Pemerintahan Puteri Saadong dikatakan berakhir pada
kira-kira menjelang kurun ke-18, di akhir-akhir pemerintahan baginda tidak
langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah, bahkan cerita-cerita lisan
dari penduduk-penduduk negeri Kelantan pun tidak didapati, puas juga saya
menjelajah keseluruh negeri Kelantan, ke Kampung-kampung yang jauh di
pendalaman dan pernah juga saya menajalankan kajian di bukit Marak yang
dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong bersemayam tidak saya temui
bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran sejarahnya yang berikut.
Dengan berakhirnya pemerintahan Raja Abdul Rahim
yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai dan juga
pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak maka muncul semula pemerintahan di
Jembal, iaitu pemerintahan Sultan umar (Raja Umar), baginda ini ialah adik
kepada Raja Loyor, dan pangkat bapa saudara pula kepada Puteri Saadong.
Pemerintahan baginda ini dikatakan bermula pada
tahun 1675, baginda mempunyai beberapa orang putera dan puteri, putera sulung
baginda bernama Raja kecil Solong yang dirajakan di Kota Teras (di Kampung
Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi putera baginda bernama Raja Ngah
atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di Tebing Tinggi Pusaran Buah
(Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar bernama Raja Pah telah
berkahwin pula dengan Tuan Besar Long Bahar seorang putera raja yang datang
dari Patani (dalam negeri Thai).
Mengenai Tuan Besar Long Bahar pula menurut
Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk Paduka Raja Kelantan Nik
Mahmud bin Ismail adalah putera Wan Daim atau disebut juga Datuk Pangkalan Tua,
raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari keturunan anak-anak Raja
Bugis bernama Paqih Ali.
Tuan Besar Long Bahar mempunyai beberapa orang
saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik Genting dan Datuk Pasir Petani.
Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga maka Tuan Besar Long Bahar telah
merantau ke Negeri Kelantan dengan membawa bersama seorang putera yang bernama
Long Sulaiman, dan di Kelantan Long Besar berkahwin pula dengan Raja Pah puteri
Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long Bahar berpindah membuka sebuah tempat
yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam Wakaf Baru sekarang).
Dalam tahun 1721 Sultan Umar telah mangkat dan
baginda inilah juga yang disebut atau digelar raja Udang yang mana makamnya
terdapat masa ini didalam kawasan sawah padi kira-kira dua rantai jauhnya dari
sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat, begitu juga dengan Raja Bahar kekanda
baginda yang memerintah Jembal yang mangkat pada tahun 1675 yang digelar raja
ekor yang makamnya terdapat sekarang ini dikampung Tok kambing, Mukim Sering
dekat Kota Bharu.
Dengan kemangkatan Sultan umar makam putera sulung
baginda yang bernama Raja Kecil Solong yang sedang memerintah di Kota Teras
tidak mahu mengambil alih pemerintahan di Jembal dari ayahndanya, dan dengan
persetujuan baginda jugalah lalu diangkat adik iparnya iaitu Tuan Besar Long
Bahar menjadi raja di Jembal, dan dengan itu Kota Kubang Labu diserahkan kepada
pemerintahan putera baginda yang bernama Long Sulaiman, putera ini ialah dari
isteri baginda di Patani.
Apabila pemerintahan Jembal dan juga pemerintahan
di Kota Kubang Labu terserah kepada pemerintahan Tuan Besar Long Bahar dan
putera baginda maka berakhirlah satu peringkat pemerintahan yang berasal dari
zuriat Raja sakti yang memerintah Jembal, dan pada peringkat ini pula maka
zuriat keturunan dari Tuan Besar Long Baharlah yang memerintah Jembal juga Kota
Kubang Labu keturunan dari Tuan Besar Long Bahar ini jugalah asalnya raja-raja
yang memerintah Negeri Kelantan hingga sekarang ini.
