ada. Selamat Membaca.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...