SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 20 November 2013

Mantan Menteri Besar Kelantan 3 : Tengku Mohamad Hamzah Bin Tengku Zainal Abidin

Tengku Mohamad Hamzah Bin Tengku Zainal Abidin (Tengku Sri Maharaja) 1953-1959 merupakan antara tokoh pentadbir dan politik yang terawal di Kelantan. Beliau memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan dari tahun 1938 hingga tahun 1953. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan dari 1953 sehingga pilihanraya umum 1959.

Dilahirkan pada 30 Mei 1909 di Kampung Raja Muda, Kota Bharu. Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhammadiah Kota Bharu dan kemudiannya pendidikan di Sekolah Inggeris Kota Bharu. Dari situ, beliau menyambung pelajarannya di Singapura.

Kerjaya beliau yang luas dalam perkhidmatan Kerajaan bermula sebagai Hakim Pelatih pangkat Kedua di Mahkamah Kecil Pasir Mas pada 1 Mac 1926, diikuti sebagai Hakim pangkat pertama di Pasir Mas dan Tumpat pada 1 Januari 1929. Pada 1 Februari 1930, beliau dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tanah di Kota Bharu.

Setahun selepas itu, beliau memegang jawatan Setiausaha di Pejabat Datuk Perdana Menteri pada 26 Februari 1931. Dari situ, beliau dilantik Penolong Pegawai Daerah I di Pejabat Tanah Pasir Puteh dan pada 3 Oktober 1932 dilantik sebagai Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Kota Bharu. Beliau pernah memangku jawatan Pemangku Menteri Besar semasa percutian Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil pada tahun 1950-1952.

Beliau melibatkan diri dalam politik dengan menjadi ahli Parti Negara yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Kegiatan beliau dalam pertubuhan kebajikan dan sukan terserlah apabila beliau pernah menjadi Presiden Kelab Rotary Kota Bharu dan juga Pengerusi Persatuan Olahraga Amatur Malaya Cawangan Kelantan.

Di atas kecemerlangan jasa dan sumbangan beliau, Tengku Muhammad Hamzah dianugerahkan Pingat Yang Gagah Perkasa pada tahun 1942 dan “Order of the British Empire” oleh Kerajaan British pada tahun 1946. Beliau dikurniakan gelaran Tengku Sri Maharaja pada 2 Julai 1935. Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia al-Muhammadi II (S.P.M.K) pada 2 Julai 1937 dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati al-Yunusi (D.K) pada 22 Februari 1945.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...