Dalam tahun 1977 dan seterusnya hingga tahun-tahun
yang kemudian saya telah menjalankan kajian dibeberapa tempat disekitar Kedai
Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari bandar Kota Bharu, di kampung
tersebut terletaknyamakam-makam Raja Loyor , iaitu ayahnda Puteri Saadong,
menurut cerita dari penduduk-penduduk kampung sekitar yang saya dapati bahawa
pada suatu ketika dulu terdapat beberapa orang siam yang datang untuk mengorek
makam tersebut, kononya orang siam tersebut bermimpi bahawa didalam makam
tersebut terdapat sebilah keris yang dianggap keramat atau mempunyai kuasa
ghaib, begitu juga saya diberitahu pernah disuatu ketika ada orang-orang
mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu marmar, beberapa hari
kemudian serpihan itu dipulangkan semula, menurut orang yang mengambil serpihan
tersebut bahawa ia sering diganggu mimpi yang menakutkan.
Makam Raja Udang atau Sultan Umar mempunyai
beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak jauh dari Masjid Kedai
Lalat, waktu saya melawat ke makam tersebut saya dapati ada sebuah batu besar
yang disebut batu hampar terletak berdekatan dengan makam tersebut, orang
kampung disekitar ada yang percaya batu tersebut mempunyai kuasa-kuasa ghaib,
batu tersebut sepanjang tiga kaki dan lebarnya lebih kurang dua kaki, tebalnya
kira-kira enam inci (6 inci), tidak sesiapa yang berani mengambil batu tersebut
walaupun pada hemah saya batu tersebut sangat baik dibuat tempat membasuh kain
baju, saya percaya batu tersebut digunakan untuk membuat binaan makam, boleh
jadi kerana besarnya tidak mencukupi maka lalu ditinggal begitu saja.
Saya juga telah melawat sebuah makam lagi di
Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira sebatu jauhnya dari Kedai Lalat, makam
tersebut ialah dikenali sebagai makam Raja Ekor atau Raja Bahar, makam ini
terdapat binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh menarik kerana terdapat
ukiran yang terpahat, ukiran tersebut menggambarkan seekor burung (boleh jadi
Burung Bangau) sangat menghairankan saya kerana biasanya perkuburan islam tidak
menggambarkan benda-benda hidup saperti haiwan-haiwan.
Pahat yang berbentuk burung biasanya mempunyai
pengaruh-pengaruh dari utara terutama dari Negeri China (meliputi negeri-negeri
di Indo-China), adakah Raja Ekor ini seorang raja yang berasal dari Indo-China
ataupun boleh jadi batu makam tersebut sengaja ditempa di Chempa (Republik
Khamer) yang waktu di zaman dulu adalah pernah menjadi sebuah kerajaan yang
umat islam dan pengaruh islam. Inilah satu perkara yng ahli-ahli penyelidik
harus menjalankan pula satu kajian yang lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau
pula kenegri-negeri di Indo-China untuk melihat makam-makam Islam di zaman dulu
yang banyak terdapat di negara tersebut, dapatlah dibuat perbandingan dengan
makam-makam raja-raja Jembal yang terdapat di Kelantan terutama makam Raja Ekor
yang masih menjadi mesteri.
PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.
Catitan Ibnu Batutah tentang negeri yang disebut
Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik tentang letak negeri tersebut dan juga gaya
pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja itu, ialah satu perkara yang
sangat rumit dapat dikesan oleh pakar-pakar sejarah.
Dengan keterangan yang sebegitu sedikit maka kita
tidaklah boleh memberi kata putus bahawa Kilu-Kerai itulah yang sebenarnya
Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan sekarang ini, walau bagaimanapun
perkara ini boleh diselesaikan jika sekiranya ada pakar-pakar sejarah yang
betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai perkara tersebut.
Dari beberapa keterangan yang diperolehi yakni
berdasarkan dari hikayat-hikayat lama dan juga lain-lain catitan sejarah,
adalah Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan beraja yang berteraskan agama
Islam pada kira-kira awal kurun ke 15, dikatakan raja yang mula-mula memerintah
Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja K’Umar atau disebut juga Raja
K’Umar, pemerintahan baginda adalah sekitar tahun masehi 1411, tidak diketahui
dimana letaknya pusat pemerintahan baginda, sesetengah ahli sejarah tempatan
percaya pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau
yang terletak di tengah sungai Kelantan berhampiran dengan Kampung laut, pulau
tersebut pada masa ini telah tenggelam.
