SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday, 20 November 2013

RAHSIA PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

Tahukah anda, 200 tahun dahulu Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini mempunyai negara-negara berdaulat dan terkenal ke serata dunia dengan pelbagai nama mengikut nama pengembara-pengembara berbangsa Arab, China, Jepun dan Eropah. 200 tahun dahulu juga peta Pantai Timur Semenanjung berbeza dengan peta semenanjung hari ini. Peta yang ada pada hari ini telah menyisihkan Patani. Sebenarnya, pada waktu itu negeri-negeri Pantai Timur juga adalah negara yang berdaulat. Perjanjian Bangkok 1909 telah menyebabkan Patani terpisah dari Kelantan dan Terengganu serta Pahang terserap di bawah naungan British. Perjanjian ini dibuat tanpa pengetahuan Sultan negeri-negeri Pantai Timur. Sebelum itu negeri di Semenanjung dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat Bersekutu dan seletah Perjanjian Bangkok 1909 wujud pula Negeri-negeri tidak bersekutu.

Menelusuri bukti-bukti yang dikemukan oleh pihak British kenapa mereka memeterai Perjanjian Bangkok itu. Pertama sekali mereka menyatakan bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenajung seperti Kelantan dan Terengganu sering berperang sesama mereka dan negeri-negeri ini telah meminta bantuan ketenteraan daripada pihak British. Pihak Britisih tidak boleh menolak kerana mereka mempunyai kepentingan di kedua negeri ini.

Patani pula sering berperang dengan Siam akibat pertikaian berdasarkan sejarah silam. Keadaan ini menyebabkan British tidak senang kerana ia menjejaskan kepentingan British di kawasan Asia Tenggara. Pemberontakan yang berlaku di Pahang dan Terengganu juga menyebabkan termerterainya perjanjian Bangkok ini. Dengan termerterainya perjanjian ini British dan Siam sama-sama membantu melumpuhkan negeri-negeri pantai timur ini. British mengekang Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala Siam mengamankan Patani. Inilah yang boleh kita singkapkan bagaimana sejarah pantai timur yang diajar.

HAKIKAT YANG SEBENAR
LANGKASUKA, inilah sebuah nama negara hebat yang hilang dari peta. Namanya tercatat dalam catatan Mesir, Rom dan China tetapi hilang dari catatan Melayu sendiri. Langkasuka dahulunya terdiri daripada negeri Patani, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Negeri ini tersohor dengan hasil buminya terutama emas dan permata. Kayu-kayunya lebih kukuh dari besi. Gajah menjadi kenderaan utama.

Orang Barat melalui catatan Ptolemy mengenal semenanjung ini sebagai The Golden Khersonese dan orang India mengenal semenanjung sebagai Suvarnabhumi yang membawa maksud Semenanjung Emas.
Christopher Columbus dan Ferdinand Magellan terkenal sebagai pelopor pelayar yang keluar dari kepompong ketakutan masyarakat barat tentang mitos “penghujung dunia” yang mengikut kefahaman masyarakat barat waktu itu, bumi ini dalam keadaan mendatar dan jika mereka berlayar mereka akan jatuh di penghujung dunia. Dua orang nakhoda ini semestinya belayar mengikut panduan dan rahsia dari ahli pelayaran terdahulu dan mereka bukanlah orang yang bodoh untuk belayar tanpa mengikut panduan.

Ferdinand Magellan misalnya, beliau dikatakan telah mengupah seorang penunjuk arah berbangsa Melayu bagi meneroka kepulauan Melayu ketika mereka tiba di India. Kejayaan Christopher Columbus dalam mencari “tanah yang dijanjikan” serta kecemerlangan Ferdinand Magellan memecah jalan “Perdagangan Rempah” membuatkan ramai bangsa Eropah mula mencari koloni masing-masing.

GOLD, GLORY, GOSPEL
Kekayaan, Kecemerlangan dan Agama adalah kata kunci yang bangsa Eropah pegang ketika mereka membuka koloni. Sebagai contoh orang Portugis daripada Portugal, mereka membuat perjanjian dan berperang dengan Raja Hindu dan Sultan Islam di India hingga mereka berjaya menduduki Goa. Mereka telah menjadikan Goa sebagai pengkalan utama. Kemudian orang Belanda datang dengan tanda “VOC” dan diikuti dengan British.

Persoalannya, kenapa orang Putih ini begitu beriya-iya datang ke Timur?

Timur sebenarnya sudah masyhur di kalangan pedangang Arab yang sebelum ini menguasai separuh dari dunia ketika kerajaan Abassiyah, Ummaiyah dan Uthmaniyah. Cuma di kalangan orang Barat tempatan memang jelas tidak begitu mengetahui keadaan Bahagian Timur Dunia.

Dalam ajaran Kristian wujud satu terma yang menyatakan “Promised Land” iaitu tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Inilah satu sebab kenapa mereka beriya-iya mencari tanah yang dijanjikan itu. Selepas perang salib, kepercayaan mereka makin bertambah dan mula mencari kebenaran tentang tanah yang dijanjikan itu. Akhirnya melalui Christopher Columbus mereka menemui Benua Amerika yang sebelum ini langsung tidak di ketahui namun ada antara mereka kurang mempercayai akan kewujudan Benua Amerika itu. Mereka lebih tertarik dengan The Barbarian World iaitu merujuk kepada bahagian Timur Dunia. Kerana ada ilmuwan mereka membaca catatan daripada Ptolemy dan wujudlah Suma Oriental yang dikarang oleh Tom Pires.
Pelbagai faktor kenapa orang Eropah keluar mencari tanah di luar pengetahuan mereka dan faktor paling penting adalah kekayaan menerusi pemilikan emas. Namun cendikiawan barat menjadikan alasan perdagangan rempah sebagai faktor utama, ianya tidak boleh ditolak kerana pada waktu itu rempah ibarat seperti emas kepada orang Barat.

Setelah kejayaan Columbus dan Magellan, orang Barat berlumba-lumba datang ke Bahagian Timur Dunia. India, Asia Tenggara dan China telah ditakluk oleh orang-orang Barat daripada pelbagai negara seperti British, Jerman, Belanda, Jerman, Sepanyol dan Perancis. British mempunyai empayar yang luas dengan koloni di kebanyakkan negara Afrika dan Arab, India, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Kemboja, Hong Kong dan China serta Australia.  Negara yang diduduki oleh British kebanyakkan tercatat dalam catatan pengembara dan cendikiawan silam dan sudah tercatat akan kekayaan yang wujud di negara yang diduduki oleh British.

 PANTAI TIMUR TANAH MELAYU & BRITISH
Telah dijelaskan pada permulaan artikel ini bahawa Pantai Timur Tanah Melayu ini mempunyai sejarah yang panjang. British dan Siam benar-benar menguasai bahagian ini setelah termeterainya Perjanjian Bangkok 1909.

Pada tahun 1908, W.A. Graham telah menerbitkan satu buku panduan atau Handbook yang bertajuk KELANTAN yang menjelaskan tentang negeri Kelantan secara terperinci dari segi sistem pentadbiran, pertahanan, geografi, budaya dan ekonomi. Buku panduan itu juga menjelaskan tentang Kelantan yang mula mengorak langkah ke arah ekonomi yang moden dengan menjalin hubungan  syarikat Duff serta beberapa syarikat Jerman. Tujuan utama hubungan ini adalah meneroka pedalaman Kelantan yang penuh dengan khazanah alam seperti bahan galian utama terutama Emas dan Besi serta kayu balak.

Sir Henry Norman, ahli parlimen daripada Britain telah melawat Kelantan dan menghasilkan buku bertajuk The Peoples and Politics of the Far East pada tahun 1895. Di dalam buku tersebut, ada memuatkan bab Malaya di bawah sub-tajuk On A Raft Through Forbidden State yang menceritakan tentang keadaan di Kelantan ketika itu. Perkara paling penting dalam bab ini adalah bagaimana Henry Norman menceritakan tentang kemelut dalam kerabat DiRaja Kelantan ketika itu dan terdapat ahli kerabat yang meminta bantuan senjata daripada beliau. Hal ini berkemungkinan besar telah dibentang dalam parlimen British memandangkan Henry Norman adalah ahli parlimen Britain. Selain itu, Henry Norman juga mengisahkan tentang keadaan negeri Pahang ketika itu dan juga membuka kisah tentang negeri bernama Reman dan Legeh yang merupakan dua buah negeri Melayu yang hilang dari peta. Reman diserap masuk ke dalam Perak manakala Legeh menjadi Narathiwat sebuah negeri dalam Thailand.

Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah juga merupakan satu lagi buku berbahasa Melayu yang ditulis dalam tulisan roman yang mana waktu itu tidak ramai orang Melayu tahu membaca tulisan roman. Buku ini adalah mengenai pengembaraan Munsyi Abdullah dari Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal orang Cina Singapura yang terkandas di Kelantan akibat daripada perang saudara waktu itu. Buku ini banyak diterjemah dalam bahasa ketiga dan dikaji oleh sarjana-sarjana barat mengenai keadaan Pantai Timur waktu itu.

Buku Kelantan dan The Peoples and Politics of the Far East adalah buku terbitan dalam Bahasa Inggeris, manakala Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah buku berbahasa Melayu tapi diterbitkan dalam tulisan roman. Tiga buku ini merupakan rujukan bagi pihak British tentang keadaan Pantai Timur Semenanjung terutama buku Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah kerana buku ini menceritakan secara terperinci tentang laluan dari Singapura melalui Mersing (Johor) ke Pahang, Kuala Terengganu dan Kelantan. Dipercayai masih banyak lagi buku yang mengisahkan mengenai Pantai Timur Semenanjung yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Selain itu, di bawah tajuk Siam juga banyak menyentuh tentang empat negeri di Pantai Timur terutama Patani.

Apa yang jelas di sini, pengetahuan British tentang kawasan Pantai Timur Semanjung Tanah Melayu adalah terhad dan mereka sebolehnya menyelidik dengan mendalam tentang negeri-negeri Pantai Timur ini dalam usaha mereka meluaskan empayar. Mungkin mereka kurang menggangu negeri Pantai Timur kerana menganggapnya negeri-negeri ini dibawah penguasaan Siam terutamanya Patani. Cuma kebimbangan British adalah mengenai konsesi yang diberikan Sultan Kelantan kepada Syarikat Duff serta usaha sama Sultan ketika itu dengan pihak Jerman dan Jepun. Kekacauan yang sering berlaku antara Kelantan dan Terengganu dijadikan alasan untuk mereka mencengkam Sultan dengan menerima penasihat Inggeris. Syarikat Duff telah mengalami kerugian ekoran pengubahan dasar setelah Perjanjian Bangkok 1909 dan Sultan tiada kuasa untuk memberi konsesi tanpa persetujuan daripada British.

HASIL BUMI YANG TIDAK SEMPAT DISEDUT
British begitu sinonim digambarkan sebagai penjajah yang menjarah harta negeri-negeri Melayu. Ketika revolusi perindustrian timah menjadi komoditi utama. Pantai Barat Semenajung Tanah Melayu amat kaya dengan bahan galian ini. Hingga tahun 1980, Malaysia masih lagi merupakan pengeluar timah yang terbesar di dunia.

Mengapat timah sahaja yang menjadi komoditi utama? Kenapa tidak emas yang utama?

Mungkin kita jelas Indonesia dan Australia menjadi antara pengeluar emas yang besar di dunia. Dalam sejarah silam, Indonesia atau khususnya kepulauan Sumatera dikenali sebagai Suvarnadvipa dalam bahasa India yang membawa maksud Pulau Emas. Manakala Semanjung ini dikenali sebagai Suvarnabhumi yang membawa maksud Bumi Emas. Kini yang timbul dengan jelas adalah Suvarnadvipa iaitu Sumatera.
Kenapa di Suvarnabhumi atau Bumi Emas masih tidak timbul? Adakah emasnya sudah habis disedut atau masih belum ditemui orang?

British dengan teknologi kapal korek dengan tenaga kerja yang murah diimport dari China hingga menguasai Selangor, Perak, dan Kedah serta Melaka dan Negeri Sembilan telah melombong dengan rakus di negeri-negeri ini hanya menemui timah. Kerana lambakan timah daripada Malaya mendorong British mencipta barangan yang diperbuat daripada timah dan menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar.