Selepas pemerintahan K’Umar muncul pula
pemerintahan Sultan Iskandar, pemerintahan baginda berakhir pada tahun 1465
masehi kerana dibinasakan oleh Angkatan Perang Siam (Thai), kononnya baginda
dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah dapat ditawan dan dibawa kenegeri Siam,
tidaklah diketahui tentang nasib raja tersebut adakah baginda mangkat di Siam
atau juga dihantar pulang ke Kelantan.
Kira-kira pada tahun masehi 1477 sebuah angkatan
perang dari Melaka yang diperintah oleh Sultan Mahmud telah datang menyerang
dan mengalahkan Kelantan, Sultan Mansur iaitu Sultan Kelantan telah dapat
ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga puteri baginda iaitu Puteri Unang
Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening yang paling jelita itu kemudian
diperisterikan oleh Sultan Mahmud Shah, maka setelah Sultan Mansur Shah mengaku
tunduk kepada pemerintahan Melaka lalu baginda diangkat semula menjadi sultan
Kelantan, sejak itu negeri Kelantan dikira sebagai jajahan takluk Melaka.
Sultan mansur Shah mangkat pada kira-kira tahun
masehi 1526, putera baginda yang bernama Raja Gombak telah dilantik menjadi
pemerintah Kelantan, baginda bersemayam di Pulau sabar juga, dalam tahun 1548
Raja Gombak telah mangkat dengan tidak meningggalkan zuriat, oleh itu anak
saudara baginda yang bernama Raja Ahmad telah dilantik menjadi pemerintah
Kelantan, baginda bergelar Sultan Ahmad, menurut beberapa punca sejarah Sultan
Ahmad ini mempunyai seorang puteri yang sangat jelita yang bernama Puteri Cik
Wan Kembang, dan sewaktu Sultan Ahmad mangkat puteri ini masih kecil lagi, lalu
dil;antik aeorang anak raja dari Johor yang bernama Raja Husain memangku raja
dengan bergelar Sultan Husain.
Sultan Husain yang memerintah kelantan itu
dikatakan mangkat pada tahun 1610, dengan itu lalu dilantik Cik wan Kembang
menjadi pemerintah Kelantan. Raja perempuan Kelantan ini dikatakan berpindah
dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di pendalaman iaitu Gunung
Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara Kuala Krai).
GANJIL
Mengapa baginda berpindah begitu jauh dari tebing
sungai Kelantan adalah satu perkara yang sungguh ganjil, biasanya pemerintahan
raja-raja di zaman dahulu adalah memilih tempat-tempat yang berhampiran dengan
sungai, kerana sungailah yang menjadi jalan dan perhubungan yang penting ketika
itu.
Harus jugalah pada fikiran raja perempuan itu
bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram dari apa juga gangguan luar,
terutama sekali gangguan dari pemerintahan Siam yang dianggap kuasa yang
teragung ketika itu.
Dalam jangka yang sama di zaman pemerintahan Cik
Wan Kembang, atau pada pedagang-pedagang bangsa Arab disebut Cik Siti (Cik Siti
wan Kembang), maka di Negeri Kelantan telah wujud sebuah lagi pemerintahan
beraja yang berpusat di Jembal (Kedai lalat sekarang iaitu kira-kira 6 batu
dari bandar Kota Bharu). raja yang memerintah disitu bernama Raja Loyor putera
Raja Sakti yang berasal dari Kedah.
Ada sesetengah ahli sejarah tempatan berpendapat
yang Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang yang dikatakan seoarang raja
perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan, dari perkahwinan itu mereka
beroleh seorang puteri yang diberi nama Puteri Saadong, Puteri Saadong inilah
yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan Kembang menjadi anak angkatnya,
kerana baginda sendiri tidak mempunyai anak. Puteri Saadong pula berkahwin
denban sepupunya yang bernama Raja Abdullah, kemudian Raja Abdullah telah dilantik
menjadi raja di tempat yang bernama Chetok (dalam Jajahan Pasir Mas). Tidak
lama di situ Raja Abdullah berpindah pula bersemayam di Kota Mahligai (dalam
Daerah Melor sekarang).