Pelbagai mitos diutarakan yang menguatkan pencarian emas ini berterusan. Mitos Mount Ophir misalnya, yang mendorong ramai pengkaji mencarinya kerana terdapat dalam Kitab Yahudi bahawa di Mount Ophir ini merupakan tempat Nabi Sulaiman membina negara. Kewujudan Book of Mormon yang jelas menghuraikan topografi Semenajung Malaysia mengikut mitos Mount Ophir. Mengikut pengamatan kami, seawal 1800 sudah ada pengembara Eropah mencari gunung ini. Pada mulanya mereka menyangka sebuah gunung di Indonesia sebagai Mount Ophir, namun ia tidak menepati seperti dalam kitab Yahudi itu. Kemudian perhatian teralih ke Gunung Ledang yang menyimpan sejarah silam yang dikaitkan dengan keagungan Empayar Melayu Melaka. Ciri-ciri Gunung Ledang tepat dengan maklumat dalam Kitab Yahudi itu. Namun kawasan itu merupakan kawasan batu yang tidak memungkinkan wujudnya mineral berharga itu
.
Pelbagai kaedah dan kajian dijalankan dan terkini, terdapat dakwaan bahawa Mount Ophir itu berada di Kelantan dengan Bukit Panau sebagai gunungnya. Jika di daratan, bukit ini kelihatan seperti biasa. Namun jika di arah laut, bukit ini menjadi panduan untuk mengemudi ke Kuala Besar, Kota Bharu. Bukit Panau menjadi perhatian ekoran kajian demi kajian mengenai kerajaan silam yang dikaitkan dengan Kerajaan Chermin yang kemudiannya menjadi bahagian Empayar Majapahit. Di kawasan ini dipercayai menjadi tapak kota Kerajaan Chermin yang juga serpihan daripada Negara Langkasuka. Tapak itu kini berada di dasar Danau To’Uban. Mengikut catatan daripada pengkaji tempatan, seorang pemerintah Chermin mengamalkan menyimpan seketul jongkong emas setiap hari dalam kolam di perkarangan istananya. Amalan dibuat semenjak hari pertama beliau memerintah hinggalah kepada hari kematiannya. Selain daripada itu, terdapat juga catatan dalam sejarah negeri Kelantan tentang kejadian aneh di Bukit Panau yang menyebabkan Kelantan memperoleh namanya. Mungkin ini mitos namun ada kebenarannya. Suatu masa dahulu di Bukit Panau telah kejadian aneh yang mana di bukit telah terpancar cahaya berkilau-kilauan seakan kilat, dan cahaya ini dikatakan terpancar hingga ke Terengganu dan berkilauan dari arah laut. Lantas, dari “kilatan” inilah timbulnya nama Kelantan dan dari pandangan orang di kejauhan “Terang nu” yang dikatakan timbulnya nama Terengganu. Selain itu, Che Siti Wan Kembang bersama Puteri Saadong dan suaminya sempat membuka negeri di Chetok iaitu berhampiran dengan tapak Kota Jiddah, negeri Chermin menjadikan kawasan Pantai Timur ini mempunyai sesuatu yang masih terpelihara.  

Terengganu dan Pahang hingga kini menjadi kawasan simpanan Malaysia dan banyak tempat  masih belum diteroka, malah di Pahang sendiri kerajaan Malaysia banyak mengisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal dan Taman Negara yang melarang aktiviti penerokaan dibuat. Ini juga menjadi persoalan buat pengkaji-pengkaji sejarah kerajaan silam. Kerana di dalam pedalaman hutan inilah tercatat ibu kota kerajaan besar.
Hingga kini Terengganu terkenal dengan “Emas Hitam” dan ianya sedang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Namun, sesuatu yang unik terus sepi di Pahang... sesuatu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Mesir Purba.

KESIMPULAN

Negeri Pantai Timur Semenajung Malaysia masih dililiti misteri yang hari demi hari kian terbongkar. British yang bertapak selama lebih kurang 400 tahun di Semenanjung tidak berjaya menyelongkar keutuhan khazanah Melayu di Pantai Timur walaupun ianya jelas terpapar dalam kitab mereka. Sudah menjadi takdir buat yang hak untuk berkuasa secara mutlak. Usah terlalu mencari, jika benar ianya untuk anda, tanpa bersusah payah, ianya tetap menjadi hak anda. Jika sekalipun ianya untuk kami, itu bukanlah yang kami cari. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...