Setelah Raja Abdullah dan Puteri Saadong
berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan Kembang pun balik semula
bersemayam di Gunung Ayam, setelah itu tidak lagi didapati cerita tentang Cik
Siti Wan Kembang adakah baginda berpindah ke tempat lain atau mangkat di tempat
tersebut.
Memanglah satu perkara yang sukar untuk mengesan tentang
kedudukan tempat semayam Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya, kerana di negeri
Kelantan terdapat dua buah gunung yang bernama Gunung Ayam, sebuah terletak
kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang, gunung tersebut setinggi 2,945 kaki,
terletak pula terlalu jauh dirimba yang sangat sukar dijalankan penyelidikan,
sebuah lagi Gunung Ayam terletak dekat dengan sempadan negeri Terengganu iaitu
kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala Kerai, gunung tersebut setinggi 2,674
kaki, terletaknya pula jauh jauh ke dalam rimba. Gunung Ayam yang mana satu
menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.
Waktu saya melawat makam Tuan Tabal atau nama
batang tubuhnya Tuan haji Abdul samad bin Muhammad, seorang tokoh pengembang
agama Islam yang terkenal di negeri Kelantan, yang meninggal dunia pada tahun
1891 dan dan dimakamkan di perkuburan Banggul, jalan ke Pantai Cahaya Bulan
(Pantai Cinta Berahi), saya juga telah diberitahu oleh Encik Nik Abdul Rahman
bin Nik Dir yang memandu saya ke makam tersebut bahawa tidak berapa jauh dari
makam Tuan Tabal itu terdapat sebuah makam lama yang sangat cantik dibina dari
batu pejal serta berukir pula, makam tersebut orang-orang Banggul menyebut
Makam Cik Siti, saya juga telah makam tersebut, kesimpulannya dari kajian saya
tidak syak lagi makam tersebut adalah sebuah makam lama dari seorang perempuan
yang dari keturunan raja-raja atau orang-orang besar juga, dan seni ukir pada
binaan makamnya menggambarkan seni ukir yang hampir persamaannya dengan
makam-makam di jembal dan juga makam-makam di permakaman DiRaja Langgar, adakah
ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan Kembang adalah satu perkara yang sangat
menarik dan perlu dibuat kajian yang lebih teliti.
NISAN
Berdasarkan tanah perkuburan Banggul saya yakin
adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama, mungkin tanah perkuburan
tersebut telah digunakan beratus-ratus tahun lampau, di perkuburan Banggul itu
juga akan memperlihatkan kepada kita berbagai-bagai jenis bentuk batu nisan
yang ganjil-ganjil serta ada pula yang berukir dan bertulis ayat-ayat Quran
yang sangat cantik dan menarik.
Dengan berakhirnya pemerintahan Cik Siti Wan
Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir pemerintahannya, maka muncullah
pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.
Pemerintahan Raja Abdullah berakhir pada tahun 1671
iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh isterinya Puteri Saadong, lalu
Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim anak Raja Abdullah merajai Kota
Mahligai. Tidak lama setelah Raja Rahim memerintah baginda kemudian dibunuh
pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Rahim
maka berakhirlah pemerintahan beraja di Kota Mahligai.
Konon menurut cerita Puteri Saadong telah lama
ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika tentera-tentera Siam datang
melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin dan bersemayam di Kota
Mahligai, selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam, baginda di hantar
balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila mendapati yang
suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain, maka dari punca itulh berlakunya
pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan tikaman pacak
sanggul isterinya.
Wallahualam Bissawab.
Wallahualam Bissawab.
Sumber:
Oleh : N A Halim (Muzium Negara)
Petikan : Mingguan Malaysia 28hb.Okt.1979
link : tripod.com
No comments:
Post a Comment